Jumaat, 19 Februari 2010

BUKAN BURUNG

BEBAS. Itu yang sering dilihat apabila berfikir tentang dunia burung. Bebas terbang membelah langit biru. Ke mana sahaja ingin singgah dan ke mana sahaja ingin berlabuh, semuanya boleh diurus sendiri hanya dengan sepayang sayap yang ada. Namun, menjadi burung tidaklah sebebas yang disangka. Terbangnya tidak semudah yang dilihat. Sewaktu kecil, tidak sekali anak burung jatuh dari dirinya waktu ingin membiasakan diri terbang; dengan harapan mahu membelah awan. Kala gembira berterbangan di kanvas langit, burung boleh sahaja didatangi ajal pelbagai rupa. Bisa ditembak oleh pemburu tanpa belas. Bisa dikejar garuda celaka yang hanya tahu membunuh si kerdil dengan paruh saktinya. Bisa jadi pelbagai lagi ketika diri terasa bebas melambai daratan yang ditinggal jauh di bawah.


Sewaktu kecil, masih kecil. Saya selalu berfikir alangkah indah dan seronoknya menjadi burung. Dapat terbang tinggi dan menuju destinasi dengan segala ceria. Dapat bernyanyi gembira di pagi hari, memeriahkan hati insan yang mendengar kicaunya. Yang saya seronokkan hanyalah kelebihan burung untuk terbang. Mudah bergerak dan tidak terbatas. Namun, itu fikiran saya dahulu. Kala diri metah muda dan mentah. Tidak kenal erti dan tanggungjawab kata hidup. Meningkat dewasa, saya menyedari bahawa manusialah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Tiada yang terbaik selain manusia. Menjadi burung hanya indah untuk kawanan burung, bukan manusia.

Sesudah itu, saya melepaskan segala kenangan dan impian tidak benar yang pernah saya bayangkan itu. Bayangan ingin menjadi burung dan lepas gembira membelah angin hidup. Saya semakin bersyukur menikmati hidup sebagai manusia yang telah terlalu banyak istimewanya. Menjadi burung hanya sekadar masa lalu yang sekali-sekala singgah di benak untuk menyegarkan ingatan. Ingatan yang menjadi sejarah bagi manusia yang terus mendepani masa.

Tidak lagi menjadi burung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan