Isnin, 28 September 2009

GADIS KECIL DI JENDELA SYAWAL

gadis kecil diam di jendela harapan
tasbih - tahmid - takbir
bersatu dalam impian yang dilakar
menanti datang insan kesayangan.

di jendela harapan
melintas rakan sebaya ria, bersama keluarga
di jendela harapan
terdengar melodi raya, penuh gembira

---
impian gadis kecil terus terbiar
syawal pertama dirasakan sukar
susah dan gusar, untuk mengenal erti bahagia
perit dan getir, untuk mengenal erti sempurna

gadis kecil terus berteleku di jendela harapan
menanti syawal demi syawal
dengan penuh impian dan harapan

ayah dan ibunya pasti ‘kan datang
memadu tangannya dengan kasih dan rindu
membawa ria gadis kecil
mengunjungi pagi Syawal, yang dinanti

01 Syawal 1430H

.

Rabu, 23 September 2009

RAMA-RAMA YANG PASTI

RAMA-RAMA berwarna merah agak terlambat masuk ke kuliah Cik Nyamuk kerana mempunyai urusan dengan En. Kambing. Hari itu merupakan hari pertama kuliah Pembelajaran Kritis Berfikir berjalan. Rama--rama memang tidak sabar untuk menjalani kuliah. Seperti biasa, Rama-rama duduk di bahagian paling hadapan bersama temannya, Cicak Kobeng. Cik Nyamuk memang mesra dan ramah orangnya selain sentiasa pemurah dengan ilmu dan pengalaman. Cuma, pada hari itu Rama-rama agak terkejut dengan kenyataan luar biasa yang dibicarakan Cik Nyamuk dengan seisi kuliah.

"Saya pun hairan, dekat Akademi Rimba ni bukan semua murid boleh dapat A. Saya pun tak tahu kenapa. Entah, cikgu-cikgu ni nak buat apa simpan A banyak-banyak tu. Bukan boleh bawa masuk kubur." Luah Cik Nyamuk, murid-murid diam mendengar. Ada yang tidak bersetuju tetapi banyak lagi yang bersetuju.

"Bagi saya, beri sajalah A kepada murid-murid tu. Tak ada salah pun. Ini, ditentukan pula siapa layak dapat A dan siapa yang tidak layak." Kata Cik Nyamuk lagi.

"Oh, ya ke Cik Nya?" Tanya Mengkarung beriya-iya.

"Hmm, macam tu lah. Dah tu, ada ke patut kertas peperiksaan murid yang dah bertanda tu disemak semula oleh Pengetua, Penolong Kanan Anjing Hutan dan Guru Disiplin. Kalau semakan kali kedua, pelajar yang awal-awal dapat A tu didapati sebenarnya tak layak untuk dapat A ... ditariklah semula A murid tu. Hanya murid-murid yang jenis pandai bodek cikgu-cikgu je senang dapat A."

"Ooo ..." Sahut Mengkarung dan Tapir. Hanya Rama-rama dan Cicak Kobeng yang diam membisu.

Kata-kata Cik Nyamuk sangat terkesan dalam hati Rama-rama. Bukan kerana Rama-rama pelajar kegemaran guru. Rama-rama tidak pernah berasa begitu. Bukan juga kerana Rama-rama terasa dirinya pembodek yang dimaksudkan. Bukan juga, kerana Rama-rama bukan spesis serangga yang suka membodek kerana Rama-rama lebih suka menge'pau'.

Rama-rama terasa kerana Rama-rama dikenali sebagai murid yang tidak berapa cemerlang tetapi sering mendapat deretan A untuk kebanyakan subjek terutama subjek pengkhususannya. Apatah lagi, Rama-rama sering berkunjung ke bilik Pengetua dan Penolong Kanan Anjing Hutan, dan En. Kambing atas urusan pelajaran. Rama-rama bertanya pada diri, adakah deretan A yang diperolehnya itu kerana sebab-sebab yang Cik Nyamuk nyatakan tadi? Rama-rama terus diam berfikir. Tidak mahu dirinya dibiarkan memberi sebarang ulasan dalam kuliah itu.

Namun, Rama-rama pasti juga. Dia tidak perlu terus terasa hati kerana deretan A yang tidak seberapa itu dimilikinya dengan usaha keras dan doa yang berterusan. Rama-rama tidak pernah membiarkan dirinya mendapat A atas dasar simpati atau apa-apa sebab lain yang tidak wajar. Rama-rama mendapat A kerana usaha dan kebergantungannya pada doa yang dipanjatkan. Tambah lagi, Rama-rama tidak pernah membodek guru-guru yang sangat disayanginya.

Oleh itu, Rama-rama ketepikan rasa tidak enak yang melingkari diri. Walau bagaimanapun, Rama-rama mash berfikir akan kewajaran tindakan Pengetua, Penolong Kanan Anjing Hutan dan Guru Disiplin Akademi Rimba seperti yang dikatakan Cik Nyamuk. Bagi Rama-rama, memang menjadi tanggungjawab guru-guru untuk menentukan kedudukan gred murid-muridnya. Kalau bukan guru yang lebih mengenali etika pembelajaran murid-muridnya, siapa lagi? Lagipun, tujuan tiga orang kanan jabatan yang menyemak kali kedua kertas jawapan peperiksaan murid-murid adalah untuk memastikan gred yang diberikan benar-benar menepati disiplin diri dan ilmu yang dipraktikkan murid ketika menjawab kertas peperiksaan.

Tindakan mereka pastinya rentetan kes guru memberi markah tanpa memeriksa kertas peperiksaan murid dengan betul! Senang-senang sahaja A diberikan kepada kebanyakan murid untuk menunjukkan pembelajarannya berkesan! Ah, ya. Inilah sebab utama Pengetua, Penolong Kanan Anjing Hutan dan Guru Disiplin meletakkan garis panduan dan prosedur begitu. Bukan untuk menzalimi murid-muridnya. Ah, guru manalah yang ingin melihat anak muridnya kecundang di larian ilmu. Tentulah tidak.

Rama-rama teringat seorang gurunya yang bernama En. Kura-kura iaitu guru yang mengajar Penulisan Untuk Anak-Anak Rimba, berkata ketika bertembung dengannya pada awal musim dingin kuliah bermula.

***

"Ha, awak dapat A 'kan?"

"Ak aa, terima kasih En. Kura-kura."

"Yalah, cuma saya memang tak boleh beri A pada pelajar lain." Ujar En. Kura-kura dalam nada kesal.

"Eh, kenapa pula En. Kura-kura."

"Macam mana saya nak bagi A, macam-macam ragam jawapan saya jumpa. Ada yang jawab guna bahasa sms. Ada yang jawab tak ikut kehendak soalan. Hai ..."

Rama-rama hanya terdiam. Tidak berani memberi sebarang ulasan kerana Rama-rama sendiri tahu dirinya banyak kekurangan.

Sebenarnya, Rama-rama tidak kisah kalau itu memang pendirian Cik Nyamuk. Cuma, Rama-rama tidak bersetuju dengan tindakan Cik Nyamuk menyebarkan cerita itu kepada murid-murid. Rama-rama tidak mahu rakan-rakannya tersalah fikir akan tindakan tiga orang kanan Jabatan Seni Tulis Rimba. Namun, semuanya sudah berlalu.

Tamat kuliah Cik Nyamuk, Rama-rama berjalan seorang diri sambil berfikir. Kalau dia boleh berfikir secara rasional berkenaan tindakan Pengetua, Penolong Kanan Anjing Hutan dan Guru Disiplin; mengapa Cik Nyamuk dan murid-murid lain tidak boleh berfikir sepertinya. Kalau kawan-kawan lain berfikir bahawa Rama-rama murid cemerlang kerana membodek guru-gurunya, Rama-rama tidak kisah kerana Rama-rama tahu tanggapan itu tidak benar, dan Allah Maha Mengetahui.

Rama-rama terus menyelusuri danau untuk pulang ke sarang. Di situ, ibu Rama-rama telah sedia menunggu dengan harapan Rama-rama beroleh manfaat dalam setiap hari yang dijalani. Segala kritis fikir Rama-rama sepanjang perjalanan tadi telah ditinggalkan di tengah danau dan tidak ingin diingati lagi. Bagi Rama-rama, itulah pelajaran utamanya untuk kuliah yang pertama itu. Rama-rama terus pasti dan hatinya terus berdoa, moga dirinya dan rakan-rakan beroleh kecemerlangann dunia yang membawa kebahagiaan hakiki.

USAI DIRANTAI KENANGAN

BEBERAPA hari yang lalu, saya menerima sms daripada seorang sahabat. Sms yang ringkas tetapi mengandungi persoalan yang besar ertinya bagi diri sahabat saya itu.

"Nff, aku nak tanya kau satu soalan. Tapi sensitif sikit."

"Apa dia?"

"Macam mana
kau ambil masa melupakan dia dahulu?"

"Aik, awat tanya soalan tu?"

"Tak ada apa-apa. Aku saja tanya. Mesti ko fikir bukan-bukan. Tak adalah. Saja tanya."

"Haha, kamu tipu. Kan aku dah cerita, aku mempelajari Teori Psikoanalisis Lacan. Setiap kata-kata yang diujarkan itu mesti bersebab dan berkaitan dengan emosi kita. Baik ko bagitahu dulu kenapa ko tanya. Hehe .."

Awal bicara, saya sudah mengesan sesuatu yang tidak kena dengan soalan itu walaupun sahabat saya berkali-kali menegaskan bahawa itu sekadar soalan biasa. Saya pula, mana boleh sekadar menerima alasan itu tanpa menyelidikinya dengan lebih dalam. Bukankah saya sudah mempelajari Teori Psikoanalisis Lacan. Setiap bicara yang diujarkan manusia itu mempunyai sebabnya yang tertentu dan berkaitan dengan psikologi penuturnya. Begitu saya katakan kepada sahabat dia bagi memancing sebab kepada persoalan yang diajukan kepada saya.

Setelah didesak, barulah sahabat saya itu berterus-terang bahawa dia baru sahaja berputus kasih dengan seorang jejaka. Aduh, mengapalah masalah seperti itu sengaja dicari di saat-saat larian pelajaran memerlukan pecutan terakhir. Fikir saya. Namun, saya akhirnya sedar bahawa semua itu merupakan ujian Allah untuk melihat keutuhan diri hamba-Nya dalam menjalani arus kehidupan.

Dia sahabat baik saya, terkejut juga saya mendengar khabar itu daripadanya. Kononnya, kami telah berjanji sejak usai menamatkan tingkatan enam atas bahawa kami tidak akan lagi berkecimpung dalam alam percintaan yang melalaikan. Hehe, nampaknya sahabat saya itu telah kecundang dalam perjanjian kami. Saya masih lagi juara. Mungkin sebab itulah sahabat saya enggan menceritakan kisah kasih sayangnya itu sejak awal. Kasihannya, janganlah begitu dengan saya. Jawapan saya agak panjang lebar berserta sejalur nasihat untuk diambil perhatian oleh sahabat, Saya sangat menyayanginya dan saya tidak mahu emosinya terganggu. Apatalah lagi, dia sedang bertarung untuk menghadapi semester-semester akhir pengajiannnya.

Cinta itu memanglah fitrah, nikmat Allah kepada hamba-Nya. Namun, kita sering kali terleka dengan nikmat fitrah itu sehingga adakalanya fitrah bertukar menjadi fitnah. Apabila seseorang yang putus kasih terus membiarkan dirinya terhumban ke jurang kekecewaan dan laut kesengsaraan, maka itulah fitnah yang dimaksudkan. Bukankah Allah masih ada? Rasulnya masih setia bersama kita? dan ibu bapa serta pelajaran masih kekal menanti kejayaan kita? Apakah perlunya kita melayani perasaan sedih yang hanya mampu menjatuhkan iltizam dan semangat kita?

Ya, saya akui. Melupakan seseorang yang pernah disayangi sepenuh hati tidaklah mudah. Seseorang yang sering dibayangkan akan menjadi imam dalam memimpin diri dan seseorang yang akan menjaga diri dan mengakui diri kita sebagai amanah Allah yang akan dijaga dengan sebaik-baiknya bukanlah mudah. Segalanya itu memerlukan mujahadah yang tinggi dan semangat yang kental. Saya terus menasihati sahabat saya, anggap sahaja si dia bukan jodoh yang ditentukan Allah untukmu. Dia hanyalah alat uji untuk menilai takah iman dan peribadi diri. Jangan terlalu kecewa kerana dia bukanlah pasangan kita yang sudah sah. Bercinta belum tentu membawa kepada perkahwinan. Oleh itu, rawatlah sendu.

Apabila memori indah bersama dia datang menjelma ingatan yang cuba dikuatkan, lekaslah beristighfar dan berilah ingatan kepada diri dengan segera "Dia bukan untukku. Allah temukan aku sebagai ujian untuknya dan begitu juga sebaliknya." Jangan terus membiarkan ingatan itu mempengaruhi emosi dan tindakan kita. Itulah penawarnya, kembalilah kepada Allah s.w.t.

Dengan berbuat demikian, insya-Allah hati kita akan terawat dan dengan masa yang berlalu - luka di hati akan terubat. Yang penting, percayalah pada Allah dan hikmah ujian yang diturunkannya. Bagi sahabat saya yang masih lagi bergelumang dengan pelajaran, tumpukanlah sepenuh perhatian pada lakaran masa depan yang pernah kita impikan bersama. Ya, tidak salah bercinta. Tetapi kalau cinta itu membuatkan kita leka kepada Allah, keluarga dan pelajaran - cinta itu benar-benar salah untuk kita raikan. Bersabarlah, insya-Allah jodoh telah ditetapkan. Usahalah agar diri tidak dirantai kenangan andai kenangan hanya akan memudaratkan.

Berkahwin dan bercintalah kerana Allah.
Wallahua'alam.

Isnin, 21 September 2009

ETIKA PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN MENURUT ISLAM

1. Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman- NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nur: 30)

Hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nur: 31)

2. Menutup Aurat; ALLAH berfirman;" ... dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nur: 31)

Juga Firman-NYA; "Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri- isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda " Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita."

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; "Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab." (al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang- orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448)

Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain- lainnya. Dari Aishah berkata; "Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya. Rasulullah SAW pernah bersabda; Dari Abu Hurairah r.a.:

"Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan- angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman- NYA; "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (al-Isra: 32)

Ahad, 20 September 2009

TERIMA KASIH SAUDARA W.B RENDRA

PETANG semalam, ketika saya membuka peti e-mel ada kegembiraan menerjah diri. Ucapan tahniah oleh Saudara W.B Rendra kerana komentar saya di laman blog beliau telah terpilih untuk hadiah saguhati.

Walaupun saya sekadar mendapat tempat saguhati, tetapi pemberian daripada seorang sasterawan muda seperti Saudara Rendra menyemarakkan azam saya untuk mengikuti jejaknya dalam lapangan penulisan. Kesegaran bahasa dan idea yang disampaikan menggerakkan minda kreatif saya untuk berusaha keluar daripada kebiasaan.

Sekali lagi, terima kasih kepada Saudara W.B Rendra dan saya bersabar dalam menanti kiriman daripada saudara.

Khamis, 17 September 2009

SALAM LEBARAN

SELAMAT Menyambut Lebaran Minal Aidil Wal Faizin.

Saya memohon ampun dan maaf kepada semua pengunjung laman ini sekiranya ada kekhilafan bicara dan kesalahan saya bertingkah. Semoga lebaran menetapkan citra keinsafan lantaran tarbiyah sebulan Ramadan.


Rabu, 16 September 2009

TOMMY DAN CHUBBY SEMAKIN BERAT

SEMALAM saya berkesempatan menimbang berat badan dua ekor kucing saya yang masih tinggal ini. Si Tommy ini sudah 5 kilo beratnya manakala si Chubby di bawah pula sudah 3 kilo meningkat berat badannya.

Tommy yang berang asyik disuruh bergambar.

Chubby yang suka ambil tempat duduk Wardah.

Chubby lena menganyam mimpi. Mimpikan Smart Heart!

Rabu, 9 September 2009

TANAH BERTUAN


SAJAK ini telah tersiar dalam Dewan Siswa, Edisi Ogos 2009 dan disebut sebagai sajak diafan oleh pengulasnya Faisal Tehrani. Walau bagaimanapun, saya menjadikan kritikan itu sebagai suatu bara untuk menyemarakkan usaha saya untuk terus mengukir jejak menghasilkan puisi yang lebih baik seperti puisi prismatik yang disebutkan beliau.

Rabu, 2 September 2009

SEKITAR MENGENAI RANDAI

“Sakato mangko batuah Sahisiah kusuik magasi”

Rangkap di atas merupakan falsafah Randai yang perlu diterapkan ke dalam jiwa setiap anak Randai. Falsafah itu membawa maksud bahawa setiap pergerakan yang ada dalam persembahan Randai itu perlu dilakukan bersama-sama dan sekata. Persefahaman penting agar Randai yang dipersembahkan bukan sekadar memperlihatkan kesatuan secara superfisial sahaja tetapi juga kesatuan dalaman setiap anak Randai. Falsafah ini boleh dikaitkan dengan kehidupan yang memerlukan persefahaman dan kesatuan untuk mencapai kemajuan dan kebahagiaan.

Pergerakan pemain di luar dan dalam Randai perlu seiring dengan dendangan lagu yang dimainkan. Hal ini penting untuk mendapatkan penghayatan jiwa yang mampu dialirkan kepada penonton seluruhnya. Selain daripada muzik, arena, busana dan lain-lain elemen dalam Randai – silat merupakan elemen yang terpenting dalam persembahan Randai. Hal ini kerana persembahan Randai itu bergerak dalam pola seni silat.

Terdapat beberapa fungsi silat dalam persembahan Randai. Antara fungsi silat adalah sebagai pembukaan yang juga disebut sebagai sembah silat. Dengan menggunakan gerak silat, pemidato akan memohon ampun dan maaf kepada seluruh penonton jika ada kekurangan sepanjang Randai berlangsung. Selain itu, silat juga digunakan untuk membuat gelombang yang merupakan salah satu keunikan seni Randai.

Sementelahan itu, silat turut digunakan dalam bergelombang iaitu membuat lingkaran yang menjadi set pementasan atau untuk pertukaran latar. Silat juga digunakan sebagai aksi ketika pelakon berdialog. Dalam aksi tersebut, pelakon akan melakukan aksi silat bersesuaian dengan watak yang dipegang. Sebagai contoh, watak anak yang menerima bicara daripada ayahanda akan membuka kedua-dua tangan. Manakala, watak anak akan menyilangkan tangan sekiranya menolak bicara ayahanda. Selain perkara di atas, silat turut diaplikasikan dalam Randai untuk adegan bergaduh. Hal ini penting untuk menjalankan cerita. Fungsi terakhir silat dalam Randai pula adalah sebagai acara penutupan persembahan.

Persembahan Randai dimulakan dengan penari-penari Randai berbaris enam. Setiap baris terdiri daripada tiga penari. Seorang individu akan mengetuai barisan tersebut. Bagi membentuk lingkaran, penari akan bergerak mengikut arahan ketua di hadapan. Penari akan bergerak secara bersilang dalam gerak bertinju secara berganti untuk keluar daripada barisan sehinggalah membentuk sebuah lingkaran. Sebagai tambahan, penari Randai boleh bertambah atau berkurang mengikut keluasan arena. Apabila lingkaran telah wujud, seorang penari akan bergerak dua langkah dari tempat asalnya untuk memohon sembah daripada penonton. Selepas pola langkah menyembah atau pembukaan, lagu Dayang Daini akan dimainkan. Lagu Dayang Daini turut dikenali dengan nama Minang Kabau dan Lagu Duduk. Lagu ini hanya berbeza dari segi nama tetapi sebenarnya sama.

Namun begitu, lagu boleh dinyanyikan mengikut cara seseorang penyanyi. Selepas lagu tersebut dinyanyikan, anak Randai akan bermain silat dalam pola bergaduh yang tertentu. Randai akan menjadi bulat untuk mencari posisi. Pola Randai ditentukan mengikut pola kebiasaan bagi setiap daerah. Ada juga lingkaran Randai dibentuk tanpa mengikut barisan sebaliknya menggunakan gaya bersahaja sehingga lingkaran dibentuk. Selepas Randai menemui titik bulatnya, lagu pertama akan dinyanyikan. Lagu tersebut dinamakan sebagai Lagu Simarantang. Terdapat tiga Lagu Simarantang yang harus dipelajari. Tiga lagu tersebut ialah Simarantang Randah, Simarantang Tangguang dan Simarantang Tinggi. Lagu Simarantang Randah dan Simarantang Tinggi paling sering digunakan dalam persembahan. Manakala, Lagu Simarantang Tinggi kerap digunakan dalam bahagian menutup persembahan randai. Ketiga-tiga Lagu Simarantang ini ialah sama cuma berbeza dari segi intonasinya. Selepas Lagu Simarantang dinyanyikan, lagu Lintau Dua pula akan dinyanyikan.