Isnin, 31 Mei 2010

MENCATAT PENGALAMAN TRR (I)

SAYA MENULIS catatan ini setelah satu bulan kembara di Tanjung Rhu saya tinggalkan. Barangkali kelihatan agak terlewat untuk menulis lantas menyiarkan catatan ini, namun sebenarnya tidak. Segala memorabilia lima hari empat malam di Tanjung Rhu Resort, Langkawi masih segar dalam ingatan dan sanubari saya. Segala-galanya tampak masih baru dan sering berputar dalam kotak ingatan. Lalu, di ruang ini saya catatkan pengembaraan saya mengenal erti hidup dan menambah pengalaman usia sepanjang berada di Tanjung Rhu.


HARI I (28 April)

Pesawat yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang Langkawi sekitar jam 10:00 pagi. Cuaca sangat cerah. Setibanya di lapangan terbang, kami disambut oleh tiga orang pemandu dengan tiga buah van Toyota Estima menuju ke Tanjung Rhu Resort. Sebaik-baik tiba di lobi, kami disambut dengan penuh mesra oleh kakitangan yang terlibat termasuklah Tuan Haji Syukri. Saya dan teman sebilik iaitu Siti Fairuz ditempatkan di bilik bernombor 108, berdekatan dengan lobi dan pusat bisnes atau lebih dikenali sebagai kafe siber. Kelly, seorang yang berbangsa cina telah membawa saya dan teman ke bilik. Di bilik, Kelly yang begitu ramah dan mesra telah memberi penerangan ringkas berkenaan bilik yang kami duduki sebelum diminta menandatangani beberapa dokumen. Sepuluh minit selepas itu, saya mendapat pesanan ringkas daripada Dato' Anwar Ridhwan untuk berkumpul semula di lobi. Setelah menikmati makan tengah hari yang begitu istimewa di Sand Restaurant, kami berkumpul di sebuah dewan perbincangan yang dinamakan sebagai Pavilion. Di situ, kami diberi pengenalan mengenai kedudukan Tanjung Rhu Resort (TRR) dan matlamat penganjuran Projek Puisi Alam yang diilhamkan oleh pemilik TRR iaitu Tan Sri Tajudin Ramli yang tidak dapat bersama kami pada hari itu. Penerangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Syukri. Selepas itu, Dato' Dr. Anwar Ridhwan pula memberikan taklimat akan genre dan inti puisi yang sewajarnya kami hasilkan bertepatan dengan isu alam dan keindahan yang tercitra di TRR. Hal ini sejajar dengan pegangan Tan Sri Tajudin yang begitu menekankan aspek hubungan manusia dengan alam yang perlu dipelihara. Dalam hal ini, Tan Sri Tajudin yakin bahawa sastera sesuatu yang seni mampu menjadi wadah kepada masyarakat untuk menyedari nilai alam untuk dipelihara. Adalah diharapkan bahawa sedikit hasil pertukangan puisi kami mampu menyumbang kepada matlamat tersebut.



Pada petangnya, kami telah dibawa ke sebuah daratan untuk meninjau kehijauan flora di kawasan itu. Mr. Zoher sebagai seorang naturalis bertindak selaku penunjuk jalan dan pemberi keterangan berkenaan segala flora dan fauna di Tanjung Rhu. Mr. Zoher sememangnya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai apa-apa yang diterangkan. Namun, Mr. Zoher suka mengusik saya dan rakan-rakan dengan 'penipuan' terhadap sesuatu keterangan. Padah bagi kami yang kurang pengalaman berkampung, mudah saja dikenakan. Selain Mr. Zoher, En. Sharidan selaku jurufoto turut menyertai kami dan setia mengambil foto-foto yang kami inginkan. Pada malamnya, kami berkumpul semula di Pavilion selepas makan malam untuk mendengar cerita mengenai asal-usul Tanjung Rhu oleh Pak Ali dan Mak Na. Kedua-dua mereka merupakan antara pekerja yang lama di TRR dan mempunyai banyak pengalaman. Perbincangan tersebut turut disertai oleh Dr. Rahmat Haroun Hashim yang singgah ke TRR atas jemputan Dato' Anwar. Secara peribadi, saya beranggapan bahawa sesi tersebut merupakan sesi yang agak mencabar kerana saya berasa sangat sukar untuk memahami dialek Kedah yang begitu pekat yang digunakan oleh Pak Ali. Namun demikian, sesi tersebut sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan serta cambahan idea untuk kami berkarya terutamanya cerita Pak Ali mengenai Bukit Jumaat.

HARI II (29 April)

Kami telah pergi ke Pulau Tuk Umai yang jaraknya dalam 15 minit dengan menaiki bot dari TRR. Di situ, kami diperkenalkan dengan 'pejabat rasmi' Mr. Zoher yang sangat penuh ciri ketradisionalannya. Pulau Tuk Umai ini turut dikenali sebagai Pulau Pahlawan. Namun, memandangkan keadaannya yang menyerupai sebuah safari, maka pulau ini turut juga dipanggil sebagai Safari Pahlawan. Terdapat begitu banyak pokok gajus di pulau ini. Ketika ini jugalah saya mendapat tahu bahawa pokok jagus turut disebut sebagai pokok janggus oleh masyarakat utara dan juga keteghe (kalau tidak silap) oleh masyarakat di pantai timur semenanjung Malaysia. Di Pulau Tuk Umai, saya dan rakan-rakan diberitahu oleh Mr. Zoher akan cara penyebaran biji benih pokok gajus. Analogi perniagaan yang digunakan oleh Mr. Zoher semamanganya sangat menarik dan memudahkan peamahaman. Selain monyet, Pulau Tuk Umai turut diduduki oleh banyak 'butterfly lizard'. Makhluk ini tidak terlalu besar. Badannya agak kurus dengan ukuran tidak lebih satu meter. Butterfly lizard sangat sensitif terhadap bunyi dan manusia. Sering kali kami gagal mendekati makhluk ini yang akan segera menyelinap masuk ke lubang persembunyian sebaik-baik berasa terancam dengan kedatangan kami.


Kami turut menemui pokok gelam atau nama saintifiknya Malaleuca. Kulit pada batang pokok gelam digunakan sebagai kertas oleh masyarakat dahulu kala. Kandungan air yang tinggi dalam pokok ini membuatkan batang pokok gelam agak lembut. Kami sekumpulan tidak melepaskan peluang untuk mengambil beberapa serpihan kulit pokok gelam untuk dibawa pulang. Hajat saya, pada satu hari nanti - saya ingin menulis sesuatu yang istimewa pada kulit pokok gelam itu untuk dijadikan buah tangan kepada insan-insan yang istimewa. Tidak ketinggalan, saya juga dapat bertemu dengan serangga bernama Riang-riang yang mengeluarkan sejenis bunyi bagi menarik perhatian pasangannya. Penemuan saya dengan Riang-riang ini sangat bermakna apabila mencetuskan idea untuk saya menghasilkan sebuah puisi. Riang-riang yang telah mati kebiasaannya akan terlekat pada batang pokok.


Sewaktu dalam perjalanan meninggalkan Pulau Tuk Umai, kami singgah untuk melihat sekumpulan monyet di satu kawasan. Sebaik-baik melihat kehadiran bot kami, monyet-monyet itu datang berdiri di pinggir air dengan wajah yang sangat sedih (sebenarnya memang wajah mereka begitu). Monyet-monyet itu menunggu sekiranya ada antara kami yang akan melemparkan sesuatu kepada mereka. Sayangnya, tiada. Menurut Mr. Zoher, terdapat 70 buah keluarga monyet di situ. Di situ juga, saya mendapat tahu bahawa monyet mempunyai keupayaan untuk berenang. Satu pengetahuan baru kepada saya apabila saya melihat seekor monyet sedang berenang untuk mendapatkan kulit limau. Hati saya yang begitu menyayangi haiwan mamalia ini begitu terkesan apabila melihat seekor monyet yang sedang mendukung anaknya yang masih kecil menyeberangi kawasan itu. Badan anaknya yang bergayut di dada ibunya masuk ke dalam air. Saya menjerit kepada monyet itu agar dia segera berenang, gusar sekiranya anaknya lemas.

Di kawasan yang lain pula, kami bertemu dengan sepasang memerang (selama ini saya bayangkan memerang seperti landak!). Sepasang memerang ini sangat comel. Saya lihat memerang tersebut mempunyai wajah seperti anjing laut, satu sisi pula - saya melihat memerang itu mempunyai wajah yang persis seperti kucing. Yang agak menarik tetapi menjijikkan, memerang yang begitu gembira memperlihatkan diri mereka kepada kami ketika itu telah dengan selambanya membuang hajat kecil dan besarnya di hadapan kami dan menyambung hobi bergolek-golek di atas tanah dengan gembiranya selepas terlepas segala hajat.

Hampir dua jam kami mengitari Pulau Tuk Umai dan di sekitarnya, kami pulang semula ke TRR untuk makan tengah hari di Safron dengan hidangan Mediterranean. Hidangan laut mediterranean ini memang menarik tetapi membuatkan saya lebih cinta akan nasi dan ikan bilis. Walau bagaimanapun, pengalaman menikmati hidangan tersebut merupakan satu pengalaman yang berharga.


Selepas melepaskan lelah masing-masing, kami sekumpulan telah berkumpul semula di pesisir pantai pada petangnya. Petang yang diiringi dengan cuaca bahang hasil pengewapan Laut Andaman itu kami penuhi dengan berjalan di pesisir pantai. Melihat tapak sulaiman dan umang-umang yang berselindung di sebalik kulit siput. Pada waktu air surut, kami berjalan sehingga hampir mendekati sebuah pulau kecil.

Pada malamnya, kami menikmati hidangan barbeku yang istimewa di pesisir pantai. Boleh tahan lama juga waktu makan kami, hampir dua jam. Sambil menikmati hidangan, kami bersembang mengenai puisi. Bertanya apakah masing-masing sudah mula menghasilkan puisi atau masih menunggu ilham dan pengalaman untuk memantapkan penulisan. Namun, rata-rata hanya tersengih sahaja. Waktu makan kami menginjak ke pukul sepuluh malam. Gusar saya memikirkan rancangan untuk memancing akan terbatal. Dengan perut yang kenyang seperti itu, tilam dan bantal pastinya lebih menarik berbanding joran danumpan di tengah lautan. Namun demikian, kehadiran Mr. Zoher mengegaskan kami ke tengah lautan. Itulah pengalaman pertama saya memegang joran di tengah lautan. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Saya berkumpulan dengan En. Ridzuan Harun, En. Zakir, En. Rahimidin, En. Shamsudin, Mr. Zoher dan Kelly. Oleh sebab itu kumpulan kami agak diam berbanding kumpulan dua yang dianggotai oleh Bonda Siti, Ruby dan Siti Fairuz selain Dato' sebagai nakhoda dan En. Zaen. Kumpulan dua lebih riuh dengan Bonda Siti dan dua rakan saya. Ketika melihat Dato' berdiri di dek sambil memandang ke langit, saya tergambarkan Tuan Kawai di atas Kawai Maru. Dato' merupakan pemancing pertama yang berjaya mendapatkan ikan membuatkan Bonda Siti dan dua rakan saya 'kecoh' dan memperkecilkan kami yang sunyi. Agak lama kemudian barulah Cikgu Sham berjaya memancing seekor ikan kerapu. En. Zakir pula asyik terlepas ikan dan En. Ridzuan pula lebih gemar bersedekah lebih daripada tujuh umpan kepada ikan-ikan di Laut Andaman. Saya masih ingat, malam itu dihiasi bulan penuh sebelum samar-samar dilitupi awan gelap. Saya masih ingat, pancaran kilat yang muncul acap kali tanpa bunyi berdentum. Semua itu, indah terakam dalam kenangan saya.


Saya juga gagal mendapatkan walau seekor ikan. Saya menjadi geram tetapi tidak putus asa. Saya mahu agar ada ikan yang akan memakan umpan saya. Meskipun sehingga selesai sesi memancing, rasa geram saya tetap ada kerana gagal mendapatkan walau seekor ikan pun. Mungkin kerana saya yang gagal mengendalikan joran dengan baik dan tidak cekap menarik joran setiap kali terasa umpan saya digigit ikan. Saya benar-benar terasa bagai dipermain-mainkan oleh ikan-ikan di situ. Terasa seolah-olah ikan-ikan itu tahu sahaja akan saya yang baru belajar memegang joran, lantas mempersendakan saya. Tidak mengapa kerana gagal di Laut Andaman, apabila ada peluangnya lagi - saya tidak akan berputus asa untuk memegang joran dan melompar umpan, memancing di laut dalam sambil belajar mengisi kesabaran dan pengalaman ^_^.

Pada mulanya, perancangan memancing dijadualkan hanya akan berlangsung sehingga jam sebelas malam. Namun, atas rasa geram dan setia menunggu, kami melanjutkan sesi sehingga jam dua pagi. Itu pun apabila salah seorang rakan saya sudah mula mabuk laut. Kalau tidak, barangkali masa akan menjadi lebih panjang memandangkan Dato' yang tampak gembira menjadi Tuan Kawai. Setelah selesai membersih diri dan membasuh baju, saya masih sukar melelapkan mata. Badan saya terasa seolah-olah masih berada di dalam bot dan terbuai dek ombak kecilnya. Hal itu berlaku sehingga hari terakhir di TRR. Saya yakin benar betapa perasaan dan fikiran saya begitu teliti dalam merakam pengalaman pertama saya bersama joran di Laut Andaman.

Sehingga di sini dahulu catatan pertama saya. Harapnya saya akan dapat menulis segala pengalaman sehingga ke hari terakhir di Tanjung Rhu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan