Selasa, 19 Januari 2010

CITRA WANITA PERKASA MEMARTABATKAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU

“KALAU orang sains boleh menamakan semua spesies pokok di universiti dengan meletakkan label pada setiap tumbuhan, mengapakah tidak kita padankan pokok itu dengan pantun yang sesuai? Padahal, orang Melayu sebelum mencipta pantun akan merenung alam. Bukankah pantun itu gabungan pemikiran yang selari dan serentak, iaitu kreativiti pencipta melahirkan pembayang berdasarkan alam semula jadi dan kaitannya dengan maksud.” (Nisah Haron, 2009).

Hujah yang dilontarkan Profesor Madya Dr. Ainur Mustika merupakan satu gagasan pemikiran yang mencitrakan pendirian watak utama ini sebagai pejuang sastera yang sedaya upaya cuba melestarikan puisi tradisional di tengah hiruk-pikuk dunia moden. Lentera Mustika memaparkan perjuangan Ainur Mustika yang terpaksa berhadapan dengan liku hidup sebagai pejuang puisi tradisional yang sering dipandang enteng oleh masyarakat masa kini. Walau bagaimanapun, perjuangan Ainur Mustika dilihat hanya sebahagian daripada rentetan pengalaman hidupnya yang lebih pelbagai. Memaparkan rantaian plot secara kronologi, pengarang memberikan pelbagai ujian hidup kepada Ainur Mustika yang sudah lama bergelar yatim piatu dan menumpang kasih Mak Long dan adik sepupunya, Jasmarina.

Sebagai wanita yang bekerjaya dan berpendidikan tinggi, status perkahwinan Ainur Mustika yang masih belum berkahwin waima sudah menghampiri usia 30-an membuatkan Ainur Mustika sering dijadikan bahan bicara oleh orang-orang Kampung Batu Berendam. Hal ini berikutan stigma masyarakat yang sering kali melihat wanita lanjut usia seperti Ainur Mustika dan masih belum diikat dengan tali pernikahan sebagai bermasalah. Namun begitu, watak Ainur Mustika tidak dilemahkan dengan pandangan-pandangan sinis masyarakat sekitarnya. Pengarang cuba memberi penekanan betapa perlunya penelitian yang sempurna dilakukan sebelum seseorang itu bersetuju untuk memikul tanggungjawab selaku suri di hati seorang bernama suami dan ibu kepada anak-anak.

Sementelahan itu, kecekalan Ainur Mustika diuji dengan kehadiran lelaki-lelaki yang cuba mengemis cinta seorang Ainur Mustika. Menariknya, strata usia para lelaki terbabit adalah dari pelbagai golongan. Baik yang berusia mahupun yang lebih muda daripada Ainur Mustika. Kehadiran empat lelaki berbudi ini menjentik nurani Ainur Mustika untuk terus tekal memohon petunjuk Allah dalam memberikan seorang pelindung yang terbaik untuk dirinya. Bermula dengan kisah cinta tidak kesampaian antara Ainur Mustika dengan Syed Amirul Hakim yang pernah menambat hati wanita Ainur dengan kecintaan yang sama terhadap puisi tradisional, wanita perkasa jiwa ini diuji dengan budi dan cinta yang cuba dihulurkan Dr. Rozario iaitu rakan sejawat serta Zul Farhan, seorang mantan anak murid yang begitu ingin menjadi pelindung setia kepada mantan gurunya itu.

Dalam masa yang sama, pembaca dibiarkan tertanya-tanya tentang kisah cinta pelbagai yang disajikan pengarang sebagai kepada watak utamanya, Lentera Mustika merupakan naskhah kreatif yang sarat dengan ilmu, pemikiran dan kemahiran yang boleh memberi nilai tambah dalam pengalaman perasaan dan fikiran pembaca. Hal ini diperkukuhkan dengan kehadiran ilmu undang-undang berkaitan perumahan, poligami dan tuntutan putus tunang yang dialami oleh watak Dahlia dan Jasmarina. Emir Johan, lelaki yang akhirnya menjadi pemilik sekeping hati Ainur Mustika dijadikan pengkarya sebagai landasan dalam menyampaikan ilmu berkaitan undang-undang menerusi kerjaya peguam yang disandang Emir Johan. Sungguhpun penulis cuba memasukkan inti pati elemen perundangan tersebut dengan sejelas mungkin, gaya bahasa yang santai ditambah dengan pemanfaatan unsur dialog yang menarik dan bernada intelektual membuatkan pembaca tidak terasa bagai dipaksa menerima segala input tersebut tanpa rela.

Sementelahan itu, gagasan pemikiran yang melihat nilai komerisal dalam kesusasteraan melalui pengimejan puisi tradisional merupakan satu tindakan terpuji pengkarya. Profesor Madya Ainur Mustika sebenarnya merupakan medium yang digunakan oleh penulis dalam menyampaikan gagasan ini. Melihat peri penting usaha melestarikan kesusasteraan terutamanya puisi tradisional yang kian terpinggir dalam arus dunia moden, terdapat pelbagai saranan rasional yang disampaikan melalui Profesor Madya Ainur Mustika yang sebenarnya sangat wajar untuk diberikan pertimbangan bukan sahaja oleh watak-watak seperti Dr. Lazim dan Emir Johan sebaliknya oleh khalayak pembaca, masyarakat umum dan pencinta sastera khasnya. Antara cadangan Profesor Madya Dr. Ainur Mustika yang difikirkan sangat wajar untuk diamati bersama adalah meletakkan rangkap-rangkap pantun di setiap pokok sekitar universitinya sebagai cara memasyarakatkan pantun.

Intihanya, Nisah Haron merupakan seorang pejuang feminis dan sastera yang mengadun citra keperkasaan wanita dan keunggulan sastera sebagai pembijaksana khalayak. Susur galur narasi yang baik menjadikan Lentera Mustika mudah diterima pembaca pelbagai golongan. Di samping itu, keistimewaan karya ini terletak pada kesungguhan pengarang memanfaatkan kepelbagaian diksi Melayu yang kurang digunakan seperti pramusaji. Oleh hal yang demikian, Lentera Mustika merupakan karya fiktif yang serius dalam mengangkat peranannya sebagai sebuah karya yang baik dengan memberikan kebenaran dan membijaksanakan pembaca tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan sebagai santapan konvensional masyarakat pembaca melalui penerapan nilai estetika sastera yang tidak dilepas pandang.

3 ulasan:

  1. Salam dari bumi Puteri Santubong. Semoga penulis blog ini sentiasa dalam keadaan sihat walafiat. Akak masih menguliti karya terbaru Puan Nisah Haron itu. Belum berkesempatan menghabiskan bacaan lantaran masaku yang terlalu dicemburui oleh kesibukkan tugas baru. Membaca Lantera Mustika memberikan akak pelbagai ilmu dan pengetahuan, baik pantun, perundangan dan masalah hati seorang wanita. Ketika membaca karya tersebut, adakalanya terasa konflik itu ada persamaan dari sebahagian diri ini. Puan Nisah semacam memahami masalah yang kebanyakkan wanita lalui. Apa tidaknya beliau tentunya kaya dengan pengalaman menempuhi hidup. Lantas menjadikan medan penulisan tempat beliau mnumpahkan idea untuk dikongsi bersama para pembaca. Apa pun ia benar-benar memberikan sesuatu kepada saya dan sesiapa yang membacanya.

    BalasPadam
  2. Assalammualaikum Kanda Norbaya yang diingati,

    Terima kasih atas kesudian untuk sering bersinggah di laman ini. Ya, sudah tentu jalinan pengalaman dan ilmu yang beliau ada disatukan dengan baik bagi menghasilkan naskhah baharu yang sebaik ini.

    Selamat membaca, kak.

    BalasPadam
  3. salam...mkin satu kbetulan..saya pun tgah mmbuat kritikan novel lentera...bg sbjek novel Melayu..tjuk esei sya Suara kewanitaan dalm lentera mustika..

    BalasPadam