Rabu, 27 Januari 2010

PERCATURAN JIWA TUA DALAM SANGEETHA

NOVEL Sangeetha merupakan sebuah karya yang mengetengahkan isu terpinggir dalam kebanyakan arus sastera tempatan iaitu kesepian hidup sepasang warga tua dalam menjalani kehidupan akhir usia. Azizi Abdullah telah memahat karya ini berdasarkan pemerhatian beliau terhadap satu keratan akhbar tentang pertemuan jodoh seorang lelaki berusia 93 tahun dengan seorang wanita pemilik rumah sewa. Sangeetha yang pernah memenangi hadiah MASTERA ini mengisahkan pergolakan jiwa seorang balu India berusia 80 tahun dan baru kematian almarhum Viralal, iaitu suami yang dikahwini selama hampir 60 tahun. Sangeetha tinggal di sebuah rumah limas potongan perak peninggalan suaminya. Watak utama ini bukan sahaja diwarisi oleh sebuah rumah yang agak besar dan sebuah rumah sewa, sebaliknya Sangeetha turut mewarisi harta peninggalan Viralal yang agak besar jumlahnya. Pewarisan harta daripada almarhum Viralal menyebabkan ramai masyarakat di sekitarnya menganggap Sangeetha sebagai balu sepi yang kaya-raya .

Pasca kematian Viralal, Sangeetha diselubungi rasa sunyi lantaran ketiadaan cahaya mata dan hidup bersendirian di rumah dalam keadaan kesihatan yang uzur. Walau bagaimanapun, Sangeetha berasa agak terhibur dengan kehadiran Derus, seorang mantan posmen yang berkhidmat sebagai tukang kebun dan menjadi sahabat baik sepanjang hayat Viralal. Perhubungan akrab antara Derus dengan almarhum Viralal memberikan Sangeetha peluang untuk menghidupkan memorabilia antara dia dengan almarhum Viralal yang sedikit sebanyak mengubat kesepian hidupnya. Hal ini terpancar menerusi naratif perasaan Sangeetha yang dijelmakan oleh pengarang :

Setianya pada Viralal ialah setia yang tak berucap. Tetapi sayang kesetiaan itu tidak dapat mengubati kelohongan sepi dan sunyi yang dideritainya sepanjang peninggalan Viralal. Salahkah dia mencari pengisian sepi dan sunyi tetapi tugu ingatan tetap pada Viralal? Sesungguhnya dia tidak memerlukan cinta tetapi kasih sayang untuk memasak waktu kepikunan. (Sangeetha, 2006:263-264)

Sebagai seorang wanita pikun yang sedar akan usia yang semakin lanjut, Sangeetha bukanlah wanita gersang yang mengharapkan belaian dan cinta daripada Derus seperti yang disangka oleh masyarakat di sekitarnya. Layanan baik dan kepercayaan Sangeetha terhadap Derus didorong oleh rasa penghargaan terhadap kesetiaan Derus sebagai sahabat almarhum suami dan temannya dalam menjalani kehidupan sepinya pasca kematian Viralal. Tambahan pula, Sangeetha begitu memerlukan Derus bagi menyegarkan kenanangan indahnya bersama Viralal kesan keakraban hubungan antara Derus dengan Viralal dan Sangeetha yang dianggapnya sebagai kakak.

Jalinan perasaan suci Sangeetha disambut baik oleh Derus yang berasa simpati dan empati terhadap kesunyian dan kepikunan yang dihadapi Sangeetha. Rasa tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan dan keperluan rumah tangga Sangeetha serta burung merbuk peninggalan Viralal terpelihara merupakan kesan hubungan dan jasa baik Viralal kepada Derus memberi kekuatan kepadanya untuk menepis segala prasangka buruk masyarakat sekitar yang diwakili oleh rakan serumahnya, Husin. Sungguh pun berhadapan dengan pelbagai prasangka dan tohmahan daripada masyarakat, Derus tidak pernah berganjak untuk terus melindungi Sangeetha yang sangat dikenali sebagai baik dan seorang dermawan.

Penerapan sudut pandangan orang ketiga dengan arus kesedaran yang digunakan pengarang jelas mengangkat citra emosi Sangeetha yang terpaksa berlawan dengan usia pikunnya. Manakala, prahara jiwa Derus ditampilkan dengan rasa agak tidak senang dengan prasangka masyarakat sekitar. Pertembungan kedua-dua gejolak perasaan ini merupakan antara unsur narasi utama yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Sementelahan itu, teknik imbas kembali digunakan oleh pengarang bagi memberitahu khalayak pembaca tentang kematian dan pengIslaman almarhum Viralal. Penceritaan dalam imbas kembali ini merupakan jalinan plot yang pertama dalam novel Sangeetha iaitu pengisahan kehidupan bahagia Sangeetha bersama almarhum Viralal yang sekali gus mencitrakan rasa cinta yang utuh antara kedua-dua mereka. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara suami isteri ini ditonjolkan melalui kisah Viralal yang sanggup menolak godaan asmara oleh adik Sangeetha sendiri iaitu Meena.

Secara halus, pengarang juga cuba menyampaikan nilai kemanusiaan yang sewajarnya hadir tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini dapat dilihat menerusi perhubungan murni antara Sangeetha selaku seorang balu berbangsa India dengan Derus, seorang Melayu beragama Islam. Perhubungan yang harmoni antara kedua-dua mereka menjadi simbol kedamaian yang boleh terpancar melalui sifat ambil peduli dan mengasihi sesama manusia. Penerapan gagasan pemikiran ini juga menjadikan Sangeetha sarat dengan elemen emosi dan kebudayaan yang menyelimuti masyarakat majmuk di Malaysia dan diwakili oleh Sangeetha dan Derus.

Pertembungan dua agama dan bangsa ini juga diperlihatkan oleh pengarang melalui alat muzik seperti tabla dan gambus. Malahan, meskipun Sangeetha merupakan seorang yang tidak tahu membaca, namun sifat keMalaysiaan yang sebati dalam jiwanya membuatkan Sangeetha pernah mencadangkan agar muzik tabla dan gambus dimainkan secara bersama bagi mewujudkan nilai harmonis yang tinggi. Secara tidak langsung, pengarang turut menyelitkan ilmu dan kemahiran bermain alat muzik klasik India seperti tabla dan dagga serta kaedah memainkan lagu-lagu daripada muzik gambus yang menjadi kegemaran Derus.

Selain menggunakan elemen perkusi yang mencerminkan budaya masing-masing, Sangeetha juga secara berhati-hati cuba memperlihatkan pemahaman masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang mampu hidup secara aman bersama-sama menerusi watak Sangeetha dan Derus. Dalam hal ini, Sangeetha sebagai seorang pengamal agama Hindu sangat menghormati akidah Islam yang dipegang oleh Derus. Malahan, nilai ini begitu terpancar melalui keterbukaan Sangeetha merelakan kematian Viralal di dalam Islam setelah dibantu oleh Derus yang menuntun bacaan syahadah terhadap Viralal yang sedang berada dalam keadaan nazak. Timbal balik yang diperolehi Sangeetha akibat keterbukaan dan sifat menghormati pegangan agama Derus diperlihatkan pengarang akan kesetiaan dan rasa hormat Derus yang sering menjadi teman dan pemandu Morris Minor Sangeetha dalam upacara keagamaan yang melibatkan wanita tua itu.

Melihat kematian suami dan kesetiaan sahabat tuanya yang hidup aman di dalam Islam, Sangeetha turut berperang dengan emosinya sendiri sehinggalah keputusan tuntas dibuat pada akhir ajalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan