Rabu, 26 Mei 2010

PERTEMUAN DI AR-RAUDAH

AHAD yang lalu, saya dan kumpulan penyair yang terlibat dengan Projek Puisi Alam Tanjung Rhu telah diundang ke Ar-Raudah, ladang kuda dan kebun milik Tan Sri Tajudin Ramli. Itulah kali pertama saya berada di ladang sebesar dan seluas itu. Sebaik-baik van Aswara memasuki perkarangan ladang, saya berbisik sendiri - semoga pengalaman yang saya timba di situ lebih luas dari keluasan ladang serba hijau itu.

Di sebuah dewan Ar-Raudah, kami berkenalan dengan penaung projek Tan Sri Tajudin dan juga ahli keluarga beliau. Perbincangan turut berkisar pada projek seterusnya bagi antologi puisi alam yang kami hasilkan. Insya-Allah, kesemua puisi sudah siap disunting dan sedang dalam usaha diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab oleh dua orang pakar. Melihat pada perbicaraan Tan Sri, beliau sendiri nampaknya tidak sabar untuk menerbitkan antologi tersebut. Pada pandangan saya, beliau mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap unsur alam sebagai penghubung dalam kehidupan manusia. Kesedaran yang dihubungkan pula dengan kepentingan sastera dalam membina peribadi manusia. Sering kali beliau tegaskan betapa hubungan manusia dengan alam adalah sangat penting dalam kehidupan seorang insan apatah lagi selaku muslim.

Selain projek antologi, Tan Sri juga bercadang untuk menterjemahkan antologi tersebut dalam pelbagai medium lain seperti rakaman deklamasi puisi dalam bentuk DVD dan penggunaan puisi-puisi berkenaan untuk dijadikan hiasan di sekitar Tanjung Rhu. Sekurang-kurangnya, tindakan tersebut dapat mengangkat citra sastera tempatan daripada mengetengahkan sajak-sajak penyair luar yang kita sendiri kurang dan tidak kenali.


Bergambar bersama kumpulan penyair dan Tan Sri Tajudin Ramli.

Selepas berbicara secara santai, kami dibawa pula ke kawasan kuda. Di situ saya dan rakan-rakan dapat berkenalan dan beramah mesra dengan kuda-kuda yang ada. Saya jadi sangat teruja melihat kuda-kuda itu. Sebenarnya kuda-kuda yang diimport dari negara luar itu mempunyai nama Inggerisnya. Namun demikian, sebaik sahaja kuda-kuda itu tiba di Ar-Raudah, kesemuanya sudah mendapat nama Melayu seperti Ayuni, Nafisah, Farris, Lily dan sebagainya.

Saya menjadi sangat tertarik dan jatuh hati dengan seekor kuda berwarna coklat yang dinamakan sebagai Mansoor. Benar-benar saya jatuh sayang dengan Mansoor. Bagi saya, Mansoor kuda yang sangat kacak, kemas dan berdisiplin. Kami diberi peluang memberi kuda-kuda itu menikmati makanan kegemaran mereka iaitu lobak merah. Satu pengalaman yang sangat berharga dan menyeronokkan.

Di situ juga, saya mendapat tahu akan tabiat hidup kuda. Rupa-rupanya, kuda lebih banyak menghabiskan masanya dengan berdiri. Jarang sekali kuda duduk atau baring melainkan kuda benar-benar letih. Barangkali hampir sama dengan tabiat ikan. Malahan, kuda juga tidur tanpa memejamkan mata. Pada satu ketika, saya sedang mengamati seekor kuda yang tingginya mencecah enam meter. Kuda ini istimewa dengan sifatnya yang agak moody. Namanya ialah Tod Martiny. Saya berkesempatan melihat Tod melepaskan hajat besarnya. Memang lucu bagi saya dengan gayanya yang sangat santai. Jangka hayat bagi seekor kuda ialah 30 tahun dan boleh mencapai ketinggian sehingga 12 meter bagi sesetengah baka.

Selain itu, saya bersimpati dengann Farris yang terpaksa dipakaikan penutup muka. Hal ini kerana Farris mengalami gejala keradangan dan tidak boleh terdedah kepada hurungan lalat yang terpikat dengan makanan Farris. Pada mulanya, Farris enggan didekati namun setelah dipujuk oleh Aunty iaitu isteri kepada Tuan Haji Syukri, barulah Farris berlembut hati dan mudah untuk didekati.

Sesungguhnya, pengalaman separuh hari berada di Ar-Raudah telah mencambah pengalaman hidup yang sering saya cari dan sehingga kini, saya masih merindui Mansoor.

1 ulasan:

  1. Kak...jangan lupa...pengalaman bersama sasterawan. Cerita pasal ilmu yang dicuplik daripada mereka. Kata Degawan dalam cerita Susuk, "Perjanjian tetap perjanjian." Haha.

    BalasPadam