Sabtu, 25 Julai 2009

TATABAHASA MELAYU, JANGAN DIPERKOSA

KEBANYAKAN daripada kita yang mencintai bahasa Melayu adakalanya tidak terlepas daripada melakukan pemerkosaan terhadap tatabahasa Melayu dengan menyebutnya sesuka hati. Hal ini bukanlah suatu yang asing termasuklah dalam pertuturan mereka yang pernah dan merupakan penuntut pengajian bahasa. Sekiranya ahli bahasa sendiri tidak mengendahkan kesalahan ini, bagaimana pula kita ingin menyelar sikap segelintir masyarakat yang enggan mempedulikan bahasa Melayu? Hal ini menggerakkan hati saya untuk turut sama berkongsi sedikit ilmu berkenaan kesalahan umum tatabahasa Melayu yang sering dilakukan. Semoga ada manfaatnya.

Kata bukan majmuk yang sering dimajmukkan. Sebenarnya, menurut Tatatabahasa Dewan, terdapat hanya 15 kata majmuk yang dieja bercantum dan dianggap sebagai mantap. Maka, selain daripada 15 itu tidak boleh dimajmukkan. 15 kata majmuk mantap yang dimaksudkan ialah:

1. tandatangan
2. bumiputera
3. antarabangsa
4. kakitangan
5. setiausaha
6. warganegara
7. olahraga
8. tanggungjawab
9. pesuruhjaya
10. suruhanjaya
11. beritahu
12. matahari
13. sukarela
14. kerjasama
15. jawatankuasa

Oleh yang demikian, kata yang sering dimajmukkan mengikut sesedap bicara seperti di bawah ini salah sama sekali :

1. ianya
2. sekaligus
3. tengahari
4. aturcara
5. suratkhabar
6. jalanraya
7. bandaraya
8. pasaraya
9. kraftangan
10. ulangkaji
11. kenalpasti
12. alatulis
13. semulajadi
14. suaikenal

Hal yang sama turut berlaku dalam penggunaan kata jamak. Apabila menggunakan penanda kata jamak, maka kata selepas penanda kata jamak itu tidak boleh diulang. Antaranya adalah seperti berikut:

1. semua pelajar
2. para angkasawan
3. banyak kereta
4. sebilangan murid
5. segelintir pelakon
6. beberapa langkah
7. rangkaian lagu
8. senarai nama guru
9. aneka fesyen
10. seluruh penghuni
11. dua orang doktor
12. Persatuan Bekas Polis

Turut tidak ketinggalan, penggunaan kata justeru di pangkal ayat yang sering digunakan dalam pengucapan lisan juga sering disalahgunakan. Justeru yang ditafsir maknanya sebagai 'oleh itu' juga salah. Hal ini kerana justeru membawa maksud malah dan tidak boleh berada di pangkal ayat.

Kata di antara dan antara juga tidak jarang disalahgunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sebagai contoh penggunaan ayat salah yang biasa digunakan bagi kata di antara:

1. Suraya sering berasa gelisah apabila perlu membuat keputusan di antara dua pilihan yang diberikan.

2. Di antara faktor yang menyebabkan kegagalan ....


Hal ini kerana, di antara membawa konsep jarak. Sebagai contoh ayat yang betul:

1. Rumahnya terletak di antara Selayang Mulia dan Bandar Baru Selayang.
2. Leela duduk di antara Syukri dan Ramon.

Kata antara pula tidak membawa konsep jarak. Sebagai contoh penggunaan kata yang betul:

i. Antara sebab haiwan pupus kerana penerokaan hutan.
ii. Antara lagu yang disukai Ah Chong ialah lagu Korea.

+ antara Anyir dan Jakarta merupakan contoh penggunaan kata antara yang salah.


Demikian juga bagi kata di dalam dan dalam. Terdapat perbezaan yang jelas antara dua kata ini. Kata di dalam membawa konsep ruang manakala kata dalam tidak membawa konsep ruang.

Oleh sebab itu, penggunaan kata di dalam seperti ayat berikut nyata salah : "Fatiha melanjutkan pengajian di dalam bidang kesusasteraan"

Penggunaan yang betul ialah : "Fatiha melanjutkan pengajian dalam bidang kesusasteraan"

Bagi yang sudah tahu, anggaplah informasi ini
sebagai membugarkan memori anda.
Jika informasi ini input lama, jadikannya berjaket baharu.
Andai ilmu ini input baharu, tambahlah koleksi
dalam Ensiklopedia Maklumat anda kerana
berkongsi ilmu merupakan saham pelaburan yang
tidak pernah merugikan walaupun pulangannya tidak kelihatan.

Ahad, 12 Julai 2009

SIMPUHAN DOA PENCINTA SEJATI

Sujud emak, di sisinya Boboy yang sudah berusia 15 tahun tetapi masih setia menemani emak.

SUJUD seorang emak yang penuh dengan harapan dan doa panjang untuk anak-anaknya. Saya yakin itulah antara inti pati doa yang sering emak panjatkan tatkala sujud panjangnya di hamparan sejadah pada tiap sujud terakhir waktu solatnya. Setiap kali cuti semester bertandang, saya akan sentiasa meluangkan masa untuk berada di sisi emak. Waktu ini saya gunakan untuk melepaskan rindu dendam, mengamati wajah emak sepuas-puasnya walaupun saya tahu bahawa saya tidak akan pernah puas untuk mengamati wajah emak.
Antara waktu yang paling saya suka dalam meniti waktu-waktu itu ialah waktu emak menunaikan solatnya, waktu emak menadah tangan berdoa panjang dengan wajah yang penuh mengharap, sewaktu wajah tua emak menatap al-Quran lama yang sangat disayanginya dan sewaktu emak tidur diulit mimpinya.

Bagi saya, merenung wajah emak pada kala-kala itu adalah suatu nikmat yang tidak ingin saya lepaskan. Apabila merenung emak yang sedang berdoa panjang dari kejauhan, saya turut berdoa di dalam hati agar segala doa emak akan dimakbulkan Allah s.w.t dan semoga rindu dan cinta emak untuk menghayati kalam Tuhan setiap usai solat akan terus membunga segar.

Rasa syahdu sering mengusik hati saya apabila merenung wajah emak yang penuh khusyuk menadah tangan, berdoa. Pernah saya tanyakan kepada emak selepas mengucup palma tangan, pipi dan dahinya usai solat tentang doa apa yang emak panjatkan sampai begitu lama? Emak hanya sungging senyum sambil menjawab:

"Doa apa lagi kalau bukan untuk adik berjaya dalam segala yang adik ceburi, cemerlang dalam pelajaran, jadi anak yang baik dan selamat dunia dan akhirat. Doa untuk abang-abang agar mereka bahagia dan diberkati Allah .... doa untuk diri mak sendiri, agar sihat dan dapat tengok anak-anak emak hidup bahagia ..." dan bermacam-macam lagi.

Saya terdiam, memang saya tahu itulah isi doa seorang emak. Jauh di sudut hati, saya mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada emak. Saya tahu emak akan kesunyian apabila saya mula memasuki semester baru hujung Julai ini. Saya juga akan merasakan perkara yang sama. Kalau boleh, saya juga tidak mahu berpisah jauh dengan emak. Namun, saya terpaksa melakukannya demi memastikan saya mampu berdiri sendiri dengan ilmu yang saya ada, kelak.

Saya bukanlah seorang anak perempuan yang banyak bercakap. Sejak kecil, saya lebih terbiasa bersikap diam apabila berada di rumah. Mungkin kerana saya mempunyai lima orang abang dan sering berasa kekurangan tanpa seseorang yang dapat saya panggil kakak, lalu saya lebih gemar memencilkan diri dan bersunyian di dalam kamar sendiri. Namun begitu, hubungan saya dengan emak tetap mesra. Ya, saya sangat mencintai emak.

Cuma, akhir-akhir ini saya berasa agak terganggu apabila emak sering mengeluh:

"Itulah, ada anak perempuan pun seorang. Adik masuk belajar, tak adalah teman mak ... dah tua-tua ni, walau macam manapun mesti nak anak perempuan ...". Ujar emak di satu sela masa.

Saya melempiaskan rasa gusar di dalam hati dan berulang kali saya yakinkan kepada emak bahawa pemergian saya adalah untuk memenuhkan kantung jiwa saya dengan ilmu yang insya-Allah mampu mengubah nasib kita berdua. Alhamdullillah, saya sangat bersyukur atas pemahaman emak walaupun saya tahu hati emak masih berperang dengan rindunya terhadap saya kala saya berpergian nanti.

Namun, janji saya pada diri saya sendiri - saya tidak akan sia-siakan saat perpisahan dengan emak ini dengan melakukan perkara yang hanya akan merugikan segala pengorbanan emak yang telah mengizinkan saya untuk melanjutkan pengajian. Insya-Allah, saya akan buktikan betapa perpisahan saya dan emak ini tidak akan sia-sia.

Hanya kepada Allah, saya berdoa agar emak diberikan kekuatan untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa teguh rohani dan emosinya lantaran keterikatan hubungan cintanya dengan Allah s.w.t. dan itulah doa seorang anak yang sentiasa mencintai ibunya.

Jumaat, 10 Julai 2009

DUA CERITA SATU KESIMPULAN : BERKAHWIN DAN BERCINTALAH KERANA ALLAH

1

SEWAKTU malam semakin kelam, suara anjing menyalak garang jelas kedengaran. Saya masih berjaga di sisi emak yang sudah lena dibuai mimpinya. Suasana dirasakan amat tenang walaupun angin malam menghembus kehangatan suhunya. Saya sedang membaca beberapa blog sasterawan terkenal dan tidak lupa untuk mengundi rasa hati saya sebagai rakyat Malaysia di blog Tun Mahathir alias Che Det yang menginginkan pandangan rakyat sama ada bersetuju dengan keputusan yang dibuat kabinet berkenaan PPSMI ataupun tidak. Dalam kesunyian dan kenyamanan berasa sendiri itu, saya dikejutkan dengan suara lantang seorang wanita yang penuh dengan getar amarah. Pada mulanya, suara itu hanya sayup-sayup kedengaran tanpa mengganggu gugat rasa fikir dan hati saya ketika itu.

Namun, setelah hampir sepuluh minit suara itu masih kedengaran malah bertambah nyaring ketika jam di dinding yang sudah seusia dengan saya itu menunjukkan pukul dua pagi. Sudah tentu suara wanita itu semakin dapat saya dengari dengan lebih jelas. Saya merenung emak di sebelah, takut kalau-kalau lenanya terjaga lantaran suara amarah seorang wanita yang tidak tentu emosinya itu. Saya merapati jendela kamar dan menjenguk ke luar, di sebuah rumah tidak jauh dari kediaman saya - seorang wanita dalam lingkungan awal 50-an sedang mengamuk kepada suaminya. Hairan juga saya, mengapa wanita dan suaminya itu tidak menutup tingkap kamar mereka itu kerana suara lantang mereka semakin jelas meninggi. Saya merenung keadaan mereka dari kejauhan untuk seketika. Melalui butir bicaranya, si isteri mengamuk apabila si suaminya yang disebut sebagai sudah tua masih ada hati untuk berkahwin lain dan membiarkan anak-anak dan diri si isteri terbiar di rumah. Lagaknya persis si isteri benar-benar gagal mengawal amarahnya lagi.

Tanpa membenarkan diri saya melihat aksi suami isteri itu terlalu lama, saya meninggalkan ruang jendela selepas menutupnya dengan rapat. Melalui situasi yang saya lihat itu, terlintas di fikir saya mengapa seorang suami dan ayah sanggup melakukan suatu penderaan emosi seperti itu kepada isteri dan anak-anaknya. Mungkin agak mudah untuk memomokkan anak-anak yang masih kecil untuk mengenali situasi hidup tetapi bagi anak-anak yang sudah dewasa dan melihatnya sendiri, saya pasti impaknya terhadap mereka akan menjadi lebih besar. Setelah mungkin lebih separuh usia dihabiskan bersama pasangan, mengapa di akhir usia berpaling hati dan rasa kepada insan baru yang tidak pernah menikmati hidup susah dan senang seperti yang pernah dialami bersama isteri sebelumnya. Tidak mustahil kalau si isteri ada membuat sebarang kesilapan tetapi tidak perlulah kesilapan itu dijadikan alasan untuk meninggalkannya. Sebagai seorang suami, didiklah isteri dan pimpinlah isteri agar meninggalkan kesilapannya dan membantu isteri untuk menjadi lebih baik kerana itulah tanggungjawb seorang suami. Wanita itu lemah sifatnya, diibaratkan sebagai tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya salah cara mengendalikannya, bisa saja tulang rusuk yang sudah bengkok itu patah akhirnya.

Namun, mungkin berjuta alasan yang boleh dibentangkan oleh lelaki seperti itu. Walau bagaimanapun, situasi itu membuatkan saya berfikir betapa perlunya seorang wanita itu mempunyai kedudukan ekonomi dan kerjaya yang tetap sebagai jaminan agar wanita tidak diurung kesusahan apabila tragedi 'tinggal-meninggal' berlaku dalam dairi rumah tangga. Setidak-tidaknya apabila timbulnya hal-hal seperti tadi maka tidaklah mereka berasa terkapai-kapai dan tidak tahu meneruskan langkah kehidupan.

Sememangnya apabila seorang wanita itu sudah merelakan dirinya dinikahi seorang lelaki yang diharapkan menjadi imam dalam kehidupannya, maka kebanyakan wanita berserah secara total kepada si suami. Lantas, yang mempunyai pendidikan dan bekerjaya bagus sanggup meninggalkan kerjayanya walaupun tidak mendapat halangan daripada suami kerana ingin menjadi suri rumah sepenuh masa dan menikmati hasil usaha seorang suami. Namun bagi saya, perlu juga untuk wanita berfikir daripada sisi negatifnya seperti sekiranya ditinggalkan atau lain-lain dan ketika itu wanita tidak mempunyai sumber pendapatan atau kerjaya untuk bangun dan memulakan hidup sendiri. Maka, berlakulah aksi-aksi rumah tangga seperti yang saya saksikan itu. Mulalah si isteri yang teraniaya itu menyesal dan pilu dengan keadaan diri yang sebatang kara sedangkan anak-anak ada yang masih kecil dan perlu dibesarkan dengan sempurna.

2


Situasi itu tadi juga mengingatkan saya tentang siaran berita di Buletin Utama semalam yang menyiarkan keadaan seorang gadis yang cuba menzalimi diri dengan cubaan membunuh diri di stesen rel komuter akibat putus cinta dengan teman lelakinya. Aduh, mengapa perlu dibazirkan air mata malahan nyawa untuk seorang lelaki yang tidak menghargai dan menghormati dirimu sebagai wanita yang diciptakan Allah. Wanita yang diciptakan dengan penuh keistimewaan dan ditinggikan darjatnya oleh Islam dan Rasullullah s.a.w? Bukankah melipatgandakan dosa namanya. Satu, dosa kerana mencintai sesuatu yang belum halal bagimu. Kedua, dosa menzalimi hak Allah lantaran tindakan mencabut roh dari tubuh dengan tangan sendiri. Tidak terfikirkah perihal ibu yang berpenat lelah mengandung selama sembilan bulan disertai segala macam kesengsaraan untuk membesarkan? Bagaimana sanggup para gadis mengorbankan pengorbanan ibu itu dengan nyawa sendiri hanya kerana seorang lelaki ajnabi yang terlalu dicintai sepenuh emosi? Kenangkanlah kata-kata Luqman al-Hakim yang mencurahkan nasihatnya agar kita sentiasa bersederhana dalam menyayangi seseorang kerana kita belum tahu apakah yang kita sayangi itu terlalu baik untuk kita, justeru bersederhanalah dalam mencintai dan menyayangi.

Saya berfikir agak lama dan akhirnya saya temui juga jawapannya. Jawapan yang sudah pun ada di dalam minda saya ,cuma sengaja bermain rasa untuk saya terus berfikir lantas menginsafi diri. Sesungguhnya, agama tidak pernah melarang untuk mencintai dan dicintai kerana itulah fitrah agama yang penuh dengan kasih dan sayang dan asbab lahirnya umat Muhammad. Seperti kisah cinta Nabi Adam dan Siti Hawa yang melahirkan nenek moyang kita dahulu. Islam tidak melarang jalinan percintaan sesama insan. Maka sebab itu jugalah Islam telah pun menyusun struktur cinta yang diredai Allah untuk diamati oleh para penganutnya agar terpelihara kesejahteraan diri dan agama.

Pelajarilah isi cinta yang diredai Allah dan bercintalah kerana Allah. Sesungguhnya, usah dilemparkan fitrah cinta itu ke darjat fitnah yang hanya mampu menjatuhkan para pencinta ke lembah neraka.

Berkahwin dan bercintalah kerana Allah. Semoga Allah memberi rahmat.

Sekadar nukilan sekeping atma.
Waallahu'alam.

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI DIMANSUHKAN, PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN

SEMENJAK Buletin Utama mengeluarkan berita yang mengatakan betapa Timbalan Perdana Menteri akan mengumumkan status pelaksanaan PPSMI pada hari ini, hati saya terus berdoa agar berita yang akan diterima '1Malaysia' adalah yang terbaik untuk anak-anak dan Malaysia sendiri amnya. Ada ketikanya, menunggu status pelaksanaan PPSMI diumumkan hari ini persis menanti pihak tertentu memutuskan keadaan anak bulan untuk memastikan masuknya bulan Ramadhan atau tibanya satu Syawal. Terasa juga bagai menanti pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk mengisytiharkan tarikh kedatangan Aidil Fitri yang tentunya dinantikan kemunculannya di kaca televisyen.

Dan hari ini, setelah usai saya membaca berita utama di Berita Harian Online yang memaparkan tajuk PPSMI Dimansuhkan?, rasa syukur menyelinap di sanubari apabila petikan akhbar memaklumkan bahawa Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan beberapa pihak, terutama pejuang bahasa dijangka berakhir berikutan keputusan kerajaan memansuhkan dasar itu.

Secara peribadi, saya berasakan bahawa keputusan memansuhkan yang dibuat oleh pihak berkenaan itu bukanlah suatu keputusan yang memperlihatkan kemenangan kepada mana-mana pihak sebaliknya sebagai suatu pemurnian terhadap cahaya kegemilangan bahasa Melayu yang semakin disirnakan oleh segelintir pihak yang kian kusut meragui kemampuan bahasa Melayu dalam melahirkan golongan cerdik pandai dan intelektual terutamanya yang melibatkan sains dan teknologi. Justeru, tidak perlulah segelintir golongan yang terlalu menyokong PPSMI menarik muka masam atau mencemuh keputusan yang dibuat itu.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bukanlah terlalu lama meninggalkan alam persekolahan, saya yakin bahawa PPSMI bukanlah satu-satunya faktor yang boleh melonjakkan peratus lulus atau kecemerlangan pelajar dalam subjek-subjek Sains dan Matematik. Seandainya pihak kerajaan memerintahkan PPSMI agar tetap dijalankan, tindakan itu seolah-olah menerbitkan suatu pentas lakonan yang kurang mutunya dan menjadikan para guru dan pelajar sebagai mangsanya.

Melalui pemerhatian saya, sepanjang proses 'cuba uji' bagi projek PPSMI berlangsung, kebanyakan guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik ini hanya menggunakan bahasa Inggeris apabiba menggunakan alat bantu mengajar seperti yang terdapat pada cakera padat subjek tersebut yang tentunya disampaikan dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, kebanyakan guru hanya akan mengulang baca semula apa-apa maklumat yang terpapar di layar putih untuk difahami anak-anak muridnya.

Sekiranya segelintir atau kebanyakan guru ini juga masih berasa was-was dengan pemahaman dan penyampaian pengajaran mereka dalam bahasa Inggeris maka apakah pula peratus penerimaan dan perhatian penuh yang mampu diberi dan diterima oleh para pelajar? Saya bersimpati dengan nasib para pelajar yang telah dijadikan bahan uji kaji dalam merealisasikan agenda PPSMI kerana kegagalan mereka untuk menerima ilmu seperti yang sepatut dan sewajarnya mereka terima.

Bagi saya, dalam memacu kecemerlangan Sains dan Teknologi bukanlah terletak pada ketinggian penguasaan bahasa Inggeris itu kepada individu yang terbabit sebaliknya terletak pada kesungguhan individu dalam menguasai kedua-dua subjek tersebut. Hal ini bagi saya bertitik tolak pada soal sikap pelajar itu sendiri dan bukannya kerana kelemahan bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah terbukti cemerlangnya sebagai lingua franca dan sangat dihormati oleh masyarakat zaman lampau malah kegemilangannya langsung tidak terikat pada sempadan geografi. Hal ini saya yakini berlaku lantaran kesungguhan masyarakat zaman lampau dalam menghormati dan berasa bangga dengan bahasa pertuturan mereka itu sendiri iaitu bahasa Melayu

Oleh yang demikian, dengan keputusan memansuhkan PPSMI saya kira masyarakat dan pihak tertinggi terutamanya perlu lebih tekun dalam memahami susur galur dan kemampuan bahasa Melayu agar mampu menaikkan semula martabat bahasa Melayu di bumi kelahirannya dan di peringkat antarabangsa.

Selain bahasa Melayu, sastera Melayu juga perlu diketengahkan sebagai suatu ilmu pelajaran yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia. Khabar angin yang mengatakan bahawa kemungkinan Kesusasteraan Inggeris akan diwajibkan untuk pelajaran anak-anak juga perlu diperhalusi terlebih dahulu. Hal ini kerana, tidak sedikit anak-anak bangsa Malaysia yang sendiri tidak mengenal sastera rakyat yang merangkumi sastera Melayu dan menjadi warisan turun-temurun penduduk Malaysia.

Anak-anak muda kini sangat sedikit yang mengenali Iakah Salmah?, Enrique, Hikayat Inderaputera, Dua Belas Kali Sengsara, Nyawa di Hujung Pedang, Hikayat Faridah Hanum, Atap Genting Atap Rembia atau Bukan Lalang Ditiup Angin termasuklah diri saya sendiri sebelum ini. Sehubungan dengan itu, adalah sangat perlu agar sastera dan bahasa Melayu disemarakkan semula bagi memantapakan salasilah sastera tanah air.


Adalah menyedihkan
apabila tidak sedikit masyarakat Malaysia yang kononya mengaku kelahiran jati '1Malaysia' tetapi tidak mengenali siapa itu A. Samad Said, Usman Awang, Kala Dewata, Baha Zain, Shaharom Hussein, Syed Syeikh al-Hadi, Ahmad Kotot atau Harun Aminurrashid. Sekiranya Barat sering berbangga untuk berbicara tentang Aristotles, Plato, Shakespeare, Leo Tolstoy dan lain-lain, mengapa pula kita yang sangat dikenali dengan citra ketimuran dan mengaku berpegang teguh kepada adat dan budaya tidak mahu mengenali budaya sastera dan bahasa kita sendiri?

Akhir kalam, walaupun PPSMI telah dimansuhkan tetapi usaha untuk terus memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu tetap perlu disemarakkan kerana di luar sana, masih wujud segelintir 'Melayu' yang sudah malu dengan 'Melayu'nya.
Kepada para pejuang bahasa dahulu dan kini, sesungguhnya jasa kalian terabadi dalam catatan sejarah peribadi yang sentiasa mencintai dan menghargai ketinggian budaya Melayu.

Sekadar coretan pandangan.

Waallahu'alam.

Isnin, 6 Julai 2009

KEINDAHAN FILEM WAYANG


MALAM semalam saya berkesempatan untuk menonton filem Wayang terbitan UiTM. Meskipun saya agak terlambat untuk menonton filem itu tetapi saya berasa gembira kerana masih berpeluang untuk menontonnya. Bukan kerana saya tidak menyokong industri perfileman tempatan tetapi saya memang tidak gemar malah tidak pernah menonton wayang sebelum ini. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke panggung wayang adalah semasa tayangan Pengembaraan Upin dan Ipin Februari lalu di Pavilion. Itu pun ditaja oleh dua guru yang akrab dengan saya. Saat itu barulah saya tahu bagaimana keadaan dan rupa panggung wayang. Namun, panggung di Pavilion itu saya fikir sangat selesa dan jauh daripada apa-apa yang saya bayangkan tentang panggung wayang selama ini. Sehinggakan, pensyarah saya En. Hishamuddin Rais pernah menggelar saya anak tok lebai apabila dia bertanyakan sama ada saya pernah menonton wayang atau tidak satu masa lalu.


Berbalik kepada filem Wayang, saya berasa sangat terkesan dengan jalinan skrip yang ditulis. Filem berkisar tentang kehidupan Pak Awang yang beusaha untuk meneruskan seni Wayang Kulit di kampungnya. Watak Awi yang buta tetapi mempunyai bakat yang besar dalam menjadi Tok Dalang serta watak Siti Melor juga memikat hati sebagai gadis sengau. Dalam jalinan cerita untuk mempertahankan seni Wayang Kulit, Pak Awang dan Awi diganggu oleh watak antagonis iaitu Jusoh. Watak Jusoh ini saya kira membawa peranan yang besar dalam menyampaikan mesej tertentu. Daripada pemerhatian saya, watak Jusoh sebagai seorang lelaki berserban dan berjubah tetapi mempunyai sifat-sifat negatif seperti terlalu memikirkan untuk memadukan isteri dan menganggu Awi yang cacat merupakan sindiran sinis terhadap segelintir golongan yang menggunakan alasan sunnah nabi dalam ketika tertentu tetapi dalam masa yang sama turut melakukan penyongsangan terhadap ajaran Islam itu.


Selain itu, saya juga tertarik dengan keindahan suasana kampung yang digunakan sebagai latar dalam cerita itu. Bagi saya, cerita begitulah yang begitu ingin saya lihat berbanding filem-filem dan drama biasa yang kebanyakan membawa latar bandar yang penuh dengan hiruk-pikuknya. Latar yang dibawa mengajak penonton untuk menghayati keindahan suasana kampung yang jarang dan dirindui oleh orang-orang bandar seperti saya.


Sebagai seorang yang agak tertekan dengan keadaan industri filem dan drama tempatan, filem Wayang bagi saya memberikan peluang untuk saya mempercayai bahawa masih ada skrip dan filem yang baik dan bermutu untuk disajikan kepada masyarakat. Bagi saya, Wayang bukan sekadar cerita berkenaan Wayang Kulit yang sangat popular sebagai seni tradisi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu tetapi mempunyai inti pati yang lebih mendalam di samping kritikan sosialnya. Saya mengucapkan tahniah kepada penulis skrip filem Wayang, para pelakon dan krew produksinya atas kejayaan menghasilkan filem tersebut.


Bagaimana pula filem Jimbo yang bakal diterbitkan ASWARA? Menantilah.

Waallahu'alam

Jumaat, 3 Julai 2009

KEBIJAKSANAAN PENULIS ATAU IMAGINASI PEMBACA?

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SEBAGAI seorang pembaca, saya tertanya-tanya apakah apabila seseorang penulis itu menulis dan tulisannya itu berjaya dilihat oleh pembaca seolah-olah sebagai suatu visual yang bergerak, hal itu merupakan kebijaksanaan pengarangnya atau ketinggian daya imaginasi pembacanya? Persoalan ini muncul di benak fikir saya ketika saya merenung diri sebagai seorang yang baru merangkak kecil dalam dunia penulisan.

Ingatan saya muncul pada kemunculan watak Pak Hasan di bahagian awal dalam novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. Walaupun novel itu sudah saya baca setahun yang lalu, tetapi saya terbayangkan pergerakan Pak Hasan meninggalkan kawasan kubur almarhum isterinya, melihat dedaun kering yang bergerak ditiup angin.

Memori saya juga cepat sekali mengingat tingkah watak-watak dalam novel Srengenge yang sadis terhadap binatang seperti yang dilakukan oleh Imam Hamad terhadap Jebat, mengoyakkan peha jebat lalu memijak-mijak tubuh Jebat sehingga lumat dan aktivti-aktiviti menggetah burung yang menceritakan betapa sakitnya burung itu apabila cuba melepaskan diri daripada digetah.

Tidak terlepas juga, saya juga teringat kepada novel 'SHIT' yang cuba saya baca tetapi tidak mampu saya habiskan. Berkali-kali saya cuba membacanya tetapi hanya beberapa muka sahaja. Begitu juga dengan novel 'Patriarch'. Membacanya membuatkan saya menggambarkan betapa riangnya Wak Da berlari sehingga lupa diri kala mendengar kejatuhan Patriarach dan betapa gersangnya Hamidah sebagai isteri Patriarch.

Seandainya para pengarang novel tersebut berjaya menimbulkan nilai rasa kepada pembacanya kerana kebijaksanaan mereka dalam mengarang, maka saya perlu terlalu berusaha dengan berlipat kali ganda untuk berjaya seperti mereka.

Waallahua'alam.

Rabu, 1 Julai 2009

SURAT TERBUKA UNTUK SUAMI DAN LELAKI

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

POLIGAMI bukanlah isu baharu dalam kehidupan kita. Malah, remaja di peringkat sekolah menengah rendah juga sudah arif berhubung isu ini. Apatah lagi dalam kalangan lelaki. Apabila membaca berita di dada-dada akhbar yang berceritakan kejayaan seorang lelaki menambah kuota isteri mereka, pasti terselit di sisi nurani mereka keinginan yang sama atau mungkin ada yang senyum simpul memikirkannya. Hanya segala rasa hati mereka itu tidak terluah di hadapan isteri atau keluarga. Tetapi, dalam kalangan rakan lelaki pastinya isu poligami tidak asing bagi mereka. Hal ini bukan rekaan fantasi saya sebaliknya dicerna berdasarkan pengalaman saya di kafe-kafe atau warung. Adakalanya, saya mendengar isu ini dibincangkan oleh segelintir lelaki dengan senda dan gurau yang bermakna.

Islam sememangnya memberi kebenaran kepada lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak melebihi empat. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T melalui penurunan surah An-Nisa ayat 3 yang bermaksud :


"Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinilah olehmu perempuan-perempuan yang baik bagimu, berdua, bertiga atau berempat orang. Tetapi jika kamu takut, bahawa tiada akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja atau pakailah hamba sahaya. Yang demikian itu lebih dekat kepada tiada aniaya."

Maka benarlah kata-kata Allah.

(Sumber: Tafsir Quran karim oleh Prof Dr.H Mahmud Yunus).

Namun demikian, kebanyakan daripada kita leka menghayati bait-bait terakhir daripada ayat itu. Yang dipentingkan hanyalah bait permulaannya. Hal inilah yang menjadikan poligami sebagai suatu fitrah yang banyak hikmahnya menjadi fitnah dan sering membawa keruntuhan kepada sesebuah institusi perkahwinan itu. Berpoligami itu tidak salah tetapi cara seseorang lelaki itu mengendalikan laluan itulah yang menjadikan poligami itu salah baginya dan lebih buruk menyebabkan dirinya hina semata-mata mengamalkan sesuatu jalan yang mulia dengan cara yang salah.

Seorang lelaki yang ingin berpoligami bukan sahaja perlu mempunyai kemampuan dari segi material semata-mata, sebaliknya juga perlu mempunyai kemampuan rohani, jasmani, ilmu dan paling penting nilai keadilan dalam diri yang menjadikan lelaki terbabit mampu menjanjikan bahtera yang diketuainya tahan membelah ombak badai perkahwinan dengan baik.

Yang menjadi masalah dan dalam masa yang sama menjadikan isteri dan anak-anak mangsa poligami adalah apabila sang suami hanya berpoligami dengan sandaran pada kemampuan material dan nafsu terpendam secara total. Lalu, berlakulah pengabaian terhadap isteri-isteri yang tertentu. Bukankah Islam membenarkan poligami sebagai jalan terbaik dalam mengharmonikan hidup berumah tangga. Maka, apabila berlaku perceraian yang disebabkan kegagalan memurnikan amalan poligami itu, apakah amalan itu masih diredai Allah?

Seorang suami yang ingin berpoligami perlulah memuhasabahkan diri dan beristikharah dengan seikhlasnya. Kemampuan untuk mendidik diri sendiri dan para isteri dengan ilmu agama yang utuh perlu diambil perhatian yang serius. Penghayatan agama pula perlulah konsisten kerana tidak sedikit juga golongan agamawan yang berpoligami tetapi gagal menjadikan poligami yang diamalkannya seperti yang dikehendaki syara'.Hal ini kerana hanya dengan penguasaan dan penghayatan yang jelas terhadap agama sahaja yang akan membantu bahtera perkahwinan yang dinaiki dapat berlayar dengan aman dan tenang dalam reda Ilahi. Selain itu, kemampuan dari segi material juga penting agar tidak berlaku pengabaian atau ketidakadilan kepada sesetengah pihak. Ibarat pepatah Melayu, "ukur baju di badan sendiri".

Memanglah sebagai seorang wanita, isu bermadu agak sensitif untuk dibicarakan kerana itulah fitrah hati wanita tetapi tidak sedikit juga yang memahami isu ini dari sisi agama. Di zaman Rasulullah, poligami diamalkan bagi membantu para wanita yang bermasalah dan menyelamatkan maruah wanita itu sendiri. Kalau ada lelaki yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh untuk berpoligami, selidikilah juga sebab-sebab Rasulullah berpoligami. Poligami baginda bukan kerana nafsu atau kecantikan wanita yang dinikahi sebaliknya atas dasar agama dan membantu wanita yang memerlukan. Apatah lagi, semua isteri yang dikahwini baginda ialah janda melainkan Saidatina Aisyah.

Sesungguhnya terdapat banyak hikmah yang terkandung dalam poligami yang diaturkan Allah S.W.T untuk lelaki dan perempuan tetapi awaslah pada kesannya sekiranya poligami gagal dilaksanakan seperti yang diajar-Nya. Kalau para isteri dijanjikan payung emas di syurga kelak lantaran keikhlasan memadukan diri, jangan pula para suami berjalan dengan bahu yang senget di Mahsyar kelak lantaran salah langkahnya dalam poligami di dunia. Ketika itu, tiada lagi peluang untuk membetulkan langkah yang pincang.


Tepuk dada, tanyalah iman kerana di situ jawapan pada kemampuan.


Sekadar titipan pandangan.

Waallahu'alam