Khamis, 24 Disember 2009

SEPUTAR BENGKEL TUNAS REMAJA & MENJADI DUTA

PADA 21 hingga 24 Disember 2009, sejumlah 16 orang peserta terpilih daripada beberapa buah sekolah telah terpilih bagi menyerta Bengkel Tunas Remaja yang dianjurkan oleh PURNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta telah berkampung di Bilik Latihan 2, Aras 7, Menara DBP bagi mengasah bakat dan kemahiran para peserta bengkel yang rata-ratanya berusia antara 14 tahun hingga 20 tahun. Saya telah diberi peluang oleh Ketua Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan untuk menyertai bengkel itu selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Disember 2009. Kesempatan tersebut saya gunakan sebaik mungkin bagi menambah ilmu pengetahuan saya terutamanya dalam bidang penulisan cerpen dan puisi yang disediakan pihak penganjur.

Adik-adik yang menyertai bengkel itu dipilih oleh pihak penganjur berdasarkan karya-karya mereka yang pernah tersiar dalam majalah sekolah. Pada 21 Disember, Pn. Mahaya Mohd Yassin yang lebih mesra dalam kalangan kami sebagai Mama telah mendedahkan kami tentang bentuk-bentuk puisi dan kaedah bagi menulis puisi. Mama terkenal dengan cerpen “Mama” yang pernah menjadi cerpen kajian KOMSAS tingkatan dua dengan penuh semangat menyatakan peri pentingnya peranan puisi dalam menterjemahkan perasaan dan pemikiran seorang penyair untuk diambil iktibar oleh khalayak pembaca. Beliau juga begitu menekankan kepentingan penyair dalam memahami tanggungjawab yang dipikul sebagai khalifah Allah di muka bumi. Saya juga sangat mengagumi Mama atas ketegasan beliau dalam memastikan ujaran beliau jauh daripada pemerkosaan terhadap tatabahasa bahasa Melayu. Satu hal yang jarang saya lihat pada kebanyakan penulis atau sasterawan. Kebanyakan orang menganggap bahawa orang bahasa hanya akan merosakkan nilai sastera tetapi Mam yang cemerlang dalam genre puisi dan cerpen membuktikan betapa persoalan itu tidak benar sama sekali.

Secara jujur, saya berasa sangat beruntung kerana diberi peluang menyertai bengkel penulisan puisi bersama Mama. Banyak perkara yang saya pelajari daripada bengkel itu. Apatah lagi, saya tidak pernah mengikuti apa-apa bengkel penulisan puisi sebelum ini. Secara ringkas, Mama turut memperkenalkan kami dengan beberapa genre puisi tradisional seperti nazam, gurindam, syair dan pantun. Secara sedar, kami juga didedahkan betapa tingginya puisi-puisi yang dilahirkan intelektual Melayu silam lantaran setiap bait sarat dengan ilmu, kemahiran, nilai dan pengajaran. Sebagai contoh;

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan;
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun tersebut jika dilihat secara harfiah memperlihatkan sifat merendah diri seseorang yang masih baru dalam satu-satu lapangan. Walau bagaimanapun, jika diteliti pada unsur candranya, pantun tersebut turut memperlihatkan ilmu tentang cara-cara menurunkan buah atau apa-apa yang sifatnya lebih tinggi daripada fizikal manusia. Mencitrakan kemahiran yang pelbagai untuk seseorang melakukan sesuatu dan membawa nilai merendah diri dalam yang wajar dicontohi agar mudah menerima bantuan apabila berada dalam kesusahan. Sesi bersama tambah meriah sewaktu kami perlu membacakan sajak yang telah kami tulis. Kebanyakan adik berasa takut dan malu. Mungkin ada antara mereka yang pertama kali membaca puisi pada hari itu. Seperti biasa, saya juga tidak terlepas daripada rasa takut dan seram sejuk walaupun jauh lebih berusia daripada mereka. Namun, alhamdulillah kerana saya berjaya juga dan mendapat reaksi posittif daripada Mama dan adik-adik.

Pada 22 Disember pula, bengkel telah diteruskan dengan pendedahan penulisan cerpen oleh Saifullizan
Yahaya yang mesra dalam kalangan kami dengan gelaran ‘abang’. Abang Saiful telah membimbing kami tentang metodologi penghasilan sebuah cerpen bermula dengan proses mencari idea sehinggalah proses penglahiran idea menjadi sebuah cerita yang bergerak atas hukum sebab dan akibat yang wajar. Dalam bengkel yang sama, Abang Saiful turut berkesempatan membedah cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para peserta. Bagi menarik minat dan konsentrasi adik-adik, Abang Saiful mempertontonkan beberapa klip video pendek berbentuk 3D yang melucukan tetapi mempunyai pengajaran yang besar untuk difikirkan. Secara ringkas juga, Abang Saiful turut menyentuh teknik interteks dalam menjana idea kreatif. Sebagai contoh, Abang Saiful telah membuka kisah Si Tanggang dan meminta kami memberi idea baru yang kreatif berdasarkan cerita Si Tanggang. Alhamdulillah, saya juga berjaya menjana idea baru tentang itu dan insya-Allah akan saya peram sebelum saya tulis.

Berada dalam kelompok adik-adik membuatkan saya terasa sebagai peserta purba yang bertuah
kerana mengenali adik-adik itu. Kebanyakan mereka tampak takut-takut dan tidak yakin untuk berbicara tentang karya mereka. Ada juga yang malu-malu apabila disuruh menulis sebuah puisi dan membacakannya di hadapan teman-teman dan Mama. Namun begitu, saya berasa kagum dengan hasil karya mereka yang pada hemat saya agak baik walaupun usia mereka masih muda. Antara adik yang saya ingat namanya kerana sikap proaktif dan yakin diri mereka ialah Nadirah yang begitu meminati Faisal Tehrani, Farah (UPM) yang luas fikiran, Khalid yang begitu berminat dengan dunia penulisan, El yang gaya tuturnya bak bakal PM, Wahida (MPTI), Fateha yang ingin menjadi doktor, Aina yang pemalu, Ainatul Mardiah yang cenderung kepada penulisan Islami, Afi yang laju bertutur dan beberapa orang lagi.

Saya berasakan bahawa mereka jauh lebih beruntung kerana mempunyai kesedaran terhadap dunia kesusasteraan dalam usia yang lebih muda. Saya sendiri mengakui betapa tahap perkenalan saya dengan dunia kesusasteraan jika dibandingkan dengan mereka jauh berbeza. Mereka sudah mengenali beberapa istilah dan tokoh sastera pada usia semuda itu dan tidak seperti saya.

Berada dalam lingkungan mereka, saya sering diasak tentang ASWARA yang sangat jauh dari ruang lingkup pengetahuan mereka. Antara soalan yang mereka timbulkan:

ASWARA tu apa kak?

Nama ASWARA ni panjang sikit. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Dahulunya dinamakan sebagai ASK. Dah lama dah ASWARA ini wujud. Sudah hampir 15 tahun usianya.

Seronok tak belajar di ASWARA?

Sangat seronok. Aswara memperuntukkan 60% praktikal dan 40% teori. Jadi kami tidak terlalu terikat dengan teoritikal tanpa dipraktikkan. Kami diajar menulis cerpen, skrip tv, skrip layar, menulis skrip drama pentas, muzikal, menulis kritikan dan pelbagai lagi.


Apa prospek kerjaya sekiranya saya memasuki Fakulti Penulisan ASWARA?

Sebenarnya masyarakat sering memandang rendah pada dunia sastera. Walhal lapangan ini sebenarnya memberi peluang kerjaya yang luas juga. Apabila adik tamat belajar, adik sebenarnya boleh menggunakan kelulusan adik untuk menjadi seorang pensyarah, editor, pengkritik sastera, penulis sepenuh masa (cerpen, novel, drama, skrip tv & filem), guru, penggiat sastera, pengarah pentas dan bermacam lagi. Jika adik cemerlang dalam pelajaran, insya-Allah ada peluang untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di ASWARA dan mungkin kelak boleh menjadi salah seorang tenaga pengajar di ASWARA. Insya-Allah.

Fakulti Penulisan ASWARA tu ada pengkhususan apa?

Fakulti Penulisan ASWARA mempunyai dua pengkhususan iaitu Penulisan Kreatif dan Penulisan Filem dan Televisyen. Kalau dalam pengkhususan Penulisan Kreatif, adik akan belajar proses menghasilkan cerpen, novel dan drama pentas dalam pelbagai genre. Kalau dalam pengkhususan Filem dan Televisyen, adik akan belajar tentang penulisan skrip filem dan tv yang merangkumi pelbagai genre juga. Istimewanya, Fakulti Penulisan ASWARA diterajui oleh tenaga pensyarah yang memang kita kenal sebagai orang arif dalam lapangan sastera seperti SN Anwar Ridhwan (Penerima S.E.A Write Award, Anugerah Sastera Negara - cerpen, novel, drama), En. Zakaria Ariffin (Penerima S.E.A Write Award, major drama pentas, televisyen, bangsawan, muzikal), En. Ridzuan Harun (puisi), Tn, Hj Abdul Rahim (kritikan, drama, cerpen, puisi), En. Azman Ismail (mantan editor MM), En. Faisal Tehrani (novelis prolifik), Pn. Susilawati Kamaruzzaman (kritikan), Dr. Anuar Nor Arai (Skrip filem). Turut sebagai pensyarah sambilan ialah En. A.Wahab Hamzah, Dr. Mahadi J. Murat, En. Hassan Mutalib, En. Hishamuddin Rais dan beberapa orang lagi.

Macam mana nak sambung belajar di ASWARA?

Kalau adik lepasan SPM, adik perlu kredit dalam bahasa Melayu dan lulus temu duga. Begitu juga dengan lepasan STPM. Cuma, lepasan STPM boleh terus memohon untuk menyambung peringkat ijazah pertama dengan keputusan peperiksaan STPM. Jangka masa pembelajaran untuk tahap diploma dan ijazah pula sama, iaitu tiga tahun.

Bila kemasukan ke ASWARA kak?

Kemasukannya pada Julai setiap tahun. Iklan tentang permohonan kemasukan ke ASWARA akan dibuka sekitar bulan Mac dan April 2010, setelah keputusan peperiksaan 2009 diumumkan. Adik boleh isi borang dan jika permohonan adik berjaya, adik akan dipanggil untuk sesi temu duga. Dalam sesi temu duga, adik akan berdepan dengan tiga tahap (kalau ikut pengalaman akak). Tahap pertama adik akan menduduki ujian umum tentang ASWARA, tahap kedua menjawab soalan bertulis yang berkaitan pengkhususan pilihan dan tahap ketiga adik akan ditemu duga oleh panel setiap fakulti. Insya-Allah apabila berjaya, adik akan diberitahu. Adik boleh lawati laman sesawang http://www.aswara.edu.my

Kenapa akak pilih masuk ASWARA?

Begitulah antara persoalan yang mereka ajukan dengan penuh minat. Ketika itu, saya benar-benar berasakan diri saya sebagai duta Fakulti Penulisan dan ASWARA untuk memberi pendedahan secara ringkas tentang ASWARA utamanya Fakulti Penulisan kepada mereka. Mereka saya lihat begitu berbakat dan saya benar-benar berharap agar mereka kelak akan menjadi antara warga Fakulti Penulisan, ASWARA yang akhirnya akan mewarnai dunia kesusasteraan tempatan. Pendedahan itu juga saya lakukan dengan bersungguh-sungguh kerana rasa terkilan saya apabila mendapat tahu kurangnya pengetahuan masyarakat luar industri tentang ASWARA ketika menjadi petugas di booth Fakulti Penulisan ASWARA di Nanyang Education Fair, PWTC pada 19 dan 20 Disember lalu. Dalam hal ini, saya berharap agar pihak berkenaan mampu membuat sesuatu dalam rangka mempromosikan ASWARA untuk lebih dikenali dan disanjungi sebagai institusi seni yang bertaraf tinggi. Bagi saya, setiap soalan yang mereka beri telah saya jawab dengan penuh tanggungjawab melainkan soalan yang terakhir itu dan biarlah hanya mereka-mereka tertentu sahaja yang tahu.

Menjelang petang 22 Disember, saya mengucapkan salam perpisahan kepada adik-adik. Dalam pada itu, saya sempat berpesan kepada mereka agar tekal menulis dan berkarya. Saya yakinkan dengan jujur betapa mereka punya bakat dan jangan disia-siakan anugerah itu. Untuk beberapa yang begitu menunjukkan minat tentang Fakulti Penulisan, ASWARA seperti Adik Khalid saya berpesan agar menghubungi saya untuk mengetahui maklumat lanjut atau untuk bertanya apa-apa lagi. Jauh di sudut hati, saya berterima kasih kerana penyertaan saya dalam bengkel Tunas Remaja tersebut bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan saya malah menambah kenalan dan pengalaman hidup saya.

2 ulasan:

  1. macam mana nak masuk skolah aswara

    BalasPadam
  2. Salam Wardah,
    Masih ingat pada Mama?
    Mama doakan Wardah sudah mula mendaki tangga kegemilangan dalam menggarap idea bernas untuk dikongsikan bersama-sama khalayak.

    Jika berkelapangan jengoklah Mama di Suara Hati mahayamy.blogspot.com
    Selamat maju jaya, doa daripada Mama.

    BalasPadam