Rabu, 1 Julai 2009

SURAT TERBUKA UNTUK SUAMI DAN LELAKI

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

POLIGAMI bukanlah isu baharu dalam kehidupan kita. Malah, remaja di peringkat sekolah menengah rendah juga sudah arif berhubung isu ini. Apatah lagi dalam kalangan lelaki. Apabila membaca berita di dada-dada akhbar yang berceritakan kejayaan seorang lelaki menambah kuota isteri mereka, pasti terselit di sisi nurani mereka keinginan yang sama atau mungkin ada yang senyum simpul memikirkannya. Hanya segala rasa hati mereka itu tidak terluah di hadapan isteri atau keluarga. Tetapi, dalam kalangan rakan lelaki pastinya isu poligami tidak asing bagi mereka. Hal ini bukan rekaan fantasi saya sebaliknya dicerna berdasarkan pengalaman saya di kafe-kafe atau warung. Adakalanya, saya mendengar isu ini dibincangkan oleh segelintir lelaki dengan senda dan gurau yang bermakna.

Islam sememangnya memberi kebenaran kepada lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak melebihi empat. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui penurunan surah An-Nisa ayat 3 yang bermaksud :


"Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinilah olehmu perempuan-perempuan yang baik bagimu, berdua, bertiga atau berempat orang. Tetapi jika kamu takut, bahawa tiada akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja atau pakailah hamba sahaya. Yang demikian itu lebih dekat kepada tiada aniaya."

Maka benarlah kata-kata Allah.

(Sumber: Tafsir Quran karim oleh Prof Dr.H Mahmud Yunus).

Namun demikian, kebanyakan daripada kita leka menghayati bait-bait terakhir daripada ayat itu. Yang dipentingkan hanyalah bait permulaannya. Hal inilah yang menjadikan poligami sebagai suatu fitrah yang banyak hikmahnya menjadi fitnah dan sering membawa keruntuhan kepada sesebuah institusi perkahwinan itu. Berpoligami itu tidak salah tetapi cara seseorang lelaki itu mengendalikan laluan itulah yang menjadikan poligami itu salah baginya dan lebih buruk menyebabkan dirinya hina semata-mata mengamalkan sesuatu jalan yang mulia dengan cara yang salah.

Seorang lelaki yang ingin berpoligami bukan sahaja perlu mempunyai kemampuan dari segi material semata-mata, sebaliknya juga perlu mempunyai kemampuan rohani, jasmani, ilmu dan paling penting nilai keadilan dalam diri yang menjadikan lelaki terbabit mampu menjanjikan bahtera yang diketuainya tahan membelah ombak badai perkahwinan dengan baik.

Yang menjadi masalah dan dalam masa yang sama menjadikan isteri dan anak-anak mangsa poligami adalah apabila sang suami hanya berpoligami dengan sandaran pada kemampuan material dan nafsu terpendam secara total. Lalu, berlakulah pengabaian terhadap isteri-isteri yang tertentu. Bukankah Islam membenarkan poligami sebagai jalan terbaik dalam mengharmonikan hidup berumah tangga. Maka, apabila berlaku perceraian yang disebabkan kegagalan memurnikan amalan poligami itu, apakah amalan itu masih diredai Allah?

Seorang suami yang ingin berpoligami perlulah memuhasabahkan diri dan beristikharah dengan seikhlasnya. Kemampuan untuk mendidik diri sendiri dan para isteri dengan ilmu agama yang utuh perlu diambil perhatian yang serius. Penghayatan agama pula perlulah konsisten kerana tidak sedikit juga golongan agamawan yang berpoligami tetapi gagal menjadikan poligami yang diamalkannya seperti yang dikehendaki syara'.Hal ini kerana hanya dengan penguasaan dan penghayatan yang jelas terhadap agama sahaja yang akan membantu bahtera perkahwinan yang dinaiki dapat berlayar dengan aman dan tenang dalam reda Ilahi. Selain itu, kemampuan dari segi material juga penting agar tidak berlaku pengabaian atau ketidakadilan kepada sesetengah pihak. Ibarat pepatah Melayu, "ukur baju di badan sendiri".

Memanglah sebagai seorang wanita, isu bermadu agak sensitif untuk dibicarakan kerana itulah fitrah hati wanita tetapi tidak sedikit juga yang memahami isu ini dari sisi agama. Di zaman Rasulullah, poligami diamalkan bagi membantu para wanita yang bermasalah dan menyelamatkan maruah wanita itu sendiri. Kalau ada lelaki yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh untuk berpoligami, selidikilah juga sebab-sebab Rasulullah berpoligami. Poligami baginda bukan kerana nafsu atau kecantikan wanita yang dinikahi sebaliknya atas dasar agama dan membantu wanita yang memerlukan. Apatah lagi, semua isteri yang dikahwini baginda ialah janda melainkan Saidatina Aisyah.

Sesungguhnya terdapat banyak hikmah yang terkandung dalam poligami yang diaturkan Allah S.W.T untuk lelaki dan perempuan tetapi awaslah pada kesannya sekiranya poligami gagal dilaksanakan seperti yang diajar-Nya. Kalau para isteri dijanjikan payung emas di syurga kelak lantaran keikhlasan memadukan diri, jangan pula para suami berjalan dengan bahu yang senget di Mahsyar kelak lantaran salah langkahnya dalam poligami di dunia. Ketika itu, tiada lagi peluang untuk membetulkan langkah yang pincang.


Tepuk dada, tanyalah iman kerana di situ jawapan pada kemampuan.


Sekadar titipan pandangan.

Waallahu'alam

1 ulasan:

  1. Wanita tidak akan menghalang poligami sekiranya betul caranya.

    BalasPadam