Selasa, 19 Januari 2010

HANYA CATATAN

1

SAYA bertemu penyelia sebentar tadi untuk memulangkan buku. Beliau bertanya saya, bila mahu memulakan proses perbincangan. Saya yang masih gerhana hanya memadang. Tidak tahu jawapan apa yang mahu diberi. Ya, saya sudah pun mendapat ketiga-tiga novel yang ingin saya kaji iaitu Menteri, Perdana dan Patriarch. Menurut penyelia, ketiga-tiga novel yang saya pilih berdasarkan perbincangan dengan beliau merupakan karya yang kuat. Pancaran kuasa dan wibawa menerusi teori hegemoni sangat kuat dalam novel tersebut. Ya, saya sudah membaca novel Perdana Sabtu lalu. Dengan sedikit pengetahuan yang ada tentang teori hegemoni, dapat juga saya membuat lima halaman catatan tentang Perdana. Patriarch merupakan kajian psikologi saya semasa di semester dua dan saya sangat menyukai novel tersebut. Bagi projek ini, saya akan membacanya lagi untuk kali yang keempat. Menteri pula baru sahaja saya dapatkan daripada seorang sahabat yang menuntut di Akademi Pengajian Melayu, UM.

"Bila kita nak mula?" tanya penyelia.

"Entah, ikut Enciklah."

"Saya tunggu Tiha sedia saja." kata beliau.

"Okeylah, saya xerox dulu esok." jawab saya ringkas.

Saya sudah hampir kehilangan separuh diri saya yang dahulu. Saya sendiri tidak mahu begini. Saya berharap agar yang separuh itu akan segera kembali. Banyak perkara yang saya perlu lakukan dan saya sangat perlukan yang separuh itu. Kembalilah. Semoga saya dapat merealisasikan tajuk Citra Intelektual Subaltern dalam Novel Terpilih Shahnon Ahmad dengan cemerlang. Dengan cemerlang.

Terima kasih kepada Fandy Taher yang sudi meletakkan catatan ringkas saya dalam gambar yang dihasilkan beliau ini.

2

Isnin, saya tiba di kampus seperti biasa. Jam lapan pagi saya sudah berada di bilik seminar. Kuliah akan bermula jam lima petang. Seperti biasa saya tetap akan tiba pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, tidak suka berada lama di dalam bas. Pada jam lima, saya berada di bilik kuliah. Hanya beberapa rakan sahaja yang ada. Muncul pula masalah dengan kod kursus. Bertemu pensyarah, alih-alih kuliah batal tanpa dimaklumkan melalui apa-apa notis. Tidak mengapalah, sekurang-kurang masa kosong itu saya isi dengan menyiapkan sebuah ulasan dan membaca The Kite Runner.

3

Hari ini, kuliah bermula jam dua petang dan berakhir pada jam lapan malam untuk kuliah Keusahawanan Seni. Jam lapan malam, tiba di perhentian bas Sogo hampir jam sembilan malam, akan tiba di rumah hampir jam sebelas malam. Jam 5:30 pagi akan bersiap untuk ke kampus untuk esok dan begitulah seterus, seterus, seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan