Sabtu, 6 Jun 2009

Ulama' Vs Profesional

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.



Isu Ulama’ Vs Profesional kini dipolemikkan ekoran pemilihan jawatan dalam sesebuah parti tertentu.

Pihak tertentu dengan bijak telah menggunakan tajuk 'Ulama lawan Profesional' bagi memperlihatkan wujud pertelingkahan dalaman parti terbabit dalam memilih siapa yang wajar dan layak menjadi penyandang bagi jawatan yang dipertandingkan. Dalam masa yang sama, paparan itu juga saya lihat sebagai suatu propaganda untuk memutarbelitkan kenyataan.

Saya tidak bersetuju dengan tajuk yang dikemukakan iaitu 'Ulama lawan Profesional' yang merujuk status seseorang yang ingin bertanding dalam pemilihan tersebut. Pada pandangan saya, tidak salah untuk ulama' menjadi profesional dan tidak salah juga untuk golongan profesional menjadi ulama'. Polemik 'Ulama lawan Profesional' seakan-akan memberi satu konotasi negatif bahawa Islam itu membezakan antaran ketinggian ilmu keagamaan dengan kehidupan profesional seseorang individu. Mungkin sesetengah kita masih keliru dengan maksud ulama' itu sendiri.

Barangkali, hanya ustaz dan tokoh agama sahaja yang dianggap sebagai ulama' walhal perkataann ulama' itu merujuk kepada individu yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang agama dan yang selainnya. Tidak wajar untuk masyarakat menjumudkan fikiran dan meletak label bahawa ulama' hanyalah golongan pendakwah dan yang bergelar ustaz. Lalu, bagaimana pula dengan seorang jurutera yang banyak menulis tentang ilmu hadis melalui kajian dan penyelidikannya dan seorang ahli kaji masyarakat yang pakar mengaitkan antara agama dengan kejadian alam bersandarkan nas yang akli dan nakli?

Bagi saya, isu yang dicanangkan itu tidak sepenuhnya berlaku dalam parti berkenaan. Tanggapan saya lahir bukan kerana saya menyokong parti tersebut. Sebagai warga muda yang masih jelas penglihatannya, saya tidak terlepas daripada melihat kepincangan yang tidak dapat disembunyikan dalam parti tersebut. Walau bagaimanapun, dalam konteks yang saya bicarakan ini - saya tetap beranggapan adalah tidak wajar untuk masyarakat dan pihak tertentu mengambil kesempatan pada pemilihan Muktamar Pas kali ini untuk menggugat keyakinan sesetengah masyarakat terhadap parti tersebut melalui tajuk 'besar' yang dijadikan tatapan.

Zaman Rasulullah s.a.w memperlihatkan betapa ramai sahabat yang terdiri daripada golongan kaya, saudagar yang disifatkan sebagai profesional tetapi tetap dianggap sebagai ulama'. Antara contohnya ialah Usman bin Affan. Malah, selain seorang Nabi dan Rasul, Muhammad s.a.w juga seorang saudagar dan pernah mengendalikan perniagaan besar Saidatina Khatijah. Hal ini membuktikan bahawa tiada beza antara ulama' dengan profesional sekiranya laluan ilmu dan kehidupan yang dijalani tetap berteraskan kepada wahyu Ilahi. Malah, adalah suatu yang membahagia dan membanggakan jika seseorang muslim itu mampu menjadi ulama' yang profesional atau kini disebut sebagai muslim profesional. Mereka yang berjawatan tinggi dan pakar dalam pelbagai bidang tetapi tetap teguh mengamalkan ilmu dan menyebarkan Islam secara istiqamah.

Adalah penting untuk masyarakat Melayu yang rata-rata mengakui diri mereka sebagai Islam untuk berhati-hati dalam memaparkan sesebuah isu. Tidak wajar untuk memutarbelitkan sesebuah kenyataan hanya demi kepentingan peribadi. Masyarakat kini juga tidak lagi buta untuk menilai sesuatu perkara secara membuta-tuli.

Semoga ada benarnya dan semoga dituntun ke jalan-Nya.

Waallahu'alam.

4/6/2009
9:43:57 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan