Selasa, 9 Jun 2009

Bilis Bermata Biru

TUESDAY
8:20 PM

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

PETANG yang cerah ini membawa saya mengikuti beberapa peserta kursus menuju ke pekan Pangkor. Saya tidak membeli apa-apa. Sekadar menemani mereka. Di satu sudut di dalam sebuah kedai menjual makanan laut dalam bentuk kering, saya mengamati gelagat para peserta kursus yang kebanyakannya wanita.

Para peserta ini kelihatannya begitu rambang mata dengan koleksi pilihan ikan bilis yang dijual di kedai tersebut. Antara jenis ikan bilis yang sangat menjadi pilihan mereka ialah ikan bilis bermata biru. Ikan bilis bermata biru itu dijual dengan harga RM25 sekilo. Melihat keletah peserta kursus dengan pelbagai ragam kerenahnya, keriuhan dan kemeriahan mewarnai aktiviti membeli-belah di kedai itu. Sempat juga saya melihat telatah pemilik kedai berbangsa Cina yang kelihatan bingung melayani kerakusan para pelanggannya itu.

Saya hanya duduk di sebuah bangku plastik sambil menyedut air mineral. Telatah mereka menghiburkan saya. Apatah lagi menjelang sesi tawar menawar, saat not-not kertas menjadi tukaran. Tidak sedikit yang dibelanjakan oleh kebanyakan peserta kursus terbabit untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru dan beberapa makanan kering yang lain. Teman saya sahaja telah membelanjakan sebanyak RM110 untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru. Kebanyakannya membeli bukan untuk diri sendiri sahaja sebaliknya untuk dijadikan tanda 'perut' untuk santapan kaum keluarga atau juga menu utama untuk hidangan mereka yang sentiasa ghairah menanti kepulangan para peserta setelah tiga hari berjauhan.

Mungkin saja, ikan bilis bermata biru akan dijadikan stok keselamatan untuk masa-masa genting seperti yang biasa juga saya lakukan. Pastinya panggilan kursus di Pulau Pangkor sentiasa dinanti-nantikan untuk membawa pulang bilis bermata biru lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan