Rabu, 2 September 2009

SEKITAR MENGENAI RANDAI

“Sakato mangko batuah Sahisiah kusuik magasi”

Rangkap di atas merupakan falsafah Randai yang perlu diterapkan ke dalam jiwa setiap anak Randai. Falsafah itu membawa maksud bahawa setiap pergerakan yang ada dalam persembahan Randai itu perlu dilakukan bersama-sama dan sekata. Persefahaman penting agar Randai yang dipersembahkan bukan sekadar memperlihatkan kesatuan secara superfisial sahaja tetapi juga kesatuan dalaman setiap anak Randai. Falsafah ini boleh dikaitkan dengan kehidupan yang memerlukan persefahaman dan kesatuan untuk mencapai kemajuan dan kebahagiaan.

Pergerakan pemain di luar dan dalam Randai perlu seiring dengan dendangan lagu yang dimainkan. Hal ini penting untuk mendapatkan penghayatan jiwa yang mampu dialirkan kepada penonton seluruhnya. Selain daripada muzik, arena, busana dan lain-lain elemen dalam Randai – silat merupakan elemen yang terpenting dalam persembahan Randai. Hal ini kerana persembahan Randai itu bergerak dalam pola seni silat.

Terdapat beberapa fungsi silat dalam persembahan Randai. Antara fungsi silat adalah sebagai pembukaan yang juga disebut sebagai sembah silat. Dengan menggunakan gerak silat, pemidato akan memohon ampun dan maaf kepada seluruh penonton jika ada kekurangan sepanjang Randai berlangsung. Selain itu, silat juga digunakan untuk membuat gelombang yang merupakan salah satu keunikan seni Randai.

Sementelahan itu, silat turut digunakan dalam bergelombang iaitu membuat lingkaran yang menjadi set pementasan atau untuk pertukaran latar. Silat juga digunakan sebagai aksi ketika pelakon berdialog. Dalam aksi tersebut, pelakon akan melakukan aksi silat bersesuaian dengan watak yang dipegang. Sebagai contoh, watak anak yang menerima bicara daripada ayahanda akan membuka kedua-dua tangan. Manakala, watak anak akan menyilangkan tangan sekiranya menolak bicara ayahanda. Selain perkara di atas, silat turut diaplikasikan dalam Randai untuk adegan bergaduh. Hal ini penting untuk menjalankan cerita. Fungsi terakhir silat dalam Randai pula adalah sebagai acara penutupan persembahan.

Persembahan Randai dimulakan dengan penari-penari Randai berbaris enam. Setiap baris terdiri daripada tiga penari. Seorang individu akan mengetuai barisan tersebut. Bagi membentuk lingkaran, penari akan bergerak mengikut arahan ketua di hadapan. Penari akan bergerak secara bersilang dalam gerak bertinju secara berganti untuk keluar daripada barisan sehinggalah membentuk sebuah lingkaran. Sebagai tambahan, penari Randai boleh bertambah atau berkurang mengikut keluasan arena. Apabila lingkaran telah wujud, seorang penari akan bergerak dua langkah dari tempat asalnya untuk memohon sembah daripada penonton. Selepas pola langkah menyembah atau pembukaan, lagu Dayang Daini akan dimainkan. Lagu Dayang Daini turut dikenali dengan nama Minang Kabau dan Lagu Duduk. Lagu ini hanya berbeza dari segi nama tetapi sebenarnya sama.

Namun begitu, lagu boleh dinyanyikan mengikut cara seseorang penyanyi. Selepas lagu tersebut dinyanyikan, anak Randai akan bermain silat dalam pola bergaduh yang tertentu. Randai akan menjadi bulat untuk mencari posisi. Pola Randai ditentukan mengikut pola kebiasaan bagi setiap daerah. Ada juga lingkaran Randai dibentuk tanpa mengikut barisan sebaliknya menggunakan gaya bersahaja sehingga lingkaran dibentuk. Selepas Randai menemui titik bulatnya, lagu pertama akan dinyanyikan. Lagu tersebut dinamakan sebagai Lagu Simarantang. Terdapat tiga Lagu Simarantang yang harus dipelajari. Tiga lagu tersebut ialah Simarantang Randah, Simarantang Tangguang dan Simarantang Tinggi. Lagu Simarantang Randah dan Simarantang Tinggi paling sering digunakan dalam persembahan. Manakala, Lagu Simarantang Tinggi kerap digunakan dalam bahagian menutup persembahan randai. Ketiga-tiga Lagu Simarantang ini ialah sama cuma berbeza dari segi intonasinya. Selepas Lagu Simarantang dinyanyikan, lagu Lintau Dua pula akan dinyanyikan.

4 ulasan:

  1. Salam Wardah,
    Randai atau istilah yang lebih tepat ialah Randaii-Daii bermaksud dakwah.Bermakna selain estetika dan elemen-elemen dalam Randai seperti silat dan muzik akan ada wacana yang akan disampaikan didalam Randai.Semester ni saya buat transilation skrip Randai bermakna dari bahasa Minangkabau ke bahasa Melayu kita.Setelah dibaca skrip tersebut beberapa kali sehingga habis...saya tak pasti dakwahnya dimana.
    Saya sempat membaca Anggun Bainai pandangan saya unsur dakwah itu juga tidak kuat walau ada sedikit nilai yang boleh kita praktik.
    Mungkin kerana di Minagkabau itu,adat datang dahulu dan kemudian baru agama.Bermakna dakwah itu sudah jatuh di nombor dua.
    Skrip Randai untuk semester ni lebih kepada ala-ala kisah raja-raja dalam tradisional seperti Mek Mulong.Wacananya belum jelas.

    BalasPadam
  2. Salam Citrasuka,
    Itulah masalahnya dalam pembelajaran Randai kita. Falsafah sebenar randai yang mengangkat Islam sebagai cara hidup tidak dijumpai. Malah, itu jugalah reaksi kami sewaktu melaksanakan Anggun Bainai Jo Sutan Nagari.

    Mungkin memang benar Randai dahulu menitikberatkan Islam dalam inti pati keadaannya tetapi untuk bertemu dengan skrip Randai yang benar-benar mengangkat citra Islam di dalamnya kini, sukar.

    Berusahalah. Semoga berjaya.

    BalasPadam
  3. Salam kembali,
    ya lah Wardah,saya berpendapat citra itu harus dikembalikan.Oleh kerana kita belajar dan berbicara tentang budaya jadi saya sebenarnya berharap kita dapat menemui budaya Islam didalam Randai...

    Terima Kasih.

    BalasPadam
  4. Randai adalah permainan untuk menjadikan manusia berakhlak mulia. Tidak ada doktrin salah atau benar, dengan demikian orang bebas memilihnya. Berbeda dengan doktrin agama (ada yang dimanipulasi) oleh kepentingan kelompok.
    Pengalaman nyata: kelompok masyarakat atau negara yang hanya berdasarkan doktrin agama saja, apakah kehidupan masyarakatnya lebih damai dan maju dibandingkan dengan masyarakat yang menyertakan adat/budayanya. Saya kira adagium "ABS SBK" sudah berada di jalan yang benar pada kehidupan kita.

    BalasPadam