Rabu, 23 September 2009

USAI DIRANTAI KENANGAN

BEBERAPA hari yang lalu, saya menerima sms daripada seorang sahabat. Sms yang ringkas tetapi mengandungi persoalan yang besar ertinya bagi diri sahabat saya itu.

"Nff, aku nak tanya kau satu soalan. Tapi sensitif sikit."

"Apa dia?"

"Macam mana
kau ambil masa melupakan dia dahulu?"

"Aik, awat tanya soalan tu?"

"Tak ada apa-apa. Aku saja tanya. Mesti ko fikir bukan-bukan. Tak adalah. Saja tanya."

"Haha, kamu tipu. Kan aku dah cerita, aku mempelajari Teori Psikoanalisis Lacan. Setiap kata-kata yang diujarkan itu mesti bersebab dan berkaitan dengan emosi kita. Baik ko bagitahu dulu kenapa ko tanya. Hehe .."

Awal bicara, saya sudah mengesan sesuatu yang tidak kena dengan soalan itu walaupun sahabat saya berkali-kali menegaskan bahawa itu sekadar soalan biasa. Saya pula, mana boleh sekadar menerima alasan itu tanpa menyelidikinya dengan lebih dalam. Bukankah saya sudah mempelajari Teori Psikoanalisis Lacan. Setiap bicara yang diujarkan manusia itu mempunyai sebabnya yang tertentu dan berkaitan dengan psikologi penuturnya. Begitu saya katakan kepada sahabat dia bagi memancing sebab kepada persoalan yang diajukan kepada saya.

Setelah didesak, barulah sahabat saya itu berterus-terang bahawa dia baru sahaja berputus kasih dengan seorang jejaka. Aduh, mengapalah masalah seperti itu sengaja dicari di saat-saat larian pelajaran memerlukan pecutan terakhir. Fikir saya. Namun, saya akhirnya sedar bahawa semua itu merupakan ujian Allah untuk melihat keutuhan diri hamba-Nya dalam menjalani arus kehidupan.

Dia sahabat baik saya, terkejut juga saya mendengar khabar itu daripadanya. Kononnya, kami telah berjanji sejak usai menamatkan tingkatan enam atas bahawa kami tidak akan lagi berkecimpung dalam alam percintaan yang melalaikan. Hehe, nampaknya sahabat saya itu telah kecundang dalam perjanjian kami. Saya masih lagi juara. Mungkin sebab itulah sahabat saya enggan menceritakan kisah kasih sayangnya itu sejak awal. Kasihannya, janganlah begitu dengan saya. Jawapan saya agak panjang lebar berserta sejalur nasihat untuk diambil perhatian oleh sahabat, Saya sangat menyayanginya dan saya tidak mahu emosinya terganggu. Apatalah lagi, dia sedang bertarung untuk menghadapi semester-semester akhir pengajiannnya.

Cinta itu memanglah fitrah, nikmat Allah kepada hamba-Nya. Namun, kita sering kali terleka dengan nikmat fitrah itu sehingga adakalanya fitrah bertukar menjadi fitnah. Apabila seseorang yang putus kasih terus membiarkan dirinya terhumban ke jurang kekecewaan dan laut kesengsaraan, maka itulah fitnah yang dimaksudkan. Bukankah Allah masih ada? Rasulnya masih setia bersama kita? dan ibu bapa serta pelajaran masih kekal menanti kejayaan kita? Apakah perlunya kita melayani perasaan sedih yang hanya mampu menjatuhkan iltizam dan semangat kita?

Ya, saya akui. Melupakan seseorang yang pernah disayangi sepenuh hati tidaklah mudah. Seseorang yang sering dibayangkan akan menjadi imam dalam memimpin diri dan seseorang yang akan menjaga diri dan mengakui diri kita sebagai amanah Allah yang akan dijaga dengan sebaik-baiknya bukanlah mudah. Segalanya itu memerlukan mujahadah yang tinggi dan semangat yang kental. Saya terus menasihati sahabat saya, anggap sahaja si dia bukan jodoh yang ditentukan Allah untukmu. Dia hanyalah alat uji untuk menilai takah iman dan peribadi diri. Jangan terlalu kecewa kerana dia bukanlah pasangan kita yang sudah sah. Bercinta belum tentu membawa kepada perkahwinan. Oleh itu, rawatlah sendu.

Apabila memori indah bersama dia datang menjelma ingatan yang cuba dikuatkan, lekaslah beristighfar dan berilah ingatan kepada diri dengan segera "Dia bukan untukku. Allah temukan aku sebagai ujian untuknya dan begitu juga sebaliknya." Jangan terus membiarkan ingatan itu mempengaruhi emosi dan tindakan kita. Itulah penawarnya, kembalilah kepada Allah s.w.t.

Dengan berbuat demikian, insya-Allah hati kita akan terawat dan dengan masa yang berlalu - luka di hati akan terubat. Yang penting, percayalah pada Allah dan hikmah ujian yang diturunkannya. Bagi sahabat saya yang masih lagi bergelumang dengan pelajaran, tumpukanlah sepenuh perhatian pada lakaran masa depan yang pernah kita impikan bersama. Ya, tidak salah bercinta. Tetapi kalau cinta itu membuatkan kita leka kepada Allah, keluarga dan pelajaran - cinta itu benar-benar salah untuk kita raikan. Bersabarlah, insya-Allah jodoh telah ditetapkan. Usahalah agar diri tidak dirantai kenangan andai kenangan hanya akan memudaratkan.

Berkahwin dan bercintalah kerana Allah.
Wallahua'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan