Selasa, 3 Mac 2009

Sendu Palestin


Jaga Diri, Jaga Iman, Jaga Hati.

Alhamdulillah, sajak sulung sejak bergelar pelajar ASWARA telah tersiar dalam majalah Tunas Cipta keluaran Mac DBP. Sajak itu dibuat setahun yang lalu, sebelum isu Gaza melatari kebanyakan sudut berita di televisyen.

Sungguh, Palestin tidak pernah berhenti dikecam dan diperkotak-katikkan oleh manusia yang langsung tidak mengenal erti kemanusiaan. Sayang sekali, umat Islam di dunia walaupun menjadi antara penduduk teramai di dunia masih gagal membiaskan satu tindakan luar biasa yang bisa saja menundukkan kekecaman rejim Zionis.

Tiada gunanya berjanji dengan mereka yang tidak pernah kenal erti kejujuran. Dalam al-Quran juga pernah disebutkan, golongan kuffar itu tidak akan sesekali berlaku baik dengan golongan muslim. Hanya tertanya kepada diri, mengapakah kebanyakan negara Islam termasuk yang mempunyai aset besar terlalu takut untuk menentang Zionis.

Lebih memalukan apabila ada juga negara Islam yang tunduk kepada Zionis dengan menyekat kemasukan bantuan daripada luar. Sampai bila? Entah mengapa, itulah hakikat dunia akhir zaman.

Penulis sangat menguji tindakan Perdana Menteri Turki yang dengan lantang menyuarakan ketidakpuasan hatinya semasa persidangan ekonomi sedunia lalu.

Sungguh, dunia Islam begitu memerlukan pemimpin berjiwa mukmin yang berani membela penindasan yang terang-terangan berlaku.

Hanya doa dikirimkan. Semoga warga Palestin tidak akan pernah gentar untuk menerima pelawaan jihad yang menjaminkan syahid.

Allahu Akhbar.

Sendu Palestin

mata sayu itu menatap lesu
mencemuh kezaliman sang
peragut damai hati
menghidangkan mimpi berulam resah
gentar menyentak enak lena.

dan siang itu
seluruh tubuh melagukan getar
mendongak gerun hujan peluru
tanpa henti tiada simpati.

Palestin merintih lagi
dengan sendu kepiluan
pada kekejaman yang
merakus kebebasan.

Palestin menangis lagi
dalam percikan kepasrahan
menanti damai dalam kegelapan
membunga taqwa dalam kepayahan.

tangis dan sendu
menjadi nafas nyawa insani
dalam impian melakar pelangi damai
dan sendu itu terus berlagu
menyanyikan melodi sengsara
berwajah harapan.
Wardah Munirah
Pesantren Desa