Isnin, 29 Mac 2010

MITOS DALAM SASTERA RAKYAT

MENGIKUT Kamus Dewan Edisi Ketiga ; muka surat 893 menyatakan bahawa perkataan mitos bermaksud cerita-cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam. Maksud kedua pula ialah cerita tentang seseorang atau sesuatu yang tidak benar atau direka-reka, dongeng. Manakala, Kamus Sastera Melayu; halaman 62 pula mendefinisikan perkataan mitos sebagai cerita rakyat yang disebarkan secara lisan. Watak-watak dan kejadian-kejadian di dalamnya tidak dapat diterima oleh akal biasa. Cerita ini mungkin berupa mitos tentang pembukaan sesuatu tempat seperti pembukaan negeri Melaka atau asal usul terjadinya Gunung Jerai.

Dengan ini, jelaslah bahawa unsur mitos dalam karya klasik boleh dikatakan sebagai unsur-unsur penambah atau penyedap yang bertujuan untuk mensensasikan lagi sesebuah cerita itu untuk menarik perhatian penonton dan pendengar. Di dalam karya klasik Hikayat Awang Sulung Merah Muda, pembaca dan pengkaji dapat melihat dengan jelas beberapa unsur mitos melalui senarai yang disediakan :

1. Tuan Puteri Helang Bakau mengidam pelanduk jantan putih mengandung terubuk jantan mengarang telur yang secara logiknya tidak wujud. ( ms 5 )

2. Tuanku Si Helang Laut telah menjala terubuk jantan mengarang telur dengan menggunakan jala sutera bungkal emas di Lautan Tanjung Jati yang memperlihatkan penglipur cuba memasukkan unsur hiperbola dengan mewujudkan situasi Si Helang Laut memukat ikan dengan menggunakan jala yang diperbuat daripada emas. (ms 7 )

3. Awang Sulung Merah Muda berjumpa dengan dua batang kayu yang sangat besar dengan jangka lebarnya yang satunya seakan tujuh hari mengelilinginya dan yang sebatang lagi dengan jangka mengelilinginya selama separuh hari. ( ms 37 )

4. Datuk Batin Alam cuba menghancurkan kakap yang dibuat oleh Awang Sulung Merah Muda tetapi semakin cuba dirosakkannya, kakap itu bukan binasa malah menjadi bertambah cantik. ( ms 39 )

5. Awang Sulung Merah Muda menggunakan kesaktiannya untuk menarik perhatian dan simpati Puteri Dayang Seri Jawa supaya tidak diusir oleh Datuk Nakhoda Tua. ( ms 48 )

6. Awang Sulung Merah Muda menggunakan kesaktiannya menggantikan diri dengan sebatang tiang sebagai ganti diri untuk Puteri Dayang Nuramah yang kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan Awang Sulung Merah Muda. ( ms 57)

7. Awang Sulung Merah Muda dengan keajaibannya telah memenuhkan geliung Datuk Nakhoda Tua dengan timbuan dinar emas yang melimpah ruah. ( ms 85 )

8. Unsur mitos dapat dilihat melaui gurindam yang bermaksud untuk memperlihatkan hiperbola kehebatan Awang Sulung Merah Muda sejak awal lahirnya.

“Tujuh bilah lantai terpatah,
Tujuh mengkawan atap terpatah,
Berderu-deru hujan panas,
Panah-memanah halilintar,
Berbunyi sekalian bunyi-bunyi."
( ms 15 )

Khamis, 25 Mac 2010

MENJADI TUA

kelak aku menjadi tua
aku mahu seperti dia
tekal menimba sisa usia
tanpa ragu atau gundah.

kelak aku menjadi tua
aku mahu seperti dia
kental tabah mengharung masa
melewati dunia pikun yang ada.

kelak aku menjadi tua
aku mahu seperti dia.

kelak aku menjadi tua ...

Rabu, 10 Mac 2010

TARIAN ASYIK SIMBOL KEKUASAAN DIRAJA

DALAM sejarah kesenian tradisional Melayu, tarian Asyik merupakan salah satu kesenian yang sangat terkenal. Suatu ketika dahulu, tarian ini hanya dimainkan sebagai suatu seni persembahan khusus kepada golongan raja Penari-penari bagi tarian yang suatu ketika dahulu diklasifikasikan sebagai tarian istana ini dimainkan oleh gadis-gadis jelita pada hari-hari upacara tertentu serta hari-hari keramaian yang melibatkan golongan diraja yang dianggap mulia.

Tarian Asyik ini akan ditarikan oleh penari-penari yang terdiri daripada dayang-dayang istana yang telah dilatih dengan sebaik-baiknya. Tarian istana ini merupakan satu tarian klasik bagi negeri Kelantan Darul Naim. Antara alat muzik yang digunakan bagi mengiringi tarian ini ialah gedumbak. Gedumbak ini pula terdiri daripada sebelas jenis selain alat muzik gambang dan rebab.

Tarian Asyik merupakan suatu medium kepada pengukuhan kekuasaan dan kedaulatan raja pada satu ketika dahulu. Tarian ini mempunyai sejarah kewujudannya tersendiri yang melibatkan unsur kekuasaan raja di dalamnya. Sejarah ini melibatkan kemunculan tarian Asyik sebagai hak milik mutlak istana satu ketika dahulu. Mengikut sejarah yang tercatat dalam Hikayat Pattani yang dipercayai sebagai bukti kukuh, Raja Kuning iaitu raja perempuan yang memerintah kerajaan Pattani sekitar tahun 1644 ada menyimpan dua belas orang penari istana yang bertugas untuk menyanyi dan menari. Tarian dan nyanyian ini dipanggil sebagai Asyik.

Asal-usul tarian Asyik ini berpunca daripada kisah seorang raja yang ada memelihara seekor burung. Burung peliharaan tersebut merupakan burung kesayangan baginda semasa di istana. Pada suatu hari, baginda telah mendapati bahawa burung tersebut telah terlepas daripada sangkarnya. Baginda kemudiannya telah menurut arah terbangnya burung tersebut untuk mendapatkannya semula. Malangnya, raja tersebut gagal mendapatkannya semula burung tersebut lalu kembali semula ke istana dengan rasa penuh kecewa.

Raja tersebut masih tidak dapat melupakan burung kesayangannya tersebut. Rindunya kepada burung tersebut tidak dapat dibendung. Bagi menghilangkan rasa rindunya itu, raja telah memerintahkan dayang-dayangnya mencipta satu tarian yang seakan-akan meniru gerak-geri burung kesayangan itu. Oleh sebab itu, kumpulan Asyik akan menari di hadapan baginda setiap kali baginda terkenangkan burung kesayangan tersebut.

Berdasarkan sejarah kewujudan tarian Asyik, dilihat terbukti wujudnya unsur kekuasaan sang raja melaluinya. Hal ini kerana tarian Asyik hanya dibenarkan untuk dipertontonkan sebagai hiburan golongan raja sahaja. Golongan masyarakat sama sekali tidak diberi keizinan untuk menonton atau menarikannya. Pengkhususan ini nyata selari dengan sejarah kewujudannya yang berfungsi untuk menyenangkan dan menghiburkan hati raja semata-mata.

Pada asasnya, Asyik bererti kekasih. Pengertian ini amat bersesuaian dengan gerak tarinya yang lemah lembut dan kasih sayang. Atas dasar itu jugalah tarian ini pada suatu ketika dahulu menjadi tarian istana yang hanya ditujukan kepada golongan raja. Sebagai seorang raja yang berkuasa, maka sememangnyalah satu persembahan yang penuh dengan lemah gemalai ini tidak boleh dimainkan kepada rakyat jelata dan bawahan.

Selepas tertib duduk bersimpuh dan menyembah raja dilakukan, ketua kunpulan tarian Asyik yang dikenali sebagai Puteri Asyik akan masuk menyertai kumpulan ini. Puteri Asyik ini akan masuk dan mengikuti gerak duduk bersimpuh. Selalunya pada zaman dahulu, raja sendiri yang akan memilih dayang tertentu untuk memegang watak Puteri Asyik bagi mengetuai tarian. Mengikut sebuah anekdot, sebagai seorang raja yang berkuasa dan gemar menyimpan gundik, raja akan menggunakan kekuasaannya untuk mengambil Puteri Asyik yang diminatinya sebagai gundik. Hal ini membuktikan wujud dasar kekuasaan raja di sebalik kewujudan tarian ini.

Menurut seorang bomoh diraja Kelantan yang bernama Pak Man, tarian Asyik dibawa ke Kelantan pada sekitar tahun 1683 di Jembal. Ketika itu, Jembal berada di bawah penguasaan Raja Loyar. Raja tersebut mempunyai seorang puteri yang bernama Puteri Saadong. Tarian Asyik merupakan persembahan yang sangat disukai oleh Puteri Saadong. Ketika itu juga, tarian Asyik dikenali sebagai ‘gerak jinjang raja’ yang merujuk pergerakan lemah gemalai.

Setelah peralihan kuasa kepada kerajaan Kota Kubas Labu, tarian Asyik tetap berkembang semasa pemerintahan Long Yunus pada tahun 1784. Apabila putera baginda iaitu Sultan Muhammad I menaiki takhta, baginda telah membawa seorang guru tari iaitu Siti Mas dan suaminya dari Kota Kemal, Pattani bagi mengajar tarian ini di istana. Ketika itu, tarian Asyik ditarikan oleh seorang penari dengan iringan muzik asli iaitu rebab.

Berdasarkan sejarah kemunculannya, tarian Asyik membuktikan bahawa tarian istana ini benar-benar menjadi milik mutlak institusi beraja satu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranannya sebagai satu bentuk hiburan istimewa buat golongan tersebut. Tambahan pula, tarian Asyik ini terbentuk atas kehendak raja yang menginginkan bentuk tarian itu menyamai gerak-geri burung kesayangan yang telah hilang. Selain itu, keunggulan kedaulatan raja melalui tarian klasik ini juga terbukti apabila hanya golongan raja dan kerabatnya sahaja yang boleh menonton persembahan ini. Jelaslah, hal ini sekali gus mengukuhkan kekuasaan, keagungan dan kebesaran golongan diraja.