Khamis, 27 Mei 2010

ISABELLA DALAM KENANGAN

BEBERAPA hari yang lalu, ingatan saya begitu kuat terhadap seorang wanita yang sudah meninggal dunia pada tahun lalu. Dia hanya saya kenali dengan nama yang diberi oleh kebanyakan penduduk Kampung Nakhoda dan di sekitar Sungai Tua, Selayang. Pada perkiraan saya, umurnya sudah menjangkau 50 tahun pada saat dia meninggal akibat kemalangan. Dari segi fizikal, Isabella lebih rendah daripada saya. Kulitnya agak gelap dan dia merupakan salah seorang insan istimewa. Bagi saya, keistimewaannya terletak pada ketidakwarasan fikirannya. Ada pelbagai anekdot yang saya dengar mengenai Isabella. Yang paling popular, Isabella menjadi gila setelah dirinya diperkosa dan anaknya dirampas. Selain itu, saya juga mendengar bahawa Isabella menjadi begitu lantaran kegagalannya dalam pelajaran satu masa dahulu.

Saban pagi, Isabella akan menunggu bas di hadapan Masjid As-Solihin, Jalan Sungai Tua. Kebiasannya konduktor bas tidak akan mengambil tambang daripada Isabella. Seingat saya, Isabella akan turun di Jalan Chow Kit. Ada ketika, Isabella memakai tudung yang diikat dengan getah. Selalunya juga, Isabella tidak memakai tudung. Antara yang paling saya ingat mengenai Isabella ialah dia memakai gelang yang agak banyak pada kedua-dua belah tangannya. Di samping itu, sebuah beg lusuh sentiasa berada bersamanya. Sering juga saya menaiki bas yang sama dengan yang dinaiki oleh Isabella. Ketika saya berada dalam tingkatan empat pada sesi pagi, saya akan keluar dari rumah di Kampung Nakhoda Kiri sebaik-baik selesai solat subuh. Jam pada waktu itu adalah sekitar 6:15 atau 6:25 pagi. Jarak di antara rumah dan sekolah saya hanyalah sekitar sepuluh minit perjalanan bas. Tidak terlalu jauh tetapi saya memang biasa tiba awal di sekolah, ketika langit masih gelap yang kemudiannya akan beransur menjadi cerah dengan cuacanya yang nyaman.

Apabila Isabella melihat saya sewaktu di dalam bas, dia akan tersenyum dan mendekati saya. Biasalah, tidak sedikit orang normal yang gerun dengan manusia seperti Isabella. Gerun tanpa sebab. Saya yang berdiri berhampiran pintu bas cuba juga mengelak daripada didekati Isabella namun kata-kata Isabella dan kasih sayang yang terpancar pada matanya ketika berbicara dengan saya ketika itu sangat saya ingat sehingga kini waima hampir tujuh tahun kenangan itu berlalu :

ISABELLA : (dengan ramah) Adik ... adik nak pergi sekolah ya?

SAYA : (agak takut) Err ... ak aa.

ISABELLA : Belajar rajin-rajin. Jangan malas sampai tidur dalam kelas ... Tu, baju sekolah cantik.

Itulah antara kata-kata yang diujarkan Isabella sambil tersenyum manis. Penumpang yang lain turut memandang ke arah kami dengan pelbagai reaksi pada wajah mereka di hening pagi itu.

Pada satu hari yang lain, ketika saya di tingkatan lima pula - ketika itu kami menaiki bas Cityliner. Isabella duduk di bahagian tempat duduk yang paling hampir dengan pintu di sebelah kiri. Saya pula di kedudukan kesukaan saya iaitu di bahagian kanan dan tiga dari hadapan. Ketika bas berhenti di perhentian bas Kampung Laksamana, seisi bas dikejutkan dengan jeritan Isabella. Isabella bagaikan meracau sambil kata-kata yang kami dengar ialah amarahnya kepada pemandu bas. Saya menoleh ke belakang dan melihat ke arah Isabella, rupa-rupanya Isabella mengigau. Saya tersenyum. Bagi saya, Isabella sangat comel. Sayang sekali dia dibiarkan begitu sahaja oleh sesiapa yang bertanggungjawab atasnya.

Apabila saya pulang dari sekolah sekitar jam 2:00 atau 3:00 petang pula, saya sering juga terlihat akan Isabella yang duduk di atas sebuah bangku plastik dalam kawasan Rumah Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua. Ada masanya, saya melihat Isabella sedang menikmati nasi bungkus yang dia ada sambil sebungkus air sirap. Pada ketika yang lain, saya melihat Isabella duduk di bangku sambil kepalanya terhingguk-hingguk menandakan dia sedang menikmati tidur petangnya. Pihak di rumah tersebut memang tahu benar akan kehadiran Isabella dan tiada sesiapa yang akan menghalaunya.

Saya memang tidak tahu mengapa fikiran saya amat kuat terhadap Isabella sejak kebelakangan ini. Khabar dia dilanggar kereta di Jalan Sungai Tua pada tahun lalu menyedihkan saya. Pada fikiran saya, Isabella seorang manusia istimewa yang benar-benar menikmati hidup dengna caranya yang tersendiri. Saya percaya bahawa Isabella tidak pernah menyukarkan kehidupan penduduk Sungai Tua dan yang berdekatan dengannya. Dia hidup dengan sangat berani dan memberi erti kepada insan yang mahu berfikir. Keberadaan Isabella merupakan satu pengajaran yang cuba disampaikan kepada umat manusia. Tentang erti kerendahan hati, mengenal diri dan mensyukuri segala yang diberi oleh Maha Pencipta.

Lalu, pada setiap masa saya teringat akan Isabella - Al-Fatihah saya hadiahkan buat dirinya. Semoga Isabella tenang dan aman di tempatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan