Jumaat, 19 Jun 2009

Sehari Bersama Kasim Masdor

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Jam 3.15 petang, saya dan penyelaras Fakulti Penulisan berada di hadapan balai ketibaan antarabangsa KLIA. Kehadiran kami bagi menjemput seorang seniman yang begitu kaya dengan hasil karyanya yang halus dan penuh seni, Kasim Masdor dari Singapura. Walaupun kelopak mata saya digantung rasa mengantuk yang agak berat, saya berasa gembira kerana berkesempatan menemui beliau. Perjalanan pulang yang mengambil masa hampir satu jam menuju ke ASWARA dipenuhi dengan kisah-kisah dan pengalaman beliau sebagai rakyat Singapura.

Hari ini merupakan kali kedua saya menemui Pak Kasim Masdor. Beliau daripada kaca mata saya seorang yang sangat peramah dan tidak lokek dengan ilmu pengalaman. Kali pertama, saya menemui Pak Kasim adalah ketika menemani rakan saya menemuramah seniman Dato' Aziz Satar pada semester yang lepas bagi tujuan tugasan.

Pada hari ini, Pak Kasim Masdor dijemput oleh ASWARA untuk menyerikan Malam Puisi Warisan Seniman pada malam ini. Semasa menemani Kak Wan dan Pak Kasim menikmati minum petang di bekalang Hotel Midah, Kuala Lumpur; barulah saya tahu bahawa Pak Kasim merupakan penggubah lagu yang sangat saya minati iaitu lagu "Pelangi Petang" oleh Allahyarham Sudirman. Beliau juga ada bercerita serba sedikit tentang Allahyarham P. Ramlee yang merupakan seorang insan yang sangat akrab dengannya semenjak dari bangku sekolah.

Foto dirakam bersama Pak Kasim Masdor dan Dato' Aziz Satar pada semester dua yang lalu.
Semasa dalam perjalanan, saya diberitahu bahawa peraturan di Singapura agak ketat tetapi berjaya mendisiplinkan warga Negara Singapura itu. Saya agak terkejut apabila beliau mengatakan bahawa sesiapa yang membuang sampah walaupun sehelai tisu sekiranya dilaporkan kepada pihak berkuasa akan dikenakan denda sebanyak $2000. Hal ini menjadikan rakyatnya pembersih dan sangat takut untuk membuang sampah merata-rata, tidak seperti di Malaysia.


Foto bersama Pak Kasim (berbaju merah) dan Dato' Aziz satar.

Lebih menggembirakan apabila mendapat tahu bahawa warga emas di negara itu agak terbela. Misalannya, ibu bapa yang dibiarkan anak-anak akan mendapat pembelaan oleh pihak kerajaan. Anak-anak yang membiarkan ibu bapa mereka dalam kesusahan akan dipotong gajinya untuk diberikan kepada ibu bapa mereka.

Berbicara dengan Pak Kasim Masdor banyak memberi manfaat kepada saya untuk meluaskan ruang pengalaman dan pengetahuan saya. Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang diujarkan oleh beliau kepada saya iaitu "Seniman dijadikan Tuhan untuk menyampaikan keindahan ciptaan Tuhan ..."

Akhir bicara, saya berasa gembira kerana mudah untuk bekerjasama dengan beliau yang sudah lama dalam industri dan terkenal dengan karya-karyanya yang indah. Sikap positif seperti beliau ini sangat sukar didapati dalam diri anak seni kini yang mudah angkuh dengan kejayaan yang sedikit.

Waallahua'alam.

2 ulasan:

  1. Kebetulan, penhujung tahun lepas berpeluang ke kota Singa, dan bermalam di rumah teman di sana. Oh, banyak yang dapat belajar tentang memanusiakan manusia di kota itu.

    BalasPadam
  2. Begitulah saudara, itulah hikmah Allah menyeru hamba-Nya untuk mengembara; ada hikmah pengalaman yang bisa mencambah putik kematangan dan keinsaafan dalam diri.

    BalasPadam