Rabu, 29 Disember 2010

DIA YANG MENGEJAR

(Detik Rakaman Malam Tahun Baru)
Waktu berdiri di pintu perpisahan
kami melihat dia di sahara buana yang
berlari mendekat, cuba
menggoda batin baru dalam wadi keinsafan.
Ya, dia itu kami lihat berlari
-laju dan penuh emosi-
bagai gergasi safih yang berlumba mendakap rakus
atma baru kami.
Ketika disapa pendeta yang melihat kebobrokan tingkahnya, dia berkata riak
“Ah, jangan kautanya apa-apa. Yang kuperlu ialah mereka.”
Sambil telunjuk angkuhnya menuding ke arah kami yang
tetap tegar ingin menutup gapura masa, bersama-sama.
“Kami tidak mahu ketemu dia lagi, kami ingin menyambut hari baru
dengan jiwa pendosa insaf.”
Tetapi si gergasi safih tidak mahu mendengar
langkah diatur dengan derap berhawa.
Dia berhenti tepat di hadapan kami
memandang dengan sayu yang meruntun hati
memohon dengan simpati agar dia tidak kami biar sepi.
Kami memandangnya dengan biasa
“Kauhanya sejarah silam yang pernah
membuat kami terbungkam dalam pelukan noda dan tawa dunia.
Atas segala itu, memang kauhanya perlu menjadi sejarah
yang tidak akan kami bongkar dalam peri hidup kami,
walau seribu tahun lagi.”
WARDAH MUNIRAH
Fakulti Penulisan, ASWARA
Berita Minggu, Disember 2009

Jumaat, 24 Disember 2010

MATINYA SEORANG PATRIOT: FILEM MERENTAS ZAMAN

"BAPA mahu kamu menghayati apabila Tuah berkata "kesetiaan tidak boleh dipersoalkan". Bapa juga mahu kamu semua mengerti apabila Jebat berkata "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah"." Frasa yang diujarkan Haji Shaaban (lakonan Mustafa Maarof) melalui adegan dia memberi pesanan kepada lima anak lelakinya dalam arena persilatan ialah falsafah yang menjadi landas perjalanan filem ini. "Matinya Seorang Patriot" ditayangkan pada tahun 1984 terbitan ZHA Film Production Sdn. Bhd.

Permulaan kisah ini adalah kematian Haji Shaaban. Adegan pengebumian Haji Shaaban dan ratapan isteri serta anak-anaknya. Sebagai seorang ketua persatuan politik dan penghulu Kampung Tualang yang begitu disegani dan dihormati, kematian Haji Shaaban yang begitu berpengaruh sewaktu hayatnya membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh politiknya dalam Melati Holdings untuk merampas kepercayaan masyarakat terhadap Haji Shaaban. Ahli Lembaga Pengarah bersepakat untuk memujuk lima anak syarikat Melati Holdings yang dipegang Haji Shaaban sebelum itu agar beralih kepada mereka bertiga (Yusoff, Jamali dan Kadeem).

Sebab akan kematian Haji Shaaban hanya diketahui khalayak penonton apabila watak Safuan (Zain Zulkifli) memberitahu ibunya betapa dia dan adik-adiknya mengetahui akan sebab kematian ayahnya. Adegan ini jugalah yang membongkar rahsia ibu mereka. Dato' Yusoff yang dilanda rasa takut setelah Jamali dan Kadeem mati dibunuh secara misteri akhirnya pergi ke rumah Safuan untuk bertemu dan mengakui kesalahannya kepada isteri Haji Shaaban. Melalui Dato' Yusoff, Jamali yang mempunyai maklumat mengenai sejarahnya sebagai model lucah kepada seorang Inggeris sebelum berkahwin dengan Haji Shaaban ialah alat paling berkesan untuk menjatuhkan Haji Shaaban. Kadeem dan Jamali yang menemui Haji Shaaban dan membongkar rahsia isterinya itu menjadi terkejut lalu diserang sakit jantung yang membawa kematian.

Safuan, Saiful, Sabri dan dua saudara lagi telah tekad untuk menuntut bela atas kematian Haji Shaaban. Saiful yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Syarikat Leong telah mengambil peluang untuk menjadi dekat dengann Yohanis, anak tunggal Dato' Yusoff sebagai memenuhi agendanya membalas dendam. Walau bagaimanapun, Saiful (Eman Manan) telah jatuh cinta dengan Yohanis sekali gus melanggar janjinya dengan saudara lain untuk melunaskan dendam mereka.

Di antara permulaan dan pengakhiran naratif, beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh individu yang mahir dengan silat telah membuatkan khalayak menyangka bahawa Saiful yang melakukannya. Pembunuhan Jamali dan Kadeem dengan kejam menimbulkan persoalan. Hubungan cinta Saiful dengan Yohanis seolah-olah menjadi wadah penyampaian secara samar bahawa mangsa seterusnya yang akan dibunuh oleh Saiful ialah Dato' Yusoff, ayah Yohanis. Namun demikian, khalayak akhirnya diberitahu bahawa Saiful tidak langsung termasuk dalam segala urusan pembunuhan yang menimpa Jamali dan Kadeem. Sebaliknya, Safuan dan empat saudara lain yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan. Keempat-empat mereka menyerah kepada polis dan bersetuju bahawa Yohanis tidak bersalah dan tidak boleh diapa-apakan. Yohanis dijadikan sandaran agar menyayangi dan menjaga Saiful dengan baik.

Selain membawa kisah dendam, perjuangan menuntut bela, filem yang ditulis dan diarahkan oleh Rahim Razali ini mengangkat isu politik dan budaya yang kekal menjadi topik perbincangan sepanjang zaman. Kepincangan politik yang wujud dalam Melati Holdings tercitra melalui imejan rasuah ahli lembaga pengarah, kedunguan Dato' Yusof sebagai pengerusi yang gagal memimpin ahli lembaga pengarah serta isu rasuah yang dilakukan Jamali dalam 'membeli' kepercayaan lima anak syarikat Melati Holdings. Dalam masa yang sama, "Matinya Seorang Patriot" dengan lantang mengutarakan perbincangan kebudayaan dan kesenian tradisional / tempatan yang seolah-olah terpinggir akibat daripada keghairahan golongan yang begitu mahu mengangkat nilai budaya universal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Melalui watak Hasnol, kebudayaan tradisional dianggap sebagai mundur. Bagi menjayakan sesebuah persembahan, budaya atau seni universal itu perlu digabungjalinkan agar seni tradisi yang dibawa tidak memperlihatkan unsur perkauman. Fikiran Hasnol ini ditentang oleh Saiful dan Yohanis yang menganggap seni tradisional itu telah pun bersifat universal apabila contoh tarian zapin dan inang yang diberikan sebenarnya telah pun menerima pengaruh dari Parsi mahupun Arab.

Selain naratif dan pemikiran yang dibawa, filem ini juga menarik apabila berjaya bermain dengan visual dalam menyampaikan makna yang tersirat. Perlambangan-perlambangan dalam setiap adegan yang dipaparkan memberi bayangan kepada khalayak untuk berfikir. Dari aspek penggunaan dialog, jelas sekali filem yang pernah memenangi tujuh anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) ini memanfaatkan penggunaan dialog yang singkat namun padat. Hal ini sejajar dengan fungsi layar putih itu sendiri yang seharusnya lebih bermain dengan unsur visual sebagai penggerak cerita dan bukanlah dialog semata-mata seperti yang wujud dalam kebanyakan filem kini. Permainan psikologi dan gambaran awal tentang pembunuhan melalui watak ibu kepada lima bersaudara sangat menarik walaupun jarang dilakukan.

Anugerah yang dimenangi "Matinya Seorang Patriot"
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Jurukamera Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Pengarah Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Penyunting Filem Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-5 (1984) : Lakon layar Terbaik

Meskipun filem ini mempunyai naratif, sinematografi dan landas penggayaan yang menarik, sisi kaca mata seorang Islam tentunya tidak dapat menerima sebarang adegan dan paparan yang boleh disifatkan sebagai melampau. Adegan cinta Yohanis dan Saiful, adegan kekasih gelap Jamali dalam bilik mandi ialah adegan-adegan yang menjatuhkan karya ini untuk dilihat sebagai terbaik secara keseluruhannya apabila diadunkan dengan nilai dan falsafah pemikiran Melayu-Islam yang membugar dalam karya ini. Walau bagaimanapun, kecemerlangan karya ini dalam mengangkat wacana besar dengan aspek penghasilan yang bermutu tidak dapat dinafikan. Sungguhpun karya ini sudah berusia lebih daripada dua dasawarsa, garapan dan inti di dalamnya masih wajar dan bersifat merentas zaman.

Rabu, 15 Disember 2010

SHAHNON AHMAD DALAM ESEI DAN KRITIKAN

MATTHEW ARNOLD dalam The Function of Critism at the Present Time menyifatkan kritikan bukanlah satu jalan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, kritikan adalah satu jalan untuk menganalisis sesebuah karya sasterawan dengan cara yang sistematik dan beralasan. Dalam dunia kesusasteraan, kritikan mempunyai peranan yang penting dalam memberi penjelasan akan sesebuah karya yang dihasilkan sasterawan. Kritikan berfungsi untuk mendekatkan jarak antara pembaca dengan karya, membetulkan salah persepsi antara pembaca dengan karya dan karyawan serta memberi ruang kepada pembaca aktif untuk melihat aspek dalaman sesebuah karya. Hal ini kerana, tidak semua pembaca mampu melihat aspek dalaman dan gagasan pemikiran pengarang sekiranya pembaca hanya dapat melihat dan membaca lapisan awal karya semata-mata. Dengan bantuan kritikan, pembaca akan dapat meneliti dan menganalisis setiap inci perkara yang dibangkitkan pengarang dalam karya yang dihasilkan.

Atas faktor kepentingan kritikan dalam lapangan kesusasteraan, usaha pihak-pihak bertanggungjawab untuk menghimpunkan segala esei dan kritikan mengenai sasterawan dan karya-karya mereka adalah sangat penting. Usaha ini akan menyumbang manfaat yang besar kepada industri sastera negara. Dalam masa yang sama, hal ini akan mendekatkan khalayak dengan karya yang secara tidak langsung mengangkat martabat sesebuah karya sama ada di peringkat nasional mahupun supranasional.

Buku Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007 ini menghimpunkan 23 buah esei dan kritikan mengenai Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Esei dan kritikan yang terhimpun dalam buku ini ditulis dan disumbangkan oleh para pengkritik yang terkemuka dalam lapangan kritikan sastera negara seperti A. Teeuw, Umar Junus, Ungku Maimunah, Faizal Musa dan Sohaimi Abdul Aziz. Buku yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar ini dilihat sebagai langkah permulaan dalam menghimpunkan perbincangan mengenai Shahnon Ahmad dan karya-karya beliau. Antara karya beliau yang disentuh dalam buku ini ialah Rentong, Perdana, Patriarch, Sampah, Seluang Menodak Baung, Srengenge, Kemelut, Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda dan Tunggul-tunggul Gerigis.



Permulaan buku ini menampilkan tulisan Mohd Yusof Hasan berjudul "Riwayat Hidup Shahnon Ahmad". Bersesuaian dengan judulnya, esei ini memperincikan perihal peribadi dan biodata Sasterawan Negara ke-2 yang dinobatkan pada tahun 1982. Tulisan ini mendedahkan khalayak pembaca akan kehidupan kedesaan, keluarga dan pendidikan Shahnon Ahmad. Beliau yang merupakan anak kedua dan bongsu yang lahir pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah. Anak kepada pasangan Haji Ahmad dan Hajah Kelsum ini pada awalnya mendapat pendidikan Inggeris dan kelulusan gred ketiga dalamm Sijil Persekolahan Senior Cambridge. Meskipun dikenali sebagai seorang yang pemalu dan pendiam, Shahnon sering menunjukkan bakatnya dalam seni lakon yang berunsur jenaka. Unsur jenaka yang ada dalam diri beliau itulah yang membawa beliau masuk ke ruang dunia sastera.

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) masih dianggap sebagai mahakarya Shahnon Ahmad. Karya yang mengetengahkan pertembungan antara manusia dengan alam ini sangat popular dan terus menjadi perhatian para pengkritik untuk menyelongkar ruang terdalamnya. Kisah kehidupan keluarga Lahuma di Kampung Banggul Derdap yang menyayat hati akan sering menjadi ingatan para pembacanya. Kegilaan Jeha pascakematian Lahuma dan susah payah Sanah meneruskan kehidupan usai kematian Lahuma dan kegilaan Jeha sering dianggap sebagai bala dan malapetaka bertimpa-timpa yang dberikan Shahnon terhadap keluarga Lahuma. Sekali pandang, karya dengan pengulangan penderitaan Lahuma hingga diwarisi Sanah seolah-olah gambaran betapa kehidupan manusia itu hanya dihujani dengan bala daripada Tuhan. Sesetengah pihak berpendapat mahakarya Shahnon Ahmad ini sebagai pesimis dan tidak menyumbang kepada pembangunan insan.

Walau bagaimanapun, kritikan yang ditulis oleh Ungku Maimunah dengan judul "Ranjau Sepanjang Jalan: Bacaan Ala Fabel" menjawab persepsi khalayak yang menganggap Ranjau Sepanjang Jalan sebagai negatif dan pesimis. Menurut Ungku Maimunah, kebanyakan kritikan yang menampilkan kelemahan RSJ mungkin timbul lantaran soalan-soalan yang diajukan itu bertolak daripada pendekatan dan perspektif yang bercanggah dengan skema dan matlamat akhir RSJ itu sendiri. Atas dasar itulah karya ini dianggap sebagai tidak logik serta tidak munasabah. Namun demikian, pembaca buku ini akan mendapat satu sudut pandangan yang lebih bernas dan mampu melihat isu sebenar yang dibangkitkan RSJ sekali gus mendapati salah persepsi kepesimisan dan negatifnya karya ini. Melalui "Ranjau Sepanjang Jalan: Satu Bacaan Ala Fabel", pembaca akan dapat memahami hakikat pemikiran retrospektif Shahnon Ahmad.

Pengulangan cerita dan bala yang menimpa Lahuma, Jeha dan Sanah adalah stategi pengukuhan Shahnon Ahmad dengan paparan falsafah "Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla" yang diulang sebanyak empat kali. Antara esei dan kritikan yang turut menarik untuk diambil perhatian ialah "Srengenge: Simbolisme Konflik Nilai" dan "Seluang Menodak Baung: Rakyat dan 'Ubi Gadung'" oleh Mohd Yusof Hasan, "Novel Shit: Satu Bacaan Satira " oleh Faizal Musa dan "Antara yang Terpapar dan Terselindung di Sebalik Tok Guru" oleh Mohd Shokkeri Haji Ismail.

Demikianlah kepentingan buku ini untuk dimiliki oleh para pelajar jurusan sastera, pembaca aktif yang mahu melihat lapisan demi lapisan karya Shahnon Ahmad dan peminat dunia kritikan yang ingin menambah ilmu pengetahuan baik dari aspek pemahaman terhadap aplikasi teori mahupun pendekatan dan pemahaman terhadap pemikiran sasterawan negara yang cukup prolifik ini juga.

JANGAN, JANGAN


Jangan berkata jika hanya ada dusta.
Jangan berjanji jika ada rencana untuk mungkiri.
Jangan berharap jika sudah nampak lorong gelap.
Jangan menanti jika tahu tiada akan kembali.

Ahad, 12 Disember 2010

SURAT SAYA UNTUK ANDA

SALAM BUAT ANDA,

Buat Anda yang diingati dalam doa dan hati. Semoga Anda sentiasa bahagia dan diredai Ilahi. Hanya bicara biasa dari sekeping hati setelah lama merenung bulan di tengah malam ini. Di malam Disember ini. Saya teringat akan Anda. Terkenang peristiwa Disember yang lalu.

Apakah Anda masih ingat Disember yang lalu? Pada satu petang, ketika kita mahu pulang. Saya tidak mengenali Anda tetapi Anda mengenali saya. Anda seorang yang peramah, mesra dan mudah dibawa bicara. Dalam ramah Anda itu, ada tegas yang tidak boleh diusik. Ya, di dalam lif itu. Di hujung Disember itu, anda menegur saya yang tergesa-gesa masuk dengan sekaki payung yang sentiasa menjadi teman kalau-kalau hujan mahu mengiringi saya pulang.

Anda memanggil saya dengan nama pena itu sedang saya berdiri benar-benar di depan pintu lif. Membelakangi Anda. Saya menoleh dan cuba mengenali Anda tetapi memang benar, saya tidak kenal akan Anda ketika itu. Saya tertanya-tanya malah bertanya berkali-kali kepada Anda "Siapa ya? Kita kenal?", tetapi Anda hanya tersenyum simpul dan enggan menjawab. Anda menyebut pula laman maya saya itu.

Oh, Anda sengaja memancing rasa ingin tahu saya tentang Anda apabila menyebut nama laman maya saya ini. Sekali lagi saya bertanya "Siapa ya?" Penuh teruja untuk mengenali Anda. Akan tetapi, Anda hanya senyum dan masih enggan memperkenalkan diri. Sebaik-baik lif terbuka, Anda keluar. Saya juga keluar. Anda melambai ke arah saya yang masih menanti dengan sekaki payung itu kalau-kalau Anda ingin memperkenalkan diri. Saya mencuri pandang tanda nama Anda, akan tetapi Anda segera menutupnya. Ah, Anda sengaja memancing pertanyaan saya yang saya bawa pulang hingga ke rumah.


Anda yang diingati,

Itu detik perkenalan kita. Setahun yang lalu, dalam Disember yang lalu. Allah mempertemukan kita dengan cara yang direncana-Nya. Terima kasih kepada-Nya kerana mempertemukan saya dengan Anda. Meski sentiasa berjarak, banyak perkara yang saya timba daripada Anda.

Anda yang diingati,

Maaf andai warkah maya ini tidak anda senangi. Seperti kata tadi, saya melihat bulan di tengah malam ini dan segera teringat akan Disember yang telah berlalu pergi setahun lalu . Anda suka membaca dan pantas membaca. Anda membaca saya yang punya tingkap begitu kecil. Anda mengetuknya perlahan, dan lantas saya membuka sedikit demi sedikit. Menjenguk keluar dan melihat Anda berdiri sambil tersenyum. Anda, lantas saya jemput masuk dengan hati gembira. Pernah saya berasa sedikit terguris apabila mengetahui sesuatu yang Anda lakukan untuk saya, tanpa pengetahuan saya. Cuba saya menjarakkan diri daripada Anda namun saya tahu yang salah ialah saya, salah mentafsir bantuan Anda. Saya metah muda dan begitu mudah rajuknya. Saya diam seketika. Namun, keprihatinan Anda membuang rasa yang tidak indah itu dan lantas kita bersama menjejak awan biru. Maafkanlah saya. Anda dan saya, ditakdirkan bertemu. Tanpa kita rancang. Tanpa pernah saya duga.

Malam yang dingin ini,

Setahun itu telah berlalu, saya memang suka mengingati detik-detik penting seperti itu. Sampai bila-bila, saya tidak akan lupa.

Kepada Anda, saya ucapkan terima kasih kerana sudi membuka ruang perkenalan yang indah ini. Mata Anda bagaikan helang, persis mahu melihat segala isi di dalam. Selalunya, saya mengelak untuk memandang mata helang Anda itu namun saya tetap suka dan gembira melihat dan bertemu dengan Anda. Hikmah bicara Anda sentiasa memberi sesuatu walau ada ketika berat untuk saya terima. Bukan salah Anda, tetapi saya yang belum mampu terima.

Buat Anda yang diingati.

Semoga Anda bahagia dan diredai Ilahi. Terima kasih atas perkenalan ini dan maafkan saya andai ada kekurangan dan kesalahan saya sepanjang setahun perkenalan ini. Terima kasih, atas huluran ukhwah ini. Tiada apa-apa yang mampu saya beri kepada Anda tetapi Anda sentiasa memberi kepada saya. Maafkan saya, andai saya pernah menganggu harmoni jiwa dan bahagia masa Anda. Semoga Allah memberkati Anda sentiasa. Terima kasih, Anda.

Yang benar,

saya

Sabtu, 11 Disember 2010

BULAN MALAM



Bulan suram di tengah malam
ada debar di dada kelam
sejenak kabur ditelan bayang
Bulan suram kembali terang.

Selasa, 7 Disember 2010

SIAPA YANG TAK PERNAH MENANGIS

Siapa yang tidak pernah menangis
di hujung setiap ketawa dan lupa.

Siapakah di antara kita
yang memalingkan muka
ketika mendengar kalimah Tuhan?

Banyak bakti yang dapat diberi
sepanjang hidup yang sesingkat ini
lautan manusia berombakkan nafsu
kebenaran terdampar di pantai kecewa.

Air mata seperti mutiara
apakah itu rasa keinsafan
rintihan dari hati yang rindu
apakah itu hakikat cintamu?

Lagu: Zubir Ali
Lirik : Nazri

Tuhan,
kembalikan hamba satu ruang
agar hamba betah membuang segala bungkam
kelam dan tangis pendam
tanpa, ada insan kelihatan.

~NFF~

Isnin, 6 Disember 2010

BAHAGIA SAMPAI KE SYURGA

SAYA pulang agak kecewa setelah sesi yang seharusnya berjalan hari ini ditunda tiba-tiba. Ya, memang kecewa apabila setiap kos yang keluar dibawa pulang tanpa apa-apa imbuhan. Hujan renyai mengiringi perjalanan saya merentasi Padang Merbuk, terus ke perhentian bas di Sogo. Syukur, sebaik-baik melintasi laluan pejalan kaki, bas Metro 11 tiba. Rasa kantuk dan mendung cuaca membuatkan saya alah dengan lelah mata untuk berjaga. Dalam separuh sedar, saya melihat sepasang warga tua yang menaiki bas di depan Hotel Quality. Mereka duduk di bahagian sebelah saya, berdepan sungguh dengan pintu bas. Kedua-duanya rancak berbual.

Saya tertidur dan jaga semula di depan Masjid Amaniah, Jalan Sungai Tua. Hujan sudah turun mencurah-curah. Jam di pergelangan tangan saya lihat, jam 3:30 petang. Menghampiri perhentian bas, saya lekas berdiri di depan tangga pintu. Pasangan warga tua yang memang pikun dari rupa paras itu juga bangun. Barangkali mereka tinggal berhampiran kejiranan saya juga. Mereka memegang beberapa bungkus beg plastik Mydin. Pasti mereka dari pasar raya Mydin di Kuala Lumpur. Ketika bas hampir berhenti, pak cik itu meminta beg plastik daripada mak cik itu. Namun, mak cik enggan memberikannya dan berkata "tak apa, tak apa. Cepat, hujan ni."Pak cik membuka payung kecil warna ungu yang boleh dilipat. Mereka berdua-duaan meredah hujan petang itu bersama-sama. Tangan kiri mak cik memegang tangan kanan pak cik yang mengenggam erat kaki payung ungu itu. Hujan terus-terusan turun. Saya menumpang teduh di dalam sebuah kedai.

Mata saya raghib terus melihat pasangan pikun itu terus meredah hujan. Berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka. Saya sempat menjeling ke arah beg plastik pak cik yang berisi biskut. Barangkali mereka tinggal berdua sahaja. Barangkali mereka tiada sesiapa di rumah sehingga mereka perlu berjalan kaki masuk ke kawasan perumahan yang tidak dekat itu. Jarak perjalanan kaki ke rumah saya saja hampir 20 minit. Namun, pak cik dan mak cik itu tetap sanggup meredah hujan dan berjalan kaki bersama-sama. Pandangan saya mengiringi perjalanan mereka hingga mereka hilang, lenyap.

Pandangan itu, peristiwa itu dan pasangan pikun itu begitu memberi kesan kepada saya. Betapa, pada usia pikun begitu mereka boleh dan tetap mahu bersama-sama. Mahu berjalan, berpegangan tangan dan meredah hujan bersama-sama. Mahu tetap melawan sakit dan lenguh kaki untuk pulang ke rumah yang barangkali bagaikan syurga bagi mereka.

Tidak semua pasangan mampu menjadi seperti mereka. Mampu memanfaatkan segenap hidup dan melalui liku perjalanan seperti mereka, hingga usia yang begitu senja. Itulah pengalaman saya. Meskipun saya kecewa dengan pembatalan tiba-tiba itu. Mengenangkan kos keluar rumah yang terbang bagai debu dan masa bersama ibu yang terpaksa dipinjamkan untuk sesi yang batal itu, saya fikir Allah memberi saya sesuatu dengan kemunculan pasangan tua itu pada akhir perjalanan saya petang tadi. Oleh sebab itu, pak cik dan mak cik itu yang sedang berjalan meredah hujan bersama sekaki payung ungu masih terbayang-bayang di pandangan mata.

Semoga, mereka bahagia hingga ke syurga.

Rabu, 1 Disember 2010

CERITERA TENTANG GADIS KECIL DAN BIDADARI

GADIS KECIL berdiri di tepi pintu
wajahnya basah
dan ada getar pada tubuh.

Gadis Kecil melihat Bidadari, yang semakin hilang.
Perlahan-lahan naik ke langit
sirna, tanpa langsung menoleh ke belakang.

Gadis kecil tunduk, menekur lantai kusam.
Sesekali, dia merenung kelam suram
yang dimamah warni hitam di balik tubuh.

Gadis Kecil terasa lututnya menjadi goyah.
Dirinya semakin kecil, kerdil
makin kecil
semakin kecil
semakin kecil.

Bidadari sudah pergi dan berjanji
tidak kembali.
Gadis Kecil membantah,
dia belum betah sendiri.
Diam-diam, titis demi titis mengalir
pipi Gadis Kecil terus basah
sembap dan basah lagi.
Kata Bidadari satu ketika "Percayalah pada diri. Gadis Kecil tidak
kecil. Gadis Kecil sudah dewasa. Sudah kuat
menempuh hari muka. Beranilah, Gadis.
Susun langkahmu ke luar gapura. Di sana bahagia sudah menanti
untuk dirimu, jika kau mahu."

Tangan halusnya memegang jenang pintu
dalam esak tangis,
Gadis Kecil menjawab sendiri
"Dunia di luar itu menakutkan,
seperti yang selalu ada dalam sasakala penglipur lara."

Rintik tangis semakin luruh.
Gadis Kecil mengenang Bidadari
terus mengharap Bidadari kembali
pulang dan mendakap diri.
"Jangan biarkan aku sendiri!" Jerit Gadis, kuat di dalam diri.

Pipi Gadis Kecil basah lagi
Bidadari.
Bidadari yang mengajarnya untuk menangis
sedang dia dahulu tidak pernah menangis.
Bidadari,
Bidadari juga mengajar dia untuk berani
kata Bidadari "Hidup dalam takut bagai tangan menggores jiwa,
membiarkan hati bernanah dalam, pedih dan basah sentiasa,
terus berdarah, tidak akan sembuh. Gadis, harus berani."

Bidadari sudah pergi
tidak akan kembali
dan, tegar tidak akan kembali.

Gadis Kecil terasa kecil.
Namun, harap tetap ada
agar Bidadari memberi simpati
pulang kembali,
menemani dan melindungi
Gadis Kecil di pinggir sepi
di ruang kelam
tanpa jendela
yang ada, hanya gapura.

Gadis Kecil, melihat ke luar dengan aneka rasa
ada cahaya, ada lambaian warna
tangisnya menjadi sunyi
bisik Bidadari bergema dalam diri
"Bangkit wahai Gadisku, pandang ke depanmu.
Ada bahagia sedang menanti dan kau tidak akan sepi.
Cukup segala pesananku, ingatlah selalu.
Nyalakan nyali dirimu, kau tak akan terbungkam dalam kelam
melainkan, kau sendiri yang mahu terus terpinggir
dalam hitam ruang itu."

Gadis Kecil bangun perlahan-lahan
sedang getar lututnya masih ada,
tangan halusnya memegang jenang pintu,
kaki kanannya melangkah ke luar, meski berat dan payah
separuh dirinya sudah semakin hampir ke luar.
Gadis Kecil menoleh sebentar
panggilan kelam memagut jiwa
dia kembali memandang ke depan
terlihat cahaya dan bisik kata Bidadari
"Beranilah, Gadis."

Rabu, 10 November 2010

WARGA PALESTIN

di pedih hujan senjata
di musnah kota peradaban dunia
di sengsara ladang kebuluran
di hanyir banjir kematian
terdengar lagu pilu
anak hilang ayah
isteri hilang suami
perempuan hilang mahkota
lelaki hilang maruah
tubuh hilang anggota
jasad hilang nyawamenggegar rasa warga dunia
mencair tugu besi kuasa manusia
menebar sayap raksasa simpati
melenyap senyum pahit wajah sakit
warga PALESTIN.

WARDAH MUNIRAH
FAKULTI PENULISAN, ASWARA

Berita Minggu, 7 November 2010

Ahad, 7 November 2010

PANDUAN UNTUK PEMEGANG HAK CIPTA

INDUSTRI KREATIF NEGARA semakin rancak membangun. Meskipun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan industri kreatif di Barat, Malaysia seharusnya tetap berbangga dengan pencapaian kreatif yang dimiliki. Berbeza dengan industri kritikal lain yang menjurus kepada pembangunan fizikal, industri kreatif menjana perkembangan intelektual dan ketinggian nilai estetika dalam diri masyarakatnya. Pemupukan nilai intelektual dan kesedaran estetik menerusi industri kreatif adalah sangat penting, apatah lagi melihat pada kebejatan nilai moral dalam kalangan masyarakat moden kini. Industri kreatif yang mencakupi seni penulisan, muzik, filem dan sebagainya mampu menjadi landasan dalam mendidik jiwa manusia untuk menjadi lebih halus dan luas fikiran.

Sekiranya di Barat, industri kreatif telah dianggap sebagai satu industri penting yang turut memberi sumbangan besar terhadap kemajuan ekonomi negara. Sejajar dengan itu, industri kreatif di Barat sering mendapat liputan media di samping perlindungan terhadap penggiat dan karya yang dihasilkan secara serius. Penguatkuasaan undang-undang yang diaplikasikan Barat terhadap perlindungan karya dalam industri mereka wajar dicontohi. Namun demikian, masyarakat kita pula agak ketinggalan dalam menguasai ilmu perlindungan dan penguatkuasaan yang melibatkan industri kreatif tempatan. Adalah lebih mendukacitakan apabila berlaku pelbagai kes yang menjejaskan penggiat industri kreatif tanah air tidak diambil tindakan undang-undang lantaran kekurangan pengetahuan masyarakat terutamanya penggiat industri mengenai akta undang-undang yang tersedia bagi melindungi hak pengkarya terhadap karya yang dihasilkan.

Pengetahuan terhadap Akta Hakcipta 1987 adalah penting bagi setiap pengkarya agar mampu bertindak dan mempertahankan hak terhadap karya yang dimiliki.

Buku Karya Kita Hak Kita ditulis oleh Nisah Haron yang arif dalam lapangan perundangan. Bertujuan khusus memberi pengetahuan dan ilmu berkaitan hak cipta terhadap pengkarya, buku ini dibahagikan kepada 27 judul dengan satu subjudul untuk setiap bab. Penulis menulis panduan-panduan yang ada di dalam buku ini atas dasar tanggungjawab untuk memberi kesedaran berkenaan hak cipta dalam kalangan penulis yang masih lagi rendah. Gejala pengkarya yang kurang mengambil berat perihal hak cipta sebenarnya membuka lebih ruang untuk membenarkan masalah dan pelanggaran hak cipta berlaku. Oleh yang demikian, penulis memberi penekanan berkaitan hak cipta mengikut Akta Hakcipta 1987 dengan pindaan tahun 2003.

Bagi memberi pencerahan kepada pembaca terutamanya pengkarya yang serius mahu memenuhkan kantung ilmu perundangan agar tidak tersalah arah dalam dunia kreatif yang diceburi, penulis memulakan perbincangan dalam buku ini dengan judul Perkara-perkara Asas Hak Cipta. Nisah Haron menegaskan bahawa pengetahuan ini adalah sangat penting terutamanya bagi penulis rentetan daripada keterikatan yang tinggi antara hak cipta dengan penulis. Penulis juga perlu menyedari bahawa undang-undang hak cipta hanya melindungi karya yang ditulis. Hal ini bermakna, selagi sesebuah idea itu belum dipindahkan ke dalam bentuk bertaip atau material maka perkara itu belum layak dilindungi akta ini. Dalam judul yang sama, penulis dikatakan memegang hak cipta pertama bagi mana-mana karya yang dihasilkan. Sesuai dengan sifat hak cipta sebagai harta intelek, hak cipta boleh saja dimiliki dan diserah kepada pihak yang kedua dengan syarat serta kaedah tertentu (2008:20).

Sementelahan itu, penulis turut memperincikan syarat untuk sesebuah hak cipta itu layak mendapat pelindungan di bawah akta yang ditetapkan. Perkara ini dibincangkan dalam judul dua Hak Cipta Adalah Harta. Berdasarkan judul ini, pembaca atau pengkarya akan mengetahui bahawa terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi terlebih dahulu sebelum sesebuah karya itu layak dilindungi. Syarat-syaratnya adalah seperti yang berikutnya :

* Karya itu mestilah asli;
* Karya itu telah ditulis, direkod ataupun telah dijadikan di dalam bentuk bahan;
* karya itu termasuk di dalam satu daripada kategori karya yang dilindungi;
* Karya itu memenuhi syarat-syarat untuk mendapat hak cipta (2008:29)

Pelanggaran hak cipta boleh berlaku dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Dalam bab 4 Pembuktian Karya Pemilik, penulis berkongsi pengetahuan berkenaan kaedah-kaedah yang boleh dilakukan seseorang pengkarya bagi membuktikan hak ciptanya telah dilanggar. Kaedah pembuktian ini boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti pembuktian dokumen yang melibatkan salinan peribadi dan dokumentasi proses kreatif. Selain daripada itu, penulis juga menghantar manuskrip atau bahan yang telah dihasilkan ke alamat sendiri melalui perkhidmatan pos berdaftar. Kiriman yang telah diterima tidak boleh dibuka sehinggalah muncul kes pelanggaran hak cipta. Pengkarya juga boleh membuktikan hak ciptanya menerusi penggunaan Surat Akuan Berkanun dengan mendapat persaksian oleh pesuruhjaya sumpah (2008: 46-47).

Konsep hak cipta bersamaan dengan konsep harta ketara yang boleh dilihat seperti telefon bimbit, komputer riba rumah dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, hak cipta juga boleh dijual, dibeli, dipindahmilikkan, diwasiatkan atau disewakan kepada orang lain (2008:96). Dalam hal ini adalah penting bagi pengkarya agar meneliti terlebih dahulu sebarang perjanjian yang perlu ditandatangani agar tidak beBoldrlaku sebarang kesulitan pascaperjanjian dilakukan. Hal ini diperincikan oleh pengurus dalam bab 10 Hak Cipta Suatu Bentuk Harta. Judul ini menjelaskan setiap definisi dan kaedah bagi proses yang berkaitan dengan penyerahan hak cipta sesuatu karya.

Naskhah ilmiah Karya Kita Hak Kita adalah sebuah himpunan panduan yang sangat bermanfaat untuk pengetahuan masyarakat amnya, dan kepada penggiat industri kreatif khususnya. Beberapa contoh kes yang melibatkan pelanggaran hak cipta dan situasi kes ditampilkan pengarang bagi menambah daya faham pembaca. Gaya santai yang dikemukakan penerbit buku ini iaitu Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd menjadikan inti bacaan dengan pembaca menjadi lebih akrab. Paparan ilustrasi yang menarik dan santai membolehkan pembaca menguliti karya ini dengan rasa senang. Paparan kolum komik yang agak lucu dalam menyindir pengkarya yang tunailmu berkenaan hak cipta mampu menggerakkan rasa dan fikir pembaca untuk serius dalam mencerap idea dan isi kandungan buku bermanfaat ini.

Sabtu, 23 Oktober 2010

TUNGGU TEDUH DULU BUKAN CERITA CINTA BIASA

TUNGGU TEDUH DULU mengisahkan perjuangan seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan yang menguji kekentalannya sebagai wanita muslimah dan pemilik jiwa yang berpaksikan tauhid kepada Allah. Setelah kematian ayah, Salsabila Fahim berusaha mendidik rasa benci terhadap ibu tiri yang selama itu bersikap dingin terhadap dirinya, sehingga membuatkan dia mencari teduh kasih ibu saudara. Namun demikian, Salsabila Fahim mempunyai keteguhan jiwa yang jitu hasil didikan almarhum ayah dan tarbiyah usrah yang dikutip sepanjang pengajiannya di Amerika Syarikat.

Sebagai seorang anak yang mewarisi tanah arwah ayah, Salsabila Fahim tekad tidak mahu mensia-siakan tanah warisan tersebut yang menyimpan pelbagai kenangan. Tanah itu dibangunkan sebagai kawasan penanaman betik yang diusahakan bersama sahabat baiknya, Teh Sofia. Usaha membangunkan ladang Teduh Dulu bukanlah mudah kerana mendapat pelbagai dugaan. Selain berurusan dengan masalah membangunkan Teduh Dulu, Salsabila Fahim diurung resah gelisah memikirkan hubungan perasaan yang terjalin antara Lam Ping Hai, Kamil dan dia sendiri. Lam Ping Hai dan Kamil yang bersaing sejak kecil untuk memperisteri Salsabila Fahim dan terus bersaing ketika masing-masing mencapai usia dewasa.

Di sini, Salsabila Fahim digambarkan sebagai seorang wanita yang begitu sukar membuat pilihan untuk memilih calon suami yang terbaik antara Lam Ping Hai dan Kamil. Bagi Salsabila, dia tidak sanggup menghancurkan hati kedua-duanya, kelemahan Salsabila adalah kesukarannya untuk membuat keputusan yang tidak melukakan setiap perasaan. Lantas, Salsabila Fahim memohon petunjuk Allah dengan membawa diri dan ibu tirinya menunaikan umrah di Makkah. Atas kuasa Allah, Salsabila Fahim kehilangan ibu tirinya di sana dan mendapat pula suami tidak lama selepas kematian ibu tiri. Takdir yang menjawab segala persoalan cinta yang berlegar di sekitarnya sekian lama. Sazli, seorang lelaki yang lebih muda, pernah bekerja dengannya di ladang dan pernah melamar cintanya malah, menyelamatkan Salsabila Fahim daripada menjadi habuan nafsu serakah adik tiri sendiri iaitu Shahruzzaman Fahim.

Pernikahan mengejut antara Salsabila Fahim dan Sazli membuatkan Kamil membawa diri ke Sabah. Manakala, Lam Ping Hai yang menggunakan Saifullah sebagai nama Islamnya menerima segala-galanya dengan reda dan hati yang terbuka lantaran keimanannya yang kuat terhadap kekuasaan takdir Allah. Malahan, Lam Ping Hai menjadi orang kanan dalam perusahaan Teduh Dulu yang berkembang di Jogjakarta, Uganda dan pelbagai perencanaan melebarkan perusahaan ke serata dunia :

Terngiang tiba-tiba, "Aku berani Salsabila kerana dua kalimah syahadah yang aku ucapkan itu. Ia adalah ikrar dengan lidah dan terzahir keyakinan dalam hati."

Saya senyum, memikirkan sungguh-sungguh Lam memahami kata-kata atta'arif atau "aku mengaku" pada kalimat asyhadu. Juga dia mengerti dengan zahir pada syahadah, pada kalimat asyhadu tersebut ada juga kalimat akhbaru atau "aku mengisytiharkan". Dan saya tersentuh apabila Lam mengaku yang dia usai mempercayai perkara jodoh yang tidak kesampaian pada kalimat asyhadu itu juga.

"Asyhadu itu juga mengandung kalimat a'budu atau "aku tunduk". Maka Salsabila inilah caranya, menunjukkan betapa diri tunduk dengan qadak dan qadar. Tuhanlah yang lebih pandai kerana setiap satu adalah kepunyaan-Nya."

Sekali imbas, novel ini persis kisah cinta tiga segi yang berlambakkan baik dalam pasaran buku mahupun layar. Walau bagaimanapun, bukanlah isu cinta tiga segi dan perusahaan betik itu yang diutamakan. Hal ini telah pun ditegaskan oleh Salsabila Fahim sebagai narator melalui petikan berikutnya dalam bahagian Prolog:

Namun, biar saya mengingatkan, cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Ia cerita tentang pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak (2008:6-7).

Kisah kehidupan Salsabila Fahim adalah landasan falsafah yang diketengahkan pengarang secara sedar. Tunggu Teduh Dulu membawa pembaca untuk mengesan dan menginsafi semula, hakikat lafaz syahadah yang disebut berulang kali, saban hari. Mengajak pembaca mengenang kembali sirah perjanjian insan dengan Tuhan di alam sebelum kelahiran. Segala kesulitan, ujian dan dugaan yang dihadapi oleh Salsabila Fahim adalah rencana yang ditetapkan Tuhan untuk menguji takah iman setiap hamba-Nya. Segala ujian bukanlah bermaksud Tuhan berlaku zalim sebaliknya menyimpan hikmah yang hanya dapat dilihat dengan mata hati yang bersandarkan pada tauhid yang kuat terhadap kekuasaan Allah.

Salsabila Fahim seorang wanita biasa. Wataknya tidaklah sempurna dan dapat dilihat pada kebiasaan-kebiasaan yang dipaparkan sebagai wanita. Namun, kekuatan Salsabila Fahim adalah pada keteguhannya meyakini betapa setiap perkara yang berlaku terkandung dalam rahsia Allah. Ujian yang datang mengandungi rahsia dan hanya boleh disingkap dan diterma dengan iman dan takwa, itulah kejituan peribadi Salsabila Fahim.

Saya mengambil masa yang lama membaca karya ini sehingga tamat. Saya sengaja bertindak demikian. Ya, karya ini berjaya memancing pembaca untuk mengetahui pengakhirannya dari sudut Prolognya lagi. Namun, saya bukanlah pembaca yang akan segera menyelak halaman terakhir untuk segera mengetahui penamatnya. Saya tidak pernah dan tidak suka berbuat begitu. Maka, dua minggu saya peruntukkan untuk membaca hingga tamat karya ini. Saya sengaja juga membaca karya ini lambat-lambat, kerana berasa begitu tenang sepanjang membacanya. Kisah Salsabila Fahim memang bukan kisah biasa. Ya, barangkali pada permukaannya memang kisah itu hampir sama dengan kebanyakan kisah yang ada namun pengisian, pengertian yang dibawa Salsabila Fahim itulah yang membuatkannya luar biasa.

Sepanjang membaca karya ini, terutamanya pada bab terakhir sebelum Epilognya, jiwa saya terasa bagaikan air di lautan tanpa ombak besar. Terasa diri berada di atas bot di tengah segara. Terbuai dan nyaman yang bukan dibuat-buat. Berbeza sekali dengan karya Bedar Sukma Bisu yang membuatkan saya berasa lemas sehingga kini dan lelah untuk menghabiskannya. Karya ini menghanyutkan saya di tengah lautan tenang sehingga membuat saya tidak mahu pulang ke daratan. Ketenangan pada didikan yang diberi oleh Salsabila Fahim, meskipun memerlukan perjuangan yang tinggi untuk diimplementasikan.

Tunggu Teduh Dulu, naratif yang tidak sia-sia untuk dibaca berulang kali.

Khamis, 21 Oktober 2010

BAHTERA RINDU MALAM KELABU


Tuhan,
malam ini kulayarkan bahtera
rindu tanpa pesan.
Kembalikan dirinya yang dahulu
untuk aku bebas pilu;
...membuang bungkam kelam
dan mendakap kasih rindu
sungguh, dia yang dahulu
aku tunggu selalu.

Ahad, 17 Oktober 2010

TERIMA KASIH ALAM


Malam, terima kasih menjengah datang
memberi ruang untuk aku berfikir panjang.
Bulan, terima kasih setia cahaya
menyuluh langkah, untuk aku memugar gelita.
Bintang, terima kasih berbahagi sinar
...menunjuk jalan, agar tidak aku tersasar.
Alam, terima kasih segala rahsia
mendidik aku dengan variasi warna ceritera

Sabtu, 9 Oktober 2010

BAHASA JIWA BANGSA

SEBAGAI orang Melayu, saya berasa tersinggung dan terkilan dengan sikap tidak endah segelintir golongan yang seolah-olah menidakkan kehadiran bulan Oktober setiap tahun sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Tiada siaran langsung diadakan bagi majlis pelancaran BBK yang telah diadakan di Ipoh, Perak awal bulan ini seperti siaran langsung untuk setiap acara lain. Kempen-kempen sama ada di stesen radio dan televisyen kerajaan apatah lagi swasta sukar kedengaran. Lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" semakin tenggelam hilang. Sedangkan, Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

Adalah sangat mendukacitakan sekiranya pemimpin sendiri tidak memandang BBK sebagai satu agenda penting dalam memelihara martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Apakah mereka lupa betapa bahasa kebangsaan ini ialah bahasa yang menjadi komunikasi utama rakyat di Malaysia? Atau, mungkin keistimewaan bahasa ini telah semakin pudar, sirna dan kelam dalam hati dan fikiran mereka sehingga dengan begitu bersahaja megah bertutur dalam bahasa asing setiap kali berbicara dengan masyarakat melalui kaca televisyen walaupun Oktober masih awal.

Sekiranya kepimpinan dan orang Melayu sendiri meminggirkan kehadiran BBK yang hanya sekali dalam setahun, apakah yang akan terjadi dengan nasib bahasa Melayu pada masa depan? Sebuah bahasa yang pernah mengalami zaman kegemilangan, diiktiraf sebagai lingua franca oleh cendekiawan luar tetapi diperlekehkan oleh pemilliknya sendiri. Bagi saya, adalah satu hal yang mustahil untuk bahasa Melayu dipertahankan oleh bangsa lain selain bangsanya sendiri. Namun, melihat pada situasi dan keadaan genting yang dialami bahasa Melayu, tidak mustahil pula bahasa kebangsaan ini boleh berkubur tanpa nisan di tangan bangsanya sendiri yang sengaja melupakan kepentingan dan ketinggian martabat bahasa ini yang perlu dipelihara.

Setiap negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis sendiri berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Ketekalan menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing bukanlah penghalang untuk mereka menjadi maju dan digeruni oleh seantero dunia baik dari aspek kepimpinan, kemajuan dan daya saing yang tinggi. Bulan Bahasa Kebangsaan hanyalah satu simbol pengiktirafan yang menjadi usaha beberapa badan untuk mendekatkan masyarakat kepada jati diri bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi negara yang berbilang kaum ini. Namun demikian, usaha ini tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tindakan susulan tidak selaras dengan matlamat kewujudannya.

Apakah ada yang hilang ingatan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa penghantar sistem pendidikan, bahasa rasmi negara berpelembagaan, bahasa komunikasi rakyat seharian sehingga semakin dipinggirkan?

Selamat menyambut
Bulan Bahasa Kebangsaan dengan menyemai rasa cinta dan hormat akan bahasa kita ini. Semaikan di dalam nurani, bahasa jiwa bangsa. Andai hilang dan lenyap bahasa kita, maka apakah yang terjadi pada bangsa kita?

Khamis, 30 September 2010

BERFIKIR DALAM MENULIS

OKTOBER akan menjengah usia. Terasa waktu begitu cepat berlalu apabila sering saja dihitung. Berbanding awal dahulu, saya kini sudah kurang aktif untuk menulis di laman ini. Bukan kerana saya sudah malas menulis. Akan tetapi, saya perlu berfikir lebih panjang untuk menentukan tulisan yang ingin saya paparkan di sini. Sekali butang 'terbit' diklik, akan banyak implikasi yang mendatang.

Menulis di laman blog barangkali boleh dianggap sebagai aktiviti masa senggang untuk melatih kemahiran menulis. Ada juga yang menjadikan laman maya ini sebagai buku catatan harian mereka, sama ada kisah yang ditulis itu bersifat terlalu peribadi atau tidak, semuanya harus tetap diterbitkan. Tidak kurang yang menjadikan wisma ini sebagai laluan untuk membentuk gagasan fikiran dan penterjemahan sesuatu pemahaman. Memberi pencerahan mengenai gejolak budaya yang melanda masyarakat dan dunia untuk difikirkan oleh masyarakat pembaca.

Berada di atas talian tanpa sempadan sebegini sebenarnya memerlukan penulis berfikir lebih lama sebelum menghimpun aksara menjadi kata. Sekiranya tulisan itu hanya mencitrakan rupa diri yang pincang daripada ketulusan nilai murni, maka hal itu akan turut melibatkan maruah bangsa dan agama yang dibawa atas nama yang dipaparkan, atas rupa diri yang bertindak sebagai duta kepada agama, bangsa dan negara.

Berbicara keterlaluan dengan menganggap laman ini sebagai hak peribadi juga boleh mengundang pelbagai persepsi negatif pembaca, apatah lagi jika perkara yang ditulis membabitkan maruah diri, agama, bangsa, negara atau institusi yang kita diami. Keterlaluan menulis bersandarkan emosi akan memburukkan keadaan dan memberi salah tanggapan kepada orang yang bukan berkenaan.

Ada ketika, laman bebas seperti ini boleh menjadi tempat persembunyian atau juga citraan personaliti yang tidak dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Namun, kepelbagaian alasan yang dikemukakan atas setiap tulisan yang disiarkan, pemblog tidak boleh menafikan kebenaran hakikat betapa menulis di atas talian memerlukan lebih banyak perhitungan fikiran sebelum memaparkan sesebuah tulisan agar tulisan yang tersiar tidak mendatangkan implikasi dan citraan negatif kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

UNTUK ANDA DAN SAYA, SELAMAT BERFIKIR DAN MENULIS

Ahad, 19 September 2010

BICARA DARI PINGGIR SUNGAI

(Buat Ayah dan Ibu di Pagi Syawal)

Ayah,
aku masih di pinggir sungai itu
diteman dingin kelam
disapa terik siang
ada ketika,
aku tidak betah sendiri, kala
gagak hitam berparuh tajam
terbang rendah ingin mampiri
aku hanya diam,
berpura-pura tiada dan menutup mata.

Ibu,
aku masih di pinggir sungai itu
masih di tanah yang sama engkau tinggalkan dulu
masih menunggu ayah membawaku
ke rumah bahagia yang dijanjikan untukmu
janji yang kudengar tika, aku di dalam rahimmu
sedang belajar makna cinta ayah dan ibu.

Ayah,
aku masih di pinggir sungai itu
menunggu ibu dan dirimu
membawaku ke dunia baru
yang penuh warni-warna bahagia
lantas,
dingin dan terik ini aku tinggalkan.

Ibu,
aku masih menanti tiba kau bersama ayah
untuk aku rebahkan lelah dalam hangat dakapmu
seraya,
dikucup kasih ayah

dan,
kala takbir Syawal bergema
aku masih di pinggir sungai itu
menanti dengan sabar akan,
ayah dan ibu.

Berita Minggu, 12 September 2010

WARDAH MUNIRAH
FAKULTI PENULISAN, ASWARA

Sabtu, 11 September 2010

BUAT WANITA

Sumber : Iluvislam.com
SAYA tertarik benar dengan khutbah Jumaat di tempat saya (Balai Islam, Flet Pekeliling) 15 Jun lalu. Isunya mengenai kewajipan menutup aurat.
Disebabkan semua jemaah lelaki, khatib mengingatkan jemaah supaya memberitahu anak isteri supaya menjaga aurat masing-masing.
Kenapa wanita itu senang menjadi fitnah? hum..memang itulah hakikatnya.. kerana wahai wanita, Allah telah jadikan anda makhluk paling cantik dipandang mata, andalah sebaik-baik perhiasan yang mampu menarik pandangan setiap mata di sekitarmu..
01.Ada yang pakai tudung singkat. Julurnya diikat ke belakang. Atau diikat ke leher. Maka nampaklah 'kegebuan' leher dan dadanya. Sedangkan dalam khutbah tadi, khatib membacakan ayat al-Quran yang meminta wanita melabuhkan tudung, menutup bahagian dada mereka.
02.Ada pakai tudung, tapi pakai T-shirt pendek. Malah ada yang pakai T-shirt tanpa lengan. Sudah tu ketat pula. Bukankah lengan itu aurat. Bahaya mendedahkan lengan yang 'gebu' itu. Yang dahsyatnya, ada pakai T-shirt singkat yang dipadankan dengan jeans terlondeh. Jadi apabila membongkok atau duduk, nampak seluar dalam, malah kadang-kadang alur bontot.
03.Ada pakai tudung, tapi pakai jeans teramat ketat. Alur punggung pun terbelah dua. Bentuk bontot pun terserlah. Apa nak jadi ni?
04.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kebaya ketat. Tidak cukup dengan tu pakai 'kain koyak' pula. Apabila berjalan, terserlahlah 'kegebuan' betis malah kadang-kadang paha pun tersembul.
05.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kain singkat, macam skirt mini. Kaki bukan auratkah? Pakailah stokin!!!!!!!
06.Ramai perempuan pakai tudung, tapi bermekap tebal dan berwangi-wangian. Bibir merah menyala. Menunjukkan aksi seksi pula tu.
07.Ada perempuan bertudung, 'merendek' pula dengan pacar di bangku stesen bas dan pusat beli-belah. Ini menjatuhkan imej wanita bertudung.
08.Ramai perempuan suka pakai kasut bertumit tinggi. Apabila berjalan berbunyilah, tang, tang, tang. Dalam khutbah tadi, khatib memberitahu tidak boleh timbul bunyi yang boleh menaikkan syahwat lelaki.
Syahwat Lelaki
Berkenaan syahwat lelaki ini, saya berpendapat kebanyakan perempuan tidak memahaminya.
Ini kerana perempuan dan lelaki tidak sama dari segi biologi keinginannya.
Lelaki mudah saja naik syahwatnya sedangkan perempuan tidak. Kebanyakan perempuan ingat lelaki macam dia. Itu tidak benar sama sekali.
Seorang rakan saya memberitahu, satu kajian mendapati lelaki terangsang secara puratanya sebanyak 30 kali sehari. Ini sudah semula jadi. Bukan dibuat-buat. Jadi bukan sesuatu luar biasa jika lelaki naik syahwatnya jika melihat aurat perempuan.
Itu normal. Jadi untuk selamat dunia akhirat, lelaki dan perempuan wajib jaga aurat masing-masing. Ikut saranan al-Quran dan hadis. Tafsiran ajaran al-Quran dan hadis disampaikan oleh ilmuan agama seperti khatib Jumaat itu.
Pandai-pandailah nanti menjawab dan berdalih di hadapan Allah.. Tak takut ke?
Saya perhatikan sekarang ini ramai perempuan bertudung. Alhamdulillah, tetapi yang tidak sedapnya, semakin ramai wanita bertudung tetapi tidak menutup bahagian sensitif.
Lelaki dan perempuan ikut saja panduan al-Quran dan hadis jika mahu selamat.


Jangan mahu dibantah hukum-hakam agama. Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih..
Wallahua'alam

Sabtu, 28 Ogos 2010

BERCINTA SAMPAI KE SYURGA

CINTA memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Tidak dapat dinafikan persoalan cinta sering melingkari perasaan dan kehidupan setiap individu tanpa mengenal usia. Ada cinta yang dapat membawa pencintanya ke syurga dan ada juga yang hanya menjadi asbab kepada terhumbannya manusia ke dalam neraka lantaran kegagalan menguruskan cinta yang ada di jiwa. Perbicaraan cinta konvensional yang dialami kebanyakan remaja sememangnya sudah menjadi perbicaraan yang biasa baik dalam konteks harian mahupun khusus. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang berani tampil dan berbicara mengenai cinta golongan yang mempertahankan 'Islamiknya' cinta mereka. Pada pandangan mata zahir, cinta golongan 'Islamik' ini tampak sempurna dan penuh dengan menuntut keredaan Allah. Namun demikian, jika ditelusuri secara halus dapatlah dilihat betapa cinta golongan ini sebenarnya mempunyai cabaran yang luar biasa dalam mempertahankan keislamikannya di samping matlamat mencari reda Allah yang dijadikan tunjang dalam perhubungan itu.


Persoalannya, golongan yang berada di dalam lingkungan cinta islamik ini ada ketikanya kurang melihat kepincangan yang dilakukan oleh mereka sendiri dalam melestarikan cinta islamik yang mereka miliki. Tersilap langkah, tunjang utama untuk mencari reda Allah boleh saja runtuh lantas hanya menjemput kemurkaan Allah S.W.T. Buku Bercinta Sampai ke Syurga yang ditulis oleh pemilik Saifulislam.com iaitu Hasrizal Abdul Jamil merupakan lanjutan daripada tulisan beliau yang terhimpun dalam buku Aku Terima Nikahnya. Buku ini ditulis berdasarkan penelitian dan pengalaman beliau terhadap kes-kes rumah tangga dan percintaan yang dihadapi oleh beliau yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor. Buku ini ditulis dengan gaya penceritaan yang santai dan mudah untuk tatapan pembaca pelbagai peringkat usia.

Teknik penulisan ini menjadikan pembaca berasa dekat dengan penulis dan cerita yang disampaikan. Hal ini secara tidak langsung berupaya menjadikan proses enkod dan dekod sistem maklumat pembaca dapat berfungsi dengan berkesan. Dengan bertanggungjawab, penulis menghasilkan buku ini bagi memberi kesedaran dan didikan terhadap pembaca terutamanya dari kalangan remaja yang terlibat dalam cinta enta-enti. Adalah penting untuk golongan sebegini memahami konsep cinta yang diidamkan mereka agar reda yang dicari tidak bertukar dengan murka yang tidak bertepi. Dalam masa yang sama, buku ini bertujuan membuka ruang minda pembaca untuk melihat perkara-perkara tersirat mengenai cinta dan perkahwinan bagi menambah pengetahuan para pencinta :

Medan suami mendidik isteri, gelanggang isteri memimpin suami, tempat ibu bapa mengasuh anak, dunia anak-anak berihsan dengan ibu bapa. Semua itu adalah 'dunia kecil' yang Allah anugerahkan kepada setiap kita untuk belajar membentuk manusia, sebelum berjuang membina massa. Rumah itu medan pertama, sebelum Ummah matlamat besarnya (vii:2009).

Bercinta Sampai ke Syurga dibahagikan kepada empat tema utama tetapi menjurus kepada isu cinta iaitu :
a. Pandangan Kehidupan
Tujuh catatan di dalam bab ini berkisar mengenai kehidupan sebagai seorang anak dan pengembara di dunia. Dalam hal ini, pembaca didedahkan dengan realiti hidup membabitkan kepimpinan, kesedaran mengenai asbab kejadian manusia di bumi dan pemupukan sifat mahmudah di dalam jiwa. Dalam subbab "Lelaki dan Keluarga, Seperti Imam dan Makmumnya", penulis mengajak pembaca untuk meneliti amanah dan tanggungjawab seorang lelaki dalam memimpin keluarga dan jemaahnya. Dalam subbab ini, soal kepimpinan melalui teladan dibincangkan secara halus. Sering kali seorang suami mengharapkan anak-anak dan isteri seperti yang didambakan di dalam doanya, namun demikian hal kepimpinan dan tauladan yang baik sering dilupakan sedangkan tauladan itu merupakan satu faktor penting dalam mempengaruhi pemikiran dan tindakan setiap individu :

Ertinya, jika dia mahu isteri dan anaknya bertakwa kepada Allah, maka dialah yang terlebih dahulu menjadi orang yang paling bertakwa, sebagaimana imam yang memiliki kelebihan yang lebih daripada makmum. Maksudnya, doa ini mengajar kepada kita supaya membentuk diri agar menjadi seorang yang bertakwa. Dari situlah nantinya, Allah melapangkan dada isteri dan anak-anaknya untuk menyusuri Jalan Takwa yang sama (5:2009).

b. Praperkahwinan
Bab ini pula berbicara mengenai 'cinta islamik' yang sering disalah erti oleh pencinta yang terdiri daripada golongan yang begitu menjaga hubungannya dengan Allah. Walau bagaimanapun, kerana salah tafsiran konsep cinta islamik itu telah dipermudahkan bagi 'menghalalkan' cinta yang dibina. Dalam subbab "Teori Evolusi Cinta", penulis membawa pembaca untuk meneliti kisah segelintir 'pencinta beragama' yang terperangkap dengan cinta islamik rekaan mereka. Sesetengah daripada mereka cuba memberi kedamaian pada hati sendiri dengan mempermudahkan dan menghalalkan satu-satu tindakan yang dianggap mereka sebagai tindakan yang mampu mendekatkan cinta mereka kepada cinta islamik yang sebenarnya. Perbuatan golongan ini persis gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu bagi mendedikasikan hari tersebut khusus untuk beribadat kepada Allah.
Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengann sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru, bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka (43:2009).
Hal begini sering dilakukan oleh 'pencinta cinta islamik' itu apabila wujudnya kata-kata seperti di bawah :
"Kalian asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ini salah?" tanya Siti kepada rakan sebiliknya.
"Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun kau tak tahu?" balas Nur. Keras bunyinya. Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali (42:2009).
Bab ini serius dalam membincangkan tatatertib bercinta sebelum lafaz ijab dan kabul kedengaran.
c. Keibubapaan

Sementara itu, bab ini pula menekankan penekanan pemahaman golongan bercinta terhadap tanggungjawab sesudah perkahwinan dan sepanjang perkahwinan sebagai pasangan dan ibu bapa kepada anak-anak yang dilahirkan. Persoalan akidah menjadi perbincangan utama dalam himpunan bab ini melalui tajuk "Antara Tuhan dan Hantu" apabila ibu bapa kini lebih cenderung menekankan konsep hantu untuk menjaga tingkah laku anak-anak berbanding konsep Tuhan (Allah) yang perlu ditakuti dan ditaati. Hal ini secara halus sebenarnya membawa pembaca untuk melihat ke dalam diri akan tanggungjawab ibu bapa dalam mencorak nilai agama dan tauhid yang utuh ke dalam diri anak-anak sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang berikut :

"Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi ..." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bagi penulis, anak-anak tidak seharusnya dirosakkan kesediaan mereka untuk mengimani Allah. Hal ini kerana kejernihan fitrah jiwa yang dimiliki mereka sebenarnya mampu mempermudahkan urusan suntikan tauhid yang utuh walaupun usia mereka masih mentah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh ibu bapa adalah apabila kesediaan anak mengimani Tuhan digantikan dengan Hantu.

d. Kembara Mawaddah dan Rahmah
Bab terakhir ini mengupas isu rumah tangga terutamanya persoalan poligami yang sering disalah tafsir oleh segelintir lelaki dalam menghalalkan keinginan mereka untuk beristeri lebih. Dalam masa yang sama, bab ini turut membincangkan persoalan hubungan suami dan isteri yang sering dipandang enteng namun mampu memberi kesan yang besar terhadap sistem perjalanan rumah tangga yang harmoni. "Merawati Suami 'Bisu'" mengajak pembaca terutamanya wanita untuk meneliti sebab dan akibat seseorang suami itu memasukkan diri mereka ke dalam dunia batu (senyap). Manakala, subbab ini turut menjengah ruang hati isteri yang sering diabaikan oleh suami yang lebih melihat mementingkan praktikal berbanding perkara yang dilihat penting oleh isteri. Pemahaman yang baik terhadap sunnatullah suami dan isteri tanpa melanggar syariatullah menjadi asas dalam keharmonian sesebuah rumah tangga waima rumah tangga yang begitu 'islamiknya'. Pengabaian terhadap syariatullah atau sunnatullah hanya akan mendatangkan keretakan rumah tangga secara tanpa sedar.

Buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd ini merupakan satu medium dalam memberi kefahaman yang jelas mengenai konsep cinta terutamanya kepada para remaja dan golongan yang bermimpi untuk bercinta sampai ke syurga. Penggunaan bahasa Melayu Tinggi yang baik terutamanya dari aspek strukurnya merupakan satu bonus dalam menjadikan buku ini wajar dimiliki untuk mereka yang berminat untuk menambah ilmu dan pengalaman mengenai hakikat percintaan.

Isnin, 23 Ogos 2010

USAHA TANGGA KEJAYAAN

USAI menunaikan solat tarawih semalam, saya membuka peti masuk akaun FB. Ada kiriman kiriman pesanan daripada adik Izzah, anak kenalan yang berusia 11 tahun. Tiga minggu yang lalu, saya dan Izzah ada bersembang melalui aplikasi "bual" di FB. Izzah meluahkan rasa gelisah dan takut lantaran sering bermasalah dengan mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya Penulisan. Saya hanya memberikan nasihat dan kata-kata semangat. Tidak ada yang lebih penting melainkan usaha yang berterusan tanpa mengenal putus asa oleh Izzah sendiri.

Assalamualaikum akak,
akak saya nak ucapkan TERIMA KASIH pada akak sbb memberi kata-kata semangat pada 3 minggu lepas iaitu minggu sebelum peperiksaan . Kini saya sudah mendapat keputusan yg cermelang dalam penulisan saya iaitu 87% tetapi dipotong markah kerana sikap saya menjadi 82%, itu
sahaja yang saya ingin ucapkan kepada akak.wassalam... TERIMA KASIH!!!!

Apabila Izzah mengadu tentang rasa malasnya, maka tiada apa-apa yang boleh saya katakan melainkan menasihati Izzah dengan penuh bersemangat agar meminggirkan rasa malas itu. Izzah perlu rajin membaca. Perlu banyak membaca buku-buku cerita yang sesuai dengan tahap usianya. Penelitian dan kebiasaan terhadap bahasa dalam buku cerita yang diulitinya akan terkesan di dalam memorinya. Apabila diperlukan, kebiasaan dengan bahasa itu akan memudahkan Izzah menulis karangan. Selain banyak membaca, Izzah juga saya nasihatkan agar rajin membuat latihan. Saya percaya, latihan akan melahirkan kemahiran.

Masalah malas Izzah boleh diatasi dengan doa dan usaha untuk menjadi anak dan murid yang baik dan cemerlang. Kata Izzah, dia takut sekiranya tidak mendapat keputusan yang baik kerana gertakan ayahnya, lalu kata saya jadikan juga rasa takut itu sebagai alat untuk menjana rasa bersungguh-sungguh dan rajin. Alhamdulillah, pesanan yang diberikan Izzah semalam membuatkan saya rasa gembira dan bersyukur dengan keyakinan dan usahanya. Buat Izzah, percayalah bahawa usaha tangga kejayaan dan yakin mencambahkan kegemilangan jika diatur dengan baik.

Jangan mengalah sebaliknya terus berusaha. Banyakkan membaca dan teruslah membuat latihan secara berterusan. Kuatkan diri dan berdoalah selalu. Insya-Allah Izzah akan dapat mengekalkan kejayaan itu. Kejayaan itu memang manis tetapi kegagalan itu pahit rasanya. Lalu, berusahalah agar yang manis kekal manis dan yang pahit tidak menjadi pilihan. Pilihan di tangan Izzah dan Izzahlah yang mencorakkannya.

Sekali lagi, tahniah daripada akak atas usaha keras dan kesungguhan Izzah.

Rabu, 4 Ogos 2010

KENDERAAN AJAIB

SEMALAM, saya menemani emak ke Hospital Selayang untuk memenuhi janji temu bersama doktor pakar. Sesi menunggu agak lama kerana giliran pertemuan yang seharusnya berlangsung pada jam 11:30 pagi berubah pada Boldjam 1:00 tengah hari. Kawasan menunggu saya dan emak bersebelahan dengan kawasan menunggu bagi sakit puan dan perbidanan. Sambil menunggu, saya raghib memandang para ibu muda yang lalu-lalang di situ. Saya suka melihat bentuk perut ibu-ibu itu. Sangat menarik. Remove Formatting from selection

Ketika itu juga, saya teringat akan pertemuan saya dengan penyelia saya minggu lalu untuk berbincang mengenai masa pertemuan mingguan. Penyelia mengucapkan terima kasih atas kiriman sebuah e-mel daripada saya mengenai kenderaan yang digunakan manusia dari mula hayat sehingga ke akhir hayatnya. Kata penyelia "Anda tertinggal satu kenderaan yang lebih awal dan lebih hebat lagi."

"Apa dia ya?" tanya saya meminta kepastian.

"Kenderaan yang paling selamat dan ajaib ialah perut ibu. Di dalam rahim ibu."

Begitu kata penyelia saya dan saya mengakuinya. Satu perkara yang sangat tersembunyi. Lantas, apabila melihat ibu-ibu mengandung itu saya seolah-olah melihat pergerakan sebuah kenderaan ajaib yang menyembunyikan penumpangnya jauh dari dasar penglihatan. Sungguh menakjubkan.

Jumaat, 30 Julai 2010

PERCAYA, TUHAN SELALU PUNYA RAHSIA

SETIAP kali melalui Pasar Seni, saya akan singgah di dua buah kedai buku. Satu daripadanya ialah Kedai Buku yang dimiliki oleh seorang lelaki tua berbangsa India. Kedai Buku ini terletak di aras bawah. Keistimewaan kedai ini terletak pada himpunan buku yang agak sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku lain. Kebanyakan buku yang saya maksudkan adalah dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanpun, ada juga saya melihat buku-buku terbitan Ameen Books, Alaf 21 dan beberapa penerbitan popular di Malaysia yang dijual di situ. Setiap kali saya ke kedai itu, saya akan membiarkan diri saya menjamu mata melihat buku-buku yang ada. Setiap kali itu juga, saya akan menjenguk buku A Thousand Splendid Suns yang terletak di rak paling kanan. Saya akan memegang buku itu. Memang saya begitu menginginkan buku itu. Saya jatuh cinta pada novel itu dan novel sebelumnya iaitu The Kite Runner. Kedua-duanya sudah saya baca. A Thousand Splendid Suns di kedai itu ialah buku terpakai yang dijual pada harga RM 26.00. Harga asalnya ialah RM 35.00. Saya bukan pelajar yang mampu untuk memenuhi kehendak hati dan meletakkan soal keperluan di aras selepas kehendak. Penjaga akauan saya akan memberi segala ulangan peringatan demi peringatan akan apa-apa yang perlu saya fokuskan. Jadi, saya meletakkan semula novel itu di tempatnya. Bukannya novel itu tidak ada di jual di kedai buku lain. Ada, saya pernah melihatnya di MPH dan Popular, cuma masa untuk saya memilikinya belum tiba. Saya perlu lebih bersabar sahaja. Tak akan lari gunung dikejar.

Selepas bersiar-siar di Kedai Buku, saya akan singgah di news read, ala-ala 7Eleven juga di dalam Pasar Seni. Di kedai ini juga dijual pelbagai jenis buku. Seperti biasa, saya akan membelek-belek buku yang ada di situ. Membaca blurbnya dan meletakkannya semula. Kebanyakan buku yang terjual di kedai itu adalah daripada penerbitan PTS. Pandangan saya tertancap pada sebuah buku cerita kanak-kanak berwarna merah jambu yang berjudul Riang Ria Persahabatan. Sangat cantik dan menarik. Buku itu tidak ditutup dengan plastik jadi saya dapatlah menjengah sepintas lalu isi di dalamnya. Sesuai untuk anak-anak berusia sembilan hingga sebelas tahun. Tiba di kamar hotel, saya teringat akan seorang kenalan saya yang mempunyai anak kecil. Lalu, saya memberitahu dia akan buku tersebut dan menyarankan dia agar mendapatkan buku itu.

Kenalan saya berhajat memasukkan wang ke dalam akaun saya seraya memilih dan membeli bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak mereka. Saya tidak ada sebab untuk menolak permintaannya malah berasa sangat bertanggungjawab dan gembira untuk membantunya. Sudah ada beberapa buah novel yang sesuai untuk anak-anak mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan novel berbahasa Melayu. Saya katakan juga kepada kenalan saya ini agar melawat ke MPH dan memang itu kebiasaan mereka, katanya. Namun, setiap kali mereka ke sana, anak-anak mereka lebih berminat dengan Harry Porter.

Langsung, petang tadi saya meluangkan masa berjalan kaki dari Pudu Raya ke Minerva, Pustaka Mukmin dan Kedai Buku, Pasar Seni. Bagi yang sudah biasa berjalan kaki seperti saya, tidak terlalu terasa jauh jaraknya. Di Minerva, saya meluangkan masa hampir 30 minit untuk memilih bahan bacaan yang bersesuaian untuk anaknya yang berusia 13 dan 14 tahun. Rambang mata saya jadinya. Pada mulanya, saya memilih Rahsia Ummi, namun setelah mendapatkan pandangan daripada seorang kenalan melalui sms, saya meletakkan Rahsia Ummi ke tempatnya semula. Tanpa ragu-ragu saya memilih Tuhan Manusia untuk anaknya yang berusia 14 tahun. Meskipun pengisian di dalam buku ini agak dalam, saya yakin jika anak itu menghalusinya dengan baik, akan ada sesuatu yang menyelinap ke sanubarinya. Baiknya juga, Tuhan Manusia sesuai juga untuk golongan dewasa. Namun, watak Ali Taqi yang berada di peringkat menengah atas boleh juga menambat hati pembaca dari menengah rendah.


Untuk anak yang berusia 14 tahun, saya memilih novel pengembaraan terbitan Alaf 21 berjudul Pengembaraan Afiq. Saya kira, novel itu ialah sebuah novel grafik. Meninjau blurb dan sedikit halaman, insya-Allah novel ini sesuai untuk remaja awal. Di Minerva juga, saya mabuk buku apabila melihat novel Imam di rak paling atas. Saya pernah meminjam dan membaca skrip pentas novel itu sewaktu di semester pertama dahulu. Aduh, tersentuh hati saya. Itu ialah novel yang juga tercatat dalam senarai novel akan saya miliki. Melihat deretan karya baharu HM Tuah Iskandar juga membuatkan hati saya meronta-ronta minta dipujuk. Paling menyentuh hati, saya menemui sebuah kumpulan cerpen oleh Somerset Maghaum iaitu Catalina. Kumpulan cerpen itu baru sahaja disebutkan oleh Pak Malim dalam kuliah semalam. Sewaktu di kaunter membayar harga dua buah karya itu tadi, saya melihat pula sebuah buku kecil nukilan Dr. Aidh al-Qarni berjudul Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Bahagia. Saya merenung sahaja buku itu. Ya, buku itu akan masuk dalam senarai buku akan saya miliki juga. Saya menguntum senyum.

Selesai meletakkan plastik beg ke dalam beg sandang, saya menolak daun pintu kedai buku Minerva dan menuju ke kedai buku yang seterusnya. Hujan mulai turun rintik-rintik membasahi Kuala Lumpur. Saya ingin memilih buku yang benar sesuai dengan tahap umur anak-anak kenalan saya ini. Tidak terlalu berat, tetapi sekurang-kurangnya memberi pengisian pada tahap penggunaan dan kebiasaan mereka dengan bahasa Melayu. Di kedai buku Minerva yang kedua, tidak banyak buku yang menambat hati saya. Kedai itu agak sempit berbanding kedai yang pertama. Beberapa orang remaja perempuan berhimpit di hadapan rak yang memuatkan novel-novel cinta. Terdengar bicara mereka :

"Ala, novel tu dah habislah."

"Tu la, sayang r tak dapat beli. Best tau. Dia punya cinta dalam novel tu lain sikit."

Ya, cinta dan cinta. Novel cinta menjadi carian mereka. Sama seperti saya ketika awal remaja dahulu. Saya sungging senyum lantas keluar dari kedai yang tidak berjaya mengetuk pintu hati saya. Saya berdiri di kaki lima, merenung beberapa buah kedai buku yang ada di seberang jalan.

Hujan yang rintik semakin bertitik. Jalan raya mulai sesak pada jam 3:30 petang tadi. Kuala Lumpur, tiada masa yang tidak sesak jalannya kecuali menjelang Aidil Fitri.

Saya memasuki Pustaka Mukmin. Kedainya pun agak sempit tapi ada banyak buku yang lebih berkualiti di sini berbanding di kedai kedua tadi. Pemiliknya ialah seorang lelaki mamak. Bukan sahaja ada buku DBP dijual di sini, ada buku dari dalam dan luar negara. Dari buku akademik hingga buku sastera yang popular dan arus perdana. Di kedai ini, saya memilih novel Manikam Kalbu dan Lelaki Berkasut Merah untuk anak berusia 14 tahun. Buku cerita kanak-kanak Gaun Merah Jambu untuk anak berusia sembilan tahun dan novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat untuk anak berusia 13 tahun, juga novel grafik. Untuk anak berusia 11 tahun, saya memilih novel awal remaja berjudul Putu-Mayam Satu. Saya kira, novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat dan Gaun Merah Jambu itu juga sesuai untuk anak berusia 11 tahun. Saya memilih novel terbitan PTS kerana percaya dengan bahasa Melayu Tinggi yang digunakan mampu membantu anak-anak untuk lebih mendekati dan meramahi bahasa Melayu bagi membantu mereka menulis dan menjawab peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu.


Selesai di kedai itu, saya menyeberang semula jalan. Perut saya sudah berkeroncong kerana belum makan sejak pagi. Saya ke restoran makanan segera. Pelanggan restoran agak ramai. Kalau tidak diikutkan rasa lapar, saya tidak akan menunggu dan beratur dengan sabar. Sebaik-baik selesai menikmati juadah, saya berjalan kaki semula ke Pasar Seni untuk mendapatkan buku yang dikirim oleh Cikgu Norhana atas cadangan saya. Di Kedai Buku itu, saya membeli novel A Thousand Splendid Suns dan The Hidden Flower yang ditulis oleh Pearl S. Buck pada dekad 1950-an. Buku itu sudah benar lusuh dan dijual dengan harga RM5. Hati saya agak tersentuh kerana membeli A Thousand Splendid Suns bukan untuk saya, tapi tidak mengapalah. Tak akan lari gunung dikejar. Saya cuba mencari The Kite Runner di kedai itu tapi sudah tiada. Ketika berbual dengan pemilik kedai, saya diberitahu bahawa mereka juga menyediakan perkhidmatan menyewa buku. Kos menyewa sama dengan harga beli. Lebih baiklah membeli saja buku itu!

Saya pulang ke Ancasa dengan rasa yang sangat bahagia. Menceritakan rasa bahagia itu, saya menghubungi cikgu dan dia berkata "Tak apa, yang penting pengalaman membeli buku itu. Masa awak untuk borong buku untuk diri sendiri akan tiba. Sabar saja. Dahulukan keperluan berbanding kehendak."
Ya, saya rasa sangat bahagia hari ini kerana dapat membantu rakan memilih dan membeli bahan baca berkenaan. Semoga dapat memberi manfaat besar kepada mereka sekeluarga. Tiada yang membahagiakan dan menggembirakan apabila berjaya membantu kenalan lebih mengakrabi bahasa dan sastera negara.


Saya merenung ke luar jendela dan melihat langit yang semakin kelam di kaki senja. Jauh di sudut hati ada gundah yang melanda. Namun, saya tetap ada bahagian bahagia. Barangkali kelihatan samar pada masa sekarang tetapi akan jelas pada masa akan datang. Saya percaya akan frasa yang sering disebut oleh seorang kenalan kepada saya.
Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.

Khamis, 29 Julai 2010

CINTA AKAN DIA

kalau kita cinta akan dia, kita akan selalu mengingatinya. Akan selalu mendoakannya dan selalu merinduinya. Kita yakin cinta kepadanya akan membawa bahagia dunia lantas membawa bahagia sesudah dunia semasa. Cinta seorang bonda, di situ ada restu dan redha Tuhan kita. Cinta dan budi guru yang ikhlas membantu, ada berkat yang tersembunyi dalam ilmu Tuhan Yang Satu.

Ahad, 18 Julai 2010

CERMIN DIRI: TANGGUNGJAWAB ANTARA SAUDARA

BAGI YANG telah membaca Life is an Open Secret - Think About It maka akan ada rasa untuk menguliti lagi hasil tulisan Zabrina A. Bakar. Sekiranya Life is an Open Secret - Think About It mengangkat tema yang lebih umum mengenai kehidupan manusia, versi kedua tulisan pengarang yang sama iaitu Life is an Open Secret - You, Me and We berfokus pada tema persaudaraan sesama manusia. Terdapat lapan belas buah cerita yang berbeza tetapi menjurus kepada tema yang sama. Penjurusan yang ditulis dengan gaya penceritaan yang baik, mudah dan menarik membuatkan pembaca senang untuk mendalami inti dan falsafah dalam cerita yang dibawa.


Abdul Sattar Ahmed yang merupakan seorang aktivis Islam dan pakar dalam bidang teknologi di Amerika Syarikat melihat versi kedua tulisan ini sebagai satu tulisan yang menyentuh hati. Lebih menarik, buku ini mengajak pembaca untuk merenung hakikat kejadian diri sebagai manusia yang bersaudara atas dasar iman dan takwa. Kebanyakan cerita yang ditulis bukan sahaja mengandungi kisah sampingan tetapi juga dikukuhkan dengan dalil akli dan nakli berasaskan petikan hadis dan ayat Al-Quran yang dipetikkan sumbernya. Jika diperhalusi juga, tulisan di dalam buku ini membawa ikatan yang erat di antara isi buku dengan pembaca. Penulis tampak mengaplikasikan kaedah penulisan jurnal atau diari harian.

Pengarang secara sedar menyisipkan kisah-kisah menarik dalam setiap cerita yang ditulis. Kisah-kisah itu ada yang diambil daripada kisah yang benar-benar terjadi dan ada juga yang diolah. Walau bagaimanapun, setiap cerita itu mempunyai hubung kait yang rapat dengan kisah yang dipaparkan. Secara tidak langsung, paparan kisah berkenaan memberi suntikan motivasi untuk pembaca berfikir secara lebih mendalam. Apatah lagi dengan gaya penulisan Sis Zabrina yang santai dan bersahaja. Membacanya buku ini membuatkan pembaca ingin lebih meneroka ruang terdalam kehidupan manusia yang sering diabaikan. Setiap kisah yang ditulis seolah-olah cuba memprovokasi pembaca secara diam dan menyentuh perasaan terdalam pembaca. Dalam erti kata lain, buku ini menjadi alat untuk manusia menjadi insan yang disayangi dan disenangi insan lain.

Menerusi Secret Five; Don't Judge Others penulis bercerita mengenai kebiasaan dirinya dan manusia lain untuk menilai seseorang berdasarkan pada satu pandangan dan penilaian pertama. Amat jarang kita menggunakan deria pandangan kedua untuk melihat sesuatu perkara. Ada ketikanya, pandangan pertama itu tidak selalunya benar. Maka, setiap kali kita membuat penilaian terhadap individu tertentu buat kali pertama, kita tidak sewajarnya menganggap bahawa penilaian pertama itu amatlah tepat, apatalah lagi jika berbentuk negatif.

Apabila kita meletakkan diri kita di luar diri, maka kita akan melihat betapa setiap pandangan dan penilaian pertama yang kita lakukan itu adalah amat menakutkan :

... If I know a lady who could cook absolutely great dishes, my 'book cover judgement' for her daughter be ... yup, you got it, an excellent cook too.

Scary isn't, to think how many 'book cover judgement' we make everyday!

Perhaps that is why our Lord, the Almighty, has sent down this verse to guide us :


(... and let not the hatred of any people make you swerve to wrong and depart from justice. Be just: that is next to piety: and fear Allah, for Allah is well-acquainted with all that you do.) -Al Ma'idah 5:8-

Hanya Allah yang Maha Mengetahui letak duduknya kebenaran pada setiap pandangan. Oleh hal yang demikian, adalah perlu untuk manusia berfikir dengan lebih lanjut sebelum membuat satu kesimpulan terhadap orang lain. Namun demikian, manusia juga tidak dapat mengelak daripada terlibat dengan segala gosip terutama mengenai individu lain. Meskipun berhasrat untuk memelihara diri daripada berburuk sangka dan melakukan serkap jarang, situasi berkenaan tetap melanda diri sebagai ujian.

Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW memberi jawapan mengenai kesulitan seperti ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

"Do not speak without mentioning Allah because you will harden your heart. A hard heart is far from Allah, but you do not know. Do not look at the wrong actions of people as if you were lords. Look to your wrong actions as if you were slaves. Some people are protected from it. Be merciful to the people of affliction and praise Allah for His protection."

Manusia juga sering menunding jari kepada orang lain apabila bertemu dengan sesuatu keburukan atau masalah yang menimpa diri. Amat sukar untuk individu mencari kesalahan diri sendiri sebelum melihat puncanya daripada indvidu lain. Sikap suka menuding jari atau meletakkan kesalahan diri kepada orang lain diceritakan oleh Sis Zabrina menerusi Secret Eight; When You Point One Finger to Others, Four are Pointing Back Right at You.
Penulis tergerak untuk membicarakan persoalan ini apabila melihat telatah anak saudaranya yang masih kecil. Anak saudaranya telah menyalahkan dinding yang dilanggar sebagai penyebab dia terjatuh, bukan kerana dia yang melanggar dinding itu. Sebagai kanak-kanak, perbuatan menyalahkan dinding itu pastinya boleh terima namun apakah manusia dewasa boleh memberikan alasan yang sama seperti anak kecil itu tadi? Tentunya bertentangan dengan akal waras manusia malah menerbitkan rasa jelik kepada individu lain yang melihatnya.

Seharusnya, manusia dewasa yang sudah bijak menilai buruk dan baik membuat perhitungan sendiri. Melihat masalah dari kaca mata yang lebih luas dan tidak hanya menyalahkan orang atau sebab di luar diri. Robert Half pernah berkata :

"The search for someone to blame is always successful."

Dalam bab ini, Zabrina berkongsi cerita mengenai sepasang suami isteri. Si suami menganggap isterinya mengalami masalah pendengaran lantas menemui doktor untuk mendapatkan nasihat :

There was once, a man who felt that his wife was having a bit of a hearing problem. Trying to spare her feelings, he secretly decided to meet their family doctor for advice. The doctor suggested that the husband used the easiest and oldest technique to test the his wife's problem. That technique would be able to tell the doctor of how bad is the wife's hearing loss.

"You have to stand about 40 feet away from her and have a normal chit chat with her using your normal voice and tone. If she could not hear you, come closer to 30 feet. If she still couldn't hear you, do it at 20 feet and continue until she could hear you."

"Sounds easy," said the man delightfully. So, later that day, when his wife was preparing dinner, he estimated his distance from his wife.

40 feet. Yup, this is about that, he whispered to himself. "What are we having for dinner, honey?" he asked using the normal voice tone. She didn't answer.

So he came closer. 30 feet ... he estimated carefully. Again, he asked, "What are we having for dinne, honey?" Still no response.

Wow, this is bad, he said to his himself while moving into 20 feet from the wife. Again there was no response.

He continued and became so close to her that he was just standing beside her when he asked,

"Honey, what's for dinner?"

His wife turned to him and said,

"For goodness sake, for the seventh time, my dear
. I said it is CHICKEN!"
Setiap insan seharusnya berusaha untuk menyedarkan diri atas kesalahan sendiri. Usaha muhasabah diri adalah sangat dituntut agar tindakan menuding jari ke arah orang lain atas kesalahan sendiri tidak terus berlaku.

Membaca buku ini akan membuatkan hati nurani pembaca seolah-olah diketuk dan ditanya "Begitukah anda?"
Selamat membaca.

Selasa, 13 Julai 2010

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU MALAYSIA

SAYA sentiasa berminat dan teruja dalam mendalami ilmu bahasa Melayu. Baru-baru ini, saya memanfaatkan media siber untuk berdiskusi dengan Profesor Awang Sariyan mengenai isu bahasa Melayu. Diskusi tersebut saya kongsikan di laman ini dengan izin Profesor Awang Sariyan juga.

Assalammualaikum Ayahanda,

Saya ingin mengutarakan satu isu daripada pengalaman mereka yang pernah berkunjung ke Beijing. Setiap tempat komersial yang dikunjungi oleh rombongan, promosi daripada jurujual yang terlatih; medium komunikasi yang digunakan ialah bahasa Melayu Indonesia. Nampak sangat jelas bahawa bahasa Melayu Indonesia digunakan secara meluas.

Persoalannya, adakah BM Indonesia lebih mantap berbanding BM Malaysia dari segi tatabahasa dan sebutannya hingga BM Indonesia lebih mudah dikuasai dan diterima oleh pengguna bahasa di negara yang lain? Ada pengkaji bahasa menyatakan bahawa bahasa Melayu Indonesia sememangnya lebih mantap? Ataupun, daerah masyarakat yang mengkaji bahasa Melayu Malaysia memang terhad?

Terima kasih

Waalaikumussalam wr. wb.
Anakanda Wardah Munirah@Fatiha Fadila,

Perihal bahasa Melayu (varian Indonesia) lebih menonjol dan mendapat tempat di arena antarabangsa memang telah sekian lama berlangsung oleh beberapa faktor, antarannya:

1. Sarjana Belanda, terutamanya lebih tekun dan mendalam kajiannya tentang hal ehwal Indonesia berbanding dengan sarjana Inggeris (yang asalnya pentadbir); oleh sebab itu lebih banyak kajian dari awal tentang ehwal Indonesia, termasuk bahasanya.

2. Leiden sebagai antara universiti tertua di Eropah cukup berpengaruh kpd universiti-universiti lain di benua itu, terutama kerana ada perpustakaan yang amat besar dalam hal koleksi Melayu/Indonesia dan sarjana-sarjana ulung bidang ketimuran terdapat di situ. Dari situlah sarjana dibekalkan ke universiti-universiti lain di Eropah. Oleh itu, Pengajian Indonesia jauh lebih dikenal dan lebih meluas di serata dunia.

3. Pemerintah Indonesia sendiri mementingkan gerak kerja mempromosikan kebudayaan dan pendidikan Indonesia melalui kedutaannya. Ada atase pendidikan dan kebudayaan yang khusus untuk tugas itu. Kedutaan Malaysia, sayangnya kurang memberikan perhatian kepada aspek itu walaupun dengan beberapa orang Menteri Luar Malaysia sempat ayahanda nyatakan masalah itu. Jika kebetulan ada duta yang berminat dalam hal pengajian Melayu, maka adalah kegiatan seperti oleh duta sahabat ayahanda di Sri Lanka (kini syukur baru dilantik jadi Duta Besar di China). Malu juga dalam satu seminar di Jerman, ayahanda dilayan dan disambut oleh wakil Kedutaan Indonesia, bukan oleh wakil Kedutaan Malaysia! Malah tidak hadir pun wakil Kedutaan Malaysia walaupun seminar yang ayahanda anjurkan bersama dengan sebuah universiti di Jerman itu atas nama Malaysia (ketika itu ayahanda Pengarah Jabatan Bahasa DBP).

4. Dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Dato' Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP pada masa itu bersama dengan ayahanda dan pegawai lain telah berjaya meningkatkan penerimaan pengajian Melayu di pelbagai universiti di dunia, melalui kerjasama mengadakan seminar, minggu bahasa dan sastera Melayu, penerbitan dll; tetapi sayangnya sejak kami meninggalkan DBP (akhir 2004), urus setia pengembangan bahasa dan sastera Melayu peringkat antarabangsa itu 'dikomakan' tanpa kegiatan lagi, konon hendak berjimat wang! Banyak pembaziran wang negara/rakyat dalam hal yang tidak sepatutnya, tetapi dalam hal ilmu dan kebudayaan tampaknya berlaku diskriminasi.


Tentang kemantapan sistem bahasa, memang ada aspek tertentu bahasa Melayu varian Indonesia lebih mantap dalam penguasaan bahasa oleh penggunanya, baik dalam hal sebutan, tatabahasa mahupun retorik.

Misalnya, mereka tidak berdebat lagi tentang isu sebutan baku kerana hampir di seluruh Indonesia sudah mantap sebutan yang seragam tanpa mengira daerah mahupun keturunan, sedang di Malaysia usaha pembakuan sebutan yang sudah mula mantap melalui sistem pendidikan dan penyiaran (walaupun oleh stesen televisyen swasta, iaitu TV 3) sering diganggu, malah pada tahun 2000 Kabinet memutuskan memansuhkan penggunaan sebutan baku di sekolah dan dalam media penyiaran.

Dalam hal bahasa, dasar bahasa (language policy) di Indonesia memang lebih tegas dan berjaya, berbanding dengan di Malaysia yang sentiasa tidak mantap sikap pemimpin tentang dasar bahasa kebangsaan, di sisi sebahagian pengguna/masyarakat umum pun tidak seterampil kebanyakan profesional dan pengguna bahasa di Indonesia (sehingga pemandu bas atau orang biasa pun jauh lebih baku/teratur bahasanya daripada sesetengah orang ternama/bijak pandai di Malaysia).

Yang ayahanda paparkan itu merupakan realiti, bukan sentimen merendah-rendahkan negara kita. Kita perlu mengakui banyaknya ranjau untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, berbanding dengan di Indonesia, terutama kerana sikap dan ketegasan kepemimpinan di sana lebih jelas.

Begitulah sepintas kilas latar belakang timbulnya isu yang anakanda timbulkan itu.

Wassalam.

Ayahanda Awang Sariyan, Beijing

Jumaat, 9 Julai 2010

KEGAGALAN YANG MENGAJAR

SAYA KANDAS dalam ujian JPJ Isnin yang lalu. Bagi ujian Bahagian II, saya sewajibnya melalui titi dalam masa tidak kurang dari 7.00 saat. Walau bagaimanapun, menurut rekod masa pegawai yang menyelia, masa saya di atas titi ialah 5.59 saat. Pegawai bertanya sama ada saya mengira saat waktu berada di atas titi atau tidak dan saya menjawab bahawa saya memang mengira seperti yang diajar oleh guru iaitu satu ribu satu, satu ribu dua hinggalah satu ribu tujuh. Ketika di atas titi, saya mengira sehingga satu ribu sembilan. Namun demikian, nyata sekali kiraan saya tidak sama dengan kiraan pegawai berkenaan. Tidak mustahil, kiraan saya laju daripada yang seharusnya.

Saya fikirkan saya lulus kerana sewaktu melepasi titi, saya berjaya melalui halangan dengan lancar sehingga tamat. Apabila menemui pegawai selepas mematikan enjin motor, barulah saya diberitahu yang saya gagal Bahagian II tetapi lulus Bahagian III. Atas kegagalan itu, saya perlu mengulang ujian Bahagian II pada 19 Julai 2010 ini dengan bayaran RM80. Inilah kali pertama saya mengulang ujian sepanjang usia saya bergelar pelajar.

Alhamdulillah, saya tidak diselubungi rasa kecewa yang menyusahkan diri. Bagi saya, kegagalan ini satu peringatan buat saya yang mungkin agak 'laju' dalam banyak perkara. Saya perlu lebih bersederhana dan mengurangkan kelajuan pergerakan saya. Ya, memang banyak rakan dan sesiapa yang mengenali saya dengan akrab dan sejak saya kecil menegur akan kelajuan yang ada pada saya. Dalam sesetengah hal, memang kelajuan itu agak penting. Namun, dalam sesetengah hal juga, saya tidak boleh terlalu laju.


Saya bersyukur juga kerana saya tidak seperti seorang rakan calon yang menangis teresak-esak kerana gagal dalam ujian yang sama. Bagi saya, rasa kecewa merupakan satu rasa yang amat mencabar daya tahan perasaan dan iman. Kekecewaan yang sukar dikendalikan hanya akan memudaratkan dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Hal ini saya pelajari dalam pengalaman kecewa yang pada akhirnya sekadar menemukan saya dengan kesia-siaan. Lantas, untuk kegagalan ini saya belajar untuk mendidik kecewa dengan melihat sisi positif daripada kegagalan yang datang sebagai ujian.

Saya melihat kegagalan saya berpunca daripada kelajuan saya yang tidak diurus dengan baik. Saya melihat kegagalan juga atas kerelaan saya melayan rasa penat setelah seharian berada di karnival sekolah pada hari Sabtu. Saya menjadikan rasa penat itu sebagai alasan untuk tidak mahu berlatih menunggang di litar pada hari Ahad itu, sehari sebelum ujian sebenar. Saya melihat kegagalan itu sebagai peringatan agar kelak saya lebih menghargai sesuatu yang saya perolehi dengan laluan yang tidak mudah.

Atas segala yang saya lihat itu, saya meneliti kesilapan langkah yang saya atur sepanjang perjalanan pulang dari litar. Saya dapat melihat bahawa kegagalan itu sebagai satu sebab untuk saya melihat segala punca dan berusaha untuk menyedarkan diri agar tidak leka dengan pelbagai alasan dan kelajuan yang tidak diaturkan.

~Kegagalan, antara rencah dalam mencapai kedewasaan~

Isnin, 5 Julai 2010

PANDUAN BELAJAR BAHASA MELAYU UNTUK ADIK-ADIK

DUA HARI lalu peti mesej FB saya dimasuki soalan oleh seorang adik berusia 13 tahun. Adik ini menyuarakan masalah yang dihadapi dengan subjek Bahasa Melayu. Di sini saya turunkan soalan dan jawapannya yang mungkin bermanfaat untuk adik-adik yang mengalami masalah yang sama. Jawapan diberi berdasarkan pengalaman dan perbincangan saya bersama guru cemerlang subjek Bahasa Melayu.

Soalan :

Kakak saya dah dapat result BM. Saye dapat 66% dulu lagi teruk 50 lebih susahlah kak. Cikgu kata BM sangat penting. Buku BAHLUT dah habis baca dan melodi hati. Kakak macam mana ni. Saya punya rasa malas baca pun x hilang lagi .

Jawapan :

Assalammualaikum, Adik Afeik.

Tahniah kerana menunjukkan peningkatan prestasi untuk subjek BM daripada 50% kepada 66%. Satu perkembangan yang baik. Mengenai masalah adik, perkara pertama yang perlu adik lakukan adalah menyemai perasaan suka membaca bahan baca bahasa Melayu terlebih dahulu.

Adik sudah membaca novel-novel yang akak sarankan adik beli dan itu juga satu kejayaan. Tahniah akak ucapkan.

Memang subjek BM itu sangat penting untuk pelajaran dan kerjaya adik kelak. BM yang baik akan mempengaruhi kejayaan adik juga.

Di sini akak berikan beberapa langkah untuk mengatasi masalah adik ini. Yang penting, adik perlu berusaha dan tidak mudah putus asa :

1. Tanamkan minat suka membaca buku berbahasa Melayu seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa (minta ayah belikan).

2. Banyakkan membaca buku contoh karangan. Perkara ini baik untuk adik biasa dengan format dan gaya bahasa menulis karangan. Apabila adik kerap membaca, adik akan terbiasa dengan gaya bahasanya dan insya-Allah akan membantu adik sewaktu menjawab peperiksaan nanti.

3. Banyakkan membuat latihan dari buku-buku latihan yang bukan diberi oleh guru sahaja. Maksudnya membuat latihan tambahan. Buat seberapa banyak yang boleh. Tidak akan rugi. Percayalah. Masa akak di tingkatan tiga dulu, akak sangat suka akan subjek Sejarah. Berbelas-belas buku latihan sejarah akak beli dan akak buat sampai habis. Hasilnya, ada soalan yang muncul dalam peperiksaan sebenar dan kebanyakannya boleh akak jawab sebab akak sudah biasa dengan soalan-soalan itu semasa membuat latihan. Percaya, 'practice makes perfect'. Jadi adik jangan mengalah.

4. Apabila adik membuat latihan, adik buat dan rujuk jawapannya. Apabila rasa tidak pasti, segera bertanya kepada ibu atau ayah atau guru. Insya-Allah mereka boleh membantu.

5. Adik
cuba buat latihan 'karangan hujung minggu'. Latihan ini memerlukan adik menyalin satu contoh karangan seperti dalam buku contoh karangan. Semasa latihan, adik bukan sahaja menyalin tetapi juga membaca isinya. Maka, latihan ini akan menambah daya kemahiran adik sedikit demi sedikit. Tunjukkan hasilnya kepada ibu dan ayah untuk disemak.

Setakat ini dahulu. Yang penting adik mesti rajin membaca dan membuat latihan. BM nampak macam mudah tapi sukar jika tidak dipelajari dengan betul dan dengan minat. Ingat tu, adik mesti MINAT dan buang rasa MALAS membaca tu.

Insya-Allah adik belum terlambat dan akan berjaya. Jangan lupa berdoa agar timbul rasa minat dan hilang rasa malas tu.

Salam perjuangan,

Kak Fatiha