Rabu, 27 Januari 2010

KUCING DAN KAMPUNG

MUNGKIN kerana seminggu dua ini saya kerap terfikir untuk memelihara anak kucing setelah hampir setahun tidak memelihara anak kucing kecil. Lalu, semalam saya bermimpi memelihara dua ekor anak kucing yang baru lahir. Seekor berwarna putih dan seekor berwarna hitam. Saya masih ingat wajah mereka. Kedua-dua saya agak baru berusia beberapa hari. Matanya juga masih belum dibuka. Malangnya, kedua-dua ekor anak kucing itu sakit. Air keluar daripada mulut mereka dengan sangat banyak dan akhirnya mereka mati. Dalam tangisan, saya meletakkan mereka dalam kedua-dua telapak tangan saya dan menuju ke sebuah tanah lapang. Di sana, saya menghasilkan sebuah lubang yang agak sederhana. Saya menyelimuti tubuh kecil kedua-dua kucing itu dengan sehelai sapu tangan sutera sebelum memasukkan mereka ke dalam lubang yang saya hasilkan. Sekadar mimpi.

Owi dan Omi pada usia empat hari tahun 2008.


2

Sewaktu bertemu dengan seseorang baru-baru ini, saya dipertemukan dengan dua nama buah yang agak asing daripada pengetahuan saya. Selalu saja saya bertemu dengan nama-nama buah yang sangat asing apabila bertemu beliau. Kali ini ialah buah sentul dan buah ketapi. Kedua-duanya tidak pernah saya dengar. Beliau bertanya di mana saya dilahirkan dan dibesarkan dan saya memberitahu bahawa saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Nakhoda. Dengan sinis yang biasa, beliau mengatakan bahawa kampung itu tidaklah terlalu berhampiran bandar memandangkan beliau pernah menetap dalam jangka masa yang sangat singkat pada tahun 1970-an. Memanglah Kampung Nakhoda masih disifatkan sebagai kawasan luar bandar. Namun, sangat sukar untuk bertemu dengan seekor ayam atau melihat lambaian pohon nyiur pun. Tidak mudah. Apatah lagi untuk melihat dan mengetahui buah-buah yang begitu asing namanya. Kampung Nakhoda sudah mengalami banyak perubahan sekarang. 7Eleven juga telah muncul di tengah kampung itu. Beberapa salon dan kafe siber juga telah bercambah dengan banyak. Hanya kata 'kampung' itu sahaja yang menjadikan Kampung Nakhoda sebagai 'kampung' waima struktur dan suasananya sudah sangat asing daripada istilah 'kampung' dan suasana kampung yang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan