Isnin, 15 Februari 2010

MUZIKAL CATS CERITA KUCING LUAR BIASA

TIGA minggu yang lalu, saya dan rakan kuliah telah menonton muzikal Cats. Memang menarik booknya walaupun agar sukar difahami pada awal. Bagi saya, selain book atau cerita yang menarik - Cats juga berjaya menarik perhatian penonton dengan latar set yang menarik dan mengagumkan. Unsur kekaguman yang ada di dalamnya berjaya menambat hati penonton dan mendatangkan rasa takjub. Melihat unsur kekaguman yang ada, fikiran saya agak serabut juga untuk memikirkan unsur kekaguman yang ingin saya terapkan dalam muzikal saya. Premis ceritanya sudah ada, dan kini saya masih berusaha mengasah naratifnya di samping memikirkan beberapa unsur kekaguman yang boleh menarik perhatian. Berikutnya merupakan sedikit perkongsian yang saya catatkan mengenai Muzikal Cats.

Cats merupakan sebuah naskhah pentas genre muzikal yang diinspirasikan daripada puisi yang wujud dalam kumpulan puisi T.S Elliot berjudul Old Possum’s Book of Practical Cats (1939). Cats diterbitkan pertama kali oleh Cameron Macintosh dan diarahkan oleh Trevor Nunn. Gillian Lynne pula merupakan koreografer yang bertanggungjawab dalam gerak tari para pendukung watak Cats. Muzikal Cats berkisar pada kehidupan masyarakat kucing yang menggelar diri mereka sebagai Jellicle Cats. Lagu Jellicle Songs for Jellicle Cats merupakan overture yang memperkenalkan kelompok Jellicle Cats sebagai golongan kucing yang mempunyai keupayaan tinggi dalam melakukan banyak perkara, berwajah ceria dan suka melompat.

Berlatarkan tempat pembuangan sampah sebagai satu-satunya set pementasan, Cats mencitrakan kehidupan setiap kucing yang ada di situ dengan variasi cerita. Dalam karya ini, terdapat lapan buah kisah yang melibatkan watak-watak kucing tertentu. Hal ini dimulakan dengan kisah The Old Gumbie Cat bernama Jennyanydots. Seekor kucing betina yang gemuk dan disenangi oleh tikus dan lipas yang ada. Sementelahan itu, Rum Rum Tugger merupakan seekor kucing jantan yang suka didampingi kucing-kucing betina. Rum Rum Tugger juga merupakan kucing yang suka bertindak sesuka hati seperti yang digambarkan menerusi bait-bait “for he will do as he do do and there's no doing anything about it".

Antara kisah kucing dalam karya ini, Grizabella merupakan watak utama naratif ini. Grizabella merupakan seekor kucing tua yang dipulau oleh masyarakat kucing lantaran tindakannya keluar dari masyarakat kucingnya sewaktu muda. Tindakan Grizabella itu didorong keinginannya untuk melihat dunia luar. Kisah Grizabella terakam dalam lagu The Glamour Cat. Walau bagaiamanapun, atas nasihat dan kuasa Old Deuteronomy (seorang peramal) yang sangat dihormati, Grizabella diberi peluang kedua untuk ‘membersihkan diri’ dengan ‘kelahiran semula’. ‘Kelahiran semula’ Grizabella diraikan dalam lagu Journey to the Heaviside Layer.

Akhirnya, masyarakat kucing menerima kepulangan dan keinsafan Grizabella. Mereka juga menyedari bahawa mereka tidak sewajarnya menghina kucing lain dengan gelaran yang tidak baik. Old Deuteronomy memberi pesanan kepada masyarakat kucing agar menjaga maruah mereka sebagai kucing dan membezakan diri mereka dengan masyarakat anjing. Perihal ini diperincikan oleh Old Deuteronomy dalam lagu The Ad-Dressing Of Cats yang menjadi penutup kisah sebelum lagu Memory dinyanyikan..

Muzikal Cats menjadikan lagu Memory yang ditulis Trevor Nunn sebagai lagu tema. Terdapat 27 buah lagu yang menjadi naratif muzikal ini. Ada antaranya dipetik dan diinspirasi daripada kumpulan puisi T. S Elliot.

Pemikiran

Naskhah muzikal Cats mengangkat tema kemasyarakatan yang disimbolkan melalui kehidupan kucing. Dalam hal ini, Cats cuba menyampaikan gagasan pemikiran bahawa masyarakat sewajarnya hidup sebagai satu entiti yang saling memahami dan bertolak ansur sesama masyarakat. Tema ini disampaikan oleh watak Old Deuteronomy yang menjadi pengamal kebenaran. Old Deuteronomy menegah masyarakat kucing memberi nama gelar yang tidak baik antara satu sama lain seperti yang dikisahkan dalam lagu The Naming of Cats. Sebaliknya Old Deuteronomy meminta masyarakat kucing bertindak sebagai seekor kucing dan bukannya anjing. Hal ini ditampilkan dalam lagu The Ad-Dressing of Cats. Muzikal ini meminta khalayak untuk sentiasa bersangka baik bahawa setiap makhluk itu seharusnya diberi peluang kedua untuk membaiki diri seperti yang berlaku terhadap Grizabella.

Persoalan

Industri lakon yang tidak menitikberatkan kualiti lakonan merupakan antara persoalan yang dilontarkan lewat karya ini. Hal ini dapat dilihat melalui watak Asparagus atau Gus yang mengimbas kembali kualiti industri lakon yang diceburinya sewaktu muda dahulu. Menurut Gus, penggiat seni lakon dalam latar masa teater tersebut tidak dilatih terlebih dahulu seperti kelompok zaman kegemilangan Asparagus yang mementingkan latihan dan kualiti dalam menjayakan satu-satu persembahan.

Sementelahan itu, muzikal ini turut menimbulkan persoalan rasa keinsafan yang sewajarnya wujud dalam diri manusia. Dalam hal ini, persoalan ini dapat dilihat dalam watak Grizabella yang menyedari kesalahan yang pernah dilakukan dan berusaha untuk mendapatkan semula tempat dalam komuniti kucingnya. Namun begitu, persoalan ini juga dapat dilihat dalam erti yang sebaliknya. Perkara ini dilambangkan melalui watak antagonis Macavity.

Macavity merupakan seekor kucing yang jahat dan penuh licik dalam melakukan jenayah. Watak ini tidak mempunyai rasa bersalah dan insaf dengan segala jenayah yang dilakukan. Hal ini dilihat melalui gambaran watak jahat tanpa insafnya dalam bait-bait:

... the monster of criminal
He’s broken every human law
he always has an alibi
the napolean of crime.

Unsur Kekaguman

Muzikal Cats merupakan sebuah muzikal yang sarat dengan unsur kekaguman. Antaranya muncul dalam babak dua, adegan yang memperlihatkan kemunculan Mr. Mistoffelees. Watak ini diperihalkan oleh masyarakat kucing sebagai ahli silap mata yang sangat terkenal dan mampu menyelesaikan banyak masalah. Dalam hal ini, Rum Rum Tugger telah meminta bantuan Mr. Mistoffelees untuk mencari Old Deuteronomy yang telah diculik oleh Macavity. Unsur kekaguman dalam hal ini terlihat melalui pergerakan dan silap mata yang dilakukan oleh Mr. Mistoffelees yang mengeluarkan cahaya dan api dari jari-jemarinya. Cahaya dan api itu telah memenuhi pentas. Pertukaran seekor kucing siam betina dengan Old Deuteronomy turut menjadi unsur tarikan yang berjaya dilakukan oleh Mr. Mistoffelees.

Selain itu, unsur kekaguman dari aspek pencahayaan dapat dilihat dalam adegan Macavity (babak dua) yang bertarung dengan Munkustrup dan Alonzo. Pada adegan ini, Macavity telah menyamar sebagai Old Deuteronomy. Cahaya warna merah telah melatari keseluruhan pentas dengan gabungan muzik yang memperlihatkan pertarungan antara Macavity dengan Munkustrup dan Alonzo. Aspek pencahayaan merah yang digunakan selari dengan situasi dan muzik yang menjadi latar. Hal ini menarik perhatian penonton.

Sehubungan dengan itu, unsur kekaguman utama dapat dilihat melalui adegan Old Deuteronomy yang mengiringi Grizabella dalam lagu Journey to the Heaviside Layer. Dalam adegan ini, tayar yang menjadi tempat Grizabella dan Old Deuteronomy berdiri telah terangkat dan kelihatan terapung. Dalam masa yang sama, kemunculan satu objek seperti tangga yang disifatkan berasal dari kayangan bagi menyambut ‘kelahiran semula’ Grizabella telah muncul. Keunikan ‘tangga’ tersebut dengan cahaya yang menyuluh kepadanya menjadikan adegan tersebut sebagai satu unsur kekaguman dalam karya ini.

Kedua-dua aspek tersebut telah menjadi daya tarikan penonton dalam meneliti naskhah ini sehingga tamat. Aspek pencahayaan yang mengiringi situas tersebut menjadikan adegan tersebut nampak lebih menarik dan mantap. Dalam adegan lagu Skinbleshakes The Railway Cat, pergerakan para watak mewujudkan sebuah kereta api di atas pentas dengan empat roda juga merupakan unsur kekaguman yang menarik perhatian.

1 ulasan:

  1. terima kasih bagi penerangan tersebut. boleh dijadikan nota kuliah.

    BalasPadam