Selasa, 29 Disember 2009

PENULIS YANG MEMBAWA FIKIR DAN RASA

SEBENTAR TADI, saya pergi menemui Abang Saifullizan Yahaya di pejabatnya untuk mendapatkan bahan berupa video pendek yang menarik sekiranya dimasukkan ke dalam pembentangan sebagai bahan selingan. Akan tetapi, saya bukan sahaja mendapat bahan tersebut daripada Abang Saiful, malah jauh lebih beruntung apabila saya turut dihidangkan dengan ilmu-ilmu berkaitan puisi, cerpen, kepengarangan dan pengalaman Abang Saiful yang pernah melalui apa-apa yang sedang saya lalui kini sebagai seorang yang masih bertatih untuk bergelar penulis.

Melalui perbincangan dengan Abang Saiful saya berpeluang menyuarakan persoalan demi persoalan terutamanya yang berkaitan puisi. Maklum saja, saya tidak pernah mendalami ilmu menulis puisi melainkan melalui bengkel bersama Pn. Mahaya Mohd Yasin minggu lalu. Selama ini, saya sering tertanya-tanya berkenaan kepelbagaian tafsiran yang dilakukan oleh khalayak pembaca terhadap sesebuah karya yang dibaca. Apakah sesebuah sajak yang ditafsirkan oleh khalayak pembaca dengan pelbagai pemahaman itu menandakan sesebuah sajak itu gagal kerana maksud yang cuba disampaikan penyair tidak berjaya diterima oleh khalayak pembaca.

Menurut beliau, pentafsiran pelbagai yang diberikan oleh para pembaca terhadap sesebuah puisi sebenarnya merupakan kayu pengukur pada kejayaan sesebuah sajak itu. Sebaliknya, sajak yang dapat ditafsir secara langsung oleh pembaca memperlihatkan kegagalan penyair dalam membawa khalayak mentafsir makna yang tersurat dan tersirat. Saya juga berkesempatan diperkenalkan dengan puisi Banjir, karya Latiff Mohidden. Banjir merupakan sebuah puisi yang mengetengahkan unsur visual sebagai elemen kewujudannya. Dalam hal ini, penyair telah memilih satu sisi 'kamera' dalam suasana banjir yang melanda. Penyair tidak memaparkan suasana banjir secara menyeluruh sebaliknya memperlihatkan pandangan tersebut menerusi rangkap :

.... album di atas bumbung
dan wajah tanpa nama meratap ...

Melalui pengaplikasian konsep visual, penyair dapat memberitahu khalayak berkenaan peristiwa banjir yang wujud dalam puisi tersebut menerusi kedudukan album yang berada di atas bumbung serta foto-foto yang tidak dikenali di dalamnya (wajah tanpa nama). Malu juga saya apabila beliau bertanya sama ada pernah atau tidak membaca puisi Sungai Mekong yang bagi beliau merupakan antara puisi wajib baca oleh para mahasiswa penulisan sastera. Menerusi puisi Sungai Mekong, khalayak pembaca didedahkan dengan ramalan penyair berkenaan pertempuran berdarah yang berlaku di Sungai Mekong, Vietnam. Puisi tersebut ditulis pada tahun 1966, tidak lama sebelum Perang Vietnam tercetus. Hal ini memberikan bukti betapa sastera itu lebih penting peranannya kerana bukan sahaja berupaya merakamkan sejarah malah mampu meramal masa depan.

Dalam persoalan mencari identiti tuntas sebagai seorang penulis, saya mempersoalkan apakah satu kesalahan apabila seorang penulis baharu itu terpengaruh dengan rentak mahupun cara penulisan seseorang penulis lain. Saya menjadikan diri sendiri sebagai contoh. Sebagai pelajar, saya mendapati betapa gaya penulisan saya sangat terpengaruh dengan gaya penulisan Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah dan Anwar Ridhwan. Kadangkala, saya berasa agak gusar memikirkan keterikatan gaya saya ini. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dilema yang saya hadapi itu merupakan satu proses yang normal bagi seseorang penulis baharu yang masih mencari-cari identiti diri. Barangkali saya terlalu terikat dengan gaya penulisan ketiga-tiga tokoh tersebut lantaran minat saya yang mendalam terhadap karya-karya mereka. Akan tetapi, beliau menasihati saya untuk membuka 'pintu-pintu' lain bagi mendapatkan imu bentuk yang lebih luas kerana perkara tersebut sangat membantu dalam proses pencarian identiti. Saya ujarkan kepada beliau betapa saya begitu bingung apabila membaca karya-karya cerpen Zaen Kasturi dan adakalanya mengalah untuk memahaminya. Dalam hal ini, beliau meminta agar saya tidak menutup ruang yang kurang saya minati sebaliknya terus berusaha membaca dan menyelidik. Beliau turut memberitahu bahawa bukanlah satu kesalahan untuk penulis baharu terpengaruh dengan gaya penulisan tokoh tetapi, awas jangan sampai berlaku plagiat.

Sementelahan itu, kami turut berbincang mengenai aliran pemikiran dan perasaan yang dibawa oleh penyair. Persoalan ini timbul rentetan daripada kekhilafan saya terhadap bentuk bahasa puitis dalam penulisan sajak. Jujurnya, saya akui bahawa kebanyakan sajak yang saya tulis bernada keras dan tidak pernah melankolik. Saya berpegang kepada prinsip SN Shahnon Ahmad yang melihat bahawa nilai estetik karya beliau tidak terletak pada kepuitisan bahasa sebaliknya tercitra pada pemikiran yang dibawa. Apatah lagi pada usia sebegini yang merupakan medan pergolakan dan pemberontakan kemahuan. Rasa ingin mengkritik dan membetulkan keadaan merupakan pengalaman normal bagi para penulis muda. Walau bagaimanapun, pengalaman dan kematangan usia akan membawa pemberontakan naluri terhadap sosial itu menjadi semakin terarah bagi membentuk persepsi masyarakat.

Perbincangan tersebut juga menyedarkan saya betapa perlunya seseorang penyair mencatat tarikh dan tempat sajaknya ditulis bagi tujuan dokumentasi. Sungguh, selama ini saya tidak pernah melakukannya. Beliau turut memperkenalkan saya denga penyair Wiji Tukhul, penyair yang sezaman dengan WS Rendra dan telah 'dihilangkan' oleh Republik Indonesia. Melalui puisi Tukhul, saya belajar lagi bahawa kepuitisan itu tidak semestinya pada deretan kata yang indah sebaliknya pada pemikrian yang dibawa. Begitu juga dengan Muhammad Hj Salleh yang bahasa sasteranya agak keras tetapi punya pemikiran dan perasaan dalam yang akan menyusul selepasnya.

Tuntasnya, peribadi dan jiwa yang berada dalam diri seseorang penyair akan tercitra pada hasil karyanya dan adalah penting untuk penulis dan pengkaji menjadikan diri mereka ibarat tukang masak yang perlu menikmati dan mencuba segala rasa yang ada untuk mendapatkan juadah yang terbaik.

Buat Abang Saifullizan Yahaya, saya sangat berterima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman. Saya tidak membawa dan menatat apa-apa ketika sesi tidak rasmi itu dan berasa sangat kesal. Biarlah entri ini menjadi nota buat saya dan kita bersama.

2 ulasan:

  1. Terima kasih berbagi setiap tinta ilham dan pengalaman yang Wardah timba...Setiap hari membaca entri baru daripada Wardah, tidak jemu menghabiskan setiap aksara. Walau panjang berjela tulisnya, namun penuh dengan ilmu perlu dihargai seadanya.

    Teruskan ya. :)

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum, Hasni.

    Terima kasih atas ziarah ke laman blog saya. Memang berkongsi ilmu itulah yang saya ingin sampaikan melalui blog ini. Cuma, atas nasihat beberapa penulis mapan - saya digalakkan tidak lagi menyiarkan artikel yang berbentuk ilmiah mahupun karya kreatif yang belum disiarkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan apabila ingin diterbitkan. Kedatangan Hasni sangat dialu-alukan.

    Tentang kepanjangan itu, saya juga kadangkala cuba untuk menulis sependek yang boleh tetapi sukar. Susah untuk jari ini berhenti dan terasa bagai banyak yang ingin dikongsi bersama. Terima kasih.

    BalasPadam