Sabtu, 27 Jun 2009

Tenggelamnya Kapal Van de Wijck


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SAYA baru menamatkan bacaan novel tulisan Prof Hamka ini minggu lalu. Secara peribadi, saya mendapati isi novel beliau ini mempunyai kritikan halus terhadap adat Minangkabau yang agak keterlaluan dan melanggar ketentuan Islam.

Barangkali, Prof Hamka menghasilka novel tersebut sebagai satu usaha beliau untuk menyedarkan masyarakat tertentu tentang kepentingan Islam yang lebih wajib diutamakan berbanding hukum adat ciptaan. Dengan menggunakan elemen cinta terlarang, saya yakin novel beliau itu berjaya membawa impak maksima kepada masyarakat pada waktu itu.

Selainnya, saya berasakan karya beliau ini mempunyai persamaan dengan novel Di Bawah Lembayung Kaabah - iaitu kisah cinta terlarang yang diakhiri dengan perpisahan dua jiwa yang saling mencintai. Semoga usaha murni Prof dalam memurnikan cinta menurut Islam melalui dua novel itu akan diredai Allah.

Al-Fatihah untuk Prof. Hamka.

Media Elektronik Tempatan Terlalu TERBUKA

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

SAYA agak terkilan melihat drama-drama, filem tempatan terutamanya Melayu yang kononnya menguar-uarkan slogan filem kita wajah kita tetapi nyata jauh daripada hakikat realitinya. Hal ini dapat dilihat jelas dari segi pemakaian, dialog dan alur cerita yang bagi saya kebanyakannya telah jauh menyimpang daripada tatasusila Melayu itu sendiri.

Turut membimbangkan apabila pihak penerbitan ambil mudah soal ini. Sebagai contoh, saya agak terkilan melihat sebuah paparan iklan sabun pada waktu arus perdana yang bagi saya tidak sesuai untuk ditonton bersama keluarga apatah lagi bersama anak-anak. Hal ini mungkin dirasakan remeh tetapi sebagai seorang Muslim, saya berasa adalah tidak wajar untuk kita membiarkan drama-drama dan media elektronik yang menjadi tatapan umum dan keluarga diperkosa dengan elemen-elemen seperti itu. Apatah lagi apabila negara diuar-uarkan sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

Coretan ini sekadar luahan terpendam saya dan merupakan terjemahan perasaan tidak senang terhadap isu ini.

Waallahu'alam

Jumaat, 19 Jun 2009

Sehari Bersama Kasim Masdor

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Jam 3.15 petang, saya dan penyelaras Fakulti Penulisan berada di hadapan balai ketibaan antarabangsa KLIA. Kehadiran kami bagi menjemput seorang seniman yang begitu kaya dengan hasil karyanya yang halus dan penuh seni, Kasim Masdor dari Singapura. Walaupun kelopak mata saya digantung rasa mengantuk yang agak berat, saya berasa gembira kerana berkesempatan menemui beliau. Perjalanan pulang yang mengambil masa hampir satu jam menuju ke ASWARA dipenuhi dengan kisah-kisah dan pengalaman beliau sebagai rakyat Singapura.

Hari ini merupakan kali kedua saya menemui Pak Kasim Masdor. Beliau daripada kaca mata saya seorang yang sangat peramah dan tidak lokek dengan ilmu pengalaman. Kali pertama, saya menemui Pak Kasim adalah ketika menemani rakan saya menemuramah seniman Dato' Aziz Satar pada semester yang lepas bagi tujuan tugasan.

Pada hari ini, Pak Kasim Masdor dijemput oleh ASWARA untuk menyerikan Malam Puisi Warisan Seniman pada malam ini. Semasa menemani Kak Wan dan Pak Kasim menikmati minum petang di bekalang Hotel Midah, Kuala Lumpur; barulah saya tahu bahawa Pak Kasim merupakan penggubah lagu yang sangat saya minati iaitu lagu "Pelangi Petang" oleh Allahyarham Sudirman. Beliau juga ada bercerita serba sedikit tentang Allahyarham P. Ramlee yang merupakan seorang insan yang sangat akrab dengannya semenjak dari bangku sekolah.

Foto dirakam bersama Pak Kasim Masdor dan Dato' Aziz Satar pada semester dua yang lalu.
Semasa dalam perjalanan, saya diberitahu bahawa peraturan di Singapura agak ketat tetapi berjaya mendisiplinkan warga Negara Singapura itu. Saya agak terkejut apabila beliau mengatakan bahawa sesiapa yang membuang sampah walaupun sehelai tisu sekiranya dilaporkan kepada pihak berkuasa akan dikenakan denda sebanyak $2000. Hal ini menjadikan rakyatnya pembersih dan sangat takut untuk membuang sampah merata-rata, tidak seperti di Malaysia.


Foto bersama Pak Kasim (berbaju merah) dan Dato' Aziz satar.

Lebih menggembirakan apabila mendapat tahu bahawa warga emas di negara itu agak terbela. Misalannya, ibu bapa yang dibiarkan anak-anak akan mendapat pembelaan oleh pihak kerajaan. Anak-anak yang membiarkan ibu bapa mereka dalam kesusahan akan dipotong gajinya untuk diberikan kepada ibu bapa mereka.

Berbicara dengan Pak Kasim Masdor banyak memberi manfaat kepada saya untuk meluaskan ruang pengalaman dan pengetahuan saya. Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang diujarkan oleh beliau kepada saya iaitu "Seniman dijadikan Tuhan untuk menyampaikan keindahan ciptaan Tuhan ..."

Akhir bicara, saya berasa gembira kerana mudah untuk bekerjasama dengan beliau yang sudah lama dalam industri dan terkenal dengan karya-karyanya yang indah. Sikap positif seperti beliau ini sangat sukar didapati dalam diri anak seni kini yang mudah angkuh dengan kejayaan yang sedikit.

Waallahua'alam.

Rabu, 10 Jun 2009

Camar Senja

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Jingga suria menyimbah wajah
Camar nakal berlari pulang
Keindahan yang menggoda
Ketenangan mententeram jiwa.

Angin senja menguis rimba kenangan
Menarik iman di celah kesamaran
Kenangan dan Iman
Mencantum : keseimbangan.

Senja di kuala membisikkan
Suara noda di cermin kepulangan
Membangun langkahatur jejak keinsafan
Di tirai taqwa melabuh senja
Antara dosa bersulam doa
Camar senja saksi segala.

Selasa, 9 Jun 2009

Bilis Bermata Biru

TUESDAY
8:20 PM

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

PETANG yang cerah ini membawa saya mengikuti beberapa peserta kursus menuju ke pekan Pangkor. Saya tidak membeli apa-apa. Sekadar menemani mereka. Di satu sudut di dalam sebuah kedai menjual makanan laut dalam bentuk kering, saya mengamati gelagat para peserta kursus yang kebanyakannya wanita.

Para peserta ini kelihatannya begitu rambang mata dengan koleksi pilihan ikan bilis yang dijual di kedai tersebut. Antara jenis ikan bilis yang sangat menjadi pilihan mereka ialah ikan bilis bermata biru. Ikan bilis bermata biru itu dijual dengan harga RM25 sekilo. Melihat keletah peserta kursus dengan pelbagai ragam kerenahnya, keriuhan dan kemeriahan mewarnai aktiviti membeli-belah di kedai itu. Sempat juga saya melihat telatah pemilik kedai berbangsa Cina yang kelihatan bingung melayani kerakusan para pelanggannya itu.

Saya hanya duduk di sebuah bangku plastik sambil menyedut air mineral. Telatah mereka menghiburkan saya. Apatah lagi menjelang sesi tawar menawar, saat not-not kertas menjadi tukaran. Tidak sedikit yang dibelanjakan oleh kebanyakan peserta kursus terbabit untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru dan beberapa makanan kering yang lain. Teman saya sahaja telah membelanjakan sebanyak RM110 untuk mendapatkan ikan bilis bermata biru. Kebanyakannya membeli bukan untuk diri sendiri sahaja sebaliknya untuk dijadikan tanda 'perut' untuk santapan kaum keluarga atau juga menu utama untuk hidangan mereka yang sentiasa ghairah menanti kepulangan para peserta setelah tiga hari berjauhan.

Mungkin saja, ikan bilis bermata biru akan dijadikan stok keselamatan untuk masa-masa genting seperti yang biasa juga saya lakukan. Pastinya panggilan kursus di Pulau Pangkor sentiasa dinanti-nantikan untuk membawa pulang bilis bermata biru lagi.

Sabtu, 6 Jun 2009

Psikoanalisis Dalam Patriarch

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Bagi semester tiga yang lalu, saya telah mengambil subjek wajib fakulti iaitu Psikologi Watak. Subjek ini telah diajar oleh pensyarah saya yang bernama En. Azman Ismail. Sesetengah mahasiswa lebih gemar memanggil En. Azman sebagai Abang Man tetapi saya lebih selesa dengan panggilan En. Azman. Banyak ilmu yang saya perolehi melalui En. Azman berkenaan pengetahuan psikologi watak dalam karya atau di luar karya. Antara teks kajian utama bagi subjek ini ialah Hujan Pagi, Srengenge dan Salina. Ketiga-tiga novel ini telah saya kenal sejak berada di semester satu lagi.

Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Azman yang telah memberikan teks novel Patriarch karya S.N Shahnon Ahmad sebagai teks kajian saya. Saya benar-benar jatuh cinta dengan novel tersebut. Sekiranya En. Azman tidak memberikan teks itu sebagai kajian tugasan saya, mungkin saya tidak akan berkenalan dengan teks yang bagus itu. Novel itu saya kira sama seperti SHIT kerana mempunyai banyak unsur pengulangan perkara yang sama tetapi dalam peristiwa yang berbeza. Saya pernah berusaha untuk membaca novel SHIT itu sehingga habis tetapi nyata saya tidak mampu. Justeru, saya merujuk kepada teman yang pernah membacanya dan sedikit blurb yang saya baca mengenai SHIT memberi ruang saya mengenali corak penulisan Shahnon serba sedikit.

Saya telah menggunakan Teori Psikoanalisis untuk mengkaji beberapa watak dan perwatakan dalam novel Patriarch. Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan tugasan ini. Menurut En. Azman yang sangat terkenal dengan sikap kedekut dalam memberi markah, beliau sangat berpuas hati dengan hasil tugasan saya itu dan memberi markah 25/30 kepada saya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa istilah dan penjelasan teknikal yang gagal saya kuasai dan masih perlu saya pelajari. Di sini saya turunkan bahagian pendahuluan bagi kajian saya yang bertajuk Psikoanalisis Dalam Novel Patriarch:

Novel Patriarch karya SN Shahnon Ahmad merupakan sebuah karya perlambangan hidup manusia yang pada awalnya dianologikan kepada watak ‘Dia’ iaitu sebatang sungai. Hal ini dilihat dalam bahagian prolog dan epilog novel. Dalam bahagian prolog ini, pengarang telah menceritakan susur galur perjalanan sebatang sungai melalui liku-liku perjalanan sebelum tiba di lautan. Hal ini secara halus memperlihatkan tanggungjawab sebatang sungai terhadap kitaran kehidupan di sekitarnya.

Perjalanan sungai yang bermula dari kaki gunung pada mulanya berjalan lancar dengan air yang jernih. Walau bagaimanapun, disebabkan faktor persekitaran – sungai tersebut terpaksa menerima segala macam sampah sarap dan bendasing malah membawa sama perkara-perkara itu mengalir bersama-samanya. Hal ini menyebabkan sungai hilang keunggulan, menjadi lesu dan lambat. Pengarang menggunakan metafora ini dalam memperkatakan pandangan pengarang terhadap pemerintahan dan kehidupan bersih yang akhirnya menjadi kotor dan penuh noda atas sebab persekitaran dan ketahanan dalam individu itu sendiri.

Pemikiran dan personaliti seseorang manusia boleh berubah berdasarkan faktor persekitaran dan kaedah individu mengawal pemikirannya. Dari segi lain, pengarang cuba membawa realiti kehidupan bahawa manusia itu berdiri antara sisi baik dan sisi jahat di dalam dirinya. Setiap manusia tidak mempunyai sifat putih sebaliknya bersifat dinamik iaitu berubah-ubah. Perubahan itu pula sudah tentu berlangsung kesan daripada pengaruh-pengaruh dalam dan luar diri.

Secara kasar, pengkaji melihat perubahan tingkah laku watak dalam novel ini mempengaruhi isi cerita dan plot Patriarch. Aspek perkembangan plot novel ini juga memperllihatkan sindiran pengarang pada realiti masyarakat terutamanya pada yang berada di tampuk pemerintahan. Watak-watak rakyat bawahan dari selatan sehingga utara Negara Belantara merupakan manifestasi perasaan rakyat yang gembira dan memuja pemimpin yang dianggap mampu memenuhi kehendak mereka dan mengeji pemimpin yang mengabaikan rakyatnya. Perubahan watak rakyat bawahan ini secara tidak langsung memperlihatkan pengaruh id, ego dan super ego dalam menentukan penilaian watak terhadap persekitaran mereka.

Berlandaskan keunikan perlukisan watak dalam novel Patriarch ini, pengkaji menggunakan Teori Psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud. Teori ini membantu pengkaji melihat permukaan dasar diri sesebuah watak yang sentiasa mengalami perubahan sama ada positif atau negatif. Menurut Freud juga, manusia dilahirkan dengan desakan naluri yang semula jadi. Pandangan ini telah melahirkan konsep antirasionalisme dalam segala gerak-geri manusia.

Konsep ini berpendapat bahawa manusia tidak rasional, tidak sosial dan penuh dengan desakan yang merosakkan dirinya dan manusia sebagai individu tidak dapat membawa arah haluan nasibnya. Gejala ini jelas kelihatan dalam watak Jasadiah alias Patriarch yang gagal mengawal desakan dalam diri sehingga mengubah pedoman hidup dan prinsip asal Jasadiah. Melalui Teori Psikoanalisis, perkembangan tahap dan penguasaan id, ego dan super ego telah memperlihatkan perkembangan perubahan Jasadiah kepada Patriarch dan beberapa watak lain.
Nota : Butiran ini terpaksa ditaip semula ekoran kehilangan data pada sistem komputer di perpustakaan yang sering saya gunakan.

Wallahu’alam. 3 Jun 2009.

Ulama' Vs Profesional

Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.



Isu Ulama’ Vs Profesional kini dipolemikkan ekoran pemilihan jawatan dalam sesebuah parti tertentu.

Pihak tertentu dengan bijak telah menggunakan tajuk 'Ulama lawan Profesional' bagi memperlihatkan wujud pertelingkahan dalaman parti terbabit dalam memilih siapa yang wajar dan layak menjadi penyandang bagi jawatan yang dipertandingkan. Dalam masa yang sama, paparan itu juga saya lihat sebagai suatu propaganda untuk memutarbelitkan kenyataan.

Saya tidak bersetuju dengan tajuk yang dikemukakan iaitu 'Ulama lawan Profesional' yang merujuk status seseorang yang ingin bertanding dalam pemilihan tersebut. Pada pandangan saya, tidak salah untuk ulama' menjadi profesional dan tidak salah juga untuk golongan profesional menjadi ulama'. Polemik 'Ulama lawan Profesional' seakan-akan memberi satu konotasi negatif bahawa Islam itu membezakan antaran ketinggian ilmu keagamaan dengan kehidupan profesional seseorang individu. Mungkin sesetengah kita masih keliru dengan maksud ulama' itu sendiri.

Barangkali, hanya ustaz dan tokoh agama sahaja yang dianggap sebagai ulama' walhal perkataann ulama' itu merujuk kepada individu yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang agama dan yang selainnya. Tidak wajar untuk masyarakat menjumudkan fikiran dan meletak label bahawa ulama' hanyalah golongan pendakwah dan yang bergelar ustaz. Lalu, bagaimana pula dengan seorang jurutera yang banyak menulis tentang ilmu hadis melalui kajian dan penyelidikannya dan seorang ahli kaji masyarakat yang pakar mengaitkan antara agama dengan kejadian alam bersandarkan nas yang akli dan nakli?

Bagi saya, isu yang dicanangkan itu tidak sepenuhnya berlaku dalam parti berkenaan. Tanggapan saya lahir bukan kerana saya menyokong parti tersebut. Sebagai warga muda yang masih jelas penglihatannya, saya tidak terlepas daripada melihat kepincangan yang tidak dapat disembunyikan dalam parti tersebut. Walau bagaimanapun, dalam konteks yang saya bicarakan ini - saya tetap beranggapan adalah tidak wajar untuk masyarakat dan pihak tertentu mengambil kesempatan pada pemilihan Muktamar Pas kali ini untuk menggugat keyakinan sesetengah masyarakat terhadap parti tersebut melalui tajuk 'besar' yang dijadikan tatapan.

Zaman Rasulullah s.a.w memperlihatkan betapa ramai sahabat yang terdiri daripada golongan kaya, saudagar yang disifatkan sebagai profesional tetapi tetap dianggap sebagai ulama'. Antara contohnya ialah Usman bin Affan. Malah, selain seorang Nabi dan Rasul, Muhammad s.a.w juga seorang saudagar dan pernah mengendalikan perniagaan besar Saidatina Khatijah. Hal ini membuktikan bahawa tiada beza antara ulama' dengan profesional sekiranya laluan ilmu dan kehidupan yang dijalani tetap berteraskan kepada wahyu Ilahi. Malah, adalah suatu yang membahagia dan membanggakan jika seseorang muslim itu mampu menjadi ulama' yang profesional atau kini disebut sebagai muslim profesional. Mereka yang berjawatan tinggi dan pakar dalam pelbagai bidang tetapi tetap teguh mengamalkan ilmu dan menyebarkan Islam secara istiqamah.

Adalah penting untuk masyarakat Melayu yang rata-rata mengakui diri mereka sebagai Islam untuk berhati-hati dalam memaparkan sesebuah isu. Tidak wajar untuk memutarbelitkan sesebuah kenyataan hanya demi kepentingan peribadi. Masyarakat kini juga tidak lagi buta untuk menilai sesuatu perkara secara membuta-tuli.

Semoga ada benarnya dan semoga dituntun ke jalan-Nya.

Waallahu'alam.

4/6/2009
9:43:57 PM