Khamis, 31 Disember 2009

MELABUHKAN HARI

1

2009 akan menjadi lipatan sejarah sekadar beberapa jam sahaja lagi. Bagi saya, 2009 sama seperti tahun-tahun lain, punya keistimewaan yang tersendiri. Lebih utama, semakin beranjak masa dan tahun, semakin bertambah pengalaman hidup saya. 2009 menjadi saksi kepada jatuh bangun jiwa saya. Menyaksikan kegembiraan dan kesayuan yang menjadi santapan setiap yang bernyawa. Saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kesempatan untuk menikmati rasa hidup sepanjang tahun 2009. Esok? Esok belum lagi pasti sama ada masih berkesempatan untuk meniti hari baru. Sesungguhnya, saban hari merupakan liku-liku masa yang semakin mendekatkan kita kepada kematian. Kita sering melakukan dosa, sentiasa berasa bersalah dengan dosa namun entah cukup entah tidak taubat nasuha untuk menghapus segala dosa. Semoga Allah memberi kekuatan dan mempermudahkan urusan saya dan kita semua untuk menjadi hamba yang sentiasa sedar pada hakikat kejadian diri dan sentiasa bersyukur dengan bilah-bilah hari yang diberi.

2

Hari ini merupakan hari kedua saya saya dihinggapi demam panas. Dalam dua minggu ini, sudah dua kali saya mengalami demam. Hari ini agak mencabar berbanding semalam kerana saya bukan sahaja diserang demam panas, akan tetapi mengalami sakit perut. Buscopan telah puas saya makan, ORS juga begitu. Saya seorang yang tidak berapa gemar ke klinik, lebih suka membiarkan antibodi menjalankan tugasnya. Namun, disebabkan saya sedang menjalani latihan industri maka saya pergi juga bertemu doktor di Klinik Kesihatan Selayang. Suhu yang dicatatkan semalam ialah 38.6. Hari ini panasnya masih ada akan tetapi sedikit kurang berbanding semalam. Yang saya gusarkan ialah proses LI. Sudah tiga cuti sakit yang saya ambil sepanjang dua minggu ini. Memanglah, Pn Zaiton Ajamain membenarkan saya pulang semalam. Pada awalnya, beliau menyarankan agar saya pergi ke perpustakaan DBP memandangkan tidak ada apa-apa kerja yang boleh diberikan kepada saya. Namun apabila saya khabarkan tidak sihat, beliau membenarkan saya pulang sahaja dan tidak perlu juga datang untuk hari ini. Semuanya gara-gara kesepian yang melanda bahagian saya. Ramai pegawai yang mengambil cuti. Hanya beberapa orang sahaja yang ada. Apatah lagi, tiada program yang boleh melibatkan saya. Sedih juga kerana gagal mendapatkan pengalaman sebenar menjalani LI. Memang bukan salah pihak DBP kerana pada penghujung tahun begini, memang tidak banyak program lagi. Saya fikir, pihak ASWARA perlu lebih peka tentang ini. Janganlah dihantar lagi para mahasiswa menjalani LI di hujung tahun dalam tempoh yang singkat. Tidak banyak yang boleh diperolehi. Bukankah rugi begini?

3

Azam. Saban kali tahun baru menjengah, manusia sibuk berbicara tentang azam. Ada yang serius dan ada yang sambil lewa. Bagi saya, azam tidak akan berguna sekiranya hanya dijadikan satu budaya 'menyebut' bagi meraikan tahun baru. Azam sewajarnya dikuatkan dengan tindakan, usaha yang berterusan. Apalah gunanya azam sekiranya hanya menjadi bahan cerita tanpa ada sebarang perencanaan untuk merealisasikannya? Bagi saya, seperti biasa mengharapkan dapat menjadi seorang manusia yang saban hari memberi manfaat dan menambah kebaikan dalam hidup sebagai bekal hari kemudian.

4

Memasuki 2010, fikiran saya berpusatkan keputusan peperiksaan yang bakal keluar. Sebagai pelajar, keterujaan untuk mengetahui keputusan peperiksaan tidak dapat dielakkan. Tanda tanya sentiasa bermain di fikiran. Apakah beroleh kejayaan seperti yang diimpikan atau ada kelemahan yang mengakibatkan kemerosotan? Walau bagaimanapun, saya bertawakal dan insya-Allah dengan tawakal akan membuatkan jiwa menjadi semakin kuat untuk menerima apa-apa keputusan.

SELAMAT TINGGAL 2009.

Kami memandangnya dengan empati
"Kauhanya sejarah silam yang pernah
membuat kami terbungkam dalam pelukan noda dan tawa dunia.
Atas segala itu, memang kauhanya layak menjadi
sejarah yang tidak akan kami bongkar dalam peri hidup kami,
walau seribu tahun lagi."

Selasa, 29 Disember 2009

PENULIS YANG MEMBAWA FIKIR DAN RASA

SEBENTAR TADI, saya pergi menemui Abang Saifullizan Yahaya di pejabatnya untuk mendapatkan bahan berupa video pendek yang menarik sekiranya dimasukkan ke dalam pembentangan sebagai bahan selingan. Akan tetapi, saya bukan sahaja mendapat bahan tersebut daripada Abang Saiful, malah jauh lebih beruntung apabila saya turut dihidangkan dengan ilmu-ilmu berkaitan puisi, cerpen, kepengarangan dan pengalaman Abang Saiful yang pernah melalui apa-apa yang sedang saya lalui kini sebagai seorang yang masih bertatih untuk bergelar penulis.

Melalui perbincangan dengan Abang Saiful saya berpeluang menyuarakan persoalan demi persoalan terutamanya yang berkaitan puisi. Maklum saja, saya tidak pernah mendalami ilmu menulis puisi melainkan melalui bengkel bersama Pn. Mahaya Mohd Yasin minggu lalu. Selama ini, saya sering tertanya-tanya berkenaan kepelbagaian tafsiran yang dilakukan oleh khalayak pembaca terhadap sesebuah karya yang dibaca. Apakah sesebuah sajak yang ditafsirkan oleh khalayak pembaca dengan pelbagai pemahaman itu menandakan sesebuah sajak itu gagal kerana maksud yang cuba disampaikan penyair tidak berjaya diterima oleh khalayak pembaca.

Menurut beliau, pentafsiran pelbagai yang diberikan oleh para pembaca terhadap sesebuah puisi sebenarnya merupakan kayu pengukur pada kejayaan sesebuah sajak itu. Sebaliknya, sajak yang dapat ditafsir secara langsung oleh pembaca memperlihatkan kegagalan penyair dalam membawa khalayak mentafsir makna yang tersurat dan tersirat. Saya juga berkesempatan diperkenalkan dengan puisi Banjir, karya Latiff Mohidden. Banjir merupakan sebuah puisi yang mengetengahkan unsur visual sebagai elemen kewujudannya. Dalam hal ini, penyair telah memilih satu sisi 'kamera' dalam suasana banjir yang melanda. Penyair tidak memaparkan suasana banjir secara menyeluruh sebaliknya memperlihatkan pandangan tersebut menerusi rangkap :

.... album di atas bumbung
dan wajah tanpa nama meratap ...

Melalui pengaplikasian konsep visual, penyair dapat memberitahu khalayak berkenaan peristiwa banjir yang wujud dalam puisi tersebut menerusi kedudukan album yang berada di atas bumbung serta foto-foto yang tidak dikenali di dalamnya (wajah tanpa nama). Malu juga saya apabila beliau bertanya sama ada pernah atau tidak membaca puisi Sungai Mekong yang bagi beliau merupakan antara puisi wajib baca oleh para mahasiswa penulisan sastera. Menerusi puisi Sungai Mekong, khalayak pembaca didedahkan dengan ramalan penyair berkenaan pertempuran berdarah yang berlaku di Sungai Mekong, Vietnam. Puisi tersebut ditulis pada tahun 1966, tidak lama sebelum Perang Vietnam tercetus. Hal ini memberikan bukti betapa sastera itu lebih penting peranannya kerana bukan sahaja berupaya merakamkan sejarah malah mampu meramal masa depan.

Dalam persoalan mencari identiti tuntas sebagai seorang penulis, saya mempersoalkan apakah satu kesalahan apabila seorang penulis baharu itu terpengaruh dengan rentak mahupun cara penulisan seseorang penulis lain. Saya menjadikan diri sendiri sebagai contoh. Sebagai pelajar, saya mendapati betapa gaya penulisan saya sangat terpengaruh dengan gaya penulisan Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah dan Anwar Ridhwan. Kadangkala, saya berasa agak gusar memikirkan keterikatan gaya saya ini. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dilema yang saya hadapi itu merupakan satu proses yang normal bagi seseorang penulis baharu yang masih mencari-cari identiti diri. Barangkali saya terlalu terikat dengan gaya penulisan ketiga-tiga tokoh tersebut lantaran minat saya yang mendalam terhadap karya-karya mereka. Akan tetapi, beliau menasihati saya untuk membuka 'pintu-pintu' lain bagi mendapatkan imu bentuk yang lebih luas kerana perkara tersebut sangat membantu dalam proses pencarian identiti. Saya ujarkan kepada beliau betapa saya begitu bingung apabila membaca karya-karya cerpen Zaen Kasturi dan adakalanya mengalah untuk memahaminya. Dalam hal ini, beliau meminta agar saya tidak menutup ruang yang kurang saya minati sebaliknya terus berusaha membaca dan menyelidik. Beliau turut memberitahu bahawa bukanlah satu kesalahan untuk penulis baharu terpengaruh dengan gaya penulisan tokoh tetapi, awas jangan sampai berlaku plagiat.

Sementelahan itu, kami turut berbincang mengenai aliran pemikiran dan perasaan yang dibawa oleh penyair. Persoalan ini timbul rentetan daripada kekhilafan saya terhadap bentuk bahasa puitis dalam penulisan sajak. Jujurnya, saya akui bahawa kebanyakan sajak yang saya tulis bernada keras dan tidak pernah melankolik. Saya berpegang kepada prinsip SN Shahnon Ahmad yang melihat bahawa nilai estetik karya beliau tidak terletak pada kepuitisan bahasa sebaliknya tercitra pada pemikiran yang dibawa. Apatah lagi pada usia sebegini yang merupakan medan pergolakan dan pemberontakan kemahuan. Rasa ingin mengkritik dan membetulkan keadaan merupakan pengalaman normal bagi para penulis muda. Walau bagaimanapun, pengalaman dan kematangan usia akan membawa pemberontakan naluri terhadap sosial itu menjadi semakin terarah bagi membentuk persepsi masyarakat.

Perbincangan tersebut juga menyedarkan saya betapa perlunya seseorang penyair mencatat tarikh dan tempat sajaknya ditulis bagi tujuan dokumentasi. Sungguh, selama ini saya tidak pernah melakukannya. Beliau turut memperkenalkan saya denga penyair Wiji Tukhul, penyair yang sezaman dengan WS Rendra dan telah 'dihilangkan' oleh Republik Indonesia. Melalui puisi Tukhul, saya belajar lagi bahawa kepuitisan itu tidak semestinya pada deretan kata yang indah sebaliknya pada pemikrian yang dibawa. Begitu juga dengan Muhammad Hj Salleh yang bahasa sasteranya agak keras tetapi punya pemikiran dan perasaan dalam yang akan menyusul selepasnya.

Tuntasnya, peribadi dan jiwa yang berada dalam diri seseorang penyair akan tercitra pada hasil karyanya dan adalah penting untuk penulis dan pengkaji menjadikan diri mereka ibarat tukang masak yang perlu menikmati dan mencuba segala rasa yang ada untuk mendapatkan juadah yang terbaik.

Buat Abang Saifullizan Yahaya, saya sangat berterima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman. Saya tidak membawa dan menatat apa-apa ketika sesi tidak rasmi itu dan berasa sangat kesal. Biarlah entri ini menjadi nota buat saya dan kita bersama.

Sabtu, 26 Disember 2009

PELESTARIAN BAHASA MELAYU?

MELEWATI hari-hari cuti sebegini, saya lebih senang menghabiskan masa dengan membaca apa-apa bahan bacaan yang mampu menambah pengetahuan saya terhadap bidang kesusasteraan dan kebahasaan. Bukan selalu saya dapat menikmati masa-masa indah dengan menguliti bahan bacaan. Apatah lagi, saya bukanlah seorang pencandu buku yang mampu mengeluarkan wang untuk menjadikan bahan-bahan bacaan begini sebagai milik peribadi. Saya sering teringat akan pesan Cikgu Rosdan (pensyarah muzik yang baik budi) betapa perlunya seseorang itu membaca bahan berguna untuk mendapatkan input-input baharu saban hari. Ketika itu, saya hanya senyum simpul dan mengangguk setuju. Ya, memang benar pun. Namun, faktor masa kuliah dan pembelajaran ada ketikanya menyekat minat saya terhadap proses pembacaan seperti yang diperihalkan oleh Cikgu Rosdan. Oleh hal yang demikian, apa-apa peluang yang ada untuk saya dapatkan bahan bacaan secara percuma akan saya gunakan sebaik mungkin. Dalam hal ini, menjalani Latihan Industri di DBP membolehkan saya mendapatkan bahan bacaan kegemaran saya yang meliputi majalah-majalah terbitan DBP sebagai percuma (satu-satunya perkara yang saya fikir sebagai manfaat utama yang saya perolehi dalam proses Latihan Industri di DBP). Baru-baru ini,saya telah berkesempatan mendapatkan majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera edisi Januari 2010 daripada seorang editor.

Cukuplah setakat itu coretan saya tentang minat dan kecintaan saya sebagai pencandu bahasa dan bahan baca. Sebenarnya, saya ingin berkongsikan pembacaan saya terhadap Suara dari Seberang, wawancara khas wartawan Dewan Sastera dengan Abdon Jr Blade. Penerima S.E.A Write Award 2009 dari Filipina. Tokoh ini membicarakan seputar persoalan berkenaan ancaman yang dihadapi bahasa kebangsaan mereka iaitu bahasa Tagalog di negara tersebut. Walaupun bahasa Tagalog telah diiktiraf secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan negara Filipina, sebenarnya bahasa tersebut sedang mendepani ancaman bukan dari masyarakat luar Filipina sebaliknya daripada penutur natifnya sendiri, termasuklah oleh pemimpinnya. Menurut Abdon, bahasa Tagalog semakin terpinggir dari arus kehidupan masyarakat Filipina itu sendiri. Hal ini berlaku apabila masyarakat proletarian tanah air itu sendiri dengan senang hati menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan mempunyai keinginan untuk menjadikan bahasa penjajah tersebut sebagai bahasa kebangsaan, menggantikan bahasa ibunda mereka. Perkara ini dilihat berlaku kesan pendidikan yang diterima oleh golongan elit yang lebih biasa dengan bahasa Inggeris. Bahasa Tagalog pula diperikan hanya berada dalam lingkungan komunikasi masyarakat luar bandar sahaja.

Bukan setakat bahasa ibunda mereka sahaja yang mengalami ancaman tersebut, lapangan kesusasteraan mereka juga tidak ketinggalan menerima percikan keghairahan masyarakat yang begitu taksub dalam mengangkat citra sastera Inggeris sebagai pendamping naratif sastera mereka. Lebih mendukacitakan apabila pemimpin tertingginya sendiri yang sampai hati 'menjual' maruah bahasa Tagalog dengan melarang penggunaan bahasa kebangsaan tersebut dalam semua tahap persekolahan, sebaliknya menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium perantaraan. Walau bagaimanapun, saya sangat menyokong tindakan segera dan berani yang diambil oleh Persatuan Penulis Filipina yang memfailkan saman terhadap Presiden Macapagal Aroyo atas tindakan 'kejam'nya terhadap bahasa Tagalog.

Meskipun Filipina dikenali sebagai tanah yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, namun bagi saya hal itu tidak seharusnya menjadikan bahasa Tagalog dipinggirkan sebegitu rupa. Dalam hal ini, tindakan sedemikian saya fikir merupakan satu cerminan betapa minda masyarakat tersebut masih lagi dibawah kongkongan penjajahan Barat waima negara tersebut telah pun diisytiharkan merdeka.

Perbicaraan mengenai nasib bahasa Tagalog ini mengundang simpati dan empati saya terhadap nasib bahasa Melayu kita yang pada hemat saya masih belum mempunyai jaminan keterjagaan yang tidak akan diceroboh meskipun setelah agenda PPSMI dimansuhkan rentetan daripada perjuangan cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu yang tidak mendasari emosi tanpa hala dalam perjuangan memartabatkan dan memastikan pelestarian bahasa Melayu. Pihak pemimpin dan golongan elit tidak seharusnya membiarkan budaya dan bahasa ibunda diperkotak-katikkan semata-mata ingin mengejar populariti dan kemajuan. Saya menjadikan negara Korea dan Jepun sebagai contoh. Kedua-duanya merupakan negara asia yang pernah diserang hebat oleh pihak Barat satu masa dahulu. Namun, kesan tersebut tidak sedikit pun membuatkan kedua-dua negara terbabit tunduk terhadap penyebaran budaya dan bahasa yang dibawa mereka. Korea dan Jepun terbukti kini sebagai negara asia yang mempunyai prestij tinggi baik dalam bidang ekonomi, sosial mahupun perdagangan. Mereka tidak pun membiarkan bahasa Inggeris memasuki ruang hidup mereka secara bebas. Mereka masih boleh mengecap kejayaan walaupun tidak mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka tetap diundang dalam sidang-sidang antarabangsa meskipun membaca teks-teks ucapan bahasa Inggeris dalam pelat yang sukar. Akan tetapi, mereka tetap berjaya dan pandangan mereka sering mendapat perhatian dunia.

Bagi saya, perkara ini berbalik kepada persoalan jati diri dan kemandirian sesebuah bangsa itu untuk mendepani arus kemodenan. Saya penuh yakin bahawa bahasa Melayu dan bangsa Melayu tidak akan terpinggir sekiranya meneruskan Dasar Pandang ke Timur dan menjadikan amalan budaya hidup mereka terutamanya dalam perihal kerja sebagai teladan. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan keutamaan bukanlah pula bererti saya menolak kepentingan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris memang diperlukan dalam memastikan kelancaran sesuatu urusan. Kalau ada mereka-mereka yang berkata "Sekarang buku-buku banyaknya ditulis dalam bahasa Inggeris. Susahlah kalau tak lancar bahasa Inggeris." Saya fikir luahan sebegini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkewajipan dalam soal penterjemahan. Bahasa Melayu sebenarnya sudah pun mengalami pengembangan. Sudah mampu memberikan makna yang bersesuaian untuk istilah-istilah teknikal. Sudah mampu mengungkapkan pelbagai bahasa melalui proses penyesuaian dan saling terjemah.

Perkara-perkara ini sebenarnya membuktikan betapa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sangat bertamadun dan mampu mendepani arus modenisasi. Usahlah kita sendiri memandang enteng akan keupayaan laksana kacang lupakan kulit. Akhir kalam, tulisan ini sekadar catatan pandangan peribadi penulis. Tidak berhasrat untuk melahirkan sebarang polemik yang tidak sihat.

Khamis, 24 Disember 2009

SEPUTAR BENGKEL TUNAS REMAJA & MENJADI DUTA

PADA 21 hingga 24 Disember 2009, sejumlah 16 orang peserta terpilih daripada beberapa buah sekolah telah terpilih bagi menyerta Bengkel Tunas Remaja yang dianjurkan oleh PURNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta telah berkampung di Bilik Latihan 2, Aras 7, Menara DBP bagi mengasah bakat dan kemahiran para peserta bengkel yang rata-ratanya berusia antara 14 tahun hingga 20 tahun. Saya telah diberi peluang oleh Ketua Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan untuk menyertai bengkel itu selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Disember 2009. Kesempatan tersebut saya gunakan sebaik mungkin bagi menambah ilmu pengetahuan saya terutamanya dalam bidang penulisan cerpen dan puisi yang disediakan pihak penganjur.

Adik-adik yang menyertai bengkel itu dipilih oleh pihak penganjur berdasarkan karya-karya mereka yang pernah tersiar dalam majalah sekolah. Pada 21 Disember, Pn. Mahaya Mohd Yassin yang lebih mesra dalam kalangan kami sebagai Mama telah mendedahkan kami tentang bentuk-bentuk puisi dan kaedah bagi menulis puisi. Mama terkenal dengan cerpen “Mama” yang pernah menjadi cerpen kajian KOMSAS tingkatan dua dengan penuh semangat menyatakan peri pentingnya peranan puisi dalam menterjemahkan perasaan dan pemikiran seorang penyair untuk diambil iktibar oleh khalayak pembaca. Beliau juga begitu menekankan kepentingan penyair dalam memahami tanggungjawab yang dipikul sebagai khalifah Allah di muka bumi. Saya juga sangat mengagumi Mama atas ketegasan beliau dalam memastikan ujaran beliau jauh daripada pemerkosaan terhadap tatabahasa bahasa Melayu. Satu hal yang jarang saya lihat pada kebanyakan penulis atau sasterawan. Kebanyakan orang menganggap bahawa orang bahasa hanya akan merosakkan nilai sastera tetapi Mam yang cemerlang dalam genre puisi dan cerpen membuktikan betapa persoalan itu tidak benar sama sekali.

Secara jujur, saya berasa sangat beruntung kerana diberi peluang menyertai bengkel penulisan puisi bersama Mama. Banyak perkara yang saya pelajari daripada bengkel itu. Apatah lagi, saya tidak pernah mengikuti apa-apa bengkel penulisan puisi sebelum ini. Secara ringkas, Mama turut memperkenalkan kami dengan beberapa genre puisi tradisional seperti nazam, gurindam, syair dan pantun. Secara sedar, kami juga didedahkan betapa tingginya puisi-puisi yang dilahirkan intelektual Melayu silam lantaran setiap bait sarat dengan ilmu, kemahiran, nilai dan pengajaran. Sebagai contoh;

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan;
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun tersebut jika dilihat secara harfiah memperlihatkan sifat merendah diri seseorang yang masih baru dalam satu-satu lapangan. Walau bagaimanapun, jika diteliti pada unsur candranya, pantun tersebut turut memperlihatkan ilmu tentang cara-cara menurunkan buah atau apa-apa yang sifatnya lebih tinggi daripada fizikal manusia. Mencitrakan kemahiran yang pelbagai untuk seseorang melakukan sesuatu dan membawa nilai merendah diri dalam yang wajar dicontohi agar mudah menerima bantuan apabila berada dalam kesusahan. Sesi bersama tambah meriah sewaktu kami perlu membacakan sajak yang telah kami tulis. Kebanyakan adik berasa takut dan malu. Mungkin ada antara mereka yang pertama kali membaca puisi pada hari itu. Seperti biasa, saya juga tidak terlepas daripada rasa takut dan seram sejuk walaupun jauh lebih berusia daripada mereka. Namun, alhamdulillah kerana saya berjaya juga dan mendapat reaksi posittif daripada Mama dan adik-adik.

Pada 22 Disember pula, bengkel telah diteruskan dengan pendedahan penulisan cerpen oleh Saifullizan
Yahaya yang mesra dalam kalangan kami dengan gelaran ‘abang’. Abang Saiful telah membimbing kami tentang metodologi penghasilan sebuah cerpen bermula dengan proses mencari idea sehinggalah proses penglahiran idea menjadi sebuah cerita yang bergerak atas hukum sebab dan akibat yang wajar. Dalam bengkel yang sama, Abang Saiful turut berkesempatan membedah cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh para peserta. Bagi menarik minat dan konsentrasi adik-adik, Abang Saiful mempertontonkan beberapa klip video pendek berbentuk 3D yang melucukan tetapi mempunyai pengajaran yang besar untuk difikirkan. Secara ringkas juga, Abang Saiful turut menyentuh teknik interteks dalam menjana idea kreatif. Sebagai contoh, Abang Saiful telah membuka kisah Si Tanggang dan meminta kami memberi idea baru yang kreatif berdasarkan cerita Si Tanggang. Alhamdulillah, saya juga berjaya menjana idea baru tentang itu dan insya-Allah akan saya peram sebelum saya tulis.

Berada dalam kelompok adik-adik membuatkan saya terasa sebagai peserta purba yang bertuah
kerana mengenali adik-adik itu. Kebanyakan mereka tampak takut-takut dan tidak yakin untuk berbicara tentang karya mereka. Ada juga yang malu-malu apabila disuruh menulis sebuah puisi dan membacakannya di hadapan teman-teman dan Mama. Namun begitu, saya berasa kagum dengan hasil karya mereka yang pada hemat saya agak baik walaupun usia mereka masih muda. Antara adik yang saya ingat namanya kerana sikap proaktif dan yakin diri mereka ialah Nadirah yang begitu meminati Faisal Tehrani, Farah (UPM) yang luas fikiran, Khalid yang begitu berminat dengan dunia penulisan, El yang gaya tuturnya bak bakal PM, Wahida (MPTI), Fateha yang ingin menjadi doktor, Aina yang pemalu, Ainatul Mardiah yang cenderung kepada penulisan Islami, Afi yang laju bertutur dan beberapa orang lagi.

Saya berasakan bahawa mereka jauh lebih beruntung kerana mempunyai kesedaran terhadap dunia kesusasteraan dalam usia yang lebih muda. Saya sendiri mengakui betapa tahap perkenalan saya dengan dunia kesusasteraan jika dibandingkan dengan mereka jauh berbeza. Mereka sudah mengenali beberapa istilah dan tokoh sastera pada usia semuda itu dan tidak seperti saya.

Berada dalam lingkungan mereka, saya sering diasak tentang ASWARA yang sangat jauh dari ruang lingkup pengetahuan mereka. Antara soalan yang mereka timbulkan:

ASWARA tu apa kak?

Nama ASWARA ni panjang sikit. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. Dahulunya dinamakan sebagai ASK. Dah lama dah ASWARA ini wujud. Sudah hampir 15 tahun usianya.

Seronok tak belajar di ASWARA?

Sangat seronok. Aswara memperuntukkan 60% praktikal dan 40% teori. Jadi kami tidak terlalu terikat dengan teoritikal tanpa dipraktikkan. Kami diajar menulis cerpen, skrip tv, skrip layar, menulis skrip drama pentas, muzikal, menulis kritikan dan pelbagai lagi.


Apa prospek kerjaya sekiranya saya memasuki Fakulti Penulisan ASWARA?

Sebenarnya masyarakat sering memandang rendah pada dunia sastera. Walhal lapangan ini sebenarnya memberi peluang kerjaya yang luas juga. Apabila adik tamat belajar, adik sebenarnya boleh menggunakan kelulusan adik untuk menjadi seorang pensyarah, editor, pengkritik sastera, penulis sepenuh masa (cerpen, novel, drama, skrip tv & filem), guru, penggiat sastera, pengarah pentas dan bermacam lagi. Jika adik cemerlang dalam pelajaran, insya-Allah ada peluang untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di ASWARA dan mungkin kelak boleh menjadi salah seorang tenaga pengajar di ASWARA. Insya-Allah.

Fakulti Penulisan ASWARA tu ada pengkhususan apa?

Fakulti Penulisan ASWARA mempunyai dua pengkhususan iaitu Penulisan Kreatif dan Penulisan Filem dan Televisyen. Kalau dalam pengkhususan Penulisan Kreatif, adik akan belajar proses menghasilkan cerpen, novel dan drama pentas dalam pelbagai genre. Kalau dalam pengkhususan Filem dan Televisyen, adik akan belajar tentang penulisan skrip filem dan tv yang merangkumi pelbagai genre juga. Istimewanya, Fakulti Penulisan ASWARA diterajui oleh tenaga pensyarah yang memang kita kenal sebagai orang arif dalam lapangan sastera seperti SN Anwar Ridhwan (Penerima S.E.A Write Award, Anugerah Sastera Negara - cerpen, novel, drama), En. Zakaria Ariffin (Penerima S.E.A Write Award, major drama pentas, televisyen, bangsawan, muzikal), En. Ridzuan Harun (puisi), Tn, Hj Abdul Rahim (kritikan, drama, cerpen, puisi), En. Azman Ismail (mantan editor MM), En. Faisal Tehrani (novelis prolifik), Pn. Susilawati Kamaruzzaman (kritikan), Dr. Anuar Nor Arai (Skrip filem). Turut sebagai pensyarah sambilan ialah En. A.Wahab Hamzah, Dr. Mahadi J. Murat, En. Hassan Mutalib, En. Hishamuddin Rais dan beberapa orang lagi.

Macam mana nak sambung belajar di ASWARA?

Kalau adik lepasan SPM, adik perlu kredit dalam bahasa Melayu dan lulus temu duga. Begitu juga dengan lepasan STPM. Cuma, lepasan STPM boleh terus memohon untuk menyambung peringkat ijazah pertama dengan keputusan peperiksaan STPM. Jangka masa pembelajaran untuk tahap diploma dan ijazah pula sama, iaitu tiga tahun.

Bila kemasukan ke ASWARA kak?

Kemasukannya pada Julai setiap tahun. Iklan tentang permohonan kemasukan ke ASWARA akan dibuka sekitar bulan Mac dan April 2010, setelah keputusan peperiksaan 2009 diumumkan. Adik boleh isi borang dan jika permohonan adik berjaya, adik akan dipanggil untuk sesi temu duga. Dalam sesi temu duga, adik akan berdepan dengan tiga tahap (kalau ikut pengalaman akak). Tahap pertama adik akan menduduki ujian umum tentang ASWARA, tahap kedua menjawab soalan bertulis yang berkaitan pengkhususan pilihan dan tahap ketiga adik akan ditemu duga oleh panel setiap fakulti. Insya-Allah apabila berjaya, adik akan diberitahu. Adik boleh lawati laman sesawang http://www.aswara.edu.my

Kenapa akak pilih masuk ASWARA?

Begitulah antara persoalan yang mereka ajukan dengan penuh minat. Ketika itu, saya benar-benar berasakan diri saya sebagai duta Fakulti Penulisan dan ASWARA untuk memberi pendedahan secara ringkas tentang ASWARA utamanya Fakulti Penulisan kepada mereka. Mereka saya lihat begitu berbakat dan saya benar-benar berharap agar mereka kelak akan menjadi antara warga Fakulti Penulisan, ASWARA yang akhirnya akan mewarnai dunia kesusasteraan tempatan. Pendedahan itu juga saya lakukan dengan bersungguh-sungguh kerana rasa terkilan saya apabila mendapat tahu kurangnya pengetahuan masyarakat luar industri tentang ASWARA ketika menjadi petugas di booth Fakulti Penulisan ASWARA di Nanyang Education Fair, PWTC pada 19 dan 20 Disember lalu. Dalam hal ini, saya berharap agar pihak berkenaan mampu membuat sesuatu dalam rangka mempromosikan ASWARA untuk lebih dikenali dan disanjungi sebagai institusi seni yang bertaraf tinggi. Bagi saya, setiap soalan yang mereka beri telah saya jawab dengan penuh tanggungjawab melainkan soalan yang terakhir itu dan biarlah hanya mereka-mereka tertentu sahaja yang tahu.

Menjelang petang 22 Disember, saya mengucapkan salam perpisahan kepada adik-adik. Dalam pada itu, saya sempat berpesan kepada mereka agar tekal menulis dan berkarya. Saya yakinkan dengan jujur betapa mereka punya bakat dan jangan disia-siakan anugerah itu. Untuk beberapa yang begitu menunjukkan minat tentang Fakulti Penulisan, ASWARA seperti Adik Khalid saya berpesan agar menghubungi saya untuk mengetahui maklumat lanjut atau untuk bertanya apa-apa lagi. Jauh di sudut hati, saya berterima kasih kerana penyertaan saya dalam bengkel Tunas Remaja tersebut bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan saya malah menambah kenalan dan pengalaman hidup saya.

Isnin, 21 Disember 2009

ALUMNI MPR?

TIDAK SEDIKIT daripada kalangan yang mengenali dan mengetahui saya berada dalam kelompok Perhimpunan Alumni MPR, Sabtu lalu yang meminta saya menulis berkenaan inti pati perhimpunan tersebut. Bukan saya lokek untuk berkongsi pengalaman. Namun saya fikirkan, ada baiknya saya pendamkan sahaja lautan perasaan saya tentang itu atau wajar juga saya lupakan sahaja pengalaman itu. Apatah lagi, saya bukanlah mantan MPR mahupun apa-apa yang punya kaitan dengan MPR selain merupakan pelatih Latihan Industri di Bahagian Pengembangan Sastera yang bertugas memantau perjalanan perhimpunan tersebut. Selebihnya, saya hanya seorang pelajar yang bernaung di Fakulti Penulisan ASWARA dan masih metah hijau dalam industri ini.

Sekadar satu pesanan kepada diri saya, rakan-rakan dan adik-adik penulis yang saya kagumi, sesungguhnya bakat dan kejayaan yang diperolehi merupakan anugerah dan rahmat Allah kepada hamba pilihan-Nya. Tidak salah untuk kita bersyukur dan berasa bangga dengan kurniaan itu. Namun begitu, tanamkanlah juga usaha untuk menjadi penulis kepada kebenaran Tuhan yang terhindar daripada noda riak dan takbur sama ada dalam bicara dan karya kita.

Saya bukanlah siapa-siapa untuk menulis catatan ringkas ini. Sekadar seorang pelajar yang tidak pernah jemu belajar untuk menjadi penulis yang diredai Tuhan, insya-Allah. Hanya, nota ingatan ringkas daripada Dato' Baha Zain yang mengatakan bahawa menulis itu merupakan tanggungjawab penulis dalam menunjukkan kebenaran Tuhan. Bicara Ayahanda Anwar Ridhwan juga tentang peri penting kejujuran dan keikhlasan dalam menulis moga-moga dapat menjadi landasan untuk saya dan sesiapa yang sudi mengambil iktibar daripadanya untuk tegar menjadi penulis yang tidak lupa jati diri dan peranan hakiki kita.

Sekadar peringatan untuk diri - Tidak mengapalah kamu (Wardah) tidak punya peluang untuk menyertai keluarga MPR kerana Allah telah meletakkan tempat terbaik untuk kamu di Fakulti Penulisan ASWARA. Pelihara diri kamu dan manfaatkan peluang dan rezeki yang kamu ada di situ.

Sabtu, 19 Disember 2009

Jumaat, 18 Disember 2009

FAKTOR-FAKTOR KEJATUHAN INDSUTRI PERFILEMAN MELAYU DAHULU

SHAW BROTHERS yang turut dikenali sebagai Malay Film Production (MFP) dimiliki oleh dua beradik berketurunan Cina iaitu Rum Mee Shaw dan Run Run Shaw. Produksi ini telah mula beroperasi sejak zaman pendudukan British di Tanah Melayu lagi. Dalam menjalankan operasinya, Shaw Brothers telah mengambil tenaga pakar dari negara India. Manakala, para pelakonnya diambil daripada orang-orang tempatan terutamanya daripada kalangan ahli bangsawan. Syarikat dua beradik ini telah berpusat di No. 8 Jalan Ampas, Singapura. Antara barisan pelakon dan pengarah yang pernah bernaung di bawah produksi ini ialah L. Krishnan, Jamil Sulong, Aziz Jaafar dan Omar Rojak. Antara tahun 1960 hingga 1967, sejumlah 50 buah filem telah berjaya diterbitkan. Shaw Brothers telah benar-benar bersinar sebagai produksi yang unggul sekitar tahun 1950-an.

Syarikat produksi gergasi yang turut sama mewarnai industri perfileman Tanah Melayu ketika itu juga ialah Cathay Keris. Produksi ini telah ditubuhkan di Singapura pada tahun 1953. Studio ini merupakan gabungan antara Cathay Production yang dimiliki oleh Ho Ah Loke dan Keris Production yang dimiliki oleh Loke Wan Tho. Cathay Keris merupakan pesaing hebat kepada Shaw Brothers pada zaman kegemilangan industri filem Melayu ketika itu. Studio ini lebih banyak menjalin usaha sama dengan pembikin-pembikin filem dari Perancis dan Hong Kong untuk ditayangkan di Tanah Melayu. Pada mulanya, produksi Cathay Keris lebih aktif dalam kegiatan mengedarkan filem berbanding menerbitkan filem. Filem pertama Cathay Keris ialah Buluh Perindu manakala filem terakhirnya ialah Satu Titik di Garisan yang terbit pada tahun 1973.

Selepas berlalunya era kegemilangan industri perfileman Melayu sekitar 1960-an sehingga akhir abad tersebut dengan kejayaan Cathay Keris menghasilkan 305 buah filem, tanda-tanda kemerosotan industri perfileman Melayu mula menjelma. Hal ini berlaku pada sekitar tahun 1960-an atas beberapa sebab sehingga akhirnya menjatuhkan dua syarikat perfileman besar iaitu Shaw Brothers dan Cathay Keris. Antara sebab utama kemerosotan ini berlaku adalah kedatangan filem Barat yang menawarkan lebih banyak kehebatan dan mutu yang tinggi selain beberapa faktor dalaman dan faktor luaran yang gagal diselesaikan ketika itu.

KEBANJIRAN FILEM BARAT & HINDUSTAN SERTA TARIKANNYA

Kebanjiran filem Barat dan Hindustan secara tidak langsung telah menenggelamkan filem-filem Melayu yang tidak mengalami banyak perubahan baik dari segi persembahan mahupun teknik penggambaran. Hal ini membuatkan penonton mulai bosan dan cuba mencari kelainan dengan mengubah selera dan minat mereka dengan menonton filem-filem asing. Hal ini turut diperhebatkan lagi dengan mutu cerita dan persembahan lebih menarik yang ditawarkan filem-filem Barat, Hindustan dan China. Kebanyakan cerita Hindustan menawarkan kisah-kisah cinta yang menarik dan dilakonkan oleh hero dan heroin yang tampan serta jelita. Hal ini telah menyebabkan para penonton memenuhi panggung semata-mata untuk menontonnya.

Terdapat empat sebab utama yang menjadikan orang ramai ketika itu begitu meminati filem-filem Hindustan selain filem-filem Barat. Antaranya adalah kerana mutu cerita dan persembahan yang menarik selain mempunyai lingkungan peminatnya yang tersendiri. Filem-filem Hindustan begitu mendapat sambutan terutamanya daripada kalangan wanita. Ketika itu, filem-filem Hindustan juga diminati ramai kerana menggunakan latar pemandangan yang indah dan menawan. Kewujudan filem-filem Barat dan Hidustan yang hebat dan mempesonakan menyebabkan filem-filemBold Melayu ditinggalkan.

PELANCARAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) DAN PERPISAHAN GEOGRAFI

Dari sudut yang lain juga, pelancaran Televisyen Malaysia (RTM) pada awal tahun 60-an turut merencatkan kegemilangan Shaw Brothers dan Cathay Keris sebagai pengeluar filem Melayu serta keunggulan industri perfileman ketika itu. Pelancaran RTM menyebabkan orang ramai mula beralih arah untuk menonton televisyen daripada bersusah payah beratur untuk membeli tiket di panggung wayang. Melalui televisyen, orang ramai lebih selesa berada di rumah masing-masing dan menonton apa-apa sahaja rancangan kesukaan mereka sekeluarga.

Seterusnya, oleh sebab industri perfileman Melayu kebanyakannya berpusat di Singapura seperti Malay Film Production dan Cathay Keris, maka perpisahan Singapura daripada Malaysia telah membawa impak negatif kepada dunia perfileman Melayu. Krisis perpisahan geografi ini telah memberi kesan buruk kepada syarikat-syarikat perfileman. Hal ini meletakkan pasaran perfileman merudum. Sebagai langkah untuk tidak menanggung kerugian besar, kedua-dua syarikat filem gergasi ini tekad untuk menutup produksi mereka. Faktor-faktor inilah yang disebut sebagai faktor luaran.

TEKNOLOGI FILEM-FILEM ASING

Perkembangan penggunaan warna bagi filem-filem asing pada era ini telah mula digunakan secara meluas. Malahan, filem-filem Hindustan juga sudah mula dibuat dengan menggunakan tatawarna seperti filem-filem Barat dan China. Tatawarna ini menyebabkan persembahan filem-filem asing semakin menarik dan mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan sedangkan filem-filem Melayu masih lagi menggunakan sistem warna hitam putih.

Selain itu, mutu cerita Melayu merangkumi tema dan mesej yang kurang mengalami perkembangan juga menjadi faktor merosotnya industri perfileman Melayu ketika itu. Kekurangan filem Melayu ketika itu dilihat lebih ketara dalam aspek persembahan, fotografi dan arahan. Penonton yang sentiasa mempunyai pilihan lain setelah kedatangan filem-filem asing mula berubah dan meminggirkan filem-filem Melayu yang bagi mereka sebagai membosankan.
Dalam hal ini, adalah penting untuk setiap pengarah Melayu bersikap kreatif bagi memastikan minat dan perhatian penonton tidak terkalih. Hal ini dapat dicapai sekiranya jalinan kerjasama yang akrab dapat diwujudkan dalam kalangan pelbagai pihak.

SAINGAN FILEM-FILEM INDONESIA DAN ASING

Sejarah turut menyaksikan produksi Shaw Brothers dan Cathay keris berlaku berikutan saingan hebat yang diberikan oleh filem-filem bukan tempatan seperti filem dari Indonesia yang berada di pasaran sekitar tahun 1967. Kemasukan filem-filem Indonesia sedikit sebanyak telah menenggelamkan kegemilangan filem-filem Melayu.

Penonton mula mencari kelainan pada filem-filem seperti filem Indonesia kerana kebanyakan filem Melayu ketika itu masih di takuk lama dan tidak mengalami perubahan serta perkembangan dari pelbagai segi. Selain peralihan minat penonton kepada filem-filem asing seperti Hindustan, Barat, China dan Indonesia, filem-filem Melayu turut dikritik hebat kerana tidak mampu melakukan perubahan bagi mengangkat semula industri perfileman tempatan. Lantaran kritikan-kritikan hebat itu, pendukung-pendukung filem Melayu mula berasa tertekan sehingga ada yang yang menutup produksi mereka.

Masalah yang timbul ini menyebabkan penguasa-pengusaha filem seperti Shaw Brothers dan Cathay Keris mengambil keputusan untuk menutup syarikat masing-masing. Bagi Shaw Brothers, mereka tidak akan mengalami apa-apa kerugian sekiranya mereka menutup Malay Film Production kerana mereka masih lagi boleh pulang ke Hong Kong untuk mengeluarkan filem-filem Cina.

Tom Hodge, Pengurus Umum Studio Cathay Keris pula pernah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat perfilemannya terpaksa ditutup ekoran tidak lagi mampu mengeluarkan filem-filem Melayu. Hal ini kerana kedudukan filem Melayu yang sudah tidak mendapat sambutan dalam kalangan penonton. Syarikat tersebut akhirnya ditutup dan dikatakan mengalami kerugian yang besar. Penutupan studio ini telah menyebabkan para pelakon dan pengarah kehilangan arah dan pedoman kerana kehilangan sumber pendapatan tetap mereka. Hal ini turut berlaku dalam kalangan pelakon Shaw Brothers.

TARAF PENDIDIKAN DAN KEMUNCULAN SEKTOR BARU

Dalam era 60-an, golongan menengah Melayu yang mempunyai pendidikan Barat telah ramai. Hal ini menjurus pemikiran dan tanggapan mereka yang tidak berminat dengan filem-filem Melayu. Berikutan tanggapan mereka bahawa filem-filem Melayu bersifat stereotaip dan tidak mengalami perubahan yang sejajar dengan perkembangan semasa. Golongan menengah ini lebih berminat dengan filem-filem Barat yang dilihat lebih maju serta mempunyai motif cerita yang pelbagai, mutu persembahan serta plot cerita yang lebih menarik. Bagi mereka, menonton filem Melayu yang mempunyai naratif penceritaan yang sama seperti cinta dan air mata membuatkan masyarakat berasa bosan dan lebih cenderung dengan filem-filem Barat.

Selanjutnya, kepelbagaian operasi yang muncul ketika itu turut menjatuhkan industri perfileman Melayu dari zaman kegemilangannya. Penubuhan sektor-sektor baru yang pelbagai seperti hartanah dan perhotelan telah mengalihkan minat kebanyakan pemilik produksi daripada menerbitkan filem-filem Melayu yang sudah tidak laku. Sebagai contohnya, studio Cathay Keris yang beroperasi di 532-D East Road, Singapura telah berubah menajdi Cathay’s Ocean Park Hotel. Pemilik studio ini melihat kemalapan masa depan industri filem Melayu tidak boleh dielakkan lantas mengubah haluan pendapatan mereka kepada cabang perniagaan lain yang lebih menguntungkan dengan prospek yang lebih bagus.

Intihanya, melihat kepada susur galur kegemilangan perfileman Melayu sehinggalah pada zaman kemerosotannya, pengusaha dunia perfileman Melayu perlulah mengambil iktibat daripada rentetan peristiwa itu. Sutradara, para penerbit serta penulis skrip perlu sentiasa bijak mengatur strategi bagi melahirkan karya-karya yang lebih bermutu. Aspek-aspek seperti mutu cerita yang merangkumi tema dan mesej, mutu lakonan, persembahan, fotografi dan arahan perlu sentiasa dikaji dan dilihat secara serius agar karya yang dihasilkan benar-benar mantap dan diterima khalayak. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran nafas filem Melayu kita agar tidak luput dek hujan dan tidak lekang dek panas.

Ahad, 6 Disember 2009

PERSOALAN TATABAHASA

SOALAN :
Assalamu'alaikum En. Ghalib. Saya ingin penjelasan En. Ghalib tentang kekeliruan penggunaan kata 'perlantikan' dan 'pelantikan'. Selama ini saya gunakan kata 'pelantikan' seperti berikut:
Contoh ayat : Pelantikan Wardah sebagai Ketua Pengawas amat menyeronokkannya.

Penggunaan kata 'kawat' dan 'kawad':

Contoh ayat : Mereka menjalani latihan kawat/kawad kaki petang semalam..

Antara penggunaan kata di bawah, yang mana satukah yang betul?:
Garisi perkataan atau gariskan perkataan dalam ayat?

Terima kasih
Drp:
Wardah Munirah

Jawaban:
1. Perlantikan atau pelantikan
Untuk menyelesaikan masalah ini, lihatlah proses transformasi yang berlaku dalam pembentukan perkataan pelantikan.

Lantik ----- melantik ----- pelantikan
Lantik ---- berlantik ----- perlantikan

Jika perkataan `berlantik’ wujud dalam bahasa Melayu, maka perkataan `perlantikan’ juga wujud. Mengikut proses di atas, perkataan `perlantikan’ wujud berdasarkan perkataan `melantik’ bukan daripada perkataan `berlantik’. Dari segi makna pula, perkataan `pelantikan’ bermaksud `perbuatan melantik’.

Kesimpulannya, perkataan `pelantikan’ baku, manakala perkataan `perlantikan’ tidak baku.

2. Kawat atau Kawad

Kamus Pelajar Terbitan KBSM tidak membezakan makna perkataan `Kawat’ dengan `Kawad’. Maksud pertama yang dikemukakan ialah 1. tali yang dibuat daripada logam atau dawai: Ayat contoh:

1. Karan elektrik mengalir melalui ~ tembaga.

Maksud yang kedua ialah berita atau khabar seperti kawat telegram atau menerima kawat yang bermaksud menerima berita yang disampaikan dengan telegram. kawat berduri yang bermaksud kawat yang berduri untuk dibuat pagar. Kawat mata punai bermaksud kawat beranyamn yang biasanya digunakan untuk membuat reban.

Selain itu, kawat atau berkawat bermaksud berjalan dgn rentak kaki yg sama; berbaris; mengadakan perbarisan.

Kamus Dewan Edisi Empat pula membezakan perkataan `kawat’ dengan `kawad’.

`Kawat’ ialah tali yang dibuat daripada logam atau dawai. Ayat contoh:
1.Karan elektrik mengalir melalui kawat tembaga.

Selain itu, perkataan `kawat’ apabila digabungkan dengan perkataan tertentu akan membawa makna tertentu seperti berita kawat atau khabar kawat atau surat atau kawat telegram. Ayat contoh:

2. Besoknya Pak Wir telah mengirim kawat kepada menantunya

Seterusnya, kawat berduri bermaksud kawat (dawai) yang berduri atau berkait-kait tajam digunakan untuk membuat pagar .

Kawad pula ialah perbarisan oleh anggota pasukan seragam, terutamanya tentera dan polis yg me¬libatkan pergerakan kaki, tangan dan badan serentak.

Daripada perkataan kawad, wujud perkataan kawad cam, kawad kaki, kawad perpisahan, kawad senjata, dan sebagainya.

Kawad cam ialah proses mengecam orang yang disyaki dalam sesuatu jenayah dengan membariskan mere¬ka di hadapan pihak berkuasa atau orang yg dianiayai.

Kawad kaki ialah kawad oleh anggota pasukan pakaian seragam, terutamanya tentera dan polis yang mengutamakan pergerakan kaki serentak.

Kawad perpisahan ialah kawad yang diadakan bagi meraikan perpisahan seseorang pegawai tinggi (spt polis dan tentera) yang akan bersara.

Kawad senjata ialah kawad (polis, tentera dsb) dengan mem¬bawa senjata api spt M16

Kesimpulannya, perkataan `kawad’ tidak terdapat dalam Kamus Pelajar Terbitan KBSM. Kamus ini pula memberikan pelbagai maksud kawat termasuk kawat yang digunakan sebagai kawat berduri dan juga kawad kaki. Kamus Dewan Edisi Empat pula membezakan penggunakan perkataan `kawat ’ dengan `kawad’. Persoalannya ialah Kamus manakah yang menjadi rujukan utama kita? Oleh sebab Kamus Pelajar Terbitan KBSM diiktiraf sebagai kamus yang baku, maka perkataan yang seharusnya diterima ialah kawat. Dari segi peribadi pula, saya lebih bersetuju dengan makna perkataan `kawat’ dan `kawad’ yang dikemukakan dalam Kamus Dewan Edisi Empat.

3. Garisi atau Gariskan
`Garisi’ berasal daripada perkataan `menggarisi’, manakala `gariskan’ berasal daripada perkataan `menggariskan’. Perkataan `menggarisi` hanya terdapat dalam Kamus Pelajar. Perkataan `menggariskan’ pula terdapat dalam Kamus Pelajar dan Kamus Dewan Edisi Empat.

Menurut Kamus Pelajar Terbitan KBSM, perkataan `menggarisi’ bermaksud memberi bergaris pada, manakala perkataan `menggariskan’ bermaksud menggunakan sesuatu untuk membuat garis atau membuat garis dengan sesuatu:

Ayat contoh:
1. Anaknya telah menggariskan hujung paku itu pada dinding rumahnya.
Kamus Dewan Edisi Empat pula tidak memasukkan perkataan `menggarisi’. Kamus ini memberikan makna `menggariskan’ sebagai membuat garis pada sesuatu atau menandakan sesuatu dengan garis: Ayat contoh:

2. Anda dikehendaki menggariskan perkataan-perkataan yang dieja salah.
Dari segi makna, Kamus Pelajar membezakan makna perkataan `menggarisi’ dan `menggariskan’, manakala Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan makna `menggariskan’ sama dengan perkataan `menggarisi’ dalam Kamus Pelajar.

Dari segi ketepatan, makna perkataan `menggarisi’ dan `menggariskan’ yang dikemukakan oleh Kamus Pelajar Terbitan KBSM lebih tepat. Perkataan `menggarisi’ ini sebenarnya diperkenalkan oleh Pak Asraf.

Kamus Dewan Edisi Keempat pula tidak memasukkan entri `menggarisi’ kerana dari segi korpus, perkataan ini jarang-jarang digunakan untuk maksud `memberikan garis pada sesuatu’. Perkataan yang selalu digunakan selama ini untuk memberikan maksud membuat garis pada sesuatu ialah `menggariskan`. Oleh sebab Kamus Pelajar Terbitan KBSM merupakan kamus yang baku, pelajar atau guru hendaklah menggunakan perkataan `menggarisi’ yang membawa maksud `meletakkan garis pada sesuatu’.

Daripada :
Cikgu Ghalib
Catatan: Soalan yang dikemukakan oleh saudari akan saya masukkan dalam blog saya sebanyak 3 siri, iaitu Siri 198, 198 dan 200 untuk dikongsikan oleh Kelab Rakan Guru Bahasa Melayu (KRGBM) dan juga pembaca blog saya. Harap maklum.

En. Abdul Ghalib Yunus merupakan Munsyi Dewan dan boleh dilawati menerusi laman blog beliau http://www.agy7500.blogspot.com/

Khamis, 3 Disember 2009

HATI-HATI PANTAI SEPI

PADA satu petang, Mawar menelusuri pesisir Pantai Sepi tidak jauh dari tempat dia berteduh sejak beberapa musim yang lalu. Entah angin apa yang menyapa hati, Mawar tidak mahu bertemu atau diganggu sesiapa. Dia menyendirikan rasa dan jasadnya di balik sebuah batu besar. Petang-petang begitu, memang tidak ramai orang yang berada di pesisir Pantai Sepi. Ah, memang tidak ramai pada bila-bila masa pun. Siapa yang mahu bermukim di Pantai Sepi yang sentiasa suram wajah. Yang sentiasa mengelak daripada disentuh cahaya mentari. Yang lebih suka sepi dan sunyi dari tawa dan ria insani? Hanya Mawar sahaja yang nian suka akan pantai itu. Entah mengapa, seakan-akan ada keserasian antara dia dan Pantai Sepi.

Mawar duduk di batu besar berwarna hitam sambil berpeluk tubuh. Pandangannya tertancap kepada air laut yang tampak kelam dan tidak seri. Angin kering yang bertiup mengusap pipi. Sesekali, terdengar keluhan keluar daripada bibir mungil Mawar yang tidak pernah disentuh secalit warna ceria. Puas menikmati rasa bosan di hamparan batu hitam, Mawar melangkah dan berjalan perlahan-lahan di pesisir pantai. Terasa nyaman di nurani kala langkah menyentuh butiran pepasir hitam sepanjang jalan. Ketika Mawar hampir tiba di penghujung jalan, Mawar disapa dua Hati yang sedang bertelagah. Hati I cuba memujuk Hati II. Mawar terpegun melihat aksi kedua-dua Hati. Tanpa dipedulikan, Hati I dan Hati II terus bertelagah tanpa ada rasa malu lantaran diperhatikan Mawar.

Hati I : Cubalah kaufikir, bukankah memaafkan itu lebih mulia daripada menyimpan dendam? Tidakkah engkau tahu?

Hati II : Jangan kausuruh aku berfikir tentang itu seolah-olah aku nian tulu untuk menilainya.

Hati I : Tapi, tindakan engkau memperlihatkan ketidakfahaman engkau terhadapa kata maaf. Aku tidak mahu melihat dia terus sengsara dengan menyimpan dendam di ruang antara kita. Aku tidak mahu melihat dia terus hidup sepi dan merana.

Hati II : Ah, apa yang kautahu tentang dia? Kautidak tahu apa-apa. Kautidak faham dia!

Hati I : Jangan kau perlekehkan kepentingan dia terhadapku dan pengetahuanku tentang dia. Aku mengikut jejaknya setiap masa, aku bersamanya tiap jaga dan lena. Aku tahu sukar untuk dia menerima, tetapi itu tidak boleh menghalang engkau untuk menuntun dia menjadi pemaaf. Itu tanggungjawab engkau. Itu tanggungjawab kita.

Hati II : Nah, nyata sekali kauhanya bijak menyusun kata tetapi kalah untuk berlaku adil kepada dia. Kalau engkau fahami dia, apakah kaudapat rasai derita dia ditinggalkan begitu oleh seseorang yang sewajarnya bertanggungjawab terhadap dia? Kalau sungguh tinggi pengetahuan engkau tentang dia, apakah kaudapat membaluti luka yang terus mengalirkan darah di mukim jiwa dia kerana dibiar terhina tanpa dipertahankan oleh seorang yang sepatutnya? Ah, apa yang kaufaham? Mudah saja kauminta aku memujuknya agar dia memaafkan si lelaki mewa yang sanggup membiarkan hidupnya terbiar sepi begitu. Teman apa engkau ini?

Hati I : Wahai sahabat, aku faham segala perimu itu tentang dia. Ya, aku akui memang tidak mudah untuk dia memaafkan apa lagi melupakan segala tindakan si durjana itu kepada dia. Tetapi, darah durjana itu tetap mengalir dalam diri dia. Itu tidak boleh kaudebatkan. Sanggup engkau melihat dia dimurkai Tuhan semata-mata membiarkan diri terbakar dengan dendam yang tidak pernah padam terhadap seseorang yang sewajibnya dia kasihi dan hormati?

Hati II : Durjana itu tidak layak untuk dihormati dan dikasihi dia. Apa yang boleh dia dapat dengan menghormati dan mengasihi durjana yang mengabaikan kewujudan dan ketaatan dia? Aku tidak mahu dia menjadi perawan tulu yang hanya tunduk pada kekejaman yang tidak berkesudahan.

Hati I : Itu katamu. Aku mohon kepadamu, tolonglah. Marilah kita bersama-sama menemani dia untuk memahami isi maaf dan meleraikan kusut dendam di ruang atmanya. Aku tidak sanggup melihat dia terus-terusan bermukim di dunia sepi yang kelam dan menolak cahaya bahagia yang cuba menyusup ke dalam hidup ini. Aku perlukan bantuanmu untuk mengukuhkan keyakinan dia agar menjadi pemaaf kepada lelaki itu.

Hati II : Maafkan aku, teman. Penderitaan dan kepahitan jalur hidupnya dek kerana durjana itu tidak mampu membetahkan aku untuk membantumu menjadikan dia seorang yang pemaaf. Ya, aku akan membantumu untuk mengajar erti maaf kepada dia sekiranya maaf itu bukan untuk si durjana keparat itu. Mendengar nama si kejam itu berdetik dalam nadi dia sahaja aku tidak sanggup, apa lagi membantu dia memaafkan itu. Engkau maafkanlah aku.

Hati I : Tolonglah sahabat. Saban hari aku menjadi semakin gusar mengenangkan dendamnya. Aku bingung melihat dia yang cuba mengukir doa untuk durjana itu tetapi tidak pernah betah. Aku tahu dia sengsara kerana gagal mendoakan durjana itu. Aku tahu itu. Kerana itulah aku tidak mahu kesengsaraan dan kebingungan dia berterusan. Dia perlu memaafkan untuk hidup tenang dan keluar dari daerah sepi ini. Tolonglah.

Hati II : Huh, memaafkan durjana yang membuatkan dia sering berasa kurang setiap kali melihat mereka-mereka yang seusia durjana itu tetapi beda kasih dan peranan terhadap tanggunggan mereka, bukan seperti dia? Tidak! Persetanlah dengan pujukanmu itu. Aku tidak akan menurut.

Kedua-dua hati bertelagah dan saling melempar hujah. Mawar yang pegun berdiri sudah rebah di dada pasir Pantai Sepi. Terasa seluruh tubuh dihinggapi bisa lemah yang amat. Hati I dan Hati II berlalu melalui Mawar sambil terus bertikam lidah. Mawar melaung, cuba memanggil Hati I tetapi tidak didengari. Suara meminta tolongnya tersekat dek racun dendam yang bersemayam di kerongkong hidupnya, dan daerah Pantai Sepi terus bertukar kelam tanpa setitis cahaya atau warna. Terus menelan tubuh Mawar yang terbiar rebah, berseorangan di dunia sepi yang semakin pikun dimamah derita dendam tak sudah.

Selasa, 1 Disember 2009

MINDA MELAYU - RASUAH ATAU HADIAH?

Artikel Minda Melayu - Suatu Tafsiran oleh Zainal Kling menyorot pentafsiran minda dalam konteks Melayu. Berdasarkan artikel tersebut, didapati wujud kepelbagaian dalam memberi makna kepada perkataan minda bersandarkan konteks masyarakat Melayu. Antara maksud yang diterima pakai bagi memberi tafsiran minda ini adalah keseluruhan jumlah keadaan sedar bagi individu. Minda juga turut diertikan sebagai suatu keupayaan manusia untuk memahami, memikirkan, merasakan, mentaakul, memutuskan, menilai dan menganggapi. Dalam erti kata lain, minda ialah keupayaan mental yang merangkumi fikiran, perasaan dan tindakan. Terdapat tiga andaian tentang kehadiran minda dalam diri manusia. Andaian tersebut adalah kehadiran fikiran atau berfikir, kehadiran pengetahuan dan ilmu serta kehadiran niat atau tujuan.

Selain membincangkan isu pentafsiran minda dalam konteks Melayu, artikel tersebut turut membicarakan sinkratisme yang berlaku dalam pembentukan masyarakat Melayu dan Islam di Nusantara. Masyarakat Melayu Nusantara umumnya dipengaruhi oleh fasa Hindu/Buddha, fasa Islam dan fasa Barat. Percantuman dan sinkratisme yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu melalui tingkat fasa tersebut mencorak pemikiran masyarakat Melayu. Dalam hal ini, walaupun masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan Islam sebagai tunjang agama namun adat dan budaya yang dipengaruhi dari fasa Hindu/Buddha dan fasa Barat turut mempengaruhi budaya hidup masyarakat Melayu. Dalam hal ini, Zainal Kling memperlihatkan wujud konflik dalaman masyarakat Melayu yang terpaksa menentukan antara keutamaan agama dan kebiasaan adat yang dipraktikkan sejak zaman berzaman.

Isu utama yang menjadi daya tarikan dalam artikel tersebut adalahperbincangan Zainal Kling yang melihat betapa kedatangan Barat sebenarnya telah membawa satu gagasan ekonomi yang lebih sistematik dan rasional. Pembawaan gagasan ini dilihat lebih teratur dan bersih daripada sebarang bentuk peribadi yang sering mengganggu gugat atau masuk campur dalam urusan perniagaan masyarakat Melayu. Dalam hal ini, gagasan ekonomi Barat tidak menerima sistem ekonomi yang penuh dengan pertimbangan emosi dan peribadi serta hubungan keperibadian dalam bentuk buah tangan atau hadiah. Dalam hal ini, Barat dilihat lebih profesional dalam menjalankan urusan perniagaan atau ekonomi mereka. Sistem yang dibawa Barat ini dibentuk secara rasional untuk manusia moden yang membuat segala macam pertimbangan bukan kerana hubungan peribadi tetapi kerana tugas dan tanggungjawab yang tidak peribadi dan rasional.

Hal ini berbeza dengan adat budaya masyarakat Melayu yang sudah terbiasa dengan unsur-unsur hadiah atau buah tangan yang dijadikan alas bagi mendapatkan sesuatu perkara atau pekerjaan. Hal ini tanpa disedari telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Melayu apabila sejarah diselusuri. Sebagai contoh, pihak kerajaan Melaka pernah membayar ufti kepada kerajaan China dan Siam untuk mendapatkan perlindungan. Bagi mendapatkan perlindungan dan jaminan keselamatan, Melaka bukan sahaja sanggup menghantar ufti malah turut menghantar hasil-hasil bumi mereka kepada kerajaan-kerajaan tersebut. Secara tidak sedar, tindakan ini sebenarnya merupakan satu gejala rasuah yang ditapis dengan kata ufti atau hadiah.

RASUAH ATAU HADIAH?

Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, rasuah merujuk perbuatan yang salah di sisi undang-undang seperti menerima dan memberi wang suap (pecah amanah, menggelapkan wang dan mencuaikan tanggungjawab. Selain itu, rasuah juga memberi makna sesuatu yang diberikan atau yang diterima sebagai sogokan (Kamus Pelajar: 552). Sementelahan itu, hadiah pula bermaksud upah atau ganjaran yang diberikan kerana menang dalam perlumbaan atau pertandingan (Kamus Pelajar:227). Walau bagaimanapun, dalam konteks ini rasuah atau upah membawa makna yang lebih besar dalam budaya hidup masyarakat Melayu.

Sementelahan itu, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang yang memperlihatkan seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

• Meminta/Menerima Rasuah
• Menawar/Memberi Rasuah
• Membuat Tuntutan Palsu
• Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Dalam masyarakat Melayu, gejala rasuah sebenarnya dikenali sebagai hadiah atau upah. Hal ini sebenarnya kurang disedari dalam masyarakat Melayu itu sendiri lantaran pemikiran masyarakat Melayu yang terlalu taksub dengan penglihatan negatif mereka terhadap pengaruh yang dibawa Barat. Masyarakat Melayu lupa bahawa gejala rasuah yang dianggap berasal usul daripada Barat itu sebenarnya telah wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.

Melalui penelitian, rasuah atau disebut sebagai hadiah dan upah dalam masyarakat Melayu kini telah diamalkan kesinambungannya usai seseorang kanak-kanak itu ingin menjadi dewasa. Dalam hal ini, ibu bapa tanpa sedar telah menggalakkan amalan rasuah dengan memberikan hadiah atau upah kepada anak-anak agar anak-anak melakukan pekerjaan yang disuruh. Tanpa disedari, anak-anak yang terbiasa dengan keadaan itu ketika kecil akan membesar dengan mengamalkan peribadi rasuah berbentuk upah yang telah diamalkan sejak kecil.

Rentetan daripada itu, generasi muda tersebut akan terus bersifat terbuka untuk menawarkan hadiah atau menuntut upah bagi satu-satu pekerjaan yang ingin dilakukan atau atas sesuatu perkara yang dihajati. Bermula dengan kanak-kanak yang pastinya membesar, gejala ini akan terus berleluasa dan merebak dalam masyarakat Melayu yang dihalalkan oleh masyarakat itu sendiri yang tidak melihatnya sebagai rasuah sebaliknya sebagai hadiah.

Khamis, 26 November 2009

WATAK & PERWATAKAN KELUARGA GERILYA

AMILAH
Amilah dikategorikan sebagai watak utama. Hal ini kerana watak Amilah wujud dalam setiap perjalanan cerita dan menjadi salah satu punca besar konflik. Pramoedya telah melukiskan watak fizikal Amilah iaitu ibu kepada tujuh orang anak sebagai seorang wanita tua dan berbadan tinggi. Pada usia muda, Amilah merupakan seorang wanita yang rupawan. Amilah pernah diberi gelaran ‘Selendang Mayang Bunga Tangsi’ semasa usia mudanya (1977, hal 2). Pramoedya menggambarkan ketuaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Amilah telah menyebabkan kulinya kelihatan berkedut (1977, hal 2). Amilah juga mempunyai rambut yang panjang paras punggung. Kebiasannya, Amilah akan menyanggulkan rambutnya yang panjang itu (1977, hal 18).


Amilah seorang wanita yang tidak pernah tahu membaca dan menulis. Dia juga tidak pernah berfikir akan kepentingan menulis dan membaca (1977, hal 2). Kehidupan zaman silam Amilah adalah sangat berbeza dengan kehidupannya dalam latar masa novel ini. Jiran-jiran di sekitarnya menyifatkan Amilah sebagai ‘buaya tangsi’. Hal ini disebabkan sifat negatif Amliah yang tidak bersopan (1977, hal 1). Sikap Amilah yang suka merungut juga telah menyebabkan para jiran menjauhinya. Tambahan pula, Amilah gemar mengata dan merendahkan orang lain. Sifat-sifat buruk Amilah ini sering menimbulkan pertelagahan antara Amilah dengan jiran-jirannya (1977, hal 2).

Sebagai seorang ibu, Amilah bukanlah contoh ibu yang baik. Amilah sering memarahi dan memaki anak-anaknya terutamanya anak keempatnya iaitu Salamah (1977, hal 5). Kewarasan akal Amilah terganggu apabila anak kesayangannya iaitu Sa’aman ditangkap oleh M.P (1977, hal 6). Hanya Sa’aman yang mampu melenturkan kekerasan Amilah (1977, hal 10). Amilah mempunyai satu prinsip dan pandangan hidup yang agak negatif iaitu “kehidupan yang senang adalah dengan hidup bermalas-malas” (1977, hal 6). Amilah sering mengimbau kecantikannya semasa muda dahulu dan dibandingkan dengan keadaan dirinya pada masa itu. Disebabkan hal ini, Amilah sering mencemburui kecantikan Salamah anak keempatnya yang mewarisi ketampanan Leftenan Gedergeder iaitu seorang Belanda (1977, hal 6). Leftenan Gedergeder merupakan teman Amilah berfoya-foya semasa suaminya Kopral Paijan pergi menjalankan tugas di Pare Pare dahulu.

Layanan Amilah terhadap Salamah dan anak-anaknya yang lain berbeza dengan layanannya terhadap anak kesayangannya Sa’aman. Hal ini kerana Sa’aman merupakan anak yang lahir hasil daripada hubungannya dengan teman lelaki yang sangat dicintainya iaitu Benni (1977, hal 10) . Benni merupakan seorang Kristian yang sangat tampan (1977, hal 53). Benni telah mati tatkala bertempur di Acheh. Ketika itu Amilah sedang mengandungkan Sa’aman. Kematian Benni menyebabkan Amilah mengahwini Kopral Paijan. Amilah telah melahirkan Sa’aman pada usinya 19 tahun (1977, hal 59). Walaupun Sa’aman bukan anak Amilah bersama suaminya yang sah iaitu Paijan, Amilah tetap membinkan nama Sa’aman dengan Kopral Paijan.

Penangkapan Sa’aman telah membawa Amilah menunggu kepulangan anak kesayangannya itu saban hari dan malam (1977, hal 18). Dalam bab Tamu di Pagibuta, sifat tidak sabar Amilah dapat dilihat dengan jelas. Sifat ini tergambar apabila Amilah tidak sabar semasa berhadapan dengan Sesran Kasdan untuk mengetahui kedudukan Sa’aman. Selain tidak sabar, bab ini juga memperlihatkan kepada pembaca sikapnya yang mudah terpedaya sehingga ditipu oleh Sesran Kasdan (1977, hal 56-57). Tekanan perasaan yang dialami Amilah kerana kehilangan Sa’aman juga menyebabkan daya ingatan Amilah menurun. Perkara ini menyebabkan Amilah dianggap gila dan hilang ingatan. Hakikatnya, Amilah tidak gila tetapi keobsesannya terhadap kehilangan Sa’aman yang menyebabkan dia menjadi begitu (1977, hal 87).

Kasih sayang Amilah yang mendalam terhadap Sa’aman telah mempengaruhi Amilah melakukan perbuatan yang aneh. Amilah kerap mencuri baju-baju anaknya lantas dijual. Hasil jualan baju itu akan digunakan untuk membeli barang-barang bagi menyediakan jeruk kesukaan Sa’aman.

Amilah akan membeli cabe rawit, bawang merah dan cuka. Barang-barang ini kemudiannya disimpan di bawah katil Sa’aman sehingga bertimbunan (1977, hal 108). Amilah menemui ajal setelah melalui banyak rintangan untuk menemui Sa’aman yang akhirnya ditembak mati. Amilah mati di atas kubur tempat bersemadinya Sa’aman. Kemudian, jasad Amilah telah ditanam oleh dua orang askar yang berjaga di kubur itu (1977, hal 258-259).SA’AMAN BIN

PAIJAN
Watak Sa’aman Bin Paijan atau Aman ini turut diklasifikasikan sebagai watak utama dan watak bundar. Hal ini kerana watak Sa’aman ini menepati ciri-ciri pengelasan watak utama seperti watak yang wujud dalam setiap kisah hingga ke akhir cerita. Sa’aman muncul dalam setiap plot dan menjadi pencetus konflik. Selain itu, watak Sa’aman merangkumi segala sifat-sifat manusia seperti dendam dan sayang.

Sa’aman merupakan seorang pemuda berusia 24 tahun. Dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik kepada Amilah (1977, hal 9). Watak fizikal Sa’aman dilukiskan oleh pengarang sebagai seorang pemuda yang berbadan tegap dan tinggi (1977, hal 23). Sa’aman mempunyai sepasang mata yang tenang dan sepet (1977, hal 30 dan 33). Selain itu, wajah Sa’aman digambarkan mempunyai iras wajah bangsa Menado. Manakala warna kulit Sa’aman pula ialah kuning langsat. Semasa menjadi tahanan di penjara Gang Tengah, wajah Sa’aman dipenuhi jambang, mempunyai pipi yang cengkung manakala badannya pula sedikit membongkok (1977, hal 110). Gambaran ini menunjukkan penderitaan jiwa yang dialami oleh Sa’aman dalam detik-detik menanti hukuman mati dikenakan.

Sa’aman Bin Paijan mendapat pendidikan di MULO (Meer Uitgebried Lager Onderwjis) atau Sekolah Menengah Belanda (1977, hal 126). Walaupun merupakan anak yang paling tua dalam keluarganya, Sa’aman tetap menghormati dan sangat mengasihi adik-adiknya (1977, hal 7). Sa’aman sering memberi nasihat kepada adik-adiknya. Sa’aman juga seorang abang yang sangat mementingkan pelajaran kesemua adiknya (1977, hal 7). Dia tidak mahu adik-adiknya ketinggalan dan hidup susah tanpa pelajaran. Sa’aman pernah mengeluarkan kata-kata yang berbunyi “...di dunia ini tiada tempat untuk orang yang bodoh dan sakitan” bagi memberi semangat kepada adik-adiknya.

Sebagai seorang perajurit bangsa, Sa’aman mempunyai kecekalan hati yang sangat tinggi. Sa’aman sentiasa tabah dan berani menghadapi ancaman penjajah walaupun maut menjadi taruhan (1977, 154). Di samping itu, Sa’aman juga mempunyai pendirian yang teguh dalam mempertahankan kebenaran perjuangannya. Sa’aman lebih rela mati daripada dibebaskan tetapi tidak mampu melepaskan kesengsaraan tanah air dan bangsanya yang terjajah (1977, hal 109-129).

Surat-surat yang dikirmkan oleh Sa’aman kepada adik-adiknya pula melambangkan kebijaksanaan, daya pandangan dan pemikiran Sa’aman yang tajam(1977, hal 213-220). Watak Sa’aman berfungsi dalam menyampaikan pemikiran Pramoedya terhadap penjajahan bersama semangat nasionalisme yang tinggi.

SALAMAH BIN PAIJAN
Salamah merupakan contoh watak pipih dalam novel ini. Hal ini kerana watak ini tidak mengalami perkembangan yang ketara. Watak Salamah juga boleh diklasifikasikan sebagai watak sampingan yang penting. Watak ini hanya muncul pada permulaan dan akhir cerita sebagai penutup kisah.

Salamah merupakan anak keempat Amilah. Salamah berusia 19 tahun (1977, hal 4). Sepasang mata berwarna biru yang cantik menambahkan keindahan paras wajah Salamah (1977, hal 9). Kecantikan Salamah terserlah dengan kulitnya yang berwarna putih (1977, hal 30). Keindahan paras Salamah itu diserikan lagi dengan hidungnya yang mancung. Selain itu, Salamah juga memiliki rambut yang berwarna perang dan panjang berombak (1977, hal 31). Salamah merupakan anak hasil hubungan songsang Amilah dengan Leftenan Gederrgeder. Ketampanan leftenan Belanda itu telah diwarisi oleh kecantikan Salamah (1977, hal 59).

Sebagai seorang kakak, Salamah mempunyai nilai bertanggungjawab yang tinggi. Hal ini terbukti apabila Salamah cuba meminta izin daripada Amilah untuk pergi bekerja. Salamah ingin mencari pekerjaan agar dapat menampung perbelanjaan rumah dan menyambung persekolahan adik-adiknya yang tergendala setelah penangkapan Sa’aman (1977, hal 7). Kecantikan yang dimiliki Salamah telah menerbitkan perasaan cemburu Amilah terhadapnya. Hal ini menjadi faktor Salamah sering dimarahi oleh Amilah (1977, hal 9). Pramoedya juga telah melukiskan watak Salamah sebagai seorang gadis sunti yang mempunyai nilai kesopanan yang tinggi (197, hal 10).
Salamah berjaya menamatkan pelajarannya di sekolah rakyat. Disebabkan ini, Salamah mempunyai pengetahuan yang baik untuk membaca dan menulis. Di samping itu, Salamah turut mahir dalam bahasa Belanda (1977, hal 11). Salamah juga telah menjalinkan ikatan pertunangan dengan seorang lelaki yang baik iaitu Mas Darsono. Pertunangan Salamah ini sangat disenangi oleh Sa’aman (1977, hal 16).

Budi perkertinya yang halus ditambah dengan kecantikan yang dimilikinya menjadikannya mudah disayangi orang (1977, hal 33). Sungguh pun Salamah sering dimarahi oleh Amilah, Salamah tetap menghormati dan mentaati segala perintah ibunya. Kejelikan watak Amilah sebagai ibu tidak membenarkan Salamah mengingkari dan mengasari Amilah (1977, hal 6-12 &132). Salamah juga sanggup mengorbankan keperawanannya semata-mata untuk menyelamatkan Sa’aman walaupun akhirnya menjadi mangsa tipu daya Sesran Kasdan (1977, hal 269).

PATIMAH BIN PAIJAN
Patimah merupakan contoh watak sampingan yang tidak penting. Patimah digambarkan berusia 16 tahun. Sa’aman membayangkan Patimah sebagai anak yang paling cerdik dalam keluarga (1977, hal 8). Melalui Sa’aman, Patimah digambarkan sebagai seorang gadis yang berbudi pekerti dan akan menjadi orang yang berguna. Patimah juga mempunyai nilai kemanusiaan yang besar (1977, hal 8).

Patimah menaruh harapan untuk menjadi seorang ibu yang baik. Patimah berharap dia dapat mendidik anak-anaknya kelak sehingga menjadi orang yang berguna (1977, hal 14). Selain itu Patimah mempunyai cita-cita yang besar maknanya iaitu ingin menjadi manusia yang baik dan orang yang berguna kepada kebaikan (1977, hal 17).

Setelah penangkapan Sa’aman, Patimah terpaksa menamatkan pelajarannya di SM. Justeru, Patimah berharap agar dapat menyambung semula pengajiannya sekiranya Sa’aman dibebaskan. Hal ini menunjukkan sifat cinta akan ilmu dalam diri Patimah (1977, hal 132). Sebagai rakyat yang terjajah di tanah sendiri, Patimah tekad tidak mahu tunduk kepada Belanda. Patimah juga nekad tidak mahu memohon pengampunan daripada Belanda untuk abangnya kerana tidak mahu meminta-minta pertolongan daripada Ratu Belanda yang menjajahnya. Pemikiran ini wujud dalam diri setiap ahli keluarga ini (1977, hal 148).

KAREL VAN KEERLING
Van Keerling merupakan contoh watak sampingan yang bersifat dinamis. Hal ini kerana, pemikiran negatif Van Keerling terhadap perajurit bangsa seperti Sa’aman berubah apabila berlaku perbualan antara dia dengan Sa’aman. Satu perkara yang tidak pernah dilakukannya iaitu memecahkan tembok sempadan antara dia dengan banduan jagaannya.

Karel Van Keerling mempunyai wajah yang tipis dan hidung yang mancung (1977, hal 130). Di samping itu, dia juga memiliki sepasang mata yang bening (1977, hal 165). Keerling telah bertugas selama tiga tahun sebagai pengarah di penjara Gang Tengah tempat Sa’aman ditahan. Keerling juga merupakan lelaki berbangsa Indo-Belanda. Hal ini kerana, ayahnya merupakan seorang Belanda manakala ibunya pula merupakan seorang Indo (1977, hal 198). Van Keerling merupakan penghisap rokok berjenama Chesterfield (1977, hal 163).

Perbualannya dengan Sa’aman dalam bab Aku Tak Jijik Melihat Tuan telah mengubah paradigmanya terhadap perajurit bangsa seperi Sa’aman. Pertembungan ini juga telah membuka kesedarannya akan kezaliman yang dibawa oleh bangsa ayahnya. Dalam usaha menebus rasa bersalahnya terhadap Sa’aman, Keerling telah menawarkan pelbagai bantuan kepada Sa’aman tetapi tidak diterima. Akhirnya, Van Keerling membantu Sa’aman menyeludup surat untuk adik-adik Sa’aman. Van Keerling juga cuba bersahabat dan membantu adik-adik Sa’aman tetapi ditolak (1977, hal 167).MAS DARSONO

Pengkaji mengklasifikasikan watak Mas Darsono sebagai watak putih. Mas Darsono dikategorikan sebagai watak putih kerana perwatakannya yang membawa sifat baik dari mula hingga akhir cerita. Di akhir bab, Mas Darsono mempamerkan keikhlasan dan kemurnian percintaanya terhadap Salamah dengan menerima keadaan yang menimpa Salamah.

Watak fizikal Mas Darsono tidak digambarkan secara meluas oleh penulis. Hal ini kerana watak Mas Darsono bukanlah watak utama dan penting seperti watak Amilah dan Sa’aman yang dilukiskan oleh penulis secara menyeluruh. Mas Darsono bekerja sebagai pegawai di Pasar Ikan (1977, hal 90). Mas Darsono merupakan tunang kepada Salamah dan mempunyai sifat pemurah. Hal ini dapat dilihat melalui sumbangan yang diberikannya iaitu sebanyak 45 rupiah kepada keluarga Salamah pada setiap bulan (1977, hal 87).

Darsono juga merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab. Setelah penangkapan Sa’aman, Mas Darsono dengan rela memikul tanggungjawab bagi melindungi keluarga Salamah (1977, hal 150). Percintaanya dengan Salamah direstui Sa’aman. Perwatakan dan pemikirannya yang sederhana telah memikat hati abang sulung Salamah itu (1977, hal 220). Watak Darsono juga membawa nilai kesetiaan dan ketulusan dalam percintaan. Perkara ini terbukti apabila Mas Darsono dengan rela menerima Salamah walaupun tunangnya itu sudah hilang keperawanan (1977, hal 272).

TUKANG LOAK
Pengkaji membawa watak tukang loak di dalam novel ini sebagai contoh watak neutral. Watak ini dikatakan sebagai watak neutral kerana hanya bertindak sebagai satu watak sampingan yang wujud dalam satu babak dan bertujuan menceritakan watak-watak yang lain. Watak tukang loak ini hadir dalam bab Pagi Yang Cemerlang (1977, hal 85).

Tukang loak mempunyai empat orang anak lelaki. Kesemua anaknya telah mati kerana perang dan pengkhianatan manusia (1977, hal 89). Tukang Loak berasal sebagai orang yang kaya. Namun, kekayaan dan kampungnya musnah apabila sekumpulan perompak dan pengacau telah membakar rumahnya. Isterinya juga telah dibunuh. Semenjak itu, tukang loak jatuh miskin dan mengembara serata mencari rezeki sebagai penjual barangan terpakai (1977, hal 89).

Tukang loak telah datang ke rumah Salamah untuk meminta ganti rugi atas jamnya yang telah dirosakkan oleh adik bongsu Salamah iaitu Hassan (1977, hal 85). Namun, tukang loak mempunyai sifat empati dan kemanusiaan yang tinggi. Setelah mendengar keadaan yang dihadapi oleh keluarga Salamah, dia tidak jadi meminta ganti rugi tersebut. Sebaliknya, dia dengan ikhlas dan sifat pemurahnya telah memberi 10 rupiah hasil jualannya kepada keluarga itu (1977, hal 88). Perbualan antara tukang loak dan Salamah merupakan teknik yang digunakan oleh Pramoedya untuk menceritakan watak-watak lain seperti Amilah, Sa’aman dan Mas Darsono.

Intihanya, selain watak-watak yang terdapat dalam pengkajian ini, terdapat juga beberapa watak sampingan lain yang bersifat kurang penting. Antaranya seperti watak Salami, Hassan, Benni, Canimin, Kartiman dan Kopral Paijan. Perlukisan watak dan perwatakan yang sempuran dan menarik merupakan suatu modal dalam menarik minat pembaca untuk membaca sesebuah karya tersebut.

Lakaran watak yang menarik mampu menarik perhatian dan imaginasi pembaca untuk terus menghayati karya tersebut. Gabungan pelbagai jenis watak akan mewujudkan pelbagai konflik dan menjadi pencetus jalan cerita yang baik. Pramoedya telah melukiskan watak-watak yang ‘cantik’ dan sempurna dalam novel Keluarga Gerilya ini. Antara teknik perlukisan watak yang digunakan dalam novel ini ialah teknik perlukisan fizikal. Teknik ini dilihat berjaya menggerakkan kotak minda pembaca dalam menggambarkan sesebuah watak dalam imaginasi pembaca. Teknik ini dapat dilihat dengan jelas dalam lakaran watak Sa’aman, Amilah, Salamah dan beberapa watak lain. Ketelitian juga dilihat pengkaji sebagai satu fakor penting dalam menghasilkan watak-watak yang mantap seterusnya melahirkan karya yang bermutu.

Rabu, 18 November 2009

MERARAU LAGI

(Sumber laman blog Ridzuan Harun)

Fakulti Penulisan akan mengadakan jamuan makan tengah hari untuk anak-anak Fakulti Penulisan sempena program Wacana Sastera mengikut butiran maklumat berikut:

Tarikh : 19 November 2009 (Khamis)
Masa : 10:30 pagi - 12:30 tengah hari
Tempat : Bilik Persidangan Utama ASWARA
Panel Undangan : Prof. Madya Dr. Jelani Harun
Topik Perbincangan: "Penyelidikan Sastera Tradisional dan Kreativiti Penulisan"

Pelajar-pelajar yang tidak ada masa hendak datang, yang banyak alasan dan dolak-dalik, yang selalu tidak datang acara Fakulti, yang entah wujud atau tidak wujud dalam Fakulti ini bolehlah mewakilkan makan tengah hari kepada kawan-kawan yang berminat dan selalu datang. Kepada pelajar yang ada kuliah lain, boleh datang selepas tamat kuliah. Kepada yang selalu datang, Fakulti terus menyokong hasrat murni saudara semua untuk menjadi pemburu ilmu.

Jemputlah datang dengan fikiran dan hati terbuka.

p/s - (Bolehkah hebahan seperti ini?)

Rabu, 11 November 2009

MEMORABILIA LAGI

SAYA berasa sangat bersyukur dan gembira apabila saya dan Kak Rozie menerima semula tugasan bertajuk Kertas Kerja Syarikat Penerbitan Eracemerlang Sdn. Bhd. bagi kursus Prinsip Pengurusan mendapat markah penuh. Walaupun bagi kebanyakan rakan markah untuk tugasan itu tidaklah terlalu banyak, namun bagi kami berdua markah penuh itu sangat bermakna kerana ada kisah di sebalik proses penulisan tugasan tersebut. Ketika saya mengambil tugasan tersebut, saya jadi tergamam dan apabila saya beri kepada Kak Rozi untuk melihatnya - Kak Rozi juga terdiam sambil senyum terukir di bibir. Seperti dalam babak terakhir skrip bangsawan Kak Rozi
... mereka berdua berpelukan dengan gembira.

Kisah apa yang berada di sebalik proses penulisan tugasan tersebut sehingga membuatkan markah penuh yang tidaklah terlalu tinggi itu begitu bermakna buat kami berdua?

Kalau diikutkan kami tidak pun terlewat untuk berfikir dan melaksanakan tugasan tersebut. Namun kesukaran dan kritikan yang diberikan oleh pensyarah terhadap proposal awal kami agak memberi tekanan kepada kami. Setelah proposal awal diberi sumbang saran oleh pensyarah, kami hanya mempunyai masa kurang lebih tiga hari sahaja selepas menolak hari cuti dan waktu berkuliah. Setelah berbincang dengan beberapa tokoh yang berkaitan dengan bidang penerbitan buku di institusi kami, saya dan Kak Rozi berusaha menyiapkan sambungan proses menulisnya pada hari Jumaat bersamaan 09 Oktober 2009.

Setibanya di Menara DBP, saya terus ke tingkat tujuh. Dalam jam 11.20, saya dan Kak Rozi berjalan menuju stesen Monorail untuk ke Bangsar pula bagi menghantar surat permohonan praktikal saya di NSTP Sdn. Bhd di Jalan Riong. Itulah juga kali pertama saya menaiki Monorail dan berada di hiruk pikuk bandar Bangsar, sangat menakutkan. Apabila tiba di NSTP, jam sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah hari. Mujur saya sempat menghantar surat itu kepada editor Berita Minggu, En. Azhar Abu Samah.

Selepas menyelesaikan proses penghantaran itu, kami tekad bahawa kami perlu menyiapkan tugasan tersebut pada hari itu juga. Kami telah pergi semula ke KL Sentral untuk mencari lokasi sesuai bagi kami melakukan tugasan tersebut. Hendak pulang semula ke kampus akan memakan masa dan tenaga.

Kak Rozi yang kepenatan selepas penat berjalan dari stesen LRT ke Jalan Riong. Terima kasih, kak.


Kerja kami terhalang apabila kami gagal menemui plag yang boleh berfungsi di kafeteria KL Sentral. Kami sekadar dapat memanfaatkan satu jam sahaja di situ. Setelah tenaga bateri komputer riba Kak Rozi kehabisan, kami bergerak mencari restoran-restoran yang mempunyai sambungan plag bagi membolehkan tenaga bateri komputer riba dicas. Agak lucu apabila kami memasuki restoran makanan segera McDonald's bagi mencari plag. Pelanggan restoran ketika itu memang ramai dan hanya ada satu plag sahaja yang tidak dipakai. Malangnya, kawasan plag itu diduduki seorang gadis yang pada pandangan kami berdua berwajah psiko. Gadis itu sedang memakan kentang goreng dengan lahapnya. Kalau diikutkan imaginasi nakal kami, ingin sahaja kami tolak gadis itu daripada mejanya kerana kami benar-benar perlukan plag! Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2:30 petang. Kami tidak punya masa yang banyak.

Gagal mendapatkan plag di restoran itu, kami keluar lagi bagi mencari sumber sambungan plag. Agak sukar juga sehinggalah kami memasuki restoran segera Burger King. Itulah juga kali pertama saya memasuki restoran tersebut yang pada ketika itu mempromosikan tema western. Seperti juga di McDonald's, kami meneroka segenap ruang restoran itu sambil pandangan kami tajam mencari sumber plag. Sehingga ke hujung restoran, banyak juga plag yang ada tetapi semuanya diduduki pelanggan. Hanya satu kawasan sahaja yang tidak diduduki pelanggan iaitu bersebelahan kaunter.



Kak, macam mana ni? Bolehkah kita guna plag ni?

Tiha rasa orang tu marah tak?

Entahlah, kita buat-buatlah beli makanan.


Kami pun meninjau menu-menu yang terpamer di bahagian kaunter. Wah, mahal-mahal belaka.

Harga satu burger sahaja mencecah RM10. Mahal sekali, itu harga perbelanjaan sehari saya.

Mana mampu!

Kami pun duduk di kerusi meja berhampiran plag tadi dan berbincang lagi.

Mahal sungguh bah!

Jap, saya pergi tengok lagi sekali.

Kali kedua di hadapan kaunter saya melihat ada dijual ais krim sundae berharga RM1. Sukar juga untuk saya percaya harga sundae itu hanya berharga RM1.

Kak, harga sundae tu RM1 ek?

Ak aa, adik nak berapa?

Sekejap ya.

Saya kembali semula kepada Kak Rozi.

Kak, kita beli sundaelah. RM1. Nanti kalau tak beli apa-apa tapi duduk sini, kena halaulah pulak.

RM1? Biar betul Tiha?

Ya, kakak tu cakap. Beri duit. Hehe

Ketika kakak pelayan itu menyediakan sundae kami, saya yang tidaklah begitu peramah ini pun tiba-tiba menjadi peramah.

Oh, bawa tema western ya kak?

Ak aa, kami tiap-tiap bulan ada tema baru.

Oh, Kak kalau saya nak guna plag dekat dengan meja tu boleh tak? tanya saya sambil menunjuk ke arah Kak Rozi. Dalam hati saya berdoa agar kakak pelayan itu izinkan.

Adik nak buat apa?

Saya nak guna komputer riba tapi bateri dah habis. Saya nak siapkan tugasan ni, kak. Boleh tak?

Wajah sedih saya pamerkan.

Oh, okey tapi jagalah lap top tu. Jangan ditinggalkan.

Ok, cantik. Terima kasih banyak, kak.

Lalu dengan dua ais krim sundae berharga RM1 setiap satu, saya pun menghampiri Kak Rozi dengan gembira dan senang hati. Sedap juga rasa ais krim itu. Macam tidak cukup sekadar satu.
Tapi, cukuplah. Asalkan dapat tempat berlindung untuk melakukan tugasan. Di restoran Burger's King itu, kami lakukan tugasan sehingga selesai pada jam empat kala hujan turun dengan lebat. Oleh sebab dugaan dan kenangan inilah, markah penuh yang kami dapat itu sangat kami hargai dan kami syukuri.


Ais krim yang sedap

Terima kasih kepada tokoh berdua yang membantu memberi cadangan dan pandangan serta kepada kakak pelayan Burger King yang baik hati.

Isnin, 9 November 2009

WATAK DAN PERWATAKAN

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, watak membawa maksud pelaku dalam sesebuah karya sastera atau karya seni (1998, hal 1548). Dalam sesebuah penulisan kreatif, watak merupakan satu elemen yang sangat penting untuk diberi perhatian. Hal ini kerana, perlukisan watak yang seimbang dan kukuh mampu menggerakkan jalan cerita dengan baik. Perkataan perwatakan pula merujuk watak (seseorang) secara keseluruhan. Perwatakan menjadi pembuka jalan dalam pembentukan sesebuah watak (1998, 1549).

Menurut Zakaria Perngis dalam bukunya yang berjudul Analisis Komprehensif Bukit Kepong, watak utama ialah watak yang dominan dalam sesebuah karya. Watak ini terlibat secara aktif dan berterusan serta menjadi struktur utama dalam perkembangan plot. Kebiasannya, watak utama terdiri daripada watak penting dan hadir dari awal seingga akhir cerita.

Watak utama juga selalunya mendapat perhatian dan perlukisan watak yang lebih daripada pengarang. Hal ini sesuai dengan peranan yang diberikannya. Watak ini juga terlibat dalam pelbagai konflik dan pertikaian. Watak utama turut disebut sebagai watak protagonis dan di dalam novel kajian ini, watak utamanya ialah Amilah dan Sa’aman (2001, hal 5).

Dalam setiap karya, watak sampingan merupakan watak yang hadir dan membantu dalam proses perkembangan plot. Watak sampingan juga boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti watak sampingan penting, kurang penting dan tidak penting. Setiap watak ini mempunyai peranan tersendiri dalam membantu jalan cerita. Kebiasannya, watak sampingan jarang dipertentangkan dengan konflik-konflik yang besar seperti yang dialami watak utama (2001, hal 55). Watak Salami, Hassan, dan Patimah merupakan watak-watak sampingan dalam karya ini.

Selanjutnya ialah watak bundar. Dalam sesebuah karya, watak bundar merujuk watak yang mempunyai sifat-sifat manusia biasa. Watak ini boleh mengalami perubahan dalam rentetan peristiwa. Dalam diri watak ini, wujud kelemahan dan kelebihan yang diseimbangkan oleh pengarang (2001, hal 56). Watak Sa’aman merupakan contoh watak bulat dalam novel Keluarga Gerilya.

Watak pipih pula bersifat statik dan tidak mengalami proses perkembangan baik dari aspek fizikal atau mental. Watak pipih mempunyai sifat-sifat tertentu sahaja dan sangat mudah dikenali (2001, hal 56). Dalam novel kajian ini, watak Salamah merupakan contoh watak pipih.
Mengikut Kamus Sastera Melayu, watak dinamik pula merupakan watak yang mengalami perubahan dalam memajukan diri baik dari aspek pemikiran atau perasaan (2001, hal 128). Dalam novel kajian ini, pengkaji dapat melihat watak Karel Van Keerling sebagai satu-satunya watak yang mengalami perubahan pemikiran dan pandangan dari negatif kepada pemikiran yang lebih positif.

Watak putih pula ialah watak yang sentiasa menjalankan aksi dan tindakan yang positif, baik dan disenangi oleh watak-watak lain (2001, hal 129). Pengkaji dapat mengkasifikasikan watak Mas Darsono dalam novel ini sebagai watak putih yang sangat jelas. Akhir sekali, pengkaji turut menjumpai contoh watak neutral dalam karya kajian ini. Watak neutral bertindak sebagai satu watak sampingan yang wujud dalam satu babak dan bertujuan menceritakan watak-watak yang lain. Dalam novel ini, watak tukang loak merupakan contoh watak neutral yang sangat jelas.

Khamis, 5 November 2009

BAHASA MELAYU ATAU bahasa Melayu?

ASSALAMUALAIKUM, En. Ghalib. Mohon penjelasan.

Penggunaan perkataan yang berhuruf tebal yang mana satukah yang betul?

1. a. Nancy fasih berinteraksi dengan rakannya di Malaysia menggunakan bahasa Melayu.

b. Nancy fasih berinteraksi dengann rakannya di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu.

2. a. Saya mengajarkan subjek bahasa Melayu.
b. Saya mengajarkan subjek Bahasa Melayu.

Wardah Munirah

Jawapan

1. a. Nancy fasih berinteraksi dengan rakannya di Malaysia menggunakan bahasa Melayu.[/]

b. Nancy fasih berinteraksi dengann rakannya di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu.[x]

2. a. Saya mengajarkan subjek bahasa Melayu.[x]
b. Saya mengajarkan subjek Bahasa Melayu.[/]

Daripada:
Cikgu Ghalib
Munsyi Dewan

Rabu, 4 November 2009

PIDATO PENERIMAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA

CITRA SASTERA DAN KEPRIHATINAN SASTERA
(Dipertik dengan izin Dato' Dr. Anwar Ridhwan)

‘Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah Khalikulalam,
Berkat Muhammad Sayid Alanam
Memberi rahmat siang dan malam.’1

Awal bismillah fakir menyusun,
Di pangkal jalan memohon ampun,
Maklum bahasa tidak tersusun,
Banyak perkara hendak dihimpun.

Majlis permai fakir mengisi,
Kata dan fikir dengan puisi,
Kerana fakir bertugas di institusi
Yang ‘melangkah ke hadapan bersama tradisi’.2




I : Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.

Bakat dan karya ada tanggungjawabnya,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya
Bantu membimbing umat manusia.

Hindari kutukan kepada penyair sesat,
Dalam Ash-Shu’ara telah tersurat,3
Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,
Taqwa itu memandu pena menyurat.



Dengan akal pena menukilkan,
Seperti lidah wajar berperaturan,
Pena yang jujur lebih dimuliakan,
Bukan pedang melibas sembarangan.

Persuratan itu mengandung ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu.

Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,
Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,
Karya persuratan padat berisi
Tanda pujangga seorang insani.

Persuratan tidak mengulang yang lama,
Atau hanya alam dan watak semata,
Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,
Disulam keindahan membijaksanakan manusia.

Dibantu ilmu karya terkarang,
Piawai Melayu ini jangan dibuang,
Nyata dan magis silang bersilang
Ke pentas dunia masuk gelanggang.

Melayu menyediakan atur hukum sastera,
Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,
Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,
Ciptakan karya bertaraf dunia.

Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,
Menyelami dasar falsafah menulis,
Apungkan ilmu madahnya pun majlis
Keadilan hakiki pencarian penulis.


II : Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,
Nasib alam dan ummah diperhati,
Peka akan gejolak yang mengelilingi,
Dicipta persuratan untuk dihayati:




(i)

Asas tamadun sudah bertunas,
Melayu bersyarak kepada nas,
Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,
Hablum min Allah, Hablum min al-nas.

Pusat intelektual bermula di istana,
Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,
Muamalat, munakahat, siasah dijana
Hukum jinayat, adab, persuratan juga.

Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah mencair atas nama hak asasi,
Islam liberal dan sekularisme mencemari,
Kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.

Ada yang mencabar hukum syariah,
Anggap hukum duniawi lebih indah,
Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,
Di atas segalanyalah asma’ ilahiyyah.


(ii)

Kita mengenal Suhaif Al-Rumi,
Begitu juga Salman Al-Farisi,
Berserta dengan Bilal Al-Habashi,
Begitu pelbagainya wajah insani.

Allah ciptakan pelbagai bangsa,
Allah hembuskan seribu bahasa,
Untuk berkenalan sesama manusia,
Jangan sampai abaikan hak milik kita.

Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,
Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,
Sejak Abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu
Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.

Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,
Corakkan wajah kebudayaan kita,
Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,
Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,
Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,
Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka
Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.

Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.

Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,
Ehsan memberi taraf kerakyatan,
‘Kontrak Sosial’ menjadi ikatan,
Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.

Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,
Kedudukan Raja-raja Melayu menjamin daulat,
Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,
Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.

Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,
Hubul watan manal iman peganglah ia,
Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,
Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.

Namun bertimbang rasalah kepada taulan,
Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,
Pada zamannya Nabi telah tunjukkan
Islam menjalin indah perpaduan.


(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,
Di Alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,
Khalifah Allah segala raja dan sultan,
Patut dibantu Orang-orang Besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,
Matlamat dan cara mesti halal belaka,
Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,
Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.


(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,
Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,
Peribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,
Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.

Terfikir fakir akan nasib bahasanya,
Ratusan tahun melakar wacana;
Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?
Cukupkah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada Abad-XVI Valentijn4 terpesona,
Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,
Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,
Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.

Ilmu sekular-moden Melayu wajar berhati-hati,
Kerana akhirat itu pasti dihadapi,
Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,
Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.

(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,
Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya,
Patutlah teras segala citra budaya,
Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.

Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,
Tanda bangsa beradab lagi mulia,
Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,
Budi bahasa amat ketara lunturnya.

Segalanya bermula darinya rumah,
Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,
Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,
Akhiran terpuji husnul khatimah.
(vii)

Persuratan dan bahasa ‘azwar’ yang baik,
tamsil makhluk dengan yang Khalik,
Perjuangan bahasa bukanlah pelik,
Kuasai yang asing, tak tercicir milik.

Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,
Melalui munsyi bahasa yang berjasa
Bukan dengan ‘pandai besi’ berbadan sasa
Bukan dengan ‘pandai emas’ mencanai suasa.

Kuasai bahasa Arab di dalam dada,
Bahasa barat dan timur di dalam minda,
‘Seribu bahasa kita bicara
Manakan sama bahasa bunda.’5

Ke manakah arah Bahasa Melayu?
Di pandang rendah tak banyak yang mahu,
Sesekali dipakai miskinnya mutu,
Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.

Alangkah molek bercitra kebangsaan,
Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,
Tercabut rohnya citra pun kehilangan,
Bagaikan tanah ini tidak bertuan.


(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,
Ucapan ‘terima kasih’ kepada sekalian,
Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,
Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.

Serta sahabat fakir Cina dan India,
Kadazandusun, dan Iban juga;
Dengan bakat, akal, bahasa dan karya
Perkasakan tamadun bangsa kita.

Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,
Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,
Jutaan ampun atas silap dan salah,
Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,
Janganlah apa fakir dikata,
Kalam buruk kertasnya lata,
Menyuratnya tidak ada pelita.6

Sudahlah dengan takdir Allah,
Tiadalah dapat lagi disalah,
Di Luh Mahfuz suratan terjumlah
Barang yang datang disyukurkanlah.7

[Pidato Penerimaan pada majlis Anugerah Sastera Negara Ke-10, pada 20 Oktober 2009, di Grand Ballroom, Palace of The Golden Horses, The Mines, Kuala Lumpur]