Isnin, 8 Februari 2010

A THOUSAND SPLENDID SUNS

SUDAH terlalu lama saya tidak mengalirkan air mata semata-mata kerana membaca sebuah novel. Ya, sudah terlalu lama. Novel yang benar-benar menarik ruang emosi dan masih saya ingat sehingga kini ialah Biarkan Aku Menangis, karya Norhayati Berahim. Itu pun ketika saya berada di tingkatan empat pada tahun 2003. Novel itu masih saya simpan dengan baik di satu sudut yang sudah lama tidak saya jenguk. Sudah lama benar. Seterusnya, saya menjadi terharu dengan kesengsaraan yang dialami Pak Hasan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Kesengsaraannya dalam memikirkan nasib tradisi tanpa pewaris. Kemudian, Mashitah dalam Sesudah Perang meruntun hati saya apabila memikirkan penderitaan yang dialami lantaran menyembunyikan kisah sebenar daripada suami. Itu pun dua tahun yang lalu. Ketika saya baru menjejaki ASWARA.

Namun demikian, buat kali seterusnya setelah tahun-tahun yang sudah lama itu - saya kembali menitiskan air mata tatkala membaca naskhah A Thousand Splendid Suns, tulisan Khaled Hosseini. Karya ini lebih memberi kesan kepada saya berbanding novel The Kite Runner yang baru saya baca sebulan yang lalu. The Kite Runner punya kekuatannya yang tersendiri namun tidak menjadikan saya begitu terharu dan terkesan dengan Mariam serta Laila dalam A Thousand Splendid Suns. Berlatarkan negara Afghanistan, karya ini mengisahkan kehidupan Mariam - seorang anak tidak sah yang membesar di kawasan pedalaman. Mariam dibesarkan oleh Nana di sebuah kolba yang dibina oleh bapanya. Jalil Khan. Jalil Khan tidak pernah membawa Mariam keluar dari kawasan tersebut kerana tidak mahu kedudukannya sebagai seorang yang dihormati dan kaya terganggu sekiranya masyarakat mengetahui kedudukan Mariam di sisinya.


Nana sering mengingatkan Mariam agar tidak mempercayai kata-kata Jalil yang tidak ikhlas menyayanginya. Kisah-kisah indah tentang kelahiran Mariam dan kehidupan yang diceritakan Jalil hanya palsu belaka. Walau bagaimanapun, Mariam lebih senang untuk mempercayai kata-kata Jalil yang melawatnya setiap Khamis dengan hadiah. Mariam menganggap Nana mencemburui layanan Jalil kepadanya. Ketika usia Mariam empat belas tahun, dia tekad untuk meminta Jalil membawanya ke rumah besar dan berkenalan dengan ahli keluarga Jalil iaitu dengan tiga isteri dan sembilan anaknya yang lain. Harapan Mariam untuk diperlakukan sebagai seorang anak yang diiktiraf semakin membara. Mariam mahu Jalil memberikan perhatian dan kasih sayang seperti yang diberikan kepada anak-anak yang lain. Mariam mahu Jalil membawanya ke bandar. Mariam mahu Jalil membawanya menonton sinema di premis kepunyaan Jalil. Mariam mahu menonton filem Pinnochio yang diceritakan oleh Jalil. Mariam mahu menghirup nikmat mempunyai seorang bapa dan menjalani hidup seperti keluarga lain. Sebagai anak luar nikah yang disebut sebagai harami, segala keinginan Mariam itu dinafikan. Mariam dianggap sebagai subjek yang hanya membawa malu kepada Jalil Khan.

Atas desakan Mariam, Jalil berjanji akan mengunjungi Mariam pada Khamis seterusnya. Akan membawa Mariam ke bandar untuk menonton dan bersiar-siar. Pada hari tersebut, Mariam telah menunggu Jalil sehingga tengah hari namun Jalil tidak kelihatan. Mariam ke Herat untuk mencari rumah Jalil dan apabila tiba, Mariam dimaklumkan bahawa Jalil tiada. Seharian tidur di luar rumah, pemandu Jalil telah menghantar Mariam pulang ke kolbanya. Saat itu, Mariam dikejutkan dengan kematian Nana yang menggantung diri di sebatang pohon. Nana menunaikan janjinya untuk membunuh diri sekiranya Mariam meninggalkan dirinya dan berjanji bahawa Mariam akan hidup sendirian sesudah itu :

I'm all you have in this world, Mariam, and when I'm gone, you will have nothing. You'll have nothing. You are nothing! (Khaled Hosseini, 2008:40).

Pada hayat Nana, Mariam tidak pernah mempercayai kata-kata Nana malah memperlekehkannya. Hanya apabila berada di rumah Jalil barulah Mariam sedar. Dia telah dipaksa mengahwini Rasheed. Seorang lelaki berusia 45 tahun sedangkan dirinya baru berusia 15 tahun. Dia dipaksa oleh Asfoon, Khadija dan Nargis. Jalil Khan sendiri tidak membantah malah mahu Mariam segera mengahwini lelaki itu dan keluar dari rumahnya. Tiada lagi kemesraan antara dia dan Jalil. Tiada lagi kasih sayang yang sering dipamerkan Jalil kepada dia. Mariam semakin faham.

Perkahwinan dengan Rasheed merupakan kesinambungan kesengsaraan yang terpaksa dihadapi oleh Mariam. Dalam novel ini, Mariam menjadi citra golongan wanita Afghanistan yang tertindas hidupnya oleh lelaki. Mereka hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu dan hamba semata-mata. Pemerintah yang silih berganti tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada wanita. Mariam tidak punya tempat untuk mengadu dan tidak dibenarkan bergaul dengan jiran-jirannya. Rasheed tidak mahu Mariam keluar tanpanya dan mewajibkan pemakaian burqa atas Mariam. Sebagai seorang isteri, Mariam menjalankan kewajipannya terhadap rumah tangga. Namun, Rasheed mulai berubah sikap apabila Mariam mengalami keguguran. Semenjak itu, Mariam bukan sahaja dijadikan persis seorang abdi, tetapi juga dijadikan bahan untuk dipukul sesuka hati. Pada usia Mariam 35 tahun, Rasheed telah mengahwini Laila. Anak gadis berusia 15 tahun yang bercita-cita tinggi dan agak berpelajaran. Ibu bapanya meninggal dunia sebaik-baik mereka berhajat untuk meninggalkan Kabul dan keadaan huru-hara ketika itu.

Rasheed yang menyelamatkan Laila mahukan Laila sebagai isteri dan Mariam tidak punya hak untuk berkata apa-apa. Kehidupan Laila tidak kurang seperti Mariam. Cuma, Laila lebih bijak bersuara walaupun pada akhirnya dia tetap menjadi mangsa pukul Rasheed. Layanan baik Rasheed terhadap Laila hanya sewaktu awal perkahwinan mereka. Ketika Laila diangkat sebagai permaisuri manakala Mariam sebagai patung di rumah :

"But you musn't blame her. She is quiet. A blessing, really because, wallah, if a person hasn't got much to say she might as well be stingy with words. We are city people, and I, but she is dehati. A village girl. Not even a village girl. No. She grew up in a kolba made of mud outside the village. Her father put her there. Have you told her that you are a harami? Well, she is. But she is not without qualities, all things considered. You will see for yourself, Laila Jan. She is study, for one thing, a good worker and without pretensions. I'll say this way. If she were a car, she would be a volga.

"You," Rasheedd said to the girl, "you, on the other hand would be a Benz. A brand new, first class, shiny Benz ..." (Khaled Hosseini, 2008:216).

Rasheed begitu gembira apabila mendapat tahu Laila mengandung dan terus menjadikan Mariam sebagai hamba kepada mereka. Namun demikian, Laila cuba sedaya upaya berbaik dengan Mariam yang agak sukar menerima kehadiran dia. Pada satu tahap selepas tidak tahan dengan kekejaman yang dilakukan Rasheed pasca kelahiran Aziza, Mariam dan Laila tekad meninggalkan Rasheed. Malangnya, pihak berkuasa telah menahan mereka. Menganggap perbuatan mereka sebagai jenayah.

Terlalu banyak penderitaan yang dialami oleh Mariam sebelum dia dihukum gantung kerana membunuh Rasheed yang memukul dia dan Laila. Terlalu banyak penderitaan yang dialami Laila dalam menjejaki Aziza yang ditinggalkan di rumah anak-anak yatim atas arahan Rasheed. Terlalu besar luka yang dialami dua wanita ini. Bezanya, luka di hati Mariam tidak pernah sembuh dan dibawa sehingga akhir hayat tanpa pembelaan.

Mariam tidak pernah mengecapi nikmat kasih sayang yang diimpikan sama ada daripada bapa dan suami. Namun, dengan keberanian dan kebijaksanaan, Laila berjaya mengecapi kebahagiaan dengan Tariq. Selepas kematian Mariam yang mengorbankan diri demi dia dan Tariq, Laila memulakan hidup baru sebagai guru untuk mendidik anak gadis agar menjadi masyarakat berilmu yang sangat diperlukan Afghanistan, seperti yang disebut oleh arwah ayahnya - Hakim. Saya sangat tersentuh dengan kebaikan Mullah Faizullah terhadap Mariam. Guru agama yang sering memberi kekuatan kepada Mariam sewaktu kecil untuk menerima hakikat kematian Nana. Saya terharu dengan kasih sayang Mullah Faizullah terhadap Mariam. Saya membenci Rasheed yang mewakili imej lelaki diktator yang menjadikan wanita sebagai golongan tanpa maruah.

4 ulasan:

  1. Salam, Ijad.

    Ya, banyak yang perlu dibaca.

    BalasPadam
  2. Wardah,
    Saya sudah membaca kedua-dua novel Khaled ini. Memang novelnya menarik tetapi ada sesuatu yang secara tersirat yang saya tidak bersetuju dengan pengarangnya. Khaled menyampaikan sesuatu yang negetif terhadap Islam.

    BalasPadam
  3. Assalammualaikum, Cikgu Shapiay.

    Khaled mengetengahkan latar Afghanistan yang memang kita jelas corak pengamalan hidup dan pengamalan agama mereka. Jika pembaca yang asing daripada ajaran Islam memang akan mudah memberi persepsi negatif kepada agama Islam.

    Cuma, saya melihat dari segi naratifnya yang membawa kisah hidup wanita yang masih bobrok oleh para lelaki yang bukan mengamalkan ajaran Islam sebenar seperti yang dikemukakan dalam karya-karya beliau.

    Semoga akan ada pencerahan.

    BalasPadam