Rabu, 10 Februari 2010

MANIKAM KALBU

TAJDIDKAN semula busana Melayu merupakan gagasan yang cuba diangkat pengarang melalui watak Ziryab pada zaman kini dan Manikam Kalbu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Novel ini mencitrakan kepentingan jurubusana dalam melahirkan busana Melayu yang terkurung dengan adat tinggin falsafah yang mendasari hukum agama sebagai akarnya. Karya ini mengetengahkan nilai sebenar busana Melayu yang seharusnya menepati hukum berbusana seperti yang ditentukan Islam. Watak Ziyab dan Manikam Kalbu merupakan jurubusana lelaki yang berasa penuh tanggungjawab dalam memelihara kesantunan berbusana oleh masyarakat Melayu yang sinonim dengan agama Islamnya.



Ketabahan Ziryab, remaja lelaki yang terpaksa berhadapan dengan masalah alzheimer neneknya, Zainon Abdullah telah diburu oleh desakan cinta monyet dan rasa hasad rakan sekelas yang mencemburui daya perhatian yang diberikan kebanyakan guru kepadanya. Sebagai anak tunggal yang kematian ibu bapa, Ziryab beruntung kerana mendapat pembelaan dan kasih sayang daripada sepasang suami isteri iaitu Dr. Faizah dan Dr. Basri yang menjadikan Ziryab sebagai anak angkat mereka.

Cabaran Ziryab dan Manikam Kalbu hampir serupa. Manikam Kalbu kehilangan ibu sewaktu dia merantau ke negara Acheh untuk mendalami ilmu menjahit busana. Dalam masa yang sama, kedua-dua watak ini diperlihatkan kehebatannya pada kekuatan dan ketabahan hati mereka terhadap segala dugaan yang mendatang dan tekal dalam memenuhi kantung jiwa dengan ilmu. Juga, mereka sama-sama berusaha untuk mewarnai dunia busana Melayu dengan melahirkan rekaan yang mampu menjadi simbol keMelayuan dan keIslaman yang sinonim dengan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.

Bagi saya, tentunya kehadiran manira (kucing berbaka madura dengan hujung ekor yang membengkok) dan Manikam Kalbu yang menjadi teman nenek Ziryab sebagai daya penarik. Kelicikan manira banyak membantu Manikam Kalbu sewaktu berhadapan dengan serangan teka-teki Maharaja China dan persoalan demi persoalan berkenaan busana rekaannya dalam sesi peragaan pertandingan mereka busana yang dianjurkan Sultan Muhammad Syah.

Faisal Tehrani terkenal dengan unsur ilmu yang sering diterapkan lewat karya beliau mampu menjadikan pembaca Manikam Kalbu menambah pengetahuan yang luas mengenai ilmu rekaan seni jahitan. Saya pasti, novel ini sekiranya diamati oleh para pelajar aliran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan Seni Reka Jahitan (SRT) mampu memberi banyak manfaat kepada mereka. Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang meminati bidang jahitan secara umum.

Membaca karya ini menyedarkan saya betapa tingginya nilai baju kurung dalam falsafah Melayu dan Islam yang bagai aur dengan tebing. Mambaca karya ini terus membuatkan saya nian bangga dengan busana Melayu yang saya pakai walau diancam arus modenisasi tanpa sempadan.

4 ulasan:

  1. benarkah begitu wardah....sebagai guru matapelajaran KHB akak harus memiliki buku tersebut...terima kasih kerana menulis tentang buku tersebut...

    BalasPadam
  2. Assalammualaikum, Kak Norbaya.

    Ya, begitu yang saya fikir. Memang bermanfaat kalau dibaca oleh pelajar SRT dan ERT juga. Selain dari itu, ada lapisan dan falsafah mendalam tentang busana Melayu dan keindahannya (yang berkait dengan Melayu-Islam) yang kurang kita ambil perhatian.

    Selamat membaca, kak.

    BalasPadam
  3. Ini antara novel yang cukup saya senangi dan sayangi walaupun temanya biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana adik saya mahu jadi pereka fesyen tapi masih belum mampu hasilkan fesyen mengikut tema Islam. Sedang mencuba katanya.

    Suka watak si kucing comel yang kuat membebel :D.

    BalasPadam
  4. Ya, Pei Pan.

    Saya sangat suka dengan watak Manira itu. Kuat mengomel dan comel (kucing Madura berekor bengkok pada hujungnya).

    Memang sesuai untuk golongan remaja dan dewasa.

    BalasPadam