Selasa, 16 Februari 2010

YANG DAHULU? YANG BAHARU?

SUDAH lama persoalan ini berlegar di benak saya. Tidak mampu saya luahkan dalam bicara. Gagal juga saya luahkan dengan madah indah lagi tersusun. Bagi saya, persoalan ini tidak sebegitu indahnya. Penuh selirat dan sukar dilihat. Ya, mungkin mudah bagi sesetengah pihak. Namun bagi saya yang metah kurang pengalaman, agak sukar untuk saya bertemu jawapan tuntas.

Saya kehilangan 'diri' seseorang yang sangat saya kasihi. Masa telah merampas dia daripada dirinya yang sebenar. Daripada dirinya yang saya kenal sejak awal kehidupan. Pada awalnya, saya kurang percaya betapa masa yang pada fikiran saya tidaklah terlalu lama itu bisa membunuh dirinya yang lalu. Sepantas itukah masa? Adakah dia yang kurang daya lantas membiarkan masa membunuh segala? Mungkinkah juga dia yang terlalu lelah, mahu meninggalkan masa lalu - dengan membunuh diri dahulu?

Saya semakin kebingungan. Hati saya yang masih bertunas ini tegas mengatakan betapa dia bukan lagi dirinya yang dahulu. Yang saya kenal dan saya tetap cinta sepanjang masa. Saya faham amat setiap perubahan pada dirinya. Saya kenal amat suaranya yang dahulu. Saya kenal sungguh setiap bentuk pandang dari matanya yang redup. Dan kini, saya nian pasti dia bukan lagi yang dahulu.

Ya, itulah dia sekarang. Setelah masa membuang dia yang lalu jauh ke jurang silam. Apakah tidak punya ruang untuk diri lalunya kembali memasuki kantung jiwa yang kini? Setelah sekian lama diri itu memimpin jalan, tidakkah ada laluan untuk dia bertapak semula, gagah seperti dahulu?

Itulah dia sekarang. Yang tidak lagi seperti dahulu. Bukan lagi dia yang saya kenal sejak dahulu. Saya sudah kehilangan dia. Saya berhadapan dengan dia yang saban hari semakin menekur diri. Kalah dalam dirinya sendiri.

Hati saya memberontak. Saya mahukan dia yang dahulu. Merindui dia yang saya kenal sejak dahulu. Namun segalanya tinggal sejarah, dia tidak lagi menunjukkan harapan untuk menjadi dia yang saya kenal dahulu, waima itulah harapan tertinggi yang saya pasakkan di lubuk hati. Sekian lama, sejak dia yang dahulu meninggalkan dia yang kini.

Saya merenung ke dalam diri. Menyoal diri sendiri. Seandainya dia yang dahulu tidak mungkin kembali lagi, apakah saya sahaja yang selayaknya mengalah dan menerima dia yang kini seadanya? Apakah tidak salah untuk dia menidakkan kehadiran saya atau membiarkan saja keterpaksaan saya untuk menerima dirinya yang baru itu?

Sayalah yang hanya perlu terus bersabar menerima dia yang baru itu? Sayalah sahaja yang harus memendam rindu kepada dia yang dahulu itu? Mengapa saya sahaja yang perlu begitu? Yang perlu berusaha memahami diri barunya sedangkan saya juga memerlukan secangkir pengertian daripada dia? Ke mana mahu saya buangkan kenangan indah bersama dia yang dahulu agar tidak membungkam atma saya setiap kali berhadapan dengan dia yang baru? Dengan kenangan baru yang tentunya tidak seindah kenangan bersama dia yang dahulu? Atau, kenangan yang baru ini tanpa saya sedarnya sebenarnya lebih indah dari yang dahulu?

Saya rindukan dia yang dahulu? Saya mahukan dia yang dahulu? atau? Saya perlu terima dia seadanya? Saya perlu belajar ceria dengannya? Saya perlu matang menerima segalanya?

Persoalan? Persoalan? Semuanya tersoal namun tiada yang dapat saya jawab tuntas. Saya masih berterbangan mencari jawapan pasti untuk saya sendiri. Dia tetap seperti dia yang kini. Tidak mungkin memikirkan saya yang kini dan dahulu yang ditinggal pergi. Saya sahaja yang punya persoalan dan mencari jawapan. Tidak dia yang bertemu bahagia dengan diri yang kini.

Saya, hilangkan rindu. Lakari madah jiwa dan kenangan indah di butiran pasir pantai duka. Biarkan ombak menghakis segala agar terlerai kusut jiwa.

Salam saya untuk dia ... yang dahulu ... yang baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan