Isnin, 31 Mei 2010

MENCATAT PENGALAMAN TRR (I)

SAYA MENULIS catatan ini setelah satu bulan kembara di Tanjung Rhu saya tinggalkan. Barangkali kelihatan agak terlewat untuk menulis lantas menyiarkan catatan ini, namun sebenarnya tidak. Segala memorabilia lima hari empat malam di Tanjung Rhu Resort, Langkawi masih segar dalam ingatan dan sanubari saya. Segala-galanya tampak masih baru dan sering berputar dalam kotak ingatan. Lalu, di ruang ini saya catatkan pengembaraan saya mengenal erti hidup dan menambah pengalaman usia sepanjang berada di Tanjung Rhu.


HARI I (28 April)

Pesawat yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang Langkawi sekitar jam 10:00 pagi. Cuaca sangat cerah. Setibanya di lapangan terbang, kami disambut oleh tiga orang pemandu dengan tiga buah van Toyota Estima menuju ke Tanjung Rhu Resort. Sebaik-baik tiba di lobi, kami disambut dengan penuh mesra oleh kakitangan yang terlibat termasuklah Tuan Haji Syukri. Saya dan teman sebilik iaitu Siti Fairuz ditempatkan di bilik bernombor 108, berdekatan dengan lobi dan pusat bisnes atau lebih dikenali sebagai kafe siber. Kelly, seorang yang berbangsa cina telah membawa saya dan teman ke bilik. Di bilik, Kelly yang begitu ramah dan mesra telah memberi penerangan ringkas berkenaan bilik yang kami duduki sebelum diminta menandatangani beberapa dokumen. Sepuluh minit selepas itu, saya mendapat pesanan ringkas daripada Dato' Anwar Ridhwan untuk berkumpul semula di lobi. Setelah menikmati makan tengah hari yang begitu istimewa di Sand Restaurant, kami berkumpul di sebuah dewan perbincangan yang dinamakan sebagai Pavilion. Di situ, kami diberi pengenalan mengenai kedudukan Tanjung Rhu Resort (TRR) dan matlamat penganjuran Projek Puisi Alam yang diilhamkan oleh pemilik TRR iaitu Tan Sri Tajudin Ramli yang tidak dapat bersama kami pada hari itu. Penerangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Syukri. Selepas itu, Dato' Dr. Anwar Ridhwan pula memberikan taklimat akan genre dan inti puisi yang sewajarnya kami hasilkan bertepatan dengan isu alam dan keindahan yang tercitra di TRR. Hal ini sejajar dengan pegangan Tan Sri Tajudin yang begitu menekankan aspek hubungan manusia dengan alam yang perlu dipelihara. Dalam hal ini, Tan Sri Tajudin yakin bahawa sastera sesuatu yang seni mampu menjadi wadah kepada masyarakat untuk menyedari nilai alam untuk dipelihara. Adalah diharapkan bahawa sedikit hasil pertukangan puisi kami mampu menyumbang kepada matlamat tersebut.



Pada petangnya, kami telah dibawa ke sebuah daratan untuk meninjau kehijauan flora di kawasan itu. Mr. Zoher sebagai seorang naturalis bertindak selaku penunjuk jalan dan pemberi keterangan berkenaan segala flora dan fauna di Tanjung Rhu. Mr. Zoher sememangnya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai apa-apa yang diterangkan. Namun, Mr. Zoher suka mengusik saya dan rakan-rakan dengan 'penipuan' terhadap sesuatu keterangan. Padah bagi kami yang kurang pengalaman berkampung, mudah saja dikenakan. Selain Mr. Zoher, En. Sharidan selaku jurufoto turut menyertai kami dan setia mengambil foto-foto yang kami inginkan. Pada malamnya, kami berkumpul semula di Pavilion selepas makan malam untuk mendengar cerita mengenai asal-usul Tanjung Rhu oleh Pak Ali dan Mak Na. Kedua-dua mereka merupakan antara pekerja yang lama di TRR dan mempunyai banyak pengalaman. Perbincangan tersebut turut disertai oleh Dr. Rahmat Haroun Hashim yang singgah ke TRR atas jemputan Dato' Anwar. Secara peribadi, saya beranggapan bahawa sesi tersebut merupakan sesi yang agak mencabar kerana saya berasa sangat sukar untuk memahami dialek Kedah yang begitu pekat yang digunakan oleh Pak Ali. Namun demikian, sesi tersebut sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pengetahuan serta cambahan idea untuk kami berkarya terutamanya cerita Pak Ali mengenai Bukit Jumaat.

HARI II (29 April)

Kami telah pergi ke Pulau Tuk Umai yang jaraknya dalam 15 minit dengan menaiki bot dari TRR. Di situ, kami diperkenalkan dengan 'pejabat rasmi' Mr. Zoher yang sangat penuh ciri ketradisionalannya. Pulau Tuk Umai ini turut dikenali sebagai Pulau Pahlawan. Namun, memandangkan keadaannya yang menyerupai sebuah safari, maka pulau ini turut juga dipanggil sebagai Safari Pahlawan. Terdapat begitu banyak pokok gajus di pulau ini. Ketika ini jugalah saya mendapat tahu bahawa pokok jagus turut disebut sebagai pokok janggus oleh masyarakat utara dan juga keteghe (kalau tidak silap) oleh masyarakat di pantai timur semenanjung Malaysia. Di Pulau Tuk Umai, saya dan rakan-rakan diberitahu oleh Mr. Zoher akan cara penyebaran biji benih pokok gajus. Analogi perniagaan yang digunakan oleh Mr. Zoher semamanganya sangat menarik dan memudahkan peamahaman. Selain monyet, Pulau Tuk Umai turut diduduki oleh banyak 'butterfly lizard'. Makhluk ini tidak terlalu besar. Badannya agak kurus dengan ukuran tidak lebih satu meter. Butterfly lizard sangat sensitif terhadap bunyi dan manusia. Sering kali kami gagal mendekati makhluk ini yang akan segera menyelinap masuk ke lubang persembunyian sebaik-baik berasa terancam dengan kedatangan kami.


Kami turut menemui pokok gelam atau nama saintifiknya Malaleuca. Kulit pada batang pokok gelam digunakan sebagai kertas oleh masyarakat dahulu kala. Kandungan air yang tinggi dalam pokok ini membuatkan batang pokok gelam agak lembut. Kami sekumpulan tidak melepaskan peluang untuk mengambil beberapa serpihan kulit pokok gelam untuk dibawa pulang. Hajat saya, pada satu hari nanti - saya ingin menulis sesuatu yang istimewa pada kulit pokok gelam itu untuk dijadikan buah tangan kepada insan-insan yang istimewa. Tidak ketinggalan, saya juga dapat bertemu dengan serangga bernama Riang-riang yang mengeluarkan sejenis bunyi bagi menarik perhatian pasangannya. Penemuan saya dengan Riang-riang ini sangat bermakna apabila mencetuskan idea untuk saya menghasilkan sebuah puisi. Riang-riang yang telah mati kebiasaannya akan terlekat pada batang pokok.


Sewaktu dalam perjalanan meninggalkan Pulau Tuk Umai, kami singgah untuk melihat sekumpulan monyet di satu kawasan. Sebaik-baik melihat kehadiran bot kami, monyet-monyet itu datang berdiri di pinggir air dengan wajah yang sangat sedih (sebenarnya memang wajah mereka begitu). Monyet-monyet itu menunggu sekiranya ada antara kami yang akan melemparkan sesuatu kepada mereka. Sayangnya, tiada. Menurut Mr. Zoher, terdapat 70 buah keluarga monyet di situ. Di situ juga, saya mendapat tahu bahawa monyet mempunyai keupayaan untuk berenang. Satu pengetahuan baru kepada saya apabila saya melihat seekor monyet sedang berenang untuk mendapatkan kulit limau. Hati saya yang begitu menyayangi haiwan mamalia ini begitu terkesan apabila melihat seekor monyet yang sedang mendukung anaknya yang masih kecil menyeberangi kawasan itu. Badan anaknya yang bergayut di dada ibunya masuk ke dalam air. Saya menjerit kepada monyet itu agar dia segera berenang, gusar sekiranya anaknya lemas.

Di kawasan yang lain pula, kami bertemu dengan sepasang memerang (selama ini saya bayangkan memerang seperti landak!). Sepasang memerang ini sangat comel. Saya lihat memerang tersebut mempunyai wajah seperti anjing laut, satu sisi pula - saya melihat memerang itu mempunyai wajah yang persis seperti kucing. Yang agak menarik tetapi menjijikkan, memerang yang begitu gembira memperlihatkan diri mereka kepada kami ketika itu telah dengan selambanya membuang hajat kecil dan besarnya di hadapan kami dan menyambung hobi bergolek-golek di atas tanah dengan gembiranya selepas terlepas segala hajat.

Hampir dua jam kami mengitari Pulau Tuk Umai dan di sekitarnya, kami pulang semula ke TRR untuk makan tengah hari di Safron dengan hidangan Mediterranean. Hidangan laut mediterranean ini memang menarik tetapi membuatkan saya lebih cinta akan nasi dan ikan bilis. Walau bagaimanapun, pengalaman menikmati hidangan tersebut merupakan satu pengalaman yang berharga.


Selepas melepaskan lelah masing-masing, kami sekumpulan telah berkumpul semula di pesisir pantai pada petangnya. Petang yang diiringi dengan cuaca bahang hasil pengewapan Laut Andaman itu kami penuhi dengan berjalan di pesisir pantai. Melihat tapak sulaiman dan umang-umang yang berselindung di sebalik kulit siput. Pada waktu air surut, kami berjalan sehingga hampir mendekati sebuah pulau kecil.

Pada malamnya, kami menikmati hidangan barbeku yang istimewa di pesisir pantai. Boleh tahan lama juga waktu makan kami, hampir dua jam. Sambil menikmati hidangan, kami bersembang mengenai puisi. Bertanya apakah masing-masing sudah mula menghasilkan puisi atau masih menunggu ilham dan pengalaman untuk memantapkan penulisan. Namun, rata-rata hanya tersengih sahaja. Waktu makan kami menginjak ke pukul sepuluh malam. Gusar saya memikirkan rancangan untuk memancing akan terbatal. Dengan perut yang kenyang seperti itu, tilam dan bantal pastinya lebih menarik berbanding joran danumpan di tengah lautan. Namun demikian, kehadiran Mr. Zoher mengegaskan kami ke tengah lautan. Itulah pengalaman pertama saya memegang joran di tengah lautan. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Saya berkumpulan dengan En. Ridzuan Harun, En. Zakir, En. Rahimidin, En. Shamsudin, Mr. Zoher dan Kelly. Oleh sebab itu kumpulan kami agak diam berbanding kumpulan dua yang dianggotai oleh Bonda Siti, Ruby dan Siti Fairuz selain Dato' sebagai nakhoda dan En. Zaen. Kumpulan dua lebih riuh dengan Bonda Siti dan dua rakan saya. Ketika melihat Dato' berdiri di dek sambil memandang ke langit, saya tergambarkan Tuan Kawai di atas Kawai Maru. Dato' merupakan pemancing pertama yang berjaya mendapatkan ikan membuatkan Bonda Siti dan dua rakan saya 'kecoh' dan memperkecilkan kami yang sunyi. Agak lama kemudian barulah Cikgu Sham berjaya memancing seekor ikan kerapu. En. Zakir pula asyik terlepas ikan dan En. Ridzuan pula lebih gemar bersedekah lebih daripada tujuh umpan kepada ikan-ikan di Laut Andaman. Saya masih ingat, malam itu dihiasi bulan penuh sebelum samar-samar dilitupi awan gelap. Saya masih ingat, pancaran kilat yang muncul acap kali tanpa bunyi berdentum. Semua itu, indah terakam dalam kenangan saya.


Saya juga gagal mendapatkan walau seekor ikan. Saya menjadi geram tetapi tidak putus asa. Saya mahu agar ada ikan yang akan memakan umpan saya. Meskipun sehingga selesai sesi memancing, rasa geram saya tetap ada kerana gagal mendapatkan walau seekor ikan pun. Mungkin kerana saya yang gagal mengendalikan joran dengan baik dan tidak cekap menarik joran setiap kali terasa umpan saya digigit ikan. Saya benar-benar terasa bagai dipermain-mainkan oleh ikan-ikan di situ. Terasa seolah-olah ikan-ikan itu tahu sahaja akan saya yang baru belajar memegang joran, lantas mempersendakan saya. Tidak mengapa kerana gagal di Laut Andaman, apabila ada peluangnya lagi - saya tidak akan berputus asa untuk memegang joran dan melompar umpan, memancing di laut dalam sambil belajar mengisi kesabaran dan pengalaman ^_^.

Pada mulanya, perancangan memancing dijadualkan hanya akan berlangsung sehingga jam sebelas malam. Namun, atas rasa geram dan setia menunggu, kami melanjutkan sesi sehingga jam dua pagi. Itu pun apabila salah seorang rakan saya sudah mula mabuk laut. Kalau tidak, barangkali masa akan menjadi lebih panjang memandangkan Dato' yang tampak gembira menjadi Tuan Kawai. Setelah selesai membersih diri dan membasuh baju, saya masih sukar melelapkan mata. Badan saya terasa seolah-olah masih berada di dalam bot dan terbuai dek ombak kecilnya. Hal itu berlaku sehingga hari terakhir di TRR. Saya yakin benar betapa perasaan dan fikiran saya begitu teliti dalam merakam pengalaman pertama saya bersama joran di Laut Andaman.

Sehingga di sini dahulu catatan pertama saya. Harapnya saya akan dapat menulis segala pengalaman sehingga ke hari terakhir di Tanjung Rhu.

Khamis, 27 Mei 2010

ISABELLA DALAM KENANGAN

BEBERAPA hari yang lalu, ingatan saya begitu kuat terhadap seorang wanita yang sudah meninggal dunia pada tahun lalu. Dia hanya saya kenali dengan nama yang diberi oleh kebanyakan penduduk Kampung Nakhoda dan di sekitar Sungai Tua, Selayang. Pada perkiraan saya, umurnya sudah menjangkau 50 tahun pada saat dia meninggal akibat kemalangan. Dari segi fizikal, Isabella lebih rendah daripada saya. Kulitnya agak gelap dan dia merupakan salah seorang insan istimewa. Bagi saya, keistimewaannya terletak pada ketidakwarasan fikirannya. Ada pelbagai anekdot yang saya dengar mengenai Isabella. Yang paling popular, Isabella menjadi gila setelah dirinya diperkosa dan anaknya dirampas. Selain itu, saya juga mendengar bahawa Isabella menjadi begitu lantaran kegagalannya dalam pelajaran satu masa dahulu.

Saban pagi, Isabella akan menunggu bas di hadapan Masjid As-Solihin, Jalan Sungai Tua. Kebiasannya konduktor bas tidak akan mengambil tambang daripada Isabella. Seingat saya, Isabella akan turun di Jalan Chow Kit. Ada ketika, Isabella memakai tudung yang diikat dengan getah. Selalunya juga, Isabella tidak memakai tudung. Antara yang paling saya ingat mengenai Isabella ialah dia memakai gelang yang agak banyak pada kedua-dua belah tangannya. Di samping itu, sebuah beg lusuh sentiasa berada bersamanya. Sering juga saya menaiki bas yang sama dengan yang dinaiki oleh Isabella. Ketika saya berada dalam tingkatan empat pada sesi pagi, saya akan keluar dari rumah di Kampung Nakhoda Kiri sebaik-baik selesai solat subuh. Jam pada waktu itu adalah sekitar 6:15 atau 6:25 pagi. Jarak di antara rumah dan sekolah saya hanyalah sekitar sepuluh minit perjalanan bas. Tidak terlalu jauh tetapi saya memang biasa tiba awal di sekolah, ketika langit masih gelap yang kemudiannya akan beransur menjadi cerah dengan cuacanya yang nyaman.

Apabila Isabella melihat saya sewaktu di dalam bas, dia akan tersenyum dan mendekati saya. Biasalah, tidak sedikit orang normal yang gerun dengan manusia seperti Isabella. Gerun tanpa sebab. Saya yang berdiri berhampiran pintu bas cuba juga mengelak daripada didekati Isabella namun kata-kata Isabella dan kasih sayang yang terpancar pada matanya ketika berbicara dengan saya ketika itu sangat saya ingat sehingga kini waima hampir tujuh tahun kenangan itu berlalu :

ISABELLA : (dengan ramah) Adik ... adik nak pergi sekolah ya?

SAYA : (agak takut) Err ... ak aa.

ISABELLA : Belajar rajin-rajin. Jangan malas sampai tidur dalam kelas ... Tu, baju sekolah cantik.

Itulah antara kata-kata yang diujarkan Isabella sambil tersenyum manis. Penumpang yang lain turut memandang ke arah kami dengan pelbagai reaksi pada wajah mereka di hening pagi itu.

Pada satu hari yang lain, ketika saya di tingkatan lima pula - ketika itu kami menaiki bas Cityliner. Isabella duduk di bahagian tempat duduk yang paling hampir dengan pintu di sebelah kiri. Saya pula di kedudukan kesukaan saya iaitu di bahagian kanan dan tiga dari hadapan. Ketika bas berhenti di perhentian bas Kampung Laksamana, seisi bas dikejutkan dengan jeritan Isabella. Isabella bagaikan meracau sambil kata-kata yang kami dengar ialah amarahnya kepada pemandu bas. Saya menoleh ke belakang dan melihat ke arah Isabella, rupa-rupanya Isabella mengigau. Saya tersenyum. Bagi saya, Isabella sangat comel. Sayang sekali dia dibiarkan begitu sahaja oleh sesiapa yang bertanggungjawab atasnya.

Apabila saya pulang dari sekolah sekitar jam 2:00 atau 3:00 petang pula, saya sering juga terlihat akan Isabella yang duduk di atas sebuah bangku plastik dalam kawasan Rumah Penghulu Mukim Batu, Jalan Sungai Tua. Ada masanya, saya melihat Isabella sedang menikmati nasi bungkus yang dia ada sambil sebungkus air sirap. Pada ketika yang lain, saya melihat Isabella duduk di bangku sambil kepalanya terhingguk-hingguk menandakan dia sedang menikmati tidur petangnya. Pihak di rumah tersebut memang tahu benar akan kehadiran Isabella dan tiada sesiapa yang akan menghalaunya.

Saya memang tidak tahu mengapa fikiran saya amat kuat terhadap Isabella sejak kebelakangan ini. Khabar dia dilanggar kereta di Jalan Sungai Tua pada tahun lalu menyedihkan saya. Pada fikiran saya, Isabella seorang manusia istimewa yang benar-benar menikmati hidup dengna caranya yang tersendiri. Saya percaya bahawa Isabella tidak pernah menyukarkan kehidupan penduduk Sungai Tua dan yang berdekatan dengannya. Dia hidup dengan sangat berani dan memberi erti kepada insan yang mahu berfikir. Keberadaan Isabella merupakan satu pengajaran yang cuba disampaikan kepada umat manusia. Tentang erti kerendahan hati, mengenal diri dan mensyukuri segala yang diberi oleh Maha Pencipta.

Lalu, pada setiap masa saya teringat akan Isabella - Al-Fatihah saya hadiahkan buat dirinya. Semoga Isabella tenang dan aman di tempatnya.

Rabu, 26 Mei 2010

PERTEMUAN DI AR-RAUDAH

AHAD yang lalu, saya dan kumpulan penyair yang terlibat dengan Projek Puisi Alam Tanjung Rhu telah diundang ke Ar-Raudah, ladang kuda dan kebun milik Tan Sri Tajudin Ramli. Itulah kali pertama saya berada di ladang sebesar dan seluas itu. Sebaik-baik van Aswara memasuki perkarangan ladang, saya berbisik sendiri - semoga pengalaman yang saya timba di situ lebih luas dari keluasan ladang serba hijau itu.

Di sebuah dewan Ar-Raudah, kami berkenalan dengan penaung projek Tan Sri Tajudin dan juga ahli keluarga beliau. Perbincangan turut berkisar pada projek seterusnya bagi antologi puisi alam yang kami hasilkan. Insya-Allah, kesemua puisi sudah siap disunting dan sedang dalam usaha diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab oleh dua orang pakar. Melihat pada perbicaraan Tan Sri, beliau sendiri nampaknya tidak sabar untuk menerbitkan antologi tersebut. Pada pandangan saya, beliau mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap unsur alam sebagai penghubung dalam kehidupan manusia. Kesedaran yang dihubungkan pula dengan kepentingan sastera dalam membina peribadi manusia. Sering kali beliau tegaskan betapa hubungan manusia dengan alam adalah sangat penting dalam kehidupan seorang insan apatah lagi selaku muslim.

Selain projek antologi, Tan Sri juga bercadang untuk menterjemahkan antologi tersebut dalam pelbagai medium lain seperti rakaman deklamasi puisi dalam bentuk DVD dan penggunaan puisi-puisi berkenaan untuk dijadikan hiasan di sekitar Tanjung Rhu. Sekurang-kurangnya, tindakan tersebut dapat mengangkat citra sastera tempatan daripada mengetengahkan sajak-sajak penyair luar yang kita sendiri kurang dan tidak kenali.


Bergambar bersama kumpulan penyair dan Tan Sri Tajudin Ramli.

Selepas berbicara secara santai, kami dibawa pula ke kawasan kuda. Di situ saya dan rakan-rakan dapat berkenalan dan beramah mesra dengan kuda-kuda yang ada. Saya jadi sangat teruja melihat kuda-kuda itu. Sebenarnya kuda-kuda yang diimport dari negara luar itu mempunyai nama Inggerisnya. Namun demikian, sebaik sahaja kuda-kuda itu tiba di Ar-Raudah, kesemuanya sudah mendapat nama Melayu seperti Ayuni, Nafisah, Farris, Lily dan sebagainya.

Saya menjadi sangat tertarik dan jatuh hati dengan seekor kuda berwarna coklat yang dinamakan sebagai Mansoor. Benar-benar saya jatuh sayang dengan Mansoor. Bagi saya, Mansoor kuda yang sangat kacak, kemas dan berdisiplin. Kami diberi peluang memberi kuda-kuda itu menikmati makanan kegemaran mereka iaitu lobak merah. Satu pengalaman yang sangat berharga dan menyeronokkan.

Di situ juga, saya mendapat tahu akan tabiat hidup kuda. Rupa-rupanya, kuda lebih banyak menghabiskan masanya dengan berdiri. Jarang sekali kuda duduk atau baring melainkan kuda benar-benar letih. Barangkali hampir sama dengan tabiat ikan. Malahan, kuda juga tidur tanpa memejamkan mata. Pada satu ketika, saya sedang mengamati seekor kuda yang tingginya mencecah enam meter. Kuda ini istimewa dengan sifatnya yang agak moody. Namanya ialah Tod Martiny. Saya berkesempatan melihat Tod melepaskan hajat besarnya. Memang lucu bagi saya dengan gayanya yang sangat santai. Jangka hayat bagi seekor kuda ialah 30 tahun dan boleh mencapai ketinggian sehingga 12 meter bagi sesetengah baka.

Selain itu, saya bersimpati dengann Farris yang terpaksa dipakaikan penutup muka. Hal ini kerana Farris mengalami gejala keradangan dan tidak boleh terdedah kepada hurungan lalat yang terpikat dengan makanan Farris. Pada mulanya, Farris enggan didekati namun setelah dipujuk oleh Aunty iaitu isteri kepada Tuan Haji Syukri, barulah Farris berlembut hati dan mudah untuk didekati.

Sesungguhnya, pengalaman separuh hari berada di Ar-Raudah telah mencambah pengalaman hidup yang sering saya cari dan sehingga kini, saya masih merindui Mansoor.

Selasa, 25 Mei 2010

MENGENAL ERTI CINTA DALAM AKU TERIMA NIKAHNYA

"MELIHAT PERKAHWINAN sebagai medan untuk memberi akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan." Begitulah kata-kata yang tertera di bahagian paling atas pada kulit hadapan buku ini. Sekali pandang, sesiapa sahaja akan menyangka bahawa individu yang memegang buku ini sedang bercinta. Muda-mudi yang memegang erat buku ini akan diusik-usik. Lihat saja tajuknya akan membuatkan persepsi awal bahawa membaca buku ini hanya bertujuan untuk mendasari erti cinta muda-mudi. Begitu yang dilihat oleh segelintir individu ketika saya memegang buku ini semasa dalam proses pembacaan.

Walau bagaimanapun, tanggapan itu semua tidaklah benar sepenuhnya. Memang benar, buku ini berkisar pada persoalan cinta dan rumah tangga. Namun demikian, persoalan yang timbul itu lebih berpusat kepada cinta dan rumah tangga yang hakiki. Sebanyak 36 kisah dimuatkan dalam buku yang ditulis dengan bentuk yang begitu santai dan mesra pembaca. Saya berkeyakinan bahawa sebahagian besar tulisan di dalam buku ini lahirnya dari laman sesawang rasmi penulis sendiri iaitu Saifulislam.com dengan tema Erti Hidup Pada Memberi. Berpegangkan tema hidup tersebut, penulis memanfaatkan segala pengalaman hidup yang dimiliki sebagai anak, adik, suami, bapa dan hamba kepada Tuhan dengan tujuan menambah pengalaman yang seterusnya mematangkan fikiran pembaca untuk mengenal diri sebagai anak, suami, isteri, pelajar, saudara dan hamba Pencipta.


Himpunan kisah di dalam buku ini dimulakan dengan tajuk Erti Sebuah Perkahwinan. Bab tersebut menceritakan proses penulis untuk bergelar suami kepada seorang isteri. Sebagai seorang lelaki yang meningkat dewasa dan status diri sebagai pelajar dan imam di sebuah masjid di Belfast, penulis menceritakan betapa pertunangan dua tahun yang dimeterai mereka berdua merupakan satu cabaran. Cabaran untuk mengikat tali perkenalan berteraskan syariat Ilahi dan cabaran untuk mengenal diri bagi mempersiapkan mental dan rohani sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Soal perkahwinan bukan hanya persoalan penyatuan dua hati yang berbeza dan diikat dengan lafaz ijab dan kabul semata-mata. Sebaliknya, perkara yang lebih jauh dan jangkaan kehidupan selepas perkahwinan yang lebih mencabar seperti komitmen sebagai bapa Islam dalam mendidik anak-anak untuk menjadi pemuda tiang agama. Hubungan antara dua buah keluarga yang saling tidak mengenali antara satu sama lain sebelumnya dan pelbagai lagi. Setiap persoalan itu perlu diambil kira secara serius dan tidak hanya berlandaskan pada hukum cinta akan pasangan yang diinginkan. Apabila insan meneliti setiap aspek penting tersebut, maka satu persediaan mental dan tangunggjawab dalam melayari bahtera perkahwinan akan menjadi semakin utuh.

Dalam hal ini, penulis juga menegur akan cabaran cinta anta, enti yang sering kali disalah erti oleh kebanyakan remaja atau pasangan muslim yang mempunyai matlamat mencari keredaan Allah dalam cinta yang mereka bina. Penulis menganggap isu cinta anta, enti ini sebagai serius lantaran boleh membawa pelbagai implikasi negatif sekiranya disalah tafsir. Bagi pasangan yang terlibat dalam cinta anta, enti - haruslah mempunyai kefahaman yang jitu terhadap tanggungawab diri sebagai muslim mukmin dan tanggungjawab umum yang dipikul seperti status diri sebagai anak dan pelajar, umumnya.

Cinta sebenar itu harus terbit dari emosi dan naluri fitrah manusia ... namun ia lahir juga dengan sandaran rasional dan sedar diri terhadap asas cinta itu, tanggungjawab yang mengiringi cinta tersebut serta kesan yang bakal lahir dari mematerialisasikan perasaan cinta seperti ini. Cinta yang ada 'sense of begin with the end in mind' (33:2008).

Selain membicarakan soal cinta sebelum dan selepas perkahwinan, buku ini turut memuatkan catatan atau perkongsian pengalaman penulis sebagai seorang anak bongsu. Penulis yang telah kematian bapa pada usia remaja terpaksa berpisah dengan ibu tercinta apabila diterima untuk melanjutkan pengajiannya di luar negara. Tempoh pengajian dan perpisahan yang lama bersama ibu merupakan antara saat yang paling sukar untuk dilalui. Membayangkan keadaan dan kerinduan ibu semestinya mengundang syahdu dan pilu seorang anak yang sentiasa menghargai ibunya. Sebagai pembaca yang berstatus anak, saya terkesan dengan tulisan pada bab Cinta Tanpa Syarat ini. Dalam tulisan ini, penulis merakamkan penghargaan dan kasih sayang tidak terbatasnya terhadap ibu emak dan abah beliau yang sentiasa memberi yang terbaik untuk mendidik penulis mengenal erti hidup dan hakikat diri. Dalam subjudul Memberi Tanpa Syarat, penulis mengetengahkan sifat ibu dan bapa yang sering kali terlepas pandang oleh anak-anak. Secara jelas, sifat Al-Wahhab menjalar di dalam diri setiap ibu dan bapa. Sifat tersebut membuatkan seorang ibu rela memberi tanpa meminta apa-apa balasan terhadap anak yang dikandung dan dilahirkan. Percikan al Wahhab Allah itu memberi kekayaan jiwa kepada ibu dan bapa kepada anak-anaknya meskipun dalam keadaan kini, terdapat juga segelintir ibu bapa yang 'menidakkan' sifat tersebut - namun begitulah rasa yang Allah salurkan kepada ibu dan bapa yang kenal hakikat diri dan amanah yang diberi :

Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu memberi dan tidak marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam pada usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adil kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi (113:2008).

Sementelahan itu, buku ini juga memuatkan kepentingan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan anak-anak yang berfokuskan pada kualiti dan bukan kuantiti. Dalam mendepani arus yang penuh cabaran iman ini, penulis mengingatkan muda-mudi yang raghib dalam percintaan tanpa tujuan agar tidak sekadar memusatkan perasaan pada persoalan kasih dan sayang semata-mata. Sebaliknya, isu tanggungjawab dan cabaran untuk menjadi ibu bapa yang mithali juga perlu diambil perhatian dalam melahirkan zuriat soleh dan solehah yang mampu berdiri sebagai hamba Allah yang berperibadi mulia dan beriman kental. Percintaan bukan hanya berkisar mengenaia kasih sayang dua insan berlainan jantina semata-mata tetapi lebih besar makna dan intinya yang terkandung dalam tanggungjawab yang wajar digalas dengan cinta yang dibina dan terpelihara.

Selain menyedarkan pembaca, himpunan tulisan Hasrizal Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Abu Saif ini turut memberi ruang untuk khalayak memuhasabah diri di samping meneliti erti cinta yang dicari. Oleh hal yang demikian, buku Aku Terima Nikahnya sangat sesuai untuk bacaan pelbagai khalayak yang cinta akan ilmu dan mencari cinta hakiki.

Rabu, 19 Mei 2010

ANUGERAH?

DIPETIK DARI LAMAN BLOG PEI PAN. TERIMA KASIH

Terima kasih untuk dua blogger yang menghadiahkan award ini.

Airina cakap:

PeiPan - Tulisan tuan tanah ni selalunya tak menghampakan. Daripada isu masyarakat, perkongsian ilmu dan agama mahupun politik ada banyak info yang boleh dikutip. Walaupun ada masanya mungkin agak kasar tetapi bagiku itulah satu-satunya cara untuk ‘membangunkan’ pembacanya. Aku paling suka katanya yang ini – ‘Aku menulis untuk diri sendiri dan bukan untuk kamu’.

Cik Ulat Buku cakap:

Pei Pan - Selalu nampak nickname dia ni kat chatbox Airina, ada la jugak nampak nama dia dekat my chatbox jugak, tapi tak la sekerap di chatbox Airina *wink* suka baca blog dia sebab tulisan dia membuka minda.

** Menyemarakkan kemeriahan memberi anugerah, ini orang-orangnya yang bertuah**

1. Airina – Airina suka menulis ulasan tentang novel-novel yang dibacanya. Aku jadikan ulasan-ulasan tersebut sebagai panduan untuk membeli novel buat adik-adik di rumah atau kawan-kawan yang bertanya “Novel ni best ke tak?”. Biasanya ulasan-ulasan ini membantu dalam memilih novel yang berkualiti. Cumanya dia jarang sekali memberi komen atau pandangan jika aku menulis tentang politik.

2. Tulisan Hatiku – Si darah manis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 Jun ini. Dia jarang menulis yang berat-berat, sekadar menulis tentang diri sendiri, kawan-kawan dan tentu sekali bakal suaminya – Mr.Zakril. Inilah satu-satunya blog yang dapat aku baca kerana tulisannya yang sederhana. Faham-faham sajalah kalau orang bercinta menulis – pastinya di penuhi dengan emosi yang berlebihan tetapi dia tidak. Sangat sederhana. Dia seorang pensyarah muda. Siapa kata orang muda tak boleh berdikari?

3. Psychedelic Mundo – Bakal peguam yang juga anak murid Prof. Aziz Bari, yang suka menulis tentang satira politik. Menulis tentang isu-isu kebobrokkan politikus yang rakus mengumpul kekayaan. Juga pandai menulis puisi dan peka dengan isu-isu semasa. Aku rasa dia mempunyai potensi untuk menjadi seorang penulis yang hebat satu hari nanti.

4. Lonelyroseblack – Aku suka baca segala yang tercatat di blog ini. Kata-katanya puitis, penuh makna. Entah, mungkin kerana aku pengemar puisi lantas aku berasa secocok untuk terus menghayati setiap cebis puisi yang terdapat di blog ini. Aku harap penulis blog ini akan terus menulis.

5. Wardah Munirah – Anak muda dari Aswara yang sangat suka menulis. Aku pernah terjumpa sajaknya beberapa kali di akhbar. Dia suka berkongsi maklumat dengan pembacanya, menulis yang berat-berat yang sangat dengan kata-kata yang tebal maknanya. Juga – yang paling aku suka di berbangga menjadi warga Aswara. Semoga ibunya cepat sembuh.

6.Razifembi – Ini blog seorang lelaki yang baru sahaja bergelar ayah. Sejak-sejak anaknya lahir dia sudah kurang menulis. Aku suka ke blog ini kerana dia seorang photographer yang hebat. Banyak gambar-gambar cantik di blog ini. Kadang-kadang dia menulis tentang isu-isu terkini, membuat ulasan filem dan buku yang di bacanya. Sejak-sejak bergelar seorang ayah, dedikasinya bertukar dari blog ke anak tunggal yang di sayanginya. Susah bergelar ayah katanya.

7. Cik Ulat Buku – Aku pergi ke blog ini di samping membaca ulasan juga untuk mencari kedai-kedai yang menjual novel terpakai untuk kawan-kawan. Di blog ini terdapat banyak senarai e-kedai yang menjual novel terpakai. Sumber maklumat jugalah.

8. Iqbal Syarie – Dia suka menulis tentang agama, mentarbiah umat Islam supaya kembali ke pangkal Islam. Blognya sarat dengan pesanan-pesanan hikmah dan sedaya-upaya cuba untuk mengembalikan Islam ke dalam masyarakat. Dia selalunya ke blog aku untuk memberi komen jika aku menulis sesuatu yang berkaitan agama.

9. Kakna – Biasanya entri-entri dia semuanya pendek-pendek belaka. Menulis pelbagai isu cuma tidak terlalu mendalam. Kebanyakan luahan rasa, mungkin. Selalu ke blog aku memberi komen yang bernas. Bakal bergraduasi tidak lama lagi. Rasanyalah.

10. Farah Hanani – Dia suka makan. Suka datang ke blog aku memberi komen dan selalunya juga pandangannya dengan aku jarang sehaluan. Tapi itu ciri yang baik untuk mencari pandangan yang bernas. Dia menulis tentang banyak isu yang tidak khusus kepada politik, mahu pun sosial.

11. PETAK! – Aku teringat dulu orang cakap jangan nilai sama ada orang tua atau orang muda yang bercakap tapi nilai apa yang di cakapkannya. Budak ini kalau tak salah calon SPM tahun ini tapi tulisannya sangat mengagumkan aku terutama apabila dia menulis cerita pendek di Cerita Gebang Paling Panjang. Bacalah kalau tak percaya! Dia boleh jadi pelapis penulis indie.

12. Untuk ‘seseorang’ yang datang dari Oslo, Kota Bahru, Perak, yang aku sendiri tidak tahu siapa, juga beberapa orang lagi yang selalu ke mari tanpa meninggalkan tanda. Terima kasih sudi singgah dan membaca dan harapnya juga mendapat manfaat dari apa yang di baca.

Untuk 11 orang di atas, silalah ambil award anda =)
i.Nominate 12 more bloggers.
ii. Put the logo onto your sidebar or within a post.
iii. Link the nominees within your post.
iv. Let the nominees know they have received this award by commenting on their respective blogs.
v. Share the love and link to the person from whom you have received the award.

Selasa, 4 Mei 2010

SEORANG TUA DENGAN JALA REZEKI


Seorang tua di kaki pantai
ada ria di wajah
melihat todak resah gelisah
tewas pada jala rezekinya.