Isnin, 25 Januari 2010

MAMMA MIA

RABU lalu saya dan rakan kuliah menonton filem muzikal Mamma Mia sebagai contoh skrip muzikal untuk kuliah Penulisan Skrip Muzikal. Filem tersebut bagi saya sangat menarik. Saya suka mendengar himpunan lagu kumpulan Abba yang bagi saya mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi dari segi lirik dan lagunya. Kisah Mamma Mia ini agak mudah dan latarnya juga agak terhad namun hal tersebut tidak menjadikan filem yang diadaptasi daripada naskhah teater ini sebagai tidak menarik. Antara watak yang sangat saya gemari dalam filem ini ialah Donna Sheridan dan juga Sam Carmicheal. Berikutnya merupakan catatan yang sempat saya tulis berkenaan Mamma Mia.

Mamma Mia merupakan sebuah filem genre muzikal yang berkisar pada Sophie Sheridan, anak gadis tunggal kepada Donna Sheridan yang berusia 20 tahun dan bakal melangsungkan perkahwinannya dengan lelaki pilihan iaitu Sky. Sebagai seorang anak yang dibesarkan tanpa kehadiran seorang bapa, Sophie tekad untuk menjemput ketiga-tiga lelaki yang pernah menjalinkan hubungan dengan Donna ke majlis perkahwinannya. Sophie telah mendapat maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu iaitu Sam Carmicheal, Bill Anderson dan Harry Bright melalui sebuah catatan diari milik Donna yang ditemui. Melalui catatan diari tersebut, Sophie cuba mengenal pasti ayah kandungnya antara ketiga-tiga lelaki tersebut. Sophie benar-benar berharap agar dapat bertemu dengan ayah kandung yang akhirnya dapat mengiringinya di gereja bagi melangsungkan perkahwinan.



Kisah bermula apabila Sophie mengirimkan surat kepada Sam, Bill dan Harry dengan disusuli harapan agar dapat mengetahui ayahnya yang sebenar. Perasaan terpendam Sophie dibayangkan oleh pengarang melalui overture lagu I Have A Dream. Di samping itu, Sophie juga mempunyai harapan untuk keluar dari motel milik Donna di Pulau Kalakori, Greece itu dan ingin mengembara melihat dunia yang lebih luas bersama Sky. Hal ini berikutan keterasingan yang dirasai oleh Sophie yang terpaksa tinggal dan membesar di Pulau Kalakori, Greece itu kerana Donna dan membantu pengusahaan motel Donna.

Sam Carmicheal, Bill Anderson dan Harry Bright telah tiba di Pulau Kalakori atas jemputan yang dikirimkan oleh Sophie dengan menggunakan nama Donna tanpa pengetahuan ibunya sendiri. Tindakan Sophie ini telah mencetuskan konflik dalam diri ibunya yang terpaksa berhadapan dengan ketiga-tiga lelaki yang pernah dicintai dan telah cuba dilupakan. Konflik juga tercetus apabila ketiga-tiga lelaki berkenaan cuba mengenal pasti kedudukan Sophie sebagai anak kandung mereka.

Bagi memecah kekeliruan Sophie apabila ketiga-tiga lelaki tersebut ingin mengiringinya di gereja, Sophie akirnya telah memilih Donna sebagai pengiring di gereja. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu yang hadir di gereja tersebut telah membuatkan Sophie dan Sky tekad untuk hidup bersama tanpa perlu berkahwin dahulu dan pergi mengembara. Sementelahan itu, pengakhiran filem ini diakhiri dengan acara perkahwinan yang diteruskan apabila lamaran yang diberikan Sam Carmicheal diterima dengan gembira oleh Donna menerusi lagu I Do, I Do, I Do, I Do, I Do. Filem muzikal ini memuatkan 24 buah lagu kumpulan Abba sebagai penggerak kepada narasi cerita dan perasaan para watak pendukung dengan memanfaatkan latar masa tidak lebih dari dua hari iaitu sejak kedatangan tiga lelaki dan acara perkahwinan pada keesokan harinya.

Filem muzikal ini mengangkat isu kekeluargaan yang ditandai dengan hubungan antara Donna Sheridan dengan anak gadis tunggalnya iaitu Sophie Sheridan. Donna yang membesarkan Sophie tanpa seorang suami telah memberikan sepenuh kasih sayangnya kepada Sophie dan begitu berharap pada kebahagiaan anak gadisnya. Keterikatan kasih sayang antara ibu dan anak ini terpancar menerusi lagu Sleeping Through My Fingers yang memperlihatkan luahan perasaan Donna untuk melepaskan anak gadis kesayangannya kepada lelaki yang bakal dikahwini. Masalah kekeluargaan turut timbul apabila Sophie yang dibesarkan tanpa seorang ayah berusaha mengenal pasti ayahnya tanpa pengetahuan Donna. Namun, Sophie yang buntu dengan kehadiran Sam, Billy dan Harry yang dijemput akhirnya sedar bahawa hidupnya cukup sempurna walaupun hanya dibesarkan oleh seorang ibu tanpa ayah.

Antara persoalan yang muncul dalam filem muzikal ini ialah nilai persahabatan yang kukuh. Persoalan ini dapat dilihat melalui keakraban hubungan antara Donna dan ahli kumpulan Dynamosnya iaitu Tanya dan Rosie. Walaupun masing-masing sudah berusia, mereka tetap mengambil berat antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat melalui keprihatinan Rosie dan Tanya terhadap kesedihan yang dialami Donna apabila bertemu dengan Sam, Billy dan Harry. Akrab persahabatan mereka ini dapat diikuti menerusi lagu Chiquitita yang dinyanyikan Tanya dan Rosie. Baris lirik you can cry but the sun is still in the sky mencerminkan semangat yang cuba dititipkan mereka terhadap Donna.

Selain itu, Mamma Mia turut mencitrakan persoalan kasih sayang yang wujud antara ibu dan anak iaitu antara Donna dan Sophie. Selama 20 tahun, Donna telah membesarkan Sophie dengan penuh kasih sayang tanpa bantuan seorang lelaki. Hal ini sangat disedari oleh Sophie yang menganggap hidupnya sentiasa lengkap bersama ibu walaupun tanpa seorang bapa yang turut sama membesarkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan