Selasa, 25 Mei 2010

MENGENAL ERTI CINTA DALAM AKU TERIMA NIKAHNYA

"MELIHAT PERKAHWINAN sebagai medan untuk memberi akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan." Begitulah kata-kata yang tertera di bahagian paling atas pada kulit hadapan buku ini. Sekali pandang, sesiapa sahaja akan menyangka bahawa individu yang memegang buku ini sedang bercinta. Muda-mudi yang memegang erat buku ini akan diusik-usik. Lihat saja tajuknya akan membuatkan persepsi awal bahawa membaca buku ini hanya bertujuan untuk mendasari erti cinta muda-mudi. Begitu yang dilihat oleh segelintir individu ketika saya memegang buku ini semasa dalam proses pembacaan.

Walau bagaimanapun, tanggapan itu semua tidaklah benar sepenuhnya. Memang benar, buku ini berkisar pada persoalan cinta dan rumah tangga. Namun demikian, persoalan yang timbul itu lebih berpusat kepada cinta dan rumah tangga yang hakiki. Sebanyak 36 kisah dimuatkan dalam buku yang ditulis dengan bentuk yang begitu santai dan mesra pembaca. Saya berkeyakinan bahawa sebahagian besar tulisan di dalam buku ini lahirnya dari laman sesawang rasmi penulis sendiri iaitu Saifulislam.com dengan tema Erti Hidup Pada Memberi. Berpegangkan tema hidup tersebut, penulis memanfaatkan segala pengalaman hidup yang dimiliki sebagai anak, adik, suami, bapa dan hamba kepada Tuhan dengan tujuan menambah pengalaman yang seterusnya mematangkan fikiran pembaca untuk mengenal diri sebagai anak, suami, isteri, pelajar, saudara dan hamba Pencipta.


Himpunan kisah di dalam buku ini dimulakan dengan tajuk Erti Sebuah Perkahwinan. Bab tersebut menceritakan proses penulis untuk bergelar suami kepada seorang isteri. Sebagai seorang lelaki yang meningkat dewasa dan status diri sebagai pelajar dan imam di sebuah masjid di Belfast, penulis menceritakan betapa pertunangan dua tahun yang dimeterai mereka berdua merupakan satu cabaran. Cabaran untuk mengikat tali perkenalan berteraskan syariat Ilahi dan cabaran untuk mengenal diri bagi mempersiapkan mental dan rohani sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Soal perkahwinan bukan hanya persoalan penyatuan dua hati yang berbeza dan diikat dengan lafaz ijab dan kabul semata-mata. Sebaliknya, perkara yang lebih jauh dan jangkaan kehidupan selepas perkahwinan yang lebih mencabar seperti komitmen sebagai bapa Islam dalam mendidik anak-anak untuk menjadi pemuda tiang agama. Hubungan antara dua buah keluarga yang saling tidak mengenali antara satu sama lain sebelumnya dan pelbagai lagi. Setiap persoalan itu perlu diambil kira secara serius dan tidak hanya berlandaskan pada hukum cinta akan pasangan yang diinginkan. Apabila insan meneliti setiap aspek penting tersebut, maka satu persediaan mental dan tangunggjawab dalam melayari bahtera perkahwinan akan menjadi semakin utuh.

Dalam hal ini, penulis juga menegur akan cabaran cinta anta, enti yang sering kali disalah erti oleh kebanyakan remaja atau pasangan muslim yang mempunyai matlamat mencari keredaan Allah dalam cinta yang mereka bina. Penulis menganggap isu cinta anta, enti ini sebagai serius lantaran boleh membawa pelbagai implikasi negatif sekiranya disalah tafsir. Bagi pasangan yang terlibat dalam cinta anta, enti - haruslah mempunyai kefahaman yang jitu terhadap tanggungawab diri sebagai muslim mukmin dan tanggungjawab umum yang dipikul seperti status diri sebagai anak dan pelajar, umumnya.

Cinta sebenar itu harus terbit dari emosi dan naluri fitrah manusia ... namun ia lahir juga dengan sandaran rasional dan sedar diri terhadap asas cinta itu, tanggungjawab yang mengiringi cinta tersebut serta kesan yang bakal lahir dari mematerialisasikan perasaan cinta seperti ini. Cinta yang ada 'sense of begin with the end in mind' (33:2008).

Selain membicarakan soal cinta sebelum dan selepas perkahwinan, buku ini turut memuatkan catatan atau perkongsian pengalaman penulis sebagai seorang anak bongsu. Penulis yang telah kematian bapa pada usia remaja terpaksa berpisah dengan ibu tercinta apabila diterima untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara. Tempoh pengajian dan perpisahan yang lama bersama ibu merupakan antara saat yang paling sukar untuk dilalui. Membayangkan keadaan dan kerinduan ibu semestinya mengundang syahdu dan pilu seorang anak yang sentiasa menghargai ibunya. Sebagai pembaca yang berstatus anak, saya terkesan dengan tulisan pada bab Cinta Tanpa Syarat ini. Dalam tulisan ini, penulis merakamkan penghargaan dan kasih sayang tidak terbatasnya terhadap ibu emak dan abah beliau yang sentiasa memberi yang terbaik untuk mendidik penulis mengenal erti hidup dan hakikat diri. Dalam subjudul Memberi Tanpa Syarat, penulis mengetengahkan sifat ibu dan bapa yang sering kali terlepas pandang oleh anak-anak. Secara jelas, sifat Al-Wahhab menjalar di dalam diri setiap ibu dan bapa. Sifat tersebut membuatkan seorang ibu rela memberi tanpa meminta apa-apa balasan terhadap anak yang dikandung dan dilahirkan. Percikan al Wahhab Allah itu memberi kekayaan jiwa kepada ibu dan bapa kepada anak-anaknya meskipun dalam keadaan kini, terdapat juga segelintir ibu bapa yang 'menidakkan' sifat tersebut - namun begitulah rasa yang Allah salurkan kepada ibu dan bapa yang kenal hakikat diri dan amanah yang diberi :

Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu memberi dan tidak marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam pada usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adil kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi (113:2008).

Sementelahan itu, buku ini juga memuatkan kepentingan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan anak-anak yang berfokuskan pada kualiti dan bukan kuantiti. Dalam mendepani arus yang penuh cabaran iman ini, penulis mengingatkan muda-mudi yang raghib dalam percintaan tanpa tujuan agar tidak sekadar memusatkan perasaan pada persoalan kasih dan sayang semata-mata. Sebaliknya, isu tanggungjawab dan cabaran untuk menjadi ibu bapa yang mithali juga perlu diambil perhatian dalam melahirkan zuriat soleh dan solehah yang mampu berdiri sebagai hamba Allah yang berperibadi mulia dan beriman kental. Percintaan bukan hanya berkisar mengenaia kasih sayang dua insan berlainan jantina semata-mata tetapi lebih besar makna dan intinya yang terkandung dalam tanggungjawab yang wajar digalas dengan cinta yang dibina dan terpelihara.

Selain menyedarkan pembaca, himpunan tulisan Hasrizal Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Abu Saif ini turut memberi ruang untuk khalayak memuhasabah diri di samping meneliti erti cinta yang dicari. Oleh hal yang demikian, buku Aku Terima Nikahnya sangat sesuai untuk bacaan pelbagai khalayak yang cinta akan ilmu dan mencari cinta hakiki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan