Jumaat, 10 Julai 2009

DUA CERITA SATU KESIMPULAN : BERKAHWIN DAN BERCINTALAH KERANA ALLAH

1

SEWAKTU malam semakin kelam, suara anjing menyalak garang jelas kedengaran. Saya masih berjaga di sisi emak yang sudah lena dibuai mimpinya. Suasana dirasakan amat tenang walaupun angin malam menghembus kehangatan suhunya. Saya sedang membaca beberapa blog sasterawan terkenal dan tidak lupa untuk mengundi rasa hati saya sebagai rakyat Malaysia di blog Tun Mahathir alias Che Det yang menginginkan pandangan rakyat sama ada bersetuju dengan keputusan yang dibuat kabinet berkenaan PPSMI ataupun tidak. Dalam kesunyian dan kenyamanan berasa sendiri itu, saya dikejutkan dengan suara lantang seorang wanita yang penuh dengan getar amarah. Pada mulanya, suara itu hanya sayup-sayup kedengaran tanpa mengganggu gugat rasa fikir dan hati saya ketika itu.

Namun, setelah hampir sepuluh minit suara itu masih kedengaran malah bertambah nyaring ketika jam di dinding yang sudah seusia dengan saya itu menunjukkan pukul dua pagi. Sudah tentu suara wanita itu semakin dapat saya dengari dengan lebih jelas. Saya merenung emak di sebelah, takut kalau-kalau lenanya terjaga lantaran suara amarah seorang wanita yang tidak tentu emosinya itu. Saya merapati jendela kamar dan menjenguk ke luar, di sebuah rumah tidak jauh dari kediaman saya - seorang wanita dalam lingkungan awal 50-an sedang mengamuk kepada suaminya. Hairan juga saya, mengapa wanita dan suaminya itu tidak menutup tingkap kamar mereka itu kerana suara lantang mereka semakin jelas meninggi. Saya merenung keadaan mereka dari kejauhan untuk seketika. Melalui butir bicaranya, si isteri mengamuk apabila si suaminya yang disebut sebagai sudah tua masih ada hati untuk berkahwin lain dan membiarkan anak-anak dan diri si isteri terbiar di rumah. Lagaknya persis si isteri benar-benar gagal mengawal amarahnya lagi.

Tanpa membenarkan diri saya melihat aksi suami isteri itu terlalu lama, saya meninggalkan ruang jendela selepas menutupnya dengan rapat. Melalui situasi yang saya lihat itu, terlintas di fikir saya mengapa seorang suami dan ayah sanggup melakukan suatu penderaan emosi seperti itu kepada isteri dan anak-anaknya. Mungkin agak mudah untuk memomokkan anak-anak yang masih kecil untuk mengenali situasi hidup tetapi bagi anak-anak yang sudah dewasa dan melihatnya sendiri, saya pasti impaknya terhadap mereka akan menjadi lebih besar. Setelah mungkin lebih separuh usia dihabiskan bersama pasangan, mengapa di akhir usia berpaling hati dan rasa kepada insan baru yang tidak pernah menikmati hidup susah dan senang seperti yang pernah dialami bersama isteri sebelumnya. Tidak mustahil kalau si isteri ada membuat sebarang kesilapan tetapi tidak perlulah kesilapan itu dijadikan alasan untuk meninggalkannya. Sebagai seorang suami, didiklah isteri dan pimpinlah isteri agar meninggalkan kesilapannya dan membantu isteri untuk menjadi lebih baik kerana itulah tanggungjawb seorang suami. Wanita itu lemah sifatnya, diibaratkan sebagai tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya salah cara mengendalikannya, bisa saja tulang rusuk yang sudah bengkok itu patah akhirnya.

Namun, mungkin berjuta alasan yang boleh dibentangkan oleh lelaki seperti itu. Walau bagaimanapun, situasi itu membuatkan saya berfikir betapa perlunya seorang wanita itu mempunyai kedudukan ekonomi dan kerjaya yang tetap sebagai jaminan agar wanita tidak diurung kesusahan apabila tragedi 'tinggal-meninggal' berlaku dalam dairi rumah tangga. Setidak-tidaknya apabila timbulnya hal-hal seperti tadi maka tidaklah mereka berasa terkapai-kapai dan tidak tahu meneruskan langkah kehidupan.

Sememangnya apabila seorang wanita itu sudah merelakan dirinya dinikahi seorang lelaki yang diharapkan menjadi imam dalam kehidupannya, maka kebanyakan wanita berserah secara total kepada si suami. Lantas, yang mempunyai pendidikan dan bekerjaya bagus sanggup meninggalkan kerjayanya walaupun tidak mendapat halangan daripada suami kerana ingin menjadi suri rumah sepenuh masa dan menikmati hasil usaha seorang suami. Namun bagi saya, perlu juga untuk wanita berfikir daripada sisi negatifnya seperti sekiranya ditinggalkan atau lain-lain dan ketika itu wanita tidak mempunyai sumber pendapatan atau kerjaya untuk bangun dan memulakan hidup sendiri. Maka, berlakulah aksi-aksi rumah tangga seperti yang saya saksikan itu. Mulalah si isteri yang teraniaya itu menyesal dan pilu dengan keadaan diri yang sebatang kara sedangkan anak-anak ada yang masih kecil dan perlu dibesarkan dengan sempurna.

2


Situasi itu tadi juga mengingatkan saya tentang siaran berita di Buletin Utama semalam yang menyiarkan keadaan seorang gadis yang cuba menzalimi diri dengan cubaan membunuh diri di stesen rel komuter akibat putus cinta dengan teman lelakinya. Aduh, mengapa perlu dibazirkan air mata malahan nyawa untuk seorang lelaki yang tidak menghargai dan menghormati dirimu sebagai wanita yang diciptakan Allah. Wanita yang diciptakan dengan penuh keistimewaan dan ditinggikan darjatnya oleh Islam dan Rasullullah s.a.w? Bukankah melipatgandakan dosa namanya. Satu, dosa kerana mencintai sesuatu yang belum halal bagimu. Kedua, dosa menzalimi hak Allah lantaran tindakan mencabut roh dari tubuh dengan tangan sendiri. Tidak terfikirkah perihal ibu yang berpenat lelah mengandung selama sembilan bulan disertai segala macam kesengsaraan untuk membesarkan? Bagaimana sanggup para gadis mengorbankan pengorbanan ibu itu dengan nyawa sendiri hanya kerana seorang lelaki ajnabi yang terlalu dicintai sepenuh emosi? Kenangkanlah kata-kata Luqman al-Hakim yang mencurahkan nasihatnya agar kita sentiasa bersederhana dalam menyayangi seseorang kerana kita belum tahu apakah yang kita sayangi itu terlalu baik untuk kita, justeru bersederhanalah dalam mencintai dan menyayangi.

Saya berfikir agak lama dan akhirnya saya temui juga jawapannya. Jawapan yang sudah pun ada di dalam minda saya ,cuma sengaja bermain rasa untuk saya terus berfikir lantas menginsafi diri. Sesungguhnya, agama tidak pernah melarang untuk mencintai dan dicintai kerana itulah fitrah agama yang penuh dengan kasih dan sayang dan asbab lahirnya umat Muhammad. Seperti kisah cinta Nabi Adam dan Siti Hawa yang melahirkan nenek moyang kita dahulu. Islam tidak melarang jalinan percintaan sesama insan. Maka sebab itu jugalah Islam telah pun menyusun struktur cinta yang diredai Allah untuk diamati oleh para penganutnya agar terpelihara kesejahteraan diri dan agama.

Pelajarilah isi cinta yang diredai Allah dan bercintalah kerana Allah. Sesungguhnya, usah dilemparkan fitrah cinta itu ke darjat fitnah yang hanya mampu menjatuhkan para pencinta ke lembah neraka.

Berkahwin dan bercintalah kerana Allah. Semoga Allah memberi rahmat.

Sekadar nukilan sekeping atma.
Waallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan