Khamis, 26 November 2009

WATAK & PERWATAKAN KELUARGA GERILYA

AMILAH
Amilah dikategorikan sebagai watak utama. Hal ini kerana watak Amilah wujud dalam setiap perjalanan cerita dan menjadi salah satu punca besar konflik. Pramoedya telah melukiskan watak fizikal Amilah iaitu ibu kepada tujuh orang anak sebagai seorang wanita tua dan berbadan tinggi. Pada usia muda, Amilah merupakan seorang wanita yang rupawan. Amilah pernah diberi gelaran ‘Selendang Mayang Bunga Tangsi’ semasa usia mudanya (1977, hal 2). Pramoedya menggambarkan ketuaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Amilah telah menyebabkan kulinya kelihatan berkedut (1977, hal 2). Amilah juga mempunyai rambut yang panjang paras punggung. Kebiasannya, Amilah akan menyanggulkan rambutnya yang panjang itu (1977, hal 18).


Amilah seorang wanita yang tidak pernah tahu membaca dan menulis. Dia juga tidak pernah berfikir akan kepentingan menulis dan membaca (1977, hal 2). Kehidupan zaman silam Amilah adalah sangat berbeza dengan kehidupannya dalam latar masa novel ini. Jiran-jiran di sekitarnya menyifatkan Amilah sebagai ‘buaya tangsi’. Hal ini disebabkan sifat negatif Amliah yang tidak bersopan (1977, hal 1). Sikap Amilah yang suka merungut juga telah menyebabkan para jiran menjauhinya. Tambahan pula, Amilah gemar mengata dan merendahkan orang lain. Sifat-sifat buruk Amilah ini sering menimbulkan pertelagahan antara Amilah dengan jiran-jirannya (1977, hal 2).

Sebagai seorang ibu, Amilah bukanlah contoh ibu yang baik. Amilah sering memarahi dan memaki anak-anaknya terutamanya anak keempatnya iaitu Salamah (1977, hal 5). Kewarasan akal Amilah terganggu apabila anak kesayangannya iaitu Sa’aman ditangkap oleh M.P (1977, hal 6). Hanya Sa’aman yang mampu melenturkan kekerasan Amilah (1977, hal 10). Amilah mempunyai satu prinsip dan pandangan hidup yang agak negatif iaitu “kehidupan yang senang adalah dengan hidup bermalas-malas” (1977, hal 6). Amilah sering mengimbau kecantikannya semasa muda dahulu dan dibandingkan dengan keadaan dirinya pada masa itu. Disebabkan hal ini, Amilah sering mencemburui kecantikan Salamah anak keempatnya yang mewarisi ketampanan Leftenan Gedergeder iaitu seorang Belanda (1977, hal 6). Leftenan Gedergeder merupakan teman Amilah berfoya-foya semasa suaminya Kopral Paijan pergi menjalankan tugas di Pare Pare dahulu.

Layanan Amilah terhadap Salamah dan anak-anaknya yang lain berbeza dengan layanannya terhadap anak kesayangannya Sa’aman. Hal ini kerana Sa’aman merupakan anak yang lahir hasil daripada hubungannya dengan teman lelaki yang sangat dicintainya iaitu Benni (1977, hal 10) . Benni merupakan seorang Kristian yang sangat tampan (1977, hal 53). Benni telah mati tatkala bertempur di Acheh. Ketika itu Amilah sedang mengandungkan Sa’aman. Kematian Benni menyebabkan Amilah mengahwini Kopral Paijan. Amilah telah melahirkan Sa’aman pada usinya 19 tahun (1977, hal 59). Walaupun Sa’aman bukan anak Amilah bersama suaminya yang sah iaitu Paijan, Amilah tetap membinkan nama Sa’aman dengan Kopral Paijan.

Penangkapan Sa’aman telah membawa Amilah menunggu kepulangan anak kesayangannya itu saban hari dan malam (1977, hal 18). Dalam bab Tamu di Pagibuta, sifat tidak sabar Amilah dapat dilihat dengan jelas. Sifat ini tergambar apabila Amilah tidak sabar semasa berhadapan dengan Sesran Kasdan untuk mengetahui kedudukan Sa’aman. Selain tidak sabar, bab ini juga memperlihatkan kepada pembaca sikapnya yang mudah terpedaya sehingga ditipu oleh Sesran Kasdan (1977, hal 56-57). Tekanan perasaan yang dialami Amilah kerana kehilangan Sa’aman juga menyebabkan daya ingatan Amilah menurun. Perkara ini menyebabkan Amilah dianggap gila dan hilang ingatan. Hakikatnya, Amilah tidak gila tetapi keobsesannya terhadap kehilangan Sa’aman yang menyebabkan dia menjadi begitu (1977, hal 87).

Kasih sayang Amilah yang mendalam terhadap Sa’aman telah mempengaruhi Amilah melakukan perbuatan yang aneh. Amilah kerap mencuri baju-baju anaknya lantas dijual. Hasil jualan baju itu akan digunakan untuk membeli barang-barang bagi menyediakan jeruk kesukaan Sa’aman.

Amilah akan membeli cabe rawit, bawang merah dan cuka. Barang-barang ini kemudiannya disimpan di bawah katil Sa’aman sehingga bertimbunan (1977, hal 108). Amilah menemui ajal setelah melalui banyak rintangan untuk menemui Sa’aman yang akhirnya ditembak mati. Amilah mati di atas kubur tempat bersemadinya Sa’aman. Kemudian, jasad Amilah telah ditanam oleh dua orang askar yang berjaga di kubur itu (1977, hal 258-259).SA’AMAN BIN

PAIJAN
Watak Sa’aman Bin Paijan atau Aman ini turut diklasifikasikan sebagai watak utama dan watak bundar. Hal ini kerana watak Sa’aman ini menepati ciri-ciri pengelasan watak utama seperti watak yang wujud dalam setiap kisah hingga ke akhir cerita. Sa’aman muncul dalam setiap plot dan menjadi pencetus konflik. Selain itu, watak Sa’aman merangkumi segala sifat-sifat manusia seperti dendam dan sayang.

Sa’aman merupakan seorang pemuda berusia 24 tahun. Dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik kepada Amilah (1977, hal 9). Watak fizikal Sa’aman dilukiskan oleh pengarang sebagai seorang pemuda yang berbadan tegap dan tinggi (1977, hal 23). Sa’aman mempunyai sepasang mata yang tenang dan sepet (1977, hal 30 dan 33). Selain itu, wajah Sa’aman digambarkan mempunyai iras wajah bangsa Menado. Manakala warna kulit Sa’aman pula ialah kuning langsat. Semasa menjadi tahanan di penjara Gang Tengah, wajah Sa’aman dipenuhi jambang, mempunyai pipi yang cengkung manakala badannya pula sedikit membongkok (1977, hal 110). Gambaran ini menunjukkan penderitaan jiwa yang dialami oleh Sa’aman dalam detik-detik menanti hukuman mati dikenakan.

Sa’aman Bin Paijan mendapat pendidikan di MULO (Meer Uitgebried Lager Onderwjis) atau Sekolah Menengah Belanda (1977, hal 126). Walaupun merupakan anak yang paling tua dalam keluarganya, Sa’aman tetap menghormati dan sangat mengasihi adik-adiknya (1977, hal 7). Sa’aman sering memberi nasihat kepada adik-adiknya. Sa’aman juga seorang abang yang sangat mementingkan pelajaran kesemua adiknya (1977, hal 7). Dia tidak mahu adik-adiknya ketinggalan dan hidup susah tanpa pelajaran. Sa’aman pernah mengeluarkan kata-kata yang berbunyi “...di dunia ini tiada tempat untuk orang yang bodoh dan sakitan” bagi memberi semangat kepada adik-adiknya.

Sebagai seorang perajurit bangsa, Sa’aman mempunyai kecekalan hati yang sangat tinggi. Sa’aman sentiasa tabah dan berani menghadapi ancaman penjajah walaupun maut menjadi taruhan (1977, 154). Di samping itu, Sa’aman juga mempunyai pendirian yang teguh dalam mempertahankan kebenaran perjuangannya. Sa’aman lebih rela mati daripada dibebaskan tetapi tidak mampu melepaskan kesengsaraan tanah air dan bangsanya yang terjajah (1977, hal 109-129).

Surat-surat yang dikirmkan oleh Sa’aman kepada adik-adiknya pula melambangkan kebijaksanaan, daya pandangan dan pemikiran Sa’aman yang tajam(1977, hal 213-220). Watak Sa’aman berfungsi dalam menyampaikan pemikiran Pramoedya terhadap penjajahan bersama semangat nasionalisme yang tinggi.

SALAMAH BIN PAIJAN
Salamah merupakan contoh watak pipih dalam novel ini. Hal ini kerana watak ini tidak mengalami perkembangan yang ketara. Watak Salamah juga boleh diklasifikasikan sebagai watak sampingan yang penting. Watak ini hanya muncul pada permulaan dan akhir cerita sebagai penutup kisah.

Salamah merupakan anak keempat Amilah. Salamah berusia 19 tahun (1977, hal 4). Sepasang mata berwarna biru yang cantik menambahkan keindahan paras wajah Salamah (1977, hal 9). Kecantikan Salamah terserlah dengan kulitnya yang berwarna putih (1977, hal 30). Keindahan paras Salamah itu diserikan lagi dengan hidungnya yang mancung. Selain itu, Salamah juga memiliki rambut yang berwarna perang dan panjang berombak (1977, hal 31). Salamah merupakan anak hasil hubungan songsang Amilah dengan Leftenan Gederrgeder. Ketampanan leftenan Belanda itu telah diwarisi oleh kecantikan Salamah (1977, hal 59).

Sebagai seorang kakak, Salamah mempunyai nilai bertanggungjawab yang tinggi. Hal ini terbukti apabila Salamah cuba meminta izin daripada Amilah untuk pergi bekerja. Salamah ingin mencari pekerjaan agar dapat menampung perbelanjaan rumah dan menyambung persekolahan adik-adiknya yang tergendala setelah penangkapan Sa’aman (1977, hal 7). Kecantikan yang dimiliki Salamah telah menerbitkan perasaan cemburu Amilah terhadapnya. Hal ini menjadi faktor Salamah sering dimarahi oleh Amilah (1977, hal 9). Pramoedya juga telah melukiskan watak Salamah sebagai seorang gadis sunti yang mempunyai nilai kesopanan yang tinggi (197, hal 10).
Salamah berjaya menamatkan pelajarannya di sekolah rakyat. Disebabkan ini, Salamah mempunyai pengetahuan yang baik untuk membaca dan menulis. Di samping itu, Salamah turut mahir dalam bahasa Belanda (1977, hal 11). Salamah juga telah menjalinkan ikatan pertunangan dengan seorang lelaki yang baik iaitu Mas Darsono. Pertunangan Salamah ini sangat disenangi oleh Sa’aman (1977, hal 16).

Budi perkertinya yang halus ditambah dengan kecantikan yang dimilikinya menjadikannya mudah disayangi orang (1977, hal 33). Sungguh pun Salamah sering dimarahi oleh Amilah, Salamah tetap menghormati dan mentaati segala perintah ibunya. Kejelikan watak Amilah sebagai ibu tidak membenarkan Salamah mengingkari dan mengasari Amilah (1977, hal 6-12 &132). Salamah juga sanggup mengorbankan keperawanannya semata-mata untuk menyelamatkan Sa’aman walaupun akhirnya menjadi mangsa tipu daya Sesran Kasdan (1977, hal 269).

PATIMAH BIN PAIJAN
Patimah merupakan contoh watak sampingan yang tidak penting. Patimah digambarkan berusia 16 tahun. Sa’aman membayangkan Patimah sebagai anak yang paling cerdik dalam keluarga (1977, hal 8). Melalui Sa’aman, Patimah digambarkan sebagai seorang gadis yang berbudi pekerti dan akan menjadi orang yang berguna. Patimah juga mempunyai nilai kemanusiaan yang besar (1977, hal 8).

Patimah menaruh harapan untuk menjadi seorang ibu yang baik. Patimah berharap dia dapat mendidik anak-anaknya kelak sehingga menjadi orang yang berguna (1977, hal 14). Selain itu Patimah mempunyai cita-cita yang besar maknanya iaitu ingin menjadi manusia yang baik dan orang yang berguna kepada kebaikan (1977, hal 17).

Setelah penangkapan Sa’aman, Patimah terpaksa menamatkan pelajarannya di SM. Justeru, Patimah berharap agar dapat menyambung semula pengajiannya sekiranya Sa’aman dibebaskan. Hal ini menunjukkan sifat cinta akan ilmu dalam diri Patimah (1977, hal 132). Sebagai rakyat yang terjajah di tanah sendiri, Patimah tekad tidak mahu tunduk kepada Belanda. Patimah juga nekad tidak mahu memohon pengampunan daripada Belanda untuk abangnya kerana tidak mahu meminta-minta pertolongan daripada Ratu Belanda yang menjajahnya. Pemikiran ini wujud dalam diri setiap ahli keluarga ini (1977, hal 148).

KAREL VAN KEERLING
Van Keerling merupakan contoh watak sampingan yang bersifat dinamis. Hal ini kerana, pemikiran negatif Van Keerling terhadap perajurit bangsa seperti Sa’aman berubah apabila berlaku perbualan antara dia dengan Sa’aman. Satu perkara yang tidak pernah dilakukannya iaitu memecahkan tembok sempadan antara dia dengan banduan jagaannya.

Karel Van Keerling mempunyai wajah yang tipis dan hidung yang mancung (1977, hal 130). Di samping itu, dia juga memiliki sepasang mata yang bening (1977, hal 165). Keerling telah bertugas selama tiga tahun sebagai pengarah di penjara Gang Tengah tempat Sa’aman ditahan. Keerling juga merupakan lelaki berbangsa Indo-Belanda. Hal ini kerana, ayahnya merupakan seorang Belanda manakala ibunya pula merupakan seorang Indo (1977, hal 198). Van Keerling merupakan penghisap rokok berjenama Chesterfield (1977, hal 163).

Perbualannya dengan Sa’aman dalam bab Aku Tak Jijik Melihat Tuan telah mengubah paradigmanya terhadap perajurit bangsa seperi Sa’aman. Pertembungan ini juga telah membuka kesedarannya akan kezaliman yang dibawa oleh bangsa ayahnya. Dalam usaha menebus rasa bersalahnya terhadap Sa’aman, Keerling telah menawarkan pelbagai bantuan kepada Sa’aman tetapi tidak diterima. Akhirnya, Van Keerling membantu Sa’aman menyeludup surat untuk adik-adik Sa’aman. Van Keerling juga cuba bersahabat dan membantu adik-adik Sa’aman tetapi ditolak (1977, hal 167).MAS DARSONO

Pengkaji mengklasifikasikan watak Mas Darsono sebagai watak putih. Mas Darsono dikategorikan sebagai watak putih kerana perwatakannya yang membawa sifat baik dari mula hingga akhir cerita. Di akhir bab, Mas Darsono mempamerkan keikhlasan dan kemurnian percintaanya terhadap Salamah dengan menerima keadaan yang menimpa Salamah.

Watak fizikal Mas Darsono tidak digambarkan secara meluas oleh penulis. Hal ini kerana watak Mas Darsono bukanlah watak utama dan penting seperti watak Amilah dan Sa’aman yang dilukiskan oleh penulis secara menyeluruh. Mas Darsono bekerja sebagai pegawai di Pasar Ikan (1977, hal 90). Mas Darsono merupakan tunang kepada Salamah dan mempunyai sifat pemurah. Hal ini dapat dilihat melalui sumbangan yang diberikannya iaitu sebanyak 45 rupiah kepada keluarga Salamah pada setiap bulan (1977, hal 87).

Darsono juga merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab. Setelah penangkapan Sa’aman, Mas Darsono dengan rela memikul tanggungjawab bagi melindungi keluarga Salamah (1977, hal 150). Percintaanya dengan Salamah direstui Sa’aman. Perwatakan dan pemikirannya yang sederhana telah memikat hati abang sulung Salamah itu (1977, hal 220). Watak Darsono juga membawa nilai kesetiaan dan ketulusan dalam percintaan. Perkara ini terbukti apabila Mas Darsono dengan rela menerima Salamah walaupun tunangnya itu sudah hilang keperawanan (1977, hal 272).

TUKANG LOAK
Pengkaji membawa watak tukang loak di dalam novel ini sebagai contoh watak neutral. Watak ini dikatakan sebagai watak neutral kerana hanya bertindak sebagai satu watak sampingan yang wujud dalam satu babak dan bertujuan menceritakan watak-watak yang lain. Watak tukang loak ini hadir dalam bab Pagi Yang Cemerlang (1977, hal 85).

Tukang loak mempunyai empat orang anak lelaki. Kesemua anaknya telah mati kerana perang dan pengkhianatan manusia (1977, hal 89). Tukang Loak berasal sebagai orang yang kaya. Namun, kekayaan dan kampungnya musnah apabila sekumpulan perompak dan pengacau telah membakar rumahnya. Isterinya juga telah dibunuh. Semenjak itu, tukang loak jatuh miskin dan mengembara serata mencari rezeki sebagai penjual barangan terpakai (1977, hal 89).

Tukang loak telah datang ke rumah Salamah untuk meminta ganti rugi atas jamnya yang telah dirosakkan oleh adik bongsu Salamah iaitu Hassan (1977, hal 85). Namun, tukang loak mempunyai sifat empati dan kemanusiaan yang tinggi. Setelah mendengar keadaan yang dihadapi oleh keluarga Salamah, dia tidak jadi meminta ganti rugi tersebut. Sebaliknya, dia dengan ikhlas dan sifat pemurahnya telah memberi 10 rupiah hasil jualannya kepada keluarga itu (1977, hal 88). Perbualan antara tukang loak dan Salamah merupakan teknik yang digunakan oleh Pramoedya untuk menceritakan watak-watak lain seperti Amilah, Sa’aman dan Mas Darsono.

Intihanya, selain watak-watak yang terdapat dalam pengkajian ini, terdapat juga beberapa watak sampingan lain yang bersifat kurang penting. Antaranya seperti watak Salami, Hassan, Benni, Canimin, Kartiman dan Kopral Paijan. Perlukisan watak dan perwatakan yang sempuran dan menarik merupakan suatu modal dalam menarik minat pembaca untuk membaca sesebuah karya tersebut.

Lakaran watak yang menarik mampu menarik perhatian dan imaginasi pembaca untuk terus menghayati karya tersebut. Gabungan pelbagai jenis watak akan mewujudkan pelbagai konflik dan menjadi pencetus jalan cerita yang baik. Pramoedya telah melukiskan watak-watak yang ‘cantik’ dan sempurna dalam novel Keluarga Gerilya ini. Antara teknik perlukisan watak yang digunakan dalam novel ini ialah teknik perlukisan fizikal. Teknik ini dilihat berjaya menggerakkan kotak minda pembaca dalam menggambarkan sesebuah watak dalam imaginasi pembaca. Teknik ini dapat dilihat dengan jelas dalam lakaran watak Sa’aman, Amilah, Salamah dan beberapa watak lain. Ketelitian juga dilihat pengkaji sebagai satu fakor penting dalam menghasilkan watak-watak yang mantap seterusnya melahirkan karya yang bermutu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan