Ahad, 30 Ogos 2009

MERDEKAKAH?

31 OGOS datang lagi membawa nilai tersendiri kepada masyarakat Malaysia kini. Masa datang dan masa pergi. Pengertian kemerdekaan juga tidak lagi sama erti. Bagi saya, peribadi mengatakan betapa walaupun negara telah jauh melangkaui zaman penjajahan fizikal yang penuh dengan rentetan duka dan luka generasi yang melewatinya, masyarakat kini sebenarnya masih lagi dijajah oleh penjajah yang tidak pernah kenal erti kalah dalam meluaskan pemikiran dan kekuasaan mereka.

Ya, memang kita tidak lagi dijajah secara fizikal. Namun begitu, fikiran rasional saya tidak dapat menidakkan hakikat bahawa Malaysia hari ini sebenarnya masih kuat dijajah oleh masyarakat Barat. Memang tidak secara fizikal, tetapi nyata melalui rohani dan acuan pemikiran dewasa ini. Media elektronik seperti televisyen dan rangkaian jalur lebar menjadi medium utama dalam menyampaikan dakyah mereka dan kita yang kurang menyaring baik dan buruk kiriman mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

Oleh sebab pengaruh inilah, terkesannya bahasa ibunda kita sendiri yang hampir dijamah oleh bahasa Inggeris. Bukan setakat itu, corak hidup masyarakat kita sendiri tidak terkecuali dalam menerima pengaruh jajahan alaf baru ini. Tuntasnya, satu persoalan menjengah diri saya untuk direnung bersama. Merdekakah kita atau siapakah kita untuk menyambut erti merdeka?

Sekadar catatan dalam mengenal kemerdekaan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan