Khamis, 3 Disember 2009

HATI-HATI PANTAI SEPI

PADA satu petang, Mawar menelusuri pesisir Pantai Sepi tidak jauh dari tempat dia berteduh sejak beberapa musim yang lalu. Entah angin apa yang menyapa hati, Mawar tidak mahu bertemu atau diganggu sesiapa. Dia menyendirikan rasa dan jasadnya di balik sebuah batu besar. Petang-petang begitu, memang tidak ramai orang yang berada di pesisir Pantai Sepi. Ah, memang tidak ramai pada bila-bila masa pun. Siapa yang mahu bermukim di Pantai Sepi yang sentiasa suram wajah. Yang sentiasa mengelak daripada disentuh cahaya mentari. Yang lebih suka sepi dan sunyi dari tawa dan ria insani? Hanya Mawar sahaja yang nian suka akan pantai itu. Entah mengapa, seakan-akan ada keserasian antara dia dan Pantai Sepi.

Mawar duduk di batu besar berwarna hitam sambil berpeluk tubuh. Pandangannya tertancap kepada air laut yang tampak kelam dan tidak seri. Angin kering yang bertiup mengusap pipi. Sesekali, terdengar keluhan keluar daripada bibir mungil Mawar yang tidak pernah disentuh secalit warna ceria. Puas menikmati rasa bosan di hamparan batu hitam, Mawar melangkah dan berjalan perlahan-lahan di pesisir pantai. Terasa nyaman di nurani kala langkah menyentuh butiran pepasir hitam sepanjang jalan. Ketika Mawar hampir tiba di penghujung jalan, Mawar disapa dua Hati yang sedang bertelagah. Hati I cuba memujuk Hati II. Mawar terpegun melihat aksi kedua-dua Hati. Tanpa dipedulikan, Hati I dan Hati II terus bertelagah tanpa ada rasa malu lantaran diperhatikan Mawar.

Hati I : Cubalah kaufikir, bukankah memaafkan itu lebih mulia daripada menyimpan dendam? Tidakkah engkau tahu?

Hati II : Jangan kausuruh aku berfikir tentang itu seolah-olah aku nian tulu untuk menilainya.

Hati I : Tapi, tindakan engkau memperlihatkan ketidakfahaman engkau terhadapa kata maaf. Aku tidak mahu melihat dia terus sengsara dengan menyimpan dendam di ruang antara kita. Aku tidak mahu melihat dia terus hidup sepi dan merana.

Hati II : Ah, apa yang kautahu tentang dia? Kautidak tahu apa-apa. Kautidak faham dia!

Hati I : Jangan kau perlekehkan kepentingan dia terhadapku dan pengetahuanku tentang dia. Aku mengikut jejaknya setiap masa, aku bersamanya tiap jaga dan lena. Aku tahu sukar untuk dia menerima, tetapi itu tidak boleh menghalang engkau untuk menuntun dia menjadi pemaaf. Itu tanggungjawab engkau. Itu tanggungjawab kita.

Hati II : Nah, nyata sekali kauhanya bijak menyusun kata tetapi kalah untuk berlaku adil kepada dia. Kalau engkau fahami dia, apakah kaudapat rasai derita dia ditinggalkan begitu oleh seseorang yang sewajarnya bertanggungjawab terhadap dia? Kalau sungguh tinggi pengetahuan engkau tentang dia, apakah kaudapat membaluti luka yang terus mengalirkan darah di mukim jiwa dia kerana dibiar terhina tanpa dipertahankan oleh seorang yang sepatutnya? Ah, apa yang kaufaham? Mudah saja kauminta aku memujuknya agar dia memaafkan si lelaki mewa yang sanggup membiarkan hidupnya terbiar sepi begitu. Teman apa engkau ini?

Hati I : Wahai sahabat, aku faham segala perimu itu tentang dia. Ya, aku akui memang tidak mudah untuk dia memaafkan apa lagi melupakan segala tindakan si durjana itu kepada dia. Tetapi, darah durjana itu tetap mengalir dalam diri dia. Itu tidak boleh kaudebatkan. Sanggup engkau melihat dia dimurkai Tuhan semata-mata membiarkan diri terbakar dengan dendam yang tidak pernah padam terhadap seseorang yang sewajibnya dia kasihi dan hormati?

Hati II : Durjana itu tidak layak untuk dihormati dan dikasihi dia. Apa yang boleh dia dapat dengan menghormati dan mengasihi durjana yang mengabaikan kewujudan dan ketaatan dia? Aku tidak mahu dia menjadi perawan tulu yang hanya tunduk pada kekejaman yang tidak berkesudahan.

Hati I : Itu katamu. Aku mohon kepadamu, tolonglah. Marilah kita bersama-sama menemani dia untuk memahami isi maaf dan meleraikan kusut dendam di ruang atmanya. Aku tidak sanggup melihat dia terus-terusan bermukim di dunia sepi yang kelam dan menolak cahaya bahagia yang cuba menyusup ke dalam hidup ini. Aku perlukan bantuanmu untuk mengukuhkan keyakinan dia agar menjadi pemaaf kepada lelaki itu.

Hati II : Maafkan aku, teman. Penderitaan dan kepahitan jalur hidupnya dek kerana durjana itu tidak mampu membetahkan aku untuk membantumu menjadikan dia seorang yang pemaaf. Ya, aku akan membantumu untuk mengajar erti maaf kepada dia sekiranya maaf itu bukan untuk si durjana keparat itu. Mendengar nama si kejam itu berdetik dalam nadi dia sahaja aku tidak sanggup, apa lagi membantu dia memaafkan itu. Engkau maafkanlah aku.

Hati I : Tolonglah sahabat. Saban hari aku menjadi semakin gusar mengenangkan dendamnya. Aku bingung melihat dia yang cuba mengukir doa untuk durjana itu tetapi tidak pernah betah. Aku tahu dia sengsara kerana gagal mendoakan durjana itu. Aku tahu itu. Kerana itulah aku tidak mahu kesengsaraan dan kebingungan dia berterusan. Dia perlu memaafkan untuk hidup tenang dan keluar dari daerah sepi ini. Tolonglah.

Hati II : Huh, memaafkan durjana yang membuatkan dia sering berasa kurang setiap kali melihat mereka-mereka yang seusia durjana itu tetapi beda kasih dan peranan terhadap tanggunggan mereka, bukan seperti dia? Tidak! Persetanlah dengan pujukanmu itu. Aku tidak akan menurut.

Kedua-dua hati bertelagah dan saling melempar hujah. Mawar yang pegun berdiri sudah rebah di dada pasir Pantai Sepi. Terasa seluruh tubuh dihinggapi bisa lemah yang amat. Hati I dan Hati II berlalu melalui Mawar sambil terus bertikam lidah. Mawar melaung, cuba memanggil Hati I tetapi tidak didengari. Suara meminta tolongnya tersekat dek racun dendam yang bersemayam di kerongkong hidupnya, dan daerah Pantai Sepi terus bertukar kelam tanpa setitis cahaya atau warna. Terus menelan tubuh Mawar yang terbiar rebah, berseorangan di dunia sepi yang semakin pikun dimamah derita dendam tak sudah.

2 ulasan:

  1. definisi pekun = ?

    dua hati...unik~

    BalasPadam
  2. Salam Ahleng,
    Pikun itu bermaksud sangat tua. Terima kasih kerana membaca.

    BalasPadam