Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI DIMANSUHKAN, PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN

SEMENJAK Buletin Utama mengeluarkan berita yang mengatakan betapa Timbalan Perdana Menteri akan mengumumkan status pelaksanaan PPSMI pada hari ini, hati saya terus berdoa agar berita yang akan diterima '1Malaysia' adalah yang terbaik untuk anak-anak dan Malaysia sendiri amnya. Ada ketikanya, menunggu status pelaksanaan PPSMI diumumkan hari ini persis menanti pihak tertentu memutuskan keadaan anak bulan untuk memastikan masuknya bulan Ramadhan atau tibanya satu Syawal. Terasa juga bagai menanti pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk mengisytiharkan tarikh kedatangan Aidil Fitri yang tentunya dinantikan kemunculannya di kaca televisyen.

Dan hari ini, setelah usai saya membaca berita utama di Berita Harian Online yang memaparkan tajuk PPSMI Dimansuhkan?, rasa syukur menyelinap di sanubari apabila petikan akhbar memaklumkan bahawa Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan beberapa pihak, terutama pejuang bahasa dijangka berakhir berikutan keputusan kerajaan memansuhkan dasar itu.

Secara peribadi, saya berasakan bahawa keputusan memansuhkan yang dibuat oleh pihak berkenaan itu bukanlah suatu keputusan yang memperlihatkan kemenangan kepada mana-mana pihak sebaliknya sebagai suatu pemurnian terhadap cahaya kegemilangan bahasa Melayu yang semakin disirnakan oleh segelintir pihak yang kian kusut meragui kemampuan bahasa Melayu dalam melahirkan golongan cerdik pandai dan intelektual terutamanya yang melibatkan sains dan teknologi. Justeru, tidak perlulah segelintir golongan yang terlalu menyokong PPSMI menarik muka masam atau mencemuh keputusan yang dibuat itu.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bukanlah terlalu lama meninggalkan alam persekolahan, saya yakin bahawa PPSMI bukanlah satu-satunya faktor yang boleh melonjakkan peratus lulus atau kecemerlangan pelajar dalam subjek-subjek Sains dan Matematik. Seandainya pihak kerajaan memerintahkan PPSMI agar tetap dijalankan, tindakan itu seolah-olah menerbitkan suatu pentas lakonan yang kurang mutunya dan menjadikan para guru dan pelajar sebagai mangsanya.

Melalui pemerhatian saya, sepanjang proses 'cuba uji' bagi projek PPSMI berlangsung, kebanyakan guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik ini hanya menggunakan bahasa Inggeris apabiba menggunakan alat bantu mengajar seperti yang terdapat pada cakera padat subjek tersebut yang tentunya disampaikan dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, kebanyakan guru hanya akan mengulang baca semula apa-apa maklumat yang terpapar di layar putih untuk difahami anak-anak muridnya.

Sekiranya segelintir atau kebanyakan guru ini juga masih berasa was-was dengan pemahaman dan penyampaian pengajaran mereka dalam bahasa Inggeris maka apakah pula peratus penerimaan dan perhatian penuh yang mampu diberi dan diterima oleh para pelajar? Saya bersimpati dengan nasib para pelajar yang telah dijadikan bahan uji kaji dalam merealisasikan agenda PPSMI kerana kegagalan mereka untuk menerima ilmu seperti yang sepatut dan sewajarnya mereka terima.

Bagi saya, dalam memacu kecemerlangan Sains dan Teknologi bukanlah terletak pada ketinggian penguasaan bahasa Inggeris itu kepada individu yang terbabit sebaliknya terletak pada kesungguhan individu dalam menguasai kedua-dua subjek tersebut. Hal ini bagi saya bertitik tolak pada soal sikap pelajar itu sendiri dan bukannya kerana kelemahan bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti cemerlangnya sebagai lingua franca dan sangat dihormati oleh masyarakat zaman lampau malah kegemilangannya langsung tidak terikat pada sempadan geografi. Hal ini saya yakini berlaku lantaran kesungguhan masyarakat zaman lampau dalam menghormati dan berasa bangga dengan bahasa pertuturan mereka itu sendiri iaitu bahasa Melayu

Oleh yang demikian, dengan keputusan memansuhkan PPSMI saya kira masyarakat dan pihak tertinggi terutamanya perlu lebih tekun dalam memahami susur galur dan kemampuan bahasa Melayu agar mampu menaikkan semula martabat bahasa Melayu di bumi kelahirannya dan di peringkat antarabangsa.

Selain bahasa Melayu, sastera Melayu juga perlu diketengahkan sebagai suatu ilmu pelajaran yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia. Khabar angin yang mengatakan bahawa kemungkinan Kesusasteraan Inggeris akan diwajibkan untuk pelajaran anak-anak juga perlu diperhalusi terlebih dahulu. Hal ini kerana, tidak sedikit anak-anak bangsa Malaysia yang sendiri tidak mengenal sastera rakyat yang merangkumi sastera Melayu dan menjadi warisan turun-temurun penduduk Malaysia.

Anak-anak muda kini sangat sedikit yang mengenali Iakah Salmah?, Enrique, Hikayat Inderaputera, Dua Belas Kali Sengsara, Nyawa di Hujung Pedang, Hikayat Faridah Hanum, Atap Genting Atap Rembia atau Bukan Lalang Ditiup Angin termasuklah diri saya sendiri sebelum ini. Sehubungan dengan itu, adalah sangat perlu agar sastera dan bahasa Melayu disemarakkan semula bagi memantapakan salasilah sastera tanah air.


Adalah menyedihkan
apabila tidak sedikit masyarakat Malaysia yang kononya mengaku kelahiran jati '1Malaysia' tetapi tidak mengenali siapa itu A. Samad Said, Usman Awang, Kala Dewata, Baha Zain, Shaharom Hussein, Syed Syeikh al-Hadi, Ahmad Kotot atau Harun Aminurrashid. Sekiranya Barat sering berbangga untuk berbicara tentang Aristotles, Plato, Shakespeare, Leo Tolstoy dan lain-lain, mengapa pula kita yang sangat dikenali dengan citra ketimuran dan mengaku berpegang teguh kepada adat dan budaya tidak mahu mengenali budaya sastera dan bahasa kita sendiri?

Akhir kalam, walaupun PPSMI telah dimansuhkan tetapi usaha untuk terus memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu tetap perlu disemarakkan kerana di luar sana, masih wujud segelintir 'Melayu' yang sudah malu dengan 'Melayu'nya.
Kepada para pejuang bahasa dahulu dan kini, sesungguhnya jasa kalian terabadi dalam catatan sejarah peribadi yang sentiasa mencintai dan menghargai ketinggian budaya Melayu.

Sekadar coretan pandangan.

Waallahu'alam.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum...saya sokong cdgn anda mengenai pemansuhan PPSMI...namun begitu, bagaimana pula usaha kita untuk memartabatkan kembali bahasa melayu dalam sains dan matematik dalam tempoh 2012

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum, saudara.

    Merujuk persoalan saudara, saya fikir pihak-pihak berwajib seperti institut penterjemahan perlu lebih giat dalam menterjemah buku-buku, jurnal-jurnal berkaitan sains & matematik berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

    Hal ini penting kerana bahasa Melayu sebenarnya memang mempunyai daya upaya melalui proses penterjemahan dan penyesuaian dengan mana-mana bahasa asing lain.

    Bagi saya juga, masyarakat sendiri perlu menanamkan rasa percaya kepada bahasa Melayu sendiri yang sememangnya mampu untuk menjadi medium pengajaran kedua-dua subjek itu dan sebagai bahasa ilmu umumnya. Hal ini juga perlu dititiberatkan oleh kelompok pemimpin kerana bagi saya merekalah yang mencetuskan ketidakyakinan masyarakat terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti yang termaktub dalam Artikel 152.

    Bagi saya, sekiranya PPSMI tegar dilaksanakan maka itu merupakan bukti pembohongan kepada kata-kata Hang Tuah "takkan Melayu hilang di dunia".

    Dan, bangsa Melayu juga akan menjadi antara bangsa yang tidak mempunyai bahasa ibundanya sendiri apabila bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia. Bangsa Cina ada bahasanya begitu juga dengan bangsa India tetapi bahasa Melayu tidak akan mewakili bangsa Melayu lagi kerana telah menjadi bahasa Malaysia.

    waallahua'alam.

    BalasPadam