Jumaat, 28 Ogos 2009

KARTUN YANG TIDAK SESUAI UNTUK ANAK-ANAK KITA

SAYA merupakan antara peminat kartun-kartun Jepun seperti Doraemon, Sin Chan dan Chibi Maruko Chan sewaktu kecil dahulu. Walau bagaimanapun, apabila usia menjengah dewasa saya mula berasakan betapa kartun-kartun seperti Sin Chan dan Atasinchi itu kurang sesuai untuk dinikmati oleh kanak-kanak kita. Saya mengambil contoh kartun Atasinchi yang disiarkan di saluran TV3 pada setiap Jumaat jam 7:30 petang.


Atasinchi berkisar kehidupan sebuah keluarga yang dihuni oleh seorang ibu, seorang ayah, seorang anak lelaki dan perempuan. Ibu iaitu 'Mama' merupakan seorang suri rumah yang sentiasa cuba menyenangkan hati suami dan anak-anaknya walaupun pada selalunya usahanya tidak menjadi.

Walaupun bentuk penceritaan yang santai itu bagus untuk menarik minat kanak-kanak, tetapi cerita yang dibawanya bagi saya benar-benar tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak. Sebagai contoh, siri Atasinchi hari ini membuka cerita Mama yang dimarahi anak perempuannya iaitu Pika dengan begitu kasar bukan sahaja diperlihatkan melalui bahasa tetapi juga melalui tindakannya.

Kartun Sin Chan pula popular dengan tabiat Sin Chan yang 'gatal' dan suka memikat perempuan. Selain itu, kebiasaan ayahnya yang gemar menikmati minuman keras juga tidak sesuai untuk ditonton. Kartun-kartun seperti ini pada anggapan saya tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan sekiranya mereka menonton siri-siri ini, penting bagi ibu bapa mahupun orang dewasa untuk menerangkan kebenaran di sebalik cerita dan dialog yang diujarkan para watak yang mendukung inti ceritanya.
Sehubungan itu, adalah penting untuk ibu bapa mengawal siaran-siaran kartun yang disiarkan di stesen televisyen untuk tontonan anak-anak. Media elektronik seperti yang diketahui mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pemikiran dan peribadi kanak-kanak. Oleh sebab itu, berwaspadalah dengan kartun-kartun sebegini supaya tidak menganggu gugat pemikiran dan peribadi anak-anak yang diharapkan menjadi pelapis generasi berilmu dan beradab mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan